PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Followers

Monday, July 9, 2012

Nutrisi ketika hamil

Oleh Hidayah Mohammad

Tumbesaran dan kesihatan anak dalam kandungan bergantung kepada corak pemakanan ibu

IBU mengandung memerlukan pemakanan yang baik untuk dirinya dan juga bayi yang dikandung. Justeru, ibu seharusnya makan mengikut keperluannya bermula pada awal kehamilan bagi memastikan kandungan dan berat badan ibu yang ideal.

Julat peningkatan berat badan yang sihat di kalangan ibu mengandung ialah 12.5 kilogram selama masa kehamilan. Bagi mendapatkan jumlah itu yang dikatakan ideal ialah setiap bulan selama lima bulan pertama, si ibu hanya perlu naik sebanyak 0.5 kilogram atau 500 gram saja. Bagaimanapun jumlah itu perlu naik pada kadar 500 gram setiap minggu sehingga tempoh bersalin.

Pakar pemakanan Hospital Pantai Ampang, Nor Lizawati Che’ Lah, berkata berat badan naik secara sihat berdasarkan kepada faktor pemakanan si ibu, namun tidak perlu memotong tahap pengambilan kalori yang biasa diambilnya kerana ia berpotensi mengganggu nutrisi penting yang diperlukan untuk tumbesaran bayi.

Katanya, ibu mengandung tidak boleh mengelak daripada makanan dan jika mempunyai kebiasaan melewatkan sarapan pagi, ia boleh menyebabkan si ibu penat dan gugup ketika hamil, sekali gus mengakibatkan si ibu makan berlebihan pada waktu seterusnya.

“Bagi mengelak daripada keadaan itu berlaku dan menyebabkan berat badan semakin meningkat, si ibu perlu mencuba untuk mengambil beberapa makanan dalam kuantiti yang sedikit, tetapi kerap sepanjang hari. Ini sekurang-kurangnya akan membantu si ibu untuk mendapat nutrisi yang diperlukan.

“Selain mengamalkan corak pemakanan yang betul, latihan senaman perlu dilakukan sepanjang kehamilan. Bersenam memberi banyak manfaat selain dapat meningkatkan motivasi diri dan lebih berdisiplin kepada pola makan yang sihat.

“Meskipun begitu, pengambilan minuman berkalori tinggi perlu dielakkan. Wanita hamil perlu mengurangkan minuman jus berkabonat dan minuman berperasa lain yang mengandungi kalori tinggi serta menyebabkan peningkatan berat badan,” katanya ditemui pada seminar ibu mengandung di Hospital Pantai Ampang, baru-baru ini.

Beliau berkata, latihan dan corak pemakanan perlu seimbang dengan sajian yang diambil. Kandungan khasiat juga harus selari dengan keperluan supaya bakal ibu sentiasa dalam keadaan berat badan yang ideal serta mengikut berat badan yang disarankan.

Katanya, nutrisi yang penting untuk ibu dan bayi ialah vitamin E, C, A, B12, asid folat, kalsium dan zat besi boleh didapati dalam makanan harian.

“Vitamin A antaranya boleh didapati daripada telur, daging dan produk susu. Ia dapat membantu perkembangan sel, merangsang sistem imuniti dalam badan dan perlu dalam pembentukan hormon. Vitamin A juga membantu tumbesaran bayi membabitkan kulit bayi, mata, jantung, saluran kencing dan pembentukan organ serta membantu pertumbuhan tulang bayi.

"Pengambilan vitamin B12 dapat menggalakkan pembentukan sel darah merah untuk bayi dan ibu. Kandungan nutrisi itu berfungsi membantu penyelenggaraan sistem saraf pusat yang boleh diperoleh daripada susu, sumber tenusu, daging dan ikan. Bagi membina plasenta yang kuat serta mempromosi pembentukan gusi, tulang, sendi dan gigi bayi pula si ibu perlu mengambil vitamin C. Vitamin berkenaan boleh didapati antaranya pada buah-buahan sitrus seperti oren dan lemon, paprika hijau, strawberi dan tomato,” katanya.

Vitamin D juga sangat penting bagi penyerapan kalsium ibu dan bayi. Ia terdapat dalam keju, mentega, marjerin dan juga bijirin, sementara vitamin E yang boleh didapati dalam kekacang, jagung, sayuran dan gandum dikatakan dapat membantu mencegah keguguran serta kemampuan untuk menyembuhkan tisu kulit rosak .

Nor Lizawati berkata, asid folik dalam kekacang dan buah sitrus juga mampu memberi kebaikan kepada ibu dan bayi kerana membantu pertumbuhan sel dan perkembangan embrio.

Untuk bayi pula asid folat berkenaan berfungsi mengembangkan sistem saraf pusat pada awal kehamilan, selain membantu mencegah kecacatan otak dan tulang belakang si bayi.

“Zat besi dapat menyokong wanita hamil menambahkan volum darah selain membantu meningkatkan tahap oksigen dalam darah ibu dan bayi. Kalsium juga dapat membantu perkembangan tulang dan gigi yang kuat kepada ibu serta janinnya.

“Kurangnya kalsium boleh menyebabkan berlakunya kekejangan otot dan mungkin boleh mendapat osteoporosis. Kekurangan vitamin A pula boleh menyebabkan anak lahir cacat dan boleh mengganggu penglihatan si bayi. Bayi berpotensi untuk mendapat kecacatan saraf sementara kekurangan kalsium pula boleh menyebabkan berlakunya kekejangan otot. Si ibu juga mungkin boleh mendapat osteoporosis dan cacat serta anemia jika dia kekurangan mengambil makanan tanpa asid folat,” katanya.

Pemakanan begitu penting bermula pada awal mengandung. Si ibu perlu memastikan setiap makanan yang dinikmati bukan saja untuk diri sendiri sebaliknya boleh memberi kesan kepada tumbesaran bayi dalam kandungan.

FAKTA: Masalah di kalangan wanita hamil

  • Mual dan muntah - dikenali sebagai 'morning sickness' dan yang paling umum berlaku pada tiga bulan pertama atau sejak awal hingga minggu ke-6 kehamilan. Tidak semua wanita mengandung mengalami masalah ini.

    Cara atasi: Ibu perlu mengambil makanan dalam kuantiti sedikit dan kerap. Ia bagi memudahkan makanan itu dicerna. Disarankan mengambil bijirin kering atau roti kering dan biskut.

  • Sembelit dan buasir - biasanya berlaku pada penggal tiga bulan terakhir (trimester 3). Wanita hamil mungkin menghadapi buasir iaitu pembuluh darah yang bengkak pada anus. Ia mungkin disebabkan oleh berat janin dan tekanan pada usus.

    Cara atasi: Ibu perlu meningkatkan pengambilan cairan, makanan yang kaya dengan serat dan makanan kering seperti buah prun kering serta buah ara.

  • Pedih ulu hati - berlaku disebabkan oleh peningkatan tahap hormon progesteron, menyebabkan relaksasi otot pencernaan dan tumbesaran janin meningkatkan tekanan pada perut si ibu. Asid perut kembali naik ke esofagus dan menyebabkan rasa seperti terbakar pada bahagian berhampiran dengan ulu hati.

    Cara atasi: Ibu harus mengehadkan pengambilan makanan sebelum tidur, mengehadkan jumlah makanan yang diambil pada satu masa serta menghindari makanan berminyak serta pedas.

  • Edema dan kaki kejang - berlaku dalam bulan ketiga (3rd trimester). Ia disebabkan oleh tekanan rahim yang membesar pada vena kava.

    Cara atasi: minum banyak air dan lakukan senaman. Hindari makanan yang terlalu banyak natrium dan makanan ringan. Tingkatkan pengambilan kalium, kalsium dan magnesium. Magnesium laktat boleh mengurangkan kekejangan kaki.


Mitos mengenai makanan untuk wanita hamil:
  • Makanan tertentu tidak akan menentukan bayi anda gelap atau pun cerah, umpamanya mengambil makanan sampingan seperti zat besi akan membuat bayi anda menjadi gelap! Bagaimanapun warna kulit bergantung pada gen yang diturunkan oleh ibu bapa.

  • Ibu hamil harus mengelakkan daripada memakan ikan laut dalam. Pengambilan yang terlalu banyak boleh menyebabkan anak lahir cacat. Ikan laut dalam yang mengandungi merkuri, logam yang boleh toksin kepada bayi. Ikan yang perlu dielakkan ialah ikan yu, ikan tuna putih, ikan sardin (king mackerel) dan tilefish kerana mengandungi merkuri terlalu tinggi. Persatuan makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat menyarankan wanita hamil supaya tidak makan lebih 12 ons (anggaran dua saiz hidangan) ikan itu dalam seminggu.


--- BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...