PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Saturday, June 26, 2010

HPV serang pangkal rahim

DAPATKAN vaksin yang betul untuk mencegah HPV daripada menyebabkan kanser pangkal rahim.


DI peringkat global, kanser pangkal rahim ialah barah kedua yang paling lazim berlaku dalam kalangan kaum wanita hari ini. Malah, dipercayai semua wanita terdedah kepada risiko menghidap kanser pangkal rahim. 

Di Malaysia, nisbah wanita yang telah didiagnosis menghidap kanser pangkal rahim ialah 12.2 peratus bagi 100,000 orang.

Sementara laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2007 juga menyatakan bahawa lebih daripada 700 wanita rakyat negara ini meninggal dunia akibat kanser tersebut saban tahun. 

Disebabkan kanser pangkal rahim sukar dikesan kerana jarang menunjukkan simptom awalan, maka adalah penting bagi golongan wanita tampil mengambil langkah pencegahan sebelum semuanya terlambat. 

Kebanyakan kes kanser pangkal rahim disebabkan sejenis virus yang dikenali sebagai Human Papilloma Virus (HPV). Ia disebarkan melalui hubungan seks. Virus itu akan menyerang sel-sel pada rahim sebelum menyebabkan perubahan pada sel-sel selular dan menjadi berbahaya. 

HPV ialah satu kumpulan virus yang terdiri lebih daripada 100 virus saling berhubung kait. Ia juga dipanggil sebagai papillomaviruses kerana sesetengah daripada jenis virus itu boleh mengakibatkan ketumbuhan atau papiloma yang tidak berbahaya. Misalnya, virus yang menyebabkan kutil biasa di tangan dan kaki. 

Namun, ia akan menjadi berbahaya apabila ketumbuhan berlaku di bahagian tengkorak atau genital (organ pembiakan). 

Sekiranya ia dirawat jangkitan HPV akan hilang begitu sahaja tanpa meninggalkan kesan penyakit yang berisiko meragut nyawa.

Tetapi pendedahan lama tanpa merujuk kepada doktor akan menyebabkan perubahan dalam sel. Inilah yang meningkatkan risiko wanita terdedah kepada kanser pangkal rahim. 

Menjelaskan tentang kanser pangkal rahim, Pengarah Eksekutif Persatuan Kebangsaan Barah Malaysia (NCSM), Dr. Saunthari Somasundram berkata, golongan wanita sama ada yang muda mahupun tua terdedah kepada risiko kanser pangkal rahim.

Mungkin disebabkan jangkitan yang terbaru ataupun kembali terkena dengan virus HPV di genital. 

Katanya, virus HPV jenis 16 dan 18, merupakan punca kepada lebih daripada 70 peratus jenis kanser pangkal rahim dalam dunia perubatan hari ini.

Walaubagaimanapun, terdapat vaksin yang sesuai untuk mencegah jangkitan virus tersebut yang sekali gus mencegah mengakibatkan serangan kanser pangkal rahim.

Ia juga dapat mencegah lebih daripada 70 peratus jangkitan virus dan kanser itu. 

"Di Asia Pasifik, setiap 4 minit seorang wanita mati akibat kanser pangkal rahim. Keadaan ini jelas menunjukkan keseriusan jangkitan kanser ini dalam kalangan wanita. Namun, ramai wanita lagi masih tidak begitu sedar tentang penyakit ini. 

"Apabila seseorang wanita dihidapi penyakit ini kesannya bukan terhadap kesihatan sahaja, bahkan keluarga dan anak-anak turut menerima impaknya," katanya kepada Kosmo!.


Seks pada usia muda

Terang beliau lanjut, peningkatan kanser pangkal rahim dalam kalangan wanita disebabkan beberapa punca antaranya pengalaman hubungan seksual dalam usia yang terlalu muda, tabiat merokok, penggunaan oral kontraseptif dalam jangka masa yang lama dan obesiti. 

Selain mengambil vaksin yang sesuai untuk mencegah jangkitan virus HPV, pemeriksaan Pap Smear juga digalakkan supaya langkah pencegahan diambil lebih awal. Pemeriksaan Pap Smear adalah kaedah mudah melihat sebarang perubahan pada sel-sel yang dalam pangkal rahim. 

Ia juga mengesan sebarang jangkitan bakteria, sel-sel kanser pangkal rahim. 

Jelas Saunthari, semua wanita digalakkan melakukan ujian Pap Smear diikuti pemeriksaan pelvik. Ujian tersebut perlu dibuat dalam tempoh masa tiga tahun setelah mempunyai hubungan seksual ataupun sudah pun berusia 21 tahun. 

Dengan adanya ujian seperti itu seseorang dapat melihat sendiri perubahan yang berlaku dalam sel-sel kanser dan mendapat nasihat doktor untuk mencegahnya. 

Ia juga merupakan perlindungan terbaik bagi menghalang wujudnya virus yang mengakibatkan kanser untuk jangka masa panjang. 

Apa yang penting, ambil langkah pencegahan seperti vaksin dan Pap Smear lebih awal untuk menjamin kehidupan yang indah dinikmati bersama keluarga.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...