PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Monday, May 2, 2016

Penyakit Autisme

'Redha' Cerminan Kehidupan Keluarga Anak Autisme


Oleh Siti Salwa Shaari

KUANTAN (Bernama) -- Ibarat menjengah masa lampau, itulah reaksi ibu bapa dengan anak-anak autisme apabila menonton tayangan khas 'Redha', filem sulung tempatan yang memaparkan kisah perjuangan membesarkan anak istimewa dan sikap masyarakat yang tidak memahami masalah kanak-kanak itu.

Turut menyeka air mata sebaik sahaja tamat filem itu ialah pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) Ismail Abdul Halim, 53, yang tanpa segan mengakui dirinya amat tersentuh dengan filem garapan penulis Tunku Mona Riza dan Azril Hamzah itu.

Ismail yang berasal dari Indera Mahkota 15 di sini memuji kesungguhan semua yang terlibat dalam pembikinan 'Redha' kerana tidak mengambil jalan mudah, sebaliknya melakukan 'homework' bagi menyelami kehidupan sebenar keluarga dengan anak autisme.

"Melihat kejadian di mana Razlan (watak utama lakonan Namron) meminta maaf kepada sebuah keluarga kerana kelakuan anaknya Danial (lakonan Harith Haziq) menganggu mereka makan di restoran amat menyentuh hati kerana pernah mengalami kejadian hampir serupa.

"Waktu itu, anak syurga saya Muhammad Akhtar dimarahi kerana mengambil bola daripada seorang wanita. Wanita itu mengatakan saya tidak pandai menjaga anak walaupun saya berkali-kali meminta maaf dan menawarkan diri untuk membayar ganti rugi," katanya.

SATU FILEM YANG PENUH BERMAKNA

Ismail berkata demikian semasa ditemui selepas menyertai hampir 150 ibu bapa dan anak-anak autisme menonton 'Redha' di sini, anjuran Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) Kuantan di sebuah pawagam baru-baru ini.

Filem arahan Tunku Mona Riza yang menemui penonton sejak 14 April lalu dengan dibintangi oleh oleh pasangan suami isteri Namron dan June Lonjong serta Harith Haziq dan Izzy Reef sebagai anak autisme, mengetengahkan dilema sebenar yang dihadapi ibu bapa yang mempunyai anak syurga itu.

Dalam masa yang sama Ismail menambah, mesej kurang pengetahuan mengenai autisme di kalangan masyarakat di negara ini yang ditampilkan dalam filem itu amat tepat, kerana masalah itu dialami semasa beliau mula menyedari Muhammad Akhtar, 18, tidak seperti kanak-kanak lain pada tahun 2003.

Bimbang dengan keadaan itu, beliau membawa anaknya berjumpa doktor namun jawapan yang diterima amat menghampakan kerana semua doktor memaklumkan 'anak encik normal, tidak sakit'.

"Saya terbaca mengenai autisme semasa duduk menunggu di sebuah hospital. Kebetulan terdapat ciri-ciri autisme ditulis di satu dinding sudut hospital. Saya terus tahu anak mempunyai beberapa ciri itu dan terus membawa beliau berjumpa pakar," katanya.

KEISTIMEWAAN ANAK AUTISME

Seperti watak Danial yang obses dengan ikan lumba-lumba, Ismail berkata anaknya Muhammad Akhtar juga memiliki kecenderungan yang sama, cuma haiwan kesukaannya buat masa sekarang adalah dinosaur.

Bercakap dengan Muhammad Akhtar juga menimbulkan perasaan kagum, kerana beliau ibarat 'kamus bergerak haiwan purba' itu, ekoran kemampuannya mengenal pasti, menyebut dan mengeja dengan tepat semua jenis dinasour.

Sebut sahaja leher panjang, pantas remaja itu menyebut 'diplodocus', 'brachiosaurus', 'argentinosaurus huinculensis' dan 'seismosaurus hallorum' yang kesemuanya adalah dinosaur berleher panjang.

Bagi surirumah Nur Fazliana Mat Amin, 45, beliau tersentuh melihat kesungguhan watak Alina (lakonan June Lojong) membawa Danial yang sanggup berulang alik dari Terengganu ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengesahan kelakuan Danial, walaupun tidak mendapat sokongan Razlan.

"Tidak ramai yang tahu tentang pengorbanan dan kesusahan yang dihadapi kami," katanya yang turut ditemui selepas menonton filem itu.

Saya sendiri merasai pengalaman Razlan yang sukar menerima ketentuan anak disahkan istimewa.

"Tapi yang penting adalah istiqamah dan sabar. Anak-anak autisme mempunyai kemahiran tersendiri, namun mereka perlu diasah dan diajar berulangkali supaya dapat menerima arahan yang diberikan," katanya.

Nur Fazliana menambah beliau memilih untuk menjadi surirumah sepenuh masa apabila anaknya lelaki tunggalnya Wan Muhammad Zarith Wan Rosdi, 8, disahkan sebagai autisme semasa berusia tiga tahun.

Kelakuan anaknya banyak menyamai watak Danial dalam filem itu, kerana gemar bermain sendirian, tidak becakap, tidak mempunyai eye-contact dan sering melakukan pelakuan berulang-ulang.

"Saya bertuah kerana seperti Alina...mendapat sokongan padu daripada kawan-kawan dan keluarga. Mereka adalah pendorong semangat saya untuk menghadapi cabaran ini memandangkan keluarga besar saya tidak mempunyai anak istimewa," katanya.

MENDIDIK ORANG RAMAI AKAN AUTISME

Sementara itu, Pengerusi Nasom Kuantan Norazaemi Ibrahim, 40, berharap lebih ramai akan menonton filem itu bagi mendapatkan pengetahuan supaya sekurang-kurangnya mereka tahu cara untuk berhadapan dengan keluarga yang mempunyai anak autisme.

"Masih ramai yang tidak tahu tentang autisme. Kami telah lali dengan ungkapan anak nakal, tidak dengar cakap atau sebagainya... harap masyarakat memberi sokongan kepada 'Redha' dan bukan hanya kami yang memenuhkan panggung," katanya.

Wanita bertubuh kecil itu menambah kecenderungan watak Danial bertutur dalam bahasa Inggeris walaupun orang di sekeliling menggunakan Bahasa Melayu serupa dengan apa yang dialami anaknya Muhammad Adam Mukhriz Mohd Nor Safarol, 9.

"Penjelasan mengapa situasi ini berlaku dimaklumkan secara bersahaja dalam 'Redha'... saya juga faham bagaimana perasaan Razlan yang mengalami 'denial' sindrom termasuk sanggup menyentak gambar yang digunakan Alina untuk mengajar Danial kerana beranggapan anak normal.

"Pengalaman saya, pembesaran Adam adalah sama seperti rakan sebayanya. Mula berjalan di usia setahun dan sudah tidak memakai pampers pada usia dua tahun setengah. Normal mengikut carta pembesaran.

"Hanya pada usia tiga tahun Adam mula menunjukkan simptom autisme apabila tidak suka berkawan walaupun dihantar ke pusat pembelajaran awal dan pada usia empat tahun saya membawa Adam untuk diperiksa oleh pakar.

"Adam menunjukkan banyak kemajuan selepas mendapat bantuan. Sebab itu kami di Nasom menekankan kepentingan 'intervensi' di peringkat awal," katanya.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...