PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Saturday, January 22, 2005

Untut... saintis USM temui kaedah diagnosis


ARKIB : 20/12/1999

Penemuan kaedah terbaru itu berjaya membaiki kaedah sedia.

Kaedah yang lama menggunakan sampel darah yang perlu diambil pada waktu malam.

"Kaedah terbaru ini juga akan lebih sensitif dalam mengesan kehadiran parasit filaria iaitu sejenis cacing yang boleh membawa kepada penyakit untut,'' katanya kepada Utusan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berharap, kaedah ini kelak akan dapat dimanfaatkan oleh pihak hospital, klinik dan unit kawalan jangkitan filaria pada masa akan datang.

Selain daripada penyelidikan untuk membangunkan kaedah diagnosis yang lebih tepat, beliau juga menjalankan pelbagai penyelidikan lain berkenaan parasit ini.

Beliau ditemui semasa menyampaikan salah satu hasil penyelidikannya pada Seminar Pembentangan Hasil Penyelidikan Yayasan Sains Toray Foundation (MTSF) 1999 di Universiti Malaya (UM).

Dr. Rahmah adalah salah seorang penyelidik yang telah berjaya mendapat geran penyelidikan daripada MTSF iaitu sebuah badan bukan kerajaan untuk menggalakkan perkembangan sains dan teknologi di negara ini.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai kaedah penyebaran penyakit filaria itu, katanya mikrofilaria (anak cacing filaria), terhasil apabila cacing dewasa jantan dan betina yang dikenali sebagai burgia malay mengawan.

Vektor atau agen penyebaran penyakit ini ialah nyamuk daripada pelbagai jenis spesies.

Di Semenanjung Malaysia, spesies nyamuk yang menyebarkan jangkitan ini ialah Mansonia yang membiak di kawasan yang dipenuhi pokok keladi bunting.

Apabila nyamuk yang terjangkit menggigit manusia, ia melepaskan larva infektif ke atas kulit.

Tidak seperti jangkitan nyamuk yang menyebabkan malaria, yang mana parasit malaria disuntik ke dalam saluran darah manusia, nyamuk yang membawa parasit filaria menyebarkan larva infektif ke atas kulit.

Larva infektif ini kemudiannya akan masuk ke dalam luka akibat gigitan nyamuk tadi dan membesar dalam noda dan saluran limfa.

Selepas lebih kurang enam bulan dijangkiti, anak cacing tersebut yang dikenali sebagai mikrofilaria dapat dikesan di dalam darah periferi, terutamanya pada waktu malam.

Simptom-simptom yang terhasil daripada jangkitan ini ialah adenolinfangitis iaitu inflamasi kelenjar dan saluran limfa yang diikuti dengan demam dan lesu, kerosakan limfa dan ginjal, pembengkakan anggota terutama kaki di bawah lutut dan penyakit untut.

"Ada juga segolongan kecil yang mengalami kerosakkan paru-paru yang disebabkan sindrom tropical pulmonary eosinophilia di mana larva cacing tersebut berkumpul di paru-paru,'' jelasnya.

Lebih kurang 13 juta orang di Malaysia India, China, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Korea Selatan mengalami jangkitan ini.

Di negara ini, jangkitan penyakit ini kebanyakannya terdapat di Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Perak.

Kes penyakit untut yang kebanyakannya dikesan di kawasan-kawasan kurang membangun dan mempunyai banyak kawasan berpaya, menyebabkan penyakit ini sering disinonimkan sebagai penyakit orang miskin.

Penyelidikan yang dibiayai oleh MTSF melibatkan kajian terhadap antigen larva infektif burgia malay.

"Kami telah mengkaji sama ada terdapat komponen antigen larut dalam peringkat ini yang mungkin menghasilkan antibodi yang memberi perlindungan terhadap jangkitan,'' katanya.

Ini menurutnya, adalah kerana terdapat segolongan orang dalam sesuatu kawasan yang berpenyakit, yang tidak dijangkiti oleh brugia malay, walaupun terdedah kepada nyamuk yang terjangkit.

Menurut beliau, kajian mendapati manusia yang terjangkit terdiri daripada dua kelompok.

Kelompok yang besar (80 peratus) menghasilkan sejenis antibodi terhadap antigen larva infektif dan selebihnya langsung tidak menghasilkan antibodi tersebut.

"Dengan ini, kajian mendapati, tidak terdapat kesan perlindungan oleh antibodi yang terhasil daripada larutan larva infektif,'' katanya.

Kajian yang seterusnya menurut beliau, perlu difokuskan ke atas kajian antibodi terhadap antigen permukaan larva infektif dan kajian keimunan sel.

Hasil penyelidikan berkenaan larva infektif yang dijalankan oleh Dr. Rahmah dan juga rakan-rakan penyelidik daripada UM,, Prof. Datuk Dr. Khairul

Anuar Abdullah dan C.P. Ramachandran dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu akan diterbitkan dalam jurnal perubatan iaitu Journal South East Asia - Journal of Tropical Medicine and Public Health.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...