|
|
“MAK! Cuba tengok badan saya. Kenapa makin gemuk? Saya makan sikit sahaja. Kenapa masih tidak kurus?” Begitulah keluhan dan rungutan daripada Chiqa, anak gadis berumur 16 tahun kepada ibunya.
Sebelum usianya mencecah 16 tahun, Chiqa langsung tidak kisah tentang bentuk badannya yang agak gempal. Yang penting, dia merupakan seorang pelajar yang pintar dan terkenal di sekolahnya.
Masuk ke tingkatan empat, Chiqa jatuh hati kepada Bewan, pelajar sekolah lain dalam aktiviti tahunan sekolah. Bewan memberitahu Chiqa bahawa dia tidak mungkin jatuh cinta kepadanya kerana bentuk badannya yang gempal.
Chiqa berasa amat sedih atas komen yang diberi. Sejak hari itu, remaja ini mula mengurangkan makanan yang diambil. Selepas dua bulan, berat badan masih tidak merosot dan ini mendorongnya berusaha dengan lebih agresif.
Chiqa hanya mengambil karot, epal dan oren untuk sarapan pagi dan makan malam. Untuk kebanyakan masa dia tidak makan apa-apa pada waktu tengah hari.
Setahun kemudian berat badannya telah kurang 40 peratus berbanding dengan yang asal. Namun seisi keluarga berasa amat bimbang kerana kesihatan badan Chiqa telah terjejas.
Kitaran haidnya menjadi tidak konsisten, badannya sentiasa sejuk dan kerap menggigil. Selain itu, Chiqa turut mengalami sakit dada dan keguguran rambut yang amat serius.
Chiqa yang dahulukalanya nampak ceria dan sihat kini telah berubah. Penampilannya cukup menakutkan. Badannya amat susut, kurus kering, mukanya pucat lesi dan tidak bermaya.
Ketika mengambil peperiksaan di sekolah, Chiqa telah jatuh pengsan dan terus dihantar ke hospital. Pakar psikiatri memberitahu ibu bapanya bahawa anak mereka telah menghidapi anoreksia nervosa dan mesti menerima rawatan demi keselamatan nyawanya.
DALAM kita sibuk bercakap mengenai wabak obesiti di seluruh dunia, ironinya, ada di antara kita yang begitu asyik, dengan penuh minat mahu menjadi kurus, ada kalanya sampai ke tahap sanggup menahan lapar.
Pensyarah di Jabatan Psikologi, Fakulti Kesihatan dan Sains Semulajadi, Kolej Universiti Sunway, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor, Dr. Tam Cai Lian berkata, anoreksia nervosa mempengaruhi lelaki dan perempuan, tetapi bilangan perempuan jauh melebihi lelaki dengan nisbah 10:1.
`‘Anoreksia kini menjadi satu masalah psikologikal yang meningkat ketara khususnya di kalangan remaja.
“Ia merupakan kecelaruan pemakanan yang mengancam nyawa dengan ciri-ciri seperti ketakutan melampau terhadap berat badan yang meningkat, sentiasa mengharapkan penyusutan berat badan yang banyak,’’ ujarnya.
Menurutnya, golongan ini sanggup menahan lapar dan sengaja mengurangkan selera dengan tujuan memperoleh bentuk badan langsing dan mengghairahkan, jauh berbeza daripada biasa.
Mengulas lanjut, perempuan yang menghidap anoreksia berkemungkinan mengalami kemerosotan berat badan sebanyak 25 peratus dalam jangka masa setahun.
“Kemerosotan badan yang serius menjejaskan sistem endokrin, jantung, buah pinggan, menghalang penghasilan ovum dan osteoporosis. Ia akan menyebabkan kadar kematian empat ke lima peratus jika tidak dirawat,’’ kata Dr. Tam.
Penghidap anoreksia menganggap berat badan mereka telah meningkat menjangkau akil baligh. Individu sedemikian mempunyai azam yang kuat untuk menghilangkan berat badan yang berlebihan.
Walaupun berat badan berlebihan berjaya dihilangkan, mereka masih tidak berpuas hati dengan mengekalkan corak pemakanan yang sama.
“Sekiranya komen diberi mengatakan mereka hanya tinggal kulit dan tulang, penghidap anoreksia tidak mengakuinya.
“Mereka menafikan masalah kesihatan yang dihadapi dengan memberikan alasan bahawa rupa badan sedemikian adalah hasil senaman yang gigih,’’ katanya.
Orang lain melihat penghidap anoreksia sebagai golongan tidak normal yang hanya tinggal rangka dan menampilkan imej tidak sihat.
Namun ketika berhadapan dengan cermin, pesakit masih menganggap imejnya gemuk dan perlu berusaha dengan lebih gigih untuk mengurangkan kilogram.
Dr. Tam menyifatkan rawatan untuk penghidap anoreksia sebagai satu cabaran yang besar kerana kecelaruan ini berhubungkait dengan masalah kesihatan yang serius.
“Ramai anak gadis yang menghadapi masalah sedemikian enggan menerima rawatan di hospital. Bagi kes-kes yang serius, pesakit tidak dapat mengambil makanan melalui mulut dan terpaksa disuap menggunakan tiub nasogastrik.
“Antidepresan seperti Prozac dan Zoloft juga sering digunakan dalam rawatan kecelaruan makan bagi merangsang pengambilan makanan. Individu yang menghidap anoreksia juga sering mengalami kemurungan,’’ jelasnya.
Dalam suatu kajian yang dijalankan, 10 daripada 11 pesakit anoreksia berjaya meningkatkan berat badan secara signifikan selepas rawatan 14 minggu melalui pengambilan antidepresan. Berat badan berkekalan dalam tempoh 64 minggu berikutnya.
Selain pengambilan antidepresan, terapi keluarga dan terapi tingkah laku kognitif turut digalakkan. Untuk terapi keluarga misalnya, kesabaran ahli keluarga dalam memahami masalah si pesakit serta memberikan sokongan moral sepanjang sesi dapat meningkatkan keberkesanan rawatan.
Sementara itu, terapi tingkah laku kognitif sesuai digunakan untuk membantu pesakit mengatasi cabaran dirinya terhadap kesempurnaan dan permintaan bentuk badan yang keterlaluan. Pendekatan ini dapat memperbaiki dan mengukuhkan cara pemakanan yang sesuai dan sistematik.
Mereka yang dihantar ke hospital pula sebenarnya mengalami kerumitan perubahan yang serius akibat kekurangan zat makanan untuk jangka masa yang panjang. Pesakit mempunyai purata berat badan 25 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding dengan yang normal.
Gejala fizikal
Badan yang sangat kurus, bilangan darah abnormal, tidak bermaya, pening atau pitam, kuku rapuh, rambut sedikit, pecah/bercabang atau gugur, bulu halus pada seluruh badan, tidak datang haid, sembelit, kulit kering, tidak tahan sejuk, rentak jantung tidak tetap, tekanan darah rendah, dehidrasi/tubuh kekurangan air/kontang, osteoporosis
Gejala emosi
Tidak mahu makan, menafikan rasa lapar, bersenam keterlaluan, tidak beremosi atau tiada mood, sukar menumpukan perhatian, terlalu leka dengan makanan
Gejala yang memerlukan rawatan
* Terus mengurangkan amaun makanan walaupun sangat kurus, tinggal kulit dan tulang sahaja
* Walaupun telah mencapai berat badan yang diidamkan tetapi masih menetapkan matlamat mengurangkan berat badan yang seterusnya
* Sentiasa tidak puas hati dengan penampilan diri walaupun berjaya menguruskan berat badannya
* Lebih suka mengurangkan berat badan secara bersendirian berbanding dalam satu kumpulan
* Hilang kitaran haid
* Mengambil makanan yang luar biasa secara senyap dan dalam jumlah yang amat sedikit
* Bersenam secara melampau
* Menghadapi kemurungan untuk jangka masa yang panjang
* Sengaja mengeluarkan atau mengorek makanan menggunakan jari/tangan setelah mengambilnya (memuntahkannya). Ada juga yang menggunakan julap supaya mengalami cirit-birit.
Pada abad ke-20, pakar perubatan sependapat mengatakan bahawa anoreksia memperlihatkan tanda-tanda seperti pilihan cara pemakanan yang tidak munasabah, peluang sosial yang terhalang dan tercetusnya konflik anak dengan ibu bapa.
Pada tanggapan orang ramai, bentuk badan yang langsing mewakili simbol seks dan sifat kewanitaan yang menarik.
“Rupa badan yang seksi menjadi penanda aras yang dapat membezakan golongan berada dengan miskin. Sejak tahun 1930-an hingga kini, sikap dan kepercayaan terhadap bentuk badan wanita yang ideal dan rupa paras yang cantik banyak dipengaruhi oleh kebudayaan, pengiklanan bintang filem dan pereka fesyen.
“Sebagai ibu bapa, janganlah sekali-kali mengabaikan masalah kecelaruan makan di kalangan anak-anak,’’ saran Dr. Tam sambil mengingatkan agar anak-anak disemai sedari kecil lagi dengan cara pemakanan yang sihat.
Mereka juga perlu diberitahu dari semasa ke semasa tentang bahayanya pengurangan makanan yang melampau demi mencapai berat dan bentuk badan yang diimpikan, tanpa nasihat doktor.
Ingat! Anoreksia nervosa boleh meragut nyawa sekiranya dibiarkan berlarutan. Pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan – sebelum berlakunya sebarang tragedi yang memilukan.
No comments:
Post a Comment