PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Followers

Wednesday, April 27, 2016

Pertussis / Batuk Kokol


Pertussis / Batuk Kokol (Whooping Cough)


Pertussis atau batuk kokol (whooping cough) adalah jangkitan bakteria akut melibatkan saluran pernafasan. Jangkitan Pertussis melibatkan sekurang-kurangnya 20 juta kes di seluruh dunia. Anggaran 90% daripada kes tersebut berlaku di negara membangun dengan 200,000 hingga 300,000 kematian setiap tahun.

Agen penyebab: Bordetella pertussis.

Cara jangkitan: Melalui udara daripada pernafasan orang yang dijangkiti.

Tempoh pengeraman: Lazimnya antara 9 hingga 10 hari dengan julat antara 6 hingga 20 hari.

Pertussis boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia. Namun, bayi merupakan golongan yang paling berisiko tinggi untuk dijangkiti.


Tanda dan gejala

Bermula dengan batuk gatal dan lama kelamaan menjadi batuk berulang (paroxysmal), biasanya dalam tempoh 1 hingga 2 minggu dan berlarutan sehingga 1 hingga 2 bulan atau lebih.

Tanda paroxysms adalah batuk berulang yang berterusan dan teruk. Setiap siri paroxysms boleh menyebabkan  pesakit menjadi kebiruan (cyanosis) kerana tidak sempat bernafas.

Kahak batuk selalunya berwarna jernih. Batuk juga boleh disusuli oleh muntah.

Seseorang yang dijangkiti bakteria Pertussis boleh menularkan jangkitan kepada orang lain dalam tempoh dua minggu pertama gejala batuk bermula.


Komplikasi

Pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (radang otak) dan kematian boleh berlaku.

Kekurangan zat, hilang berat badan merupakan komplikasi akibat muntah yang berulang.

Sawan juga boleh berlaku akibat kekurangan bekalan oksigen ke otak berikutan batuk yang berterusan tanpa sempat bernafas.


Rawatan

Seseorang yang mengalami gejala perlu mendapatkan rawatan. Rawatan khusus termasuk  antibiotik seperti Erythromycin, Clarithromycin atau Azithromycin untuk memendekkan tempoh jangkitan.


Pencegahan

Pelalian merupakan cara pencegahan yang berkesan dan selamat.

Pelalian menggunakan vaksin Pertussis.

Sekurang-kurangnya 3 dos dan diberikan secara suntikan. Di Malaysia, pelalian diberikan kepada bayi sebanyak 4 dos mengikut Jadual Program Imunisasi Kebangsaan.

Pelalian diberi pada umur 2, 3 dan 5 bulan serta dos tambahan (booster) pada umur 18 bulan.

Seseorang yang mempunyai gejala batuk perlu mengamalkan adab batuk (menutup mulut ketika batuk) dan mencuci tangan selepas batuk bagi mencegah penularan jangkitan kepada orang lain. Seseorang yang bergejala juga dinasihatkan supaya tidak mencium bayi memandangkan bayi berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Pertussis.


Sumber
  1. International Travel & Health, WHO 2006
  2. Control of Communicable Diseases Manual, 18th Edition by David L. Heymann, MD, Editor, 2004
  3. National Immunization Program, Ministry of Health Malaysia.
Semakan Akhir : 19 Jun 2013
Penulis : Dr. Norhayati Rusli  
  

--- myhealth.gov.my

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...