Oleh NURUL HALAWATI AZHARI
BEGINILAH rupa kanser kolorektal.
Presiden Persatuan Onkologi Malaysia, Datuk Dr. Mohamed
Ibrahim Abdul Wahid menjelaskan, kanser boleh ditangani jika ia dikesan
awal dan belum merebak.
KANSER kolorektal yang juga dikenali sebagai kanser usus adalah
penyakit kanser yang utama bagi orang lelaki dan ketiga paling banyak
menyerang kaum wanita di negara ini.
Penyakit ini pula paling tinggi menyerang masyarakat Cina.
Setiap tahun di seluruh dunia, 655,000 kematian dilaporkan akibat
kanser ini. Kanser usus menjadi kes kanser ketiga yang paling utama dan
penyebab kematian kedua di Barat.
Di Asia, terutama di Jepun dan Singapura, jumlah kes kanser semakin meningkat dalam tempoh sedekad lalu.
Kanser usus juga telah mengambil alih kanser paru-paru sebagai kanser utama yang menyerang lelaki.
"Dahulu, kanser usus bukanlah sesuatu yang biasa di Jepun, Singapura
atau negara Asia yang lain. Satu teori yang dikaitkan adalah diet
mereka kini bertukar mengikut diet Barat.
"Mereka kurang makan makanan yang berserat, minum banyak alkohol dan daging.
"Saya tak mengatakan daging faktor penyebab kanser. Tetapi tabiat
pemakanan boleh jadi satu faktor. Diet memainkan peranan utama. Ini
mungkin boleh menjelaskan kenapa insiden kanser kolon semakin meningkat
di Malaysia, Singapura dan Jepun," menurut Presiden Persatuan Onkologi
Malaysia, Datuk Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Wahid.
GAMBARAJAH menunjukkan tahap serangan kanser kolorektal yang menyerang usus.
MOHAMED IBRAHIM |
ADA yang percaya kanser ini hanya menyerang lelaki tetapi pada hakikatnya ia juga menyerang wanita. |
Kanser boleh sembuh kalau disedari lebih awal. Inilah mesej yang
sentiasa diberi para doktor. Tetapi pesakit mungkin memerlukan beberapa
jenis rawatan.
Menurut Mohamed Ibrahim, rawatan untuk kanser adalah sesuatu yang
kompleks dan mencabar. Jika kanser usus disedari pada peringkat awal
dan tidak merebak, ia boleh disembuh.
"Jika disedari pada peringkat lewat, peluang untuk sembuh adalah
kurang cerah. Rawatan berlainan diperlukan bagi peringkat awal dan
peringkat lanjut dengan kaedah yang berbeza, kami akan lihat berapa
lama pesakit boleh hidup dalam masa lima tahun.
"Kita tak melihat kepada jangka hayat mereka tetapi bagaimana mereka meneruskan survival. Adakah mereka selesa atau sebaliknya," kata Mohamed Ibrahim.
Pakar onkologi perlu menilai beberapa aspek sebelum membuat
keputusan tentang rawatan yang terbaik bagi pesakit. Pembedahan
merupakan pilihan atau pilihan utama manakala kemoterapi atau
radioterapi dicadangkan bergantung kepada keadaan pesakit dan faktor
perubatan yang lain.
Terdapat pelbagai jenis penyakit kanser, begitu juga rawatannya.
Bagi sesetengah orang, mereka mungkin terdengar tentang satu atau
dua kaedah rawatan kanser tetapi doktor mungkin menggabungkan beberapa
jenis terapi bukan sahaja untuk membuang kanser tersebut, juga untuk
memastikan bahawa kanser tersebut tidak akan kembali.
Pakar Runding Onkologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr.
Christina Ng berkata, kemampuan doktor mengenalpasti sel kanser secara
spesifik adalah satu penemuan yang luar biasa.
Ini membantu sel-sel tersebut menjadi 'sasaran' dan dilemahkan, lantas membantutkan pembesaran kanser itu.
Rawatan seperti ini adalah pencapaian yang signifikan jika
dibandingkan dengan kaedah konvensional seperti kemoterapi yang
membunuh semua sel yang ada.
"Rawatan ini diasaskan kepada pemahaman bahawa sel-sel kanser
membesar lebih cepat daripada sel normal, jadi sel kanser akan binasa
terlebih dahulu.
"Bagaimanapun ada sel lain yang membesar dengan cepat seperti sel
usus, sum sum tulang, folikel rambut dan rahim. Ini juga akan binasa."
Sementara itu, terapi sasaran seperti Cetuximab hanya menyerang sel
kanser. Cetuximab boleh melekat pada reseptor faktor pembesar epidermal
(EGFR) dan menyekat sel kanser daripada menerima nutrien untuk
pembesaran dan percambahan.
Ini menghalang tumor daripada menyerang tisu normal dan merebak
kepada organ. Cetuximab sebenarnya membuat sel kanser 'kebuluran'.
Sehubungan itu, kaedah terapi sasaran mempunyai kesan sampingan yang
kurang. Menurut Global Cancer News, Cetuximab merupakan antibodi
monoklonal yang boleh digunakan bagi rawatan kanser usus, leher dan
kepala.
Cetuximab, yang mempunyai penanda bio prediktif adalah rawatan
barisan hadapan bagi kanser kolorektal bermetastasis, membantu dalam
pemilihan pesakit yang sesuai untuk terapi ini.
Penanda bio ini, dinamakan KRAS, adalah protein yang mengawal EGFR.
Menurut Daftar Majlis Barah Kebangsaan, terdapat beberapa situasi
yang menimbulkan pelbagai persepsi terhadap kanser. Ada yang percaya
kanser ini hanya menyerang lelaki tetapi pada hakikatnya ia juga
menyerang wanita.
Adalah tidak benar kanser usus tidak boleh dihalang. Ini kerana
amaran awal seperti kehadiran tanda dan gejala seperti polip boleh
dibuang sebelum kanser tersebut membesar dan merebak.
Kebanyakan kes kanser usus di Malaysia melibatkan mereka yang berumur lebih 40 tahun.
Ia juga merupakan satu mitos bila dikatakan rawatan kanser
membinasakan kedua-dua sel normal dan sel kanser. Hakikatnya, doktor
mempunyai opsyen rawatan seperti surgeri, radioterapi, kemoterapi dan
terapi sasaran.
"Kesan sampingan seperti rasa mual dan muntah boleh dikawal.
"Ramai juga yang menjalani rawatan alternatif kerana mereka percaya
rawatan alternatif boleh menyembuh barah. Tetapi mereka harus sedar
bahawa kaedah rawatan kanser perlu melalui ujian yang intensif dan
pembuktian secara saintifik sama ada mujarab atau sebaliknya.
"Sehingga kini, tiada ujian dan pengesahan berhubung keberkesanan
perubatan alternatif dalam merawat kanser", tambah beliau. - Bernama
No comments:
Post a Comment