PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Sunday, April 15, 2012

Pendakap gigi estetik

Gambar Hiasan


Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
hidayatulakmal@hmetro.com.my

GIGI bersih, putih, tersusun dan sihat sering menjadi idaman, namun tidak semua insan bernasib baik memiliki gigi sedemikian. Pun begitu, peredaran masa dan perubahan zaman membuatkan sesiapa saja mampu memiliki gigi menawan asal mempunyai kemampuan kewangan.

Kewujudan pendakap gigi (braces) banyak membantu orang ramai yang menghadapi masalah gigi tidak tersusun. Pendakap gigi menyusun kedudukan gigi supaya berada di tempat sepatutnya. Sebelum ini kita ditunjukkan pemakaian pendakap gigi di depan gigi tetapi tahukah anda, kini wujud pendakap gigi yang dipasang pada belakang gigi?

Pakar Pergigian Pusat Perubatan Prince Court, Dr Mumtaj Nisah Abd Rahim berkata, pendakap gigi yang digunakan pada bahagian belakang gigi dinamakan ‘lingual’.

“Sebenarnya pendakap gigi ini sudah lama digunakan di luar negara, terutama Amerika dan Eropah, tapi di Malaysia ia baru diperkenalkan. Pendakap gigi ini bersifat ‘invisible’ kerana dipasang pada belakang gigi dan tidak disedari orang ramai.


“Sebenarnya fungsi pendakap gigi ini tidak banyak beza. Perbezaan paling ketara ialah sama ada ia dipakai pada belakang atau depan gigi. Terpulang kepada pesakit untuk membuat pilihan.


“Remaja dan dewasa yang mengalami masalah gigi pada usia sekurang-kurangnya 16 tahun boleh menggunakannya. Fungsinya sama dengan pendakap gigi konvensional dan mengambil masa lebih kurang sama untuk mendapatkan hasil memuaskan,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu, baru-baru ini.

Bagaimanapun, ini semua bergantung kepada kesesuaian sesuatu kes. Menurutnya, sebelum pemakaian pendakap gigi, pesakit perlu mendapatkan rundingan pakar bagi melihat kesesuaian dan masalah gigi dihadapi.

“Ada pesakit kurang yakin memakai pendakap gigi di depan, sebab itu mereka memilih pendakap gigi di belakang kerana lebih selesa apabila berdepan orang ramai,” katanya sambil menjelaskan, kos pendakap gigi pada belakang lebih tinggi berbanding pendakap gigi biasa kerana ia membabitkan kos makmal dan memerlukan kemahiran tinggi. Ketika ini, hanya segelintir pakar ortodontik memberikan perkhidmatan ortodontik ‘lingual’ di negara ini.

Seperti pendakap gigi biasa, pendakap gigi ‘lingual’ memerlukan penjagaan kebersihan dan pemilihan makanan sesuai. Elakkan pengambilan makanan keras dan melekit. Kurangkan pengambilan makanan dan minuman mengandungi gula yang tinggi, terutama minu man berkarbonat.


Proses rawatan ortodontik

1. Fasa perundingan dan perancangan
2. Fasa rawatan
3. Fasa pemegangan


Fasa perundingan dan perancangan

Pakar ortodontik akan menasihatkan anda atau anak secara profesional mengenai masalah dihadapi

Rawatan ortodontik biasanya dimulakan jika anda atau anak anda:

i) Mempunyai kesihatan mulut yang baik tanpa karies atau penyakit gusi

ii) Bermotivasi untuk menerima rawatan beberapa tahun

iii) Setuju menerima tanggungjawab sebagai pesakit

iv) Kos rawatan ortodontik mungkin berbeza di antara pesakit. Yuran yang dikenakan biasanya bergantung kepada kerumitan rawatan dan juga bahan digunakan ketika rawatan

v) Setiap klinik mempunyai cara dan pelan pembayaran berbeza. Pelan pembayaran yang memuaskan keperluan kewangan seseorang sering ditawarkan kepada pesakit. Pembayaran juga boleh diagihkan sepanjang tempoh rawatan dan ini mengurangkan beban kewangan pesakit

Sebelum memulakan rawatan, pengambilan rekod akan dilakukan:

Ini termasuk satu atau semua daripada berikut:

Sejarah dan pemeriksaan

Acuan untuk model kajian

Gambar muka dan gigi

Radiograf yang perlu

Rekod ini akan digunakan untuk merancang rawatan ortodontik anda.


Perancangan rawatan

Ketika temujanji ini, doktor akan berbincang mengenai perancangan rawatan yang difikirkan sesuai untuk masalah anda

Anda boleh mengambil masa berfikir mengenai pelan ini. Anda tidak perlu menerima atau menolak pelan ini dengan segera


Rawatan

Jika bersetuju menjalani rawatan, anda perlu faham bahawa anda komited untuk menjalani rawatan selama dua hingga tiga tahun dengan temujanji satu hingga dua bulan sekali. Anda juga bersetuju memenuhi tanggungjawab sebagai pesakit.


Pemegangan (retention)

Setelah rawatan selesai, pendakap gigi dibuka dan alat pemegang (retainer) digunakan untuk tempoh ditetapkan. Biasanya, alat pemegang ini tidak ketara dalam mulut dan mudah dipakai pesakit. Pemakaian juga kadangkala dihadkan pada waktu malam saja mengikut kesesuaian rawatan.

--- HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...