PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Saturday, October 5, 2019

KKM jimat RM200 juta dengan langkah integrasi ILKKM

Tarikh kemaskini: 05/10/2019


KUALA SELANGOR, 5 Okt -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat menjimatkan sehingga RM200 juta kos operasi apabila Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) diintegrasikan secara berfasa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, selain penjimatan, langkah rasionalisasi itu juga dapat meningkatkan kecekapan operasi mengurus tanpa berlaku sebarang pengurangan pengambilan pelajar.

"Saya rasa mereka Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak mendapat maklumat yang lengkap bila mereka mengatakan berlaku pengurangan pengambilan pelajar.

"Perkara ini telah saya jelas dan terangkan sejak awal di Dewan Rakyat," katanya ketika diminta mengulas mengenai desakan CUEPACS yang membantah penutupan menggesa kerajaan agar mengkaji semula cadangan penutupan 33 ILKKM di seluruh negara, demi kebajikan kakitangan dan warga kerja di bawah KKM sendiri.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Santuni Rakyat: Kenali Ubat Anda dan Sambutan Hari Farmasi Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di sini, hari ini, yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Tambah Dr Dzulkefly, 19 ILKKM akan diintegrasikan secara berfasa yang melibatkan sembilan ILKKM pada fasa pertama.

"Kapasiti ILKKM akan menjadi lebih optimum dengan 13 daripadanya akan berfungsi sebagai model Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB)," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam ucapan perasmiannya berkata, Hari Farmasi Sedunia disambut pada 25 Sept setiap tahun bermula 2010 bagi meningkatkan kesedaran awam tentang profesion ahli farmasi serta mengiktiraf kepentingan bidang farmasi di dalam perkhidmatan kesihatan.

Dr Noor Hisham berkata, kini, profesion ahli farmasi kian berkembang meliputi sektor perubatan traditional, bidang akademik dan penyelidikan.

"Kemajuan profesion farmasi ini selaras dengan pertambahan bilangan ahli farmasi berdaftar untuk memenuhi kepelbagaian skop disiplin farmasi yang ada di pasaran kerja," katanya.

Bermula daripada peringkat penyelidikan dan pembangunan ubat-ubatan baru di institusi penyelidikan dan industri farmaseutikal, peranan ahli farmasi turut meliputi jaminan kualiti farmaseutikal di negara ini.

"Skop perkhidmatan ahli farmasi tidak terhenti di situ sahaja, tugas ahli farmasi turut meliputi perolehan dan pembekalan ubat-ubatan kepada pesakit.

"Sekarang ahli farmasi memainkan peranan yang cukup penting dalam memberi perkhidmatan penjagaan farmaseutikal kepada pesakit serta perlu bijak dan berhemah dalam memberi kaunseling berkenaan ubat-ubatan yang dibekalkan supaya ubat-ubatan digunakan dengan betul," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...