PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Wednesday, December 15, 2010

Elak infeksi meningitis

Kegagalan mendapatkan suntikan atau rawatan boleh mengakibatkan kecacatan kekal seperti terencat akal, epilepsi, buta dan pekak.


VAKSINASI berupaya melindungi kanak-kanak di bawah usia lima tahun daripada dijangkiti meningitis.


SUNTIKAN vaksinasi di kalangan kanak-kanak di Malaysia dan kebanyakan negara lain di dunia adalah langkah standard untuk menghindarkan mereka daripada jangkitan penyakit seperti polio, campak, batuk kering, hepatitis dan batuk kokol.

Banyak juga laporan yang kita baca dan dengar mengenai kanak-kanak yang mengalami kecacatan kekal seperti terencat akal, palsi serebral, epilepsi, buta dan pekak. Semua ini terjadi hanya kerana mereka tidak mendapat suntikan atau rawatan kerana simptom tertentu yang dialami mereka tidak dipandang serius.

Begitu juga dengan ancaman meningitis. Ia merupakan masalah radang pada membran dan cecair serebrospina yang meliputi bahagian luar otak dan saraf tunjang. Ia berlaku akibat perebakan jangkitan.

Pada masa lalu, kebanyakan kes meningitis sering berlaku di kalangan kanak-kanak yang berusia di bawah lima tahun. Namun, kerana perlindungan vaksinasi kanak-kanak, kebanyakan kes meningitis pada hari ini berlaku di kalangan mereka yang dalam lingkungan umur 15 hingga 24 tahun. Orang dewasa juga tidak dinafikan cenderung untuk menghidap meningitis.




Penyakit meningitis disebabkan oleh beberapa kuman seperti Haemophilus influenzaeb, Streptococcus pneumoniae, virus-virus seperti virus beguk, campak dan lain-lain, penyakit tibi (tuberkulosis), dan banyak lagi. Kuman yang kerap menyebabkan meningitis ialah Haemophilus influnzae b (Hib) diikuti oleh S. pneumoniae (atau pneumokokal).

Vaksin Hib diwajibkan Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 2002, dan BCG (untuk penyakit tuberkulosis) telah lama diwajibkan untuk semua bayi semasa baru lahir.

Vaksin untuk pneumokokus pula, kerana disebabkan kosnya yang tinggi, tidak diwajibkan di negara ini namun masih boleh didapatkan di klinik dan hospital swasta.

Punca bagi kebanyakan kes meningitis adalah jangkitan virus, namun bakteria dan kulat juga mampu mengakibatkan masalah yang sama. Meningitis juga boleh disebabkan oleh organisma lain dan juga beberapa jenis ubat, tetapi dalam kebarangkalian yang kecil.

Tahap keseriusan radang dan kaedah rawatan yang terbaik sebenarnya bergantung kepada penyebab jangkitan tersebut. Meningitis bakteria lazimnya lebih serius daripada meningitis virus. Rawatan segera amat diperlukan, kerana jika seseorang memandang ringan akan masalah ini, ia boleh membawa maut!

Jika anda mengesyaki ahli keluarga anda menunjukkan petanda atau simptom meningitis, dapatkan rawatan kesihatan secepat mungkin. Tiada cara lain untuk memastikan status masalah kesihatan itu selain berjumpa dengan doktor dan menjalani ujian.

Perlu diketahui bahawa meningitis boleh berjangkit. Kuman yang menyebabkannya boleh berpindah kepada orang lain melalui medium udara. Ini biasanya berlaku kerana penghidap batuk atau bersin berdekatan dengan orang lain.

Biasanya, rawatan yang diberikan untuk merawat meningitis adalah bergantung pada penyebabnya. Bagi meningitis bakteria, pesakit perlu mendapat rawatan di hospital supaya doktor boleh memantau kemungkinan yang teruk seperti kehilangan upaya pendengaran, sawan atau kerosakan otak. Anda dan anak anda juga akan dibekalkan dengan antibiotik.

Ujian makmal juga perlu bagi mendalami permasalahan meningitis. Pengambilan sampel cecair tulang belakang (punktur lumbar) diperlukan untuk memeriksa sama ada ia mengandungi organisma yang menyebabkan kesakitan. Selain daripada itu, doktor juga mungkin akan menjalankan beberapa siri ujian lain seperti ujian darah, imbasan CT atau MRI.


----- Kosmo Online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...