PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Followers

Monday, July 9, 2012

Ambil Iodin setiap hari


Amalan pemakanan yang sihat dengan kandungan nutrien yang mencukup termasuk iodin penting ketika hamil. - Gambar hiasan


KEHAMILAN merupakan satu saat indah yang dikurniakan kepada kaum wanita. Kenikmatan tersebut lebih menyerlah dengan kelahiran bayi sihat dan sempurna. Perhatian dan penjagaan rapi bukan sahaja menjamin kesihatan diri dan kandungan sentiasa sihat, malah ia mampu mengelak sebarang risiko yang tidak dijangkakan.

Lagi pula, bayi yang sihat datang daripada ibu yang sihat. Selain kalsium untuk membentuk tulang, wanita hamil dan bayi di dalam kandungan juga perlu mendapat iodin yang secukupnya.

Menurut Perunding Perubatan/ Endokrinologi dari Universiti Sydney, Australia, Prof. Creswell.J. Eastman, iodin penting untuk ibu hamil bagi mengelakkan kandungan mengalami masalah.

‘‘Iodin penting untuk perkembangan normal otak dan sistem saraf bayi, terutamanya ketika dalam kandungan dan dua hingga tiga tahun selepas lahir,’’ ujarnya ketika ditemui pada kunjungannya ke Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau yang turut bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menghasilkan kajian mengenai Kekurangan Iodine dalam Kanak-kanak (IDD), berkata, kekurangan iodin semasa hamil dan semasa pertumbuhan kanak-kanak boleh menyebabkan kelambatan perkembangan yang mengakibatkan penurunan dalam prestasi mental.

Menurutnya, wanita hamil dan bayi memerlukan iodin kerana ia penting bagi hormon-hormon tiroid.

Hormon tersebut menyokong pertumbuhan dan perkembangan normal kanak-kanak dan membantu mengekalkan kadar metabolisme badan.

Paras rendah tiroksin (yang boleh berlaku akibat kekurangan iodin) pada kanak-kanak boleh merencatkan pertumbuhan mental dan fizikal mereka.

Justeru, janin, dan kanak-kanak perlu dipastikan mendapat iodin yang secukupnya jika mahu melihat mereka membesar dengan sempurna.

Jelas Eastman, lazimnya iodin tidak disimpan dalam badan individu tersebut dan ia perlu diambil setiap hari.

‘‘Jumlah iodin yang diperlukan oleh seseorang sepanjang hayatnya adalah kurang daripada satu sudu teh.

‘‘Keperluan iodin adalah lebih tinggi bagi wanita hamil serta yang menyusukan bayi,” katanya.

Banyak kajian menunjukkan kekurangan iodin akan menyebabkan pelbagai masalah kepada bayi yang dilahirkan. Ia termasuk menjadi punca kepada masalah terencat akal, pembesaran terbantut, pekak, bisu dan mengakibatkan lemah anggota badan. Pengambilan iodin sepanjang tempoh mengandung merupakan satu keperluan sama ada melalui diet pemakanan atau makanan tambahan.

Badan kita hanya memerlukan jumlah iodin dalam kuantiti yang kecil, malah ia wujud secara semula jadi dalam kebanyakan makanan. Sebab itu pengambilan makanan yang betul akan memastikan badan mendapat bekalan yang diperlukan setiap hari.

Ia juga boleh didapati melalui makanan tambahan yang dijual di farmasi-farmasi.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...