PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Wednesday, December 15, 2010

Belajar kawal asma


Faktanya ialah kebanyakan penghidap asma boleh menjalani kehidupan seperti biasa dan aktif bersukan, tetapi bagaimana?




ASMA ialah keadaan kronik yang berlaku apabila saluran udara utama di bahagian paru-paru, tiub bronkus mengalami keradangan. Akibatnya, otot dinding tiub bronkus mengetat dan lendir yang berlebihan terhasil hingga menyebabkan laluan udara menjadi sempit.

Keadaan ini boleh membawa kepada segala-galanya daripada bunyi pernafasan termengah-mengah hinggalah kesukaran pernafasan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 300 juta orang mengalami asma dan 255,000 orang mati akibat asma pada 2005 di seluruh dunia.

Bagaimanapun, para doktor kini mengetahui lebih banyak maklumat mengenai asma berbanding sedekad yang lepas, dan tahap kefahaman mereka untuk merawat pesakit turut meningkat.

Malahan dalam beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kebanyakan pesakit asma dapat mengawal dan menjaga penyakitnya sepanjang hayat.

Institut Jantung, Paru-paru dan Darah Kebangsaan, Amerika Syarikat (AS) menyatakan bahawa dengan rawatan yang teratur, hampir semua pesakit berupaya mencapai dan mengekalkan kawalan yang baik terhadap asma, membolehkan mereka bergiat cergas di sekolah, tempat kerja dan aktiviti biasa yang lain.

Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Datin Dr. Aziah Ahmad Mahayiddin menekankan bahawa walaupun penyakit asma tidak boleh disembuhkan, ia masih boleh dirawat secara berkesan dengan melalui proses perubatan yang teratur.

Beliau berkata, mereka yang menghidap asma perlu bekerjasama rapat dengan doktor masing-masing untuk belajar mengawalnya kerana jika ia dapat dikawal pesakit mampu melakukan apa sahaja yang boleh dilakukan oleh individu yang sihat.

"Ini amat berkesan hinggakan kebanyakan mereka yang menghidap asma boleh melalui kehidupan seperti biasa, dan bersaing dalam sukan.

"Ramai daripada ahli sukan lelaki dan wanita kita menghidap asma, malah 15 peratus doktor hati dan jantung Malaysia juga menghidap asma," kata beliau yang turut menghidap asma.

Mereka yang menghidap asma perlu mengawal asma dan tidak membiarkan asma mengawal diri mereka, kata Aziah dalam temuramah baru-baru ini sempena dengan Hari Asma Sedunia 2008, baru-baru ini.

Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan yang dijalankan pada 2006 di Malaysia menunjukkan bahawa kes asma ini berlaku antara lapan hingga 10 peratus di kalangan kanak-kanak manakala di kalangan dewasa ialah empat peratus.

"Menjaga dengan baik asma anda adalah sebahagian daripada perkara penting dalam hidup. Pengawalannya bermakna bekerjasama rapat dengan doktor anda iaitu belajar apa yang patut dibuat, menjauhi perkara yang membawa gangguan, mengambil ubat mengikut arahan doktor dan mengawasi asma anda, agar anda dapat mengambil tindakan segera daripada berlakunya sebarang serangan," jelas beliau.

"Semuanya berkenaan kualiti kehidupan penghidap asma; terjaga pada waktu malam dengan pernafasan termengah-mengah, kekerapan penggunaan ubat penyelamat, memberi alasan daripada menyertai pasukan sukan atau keperluan meninggalkan tugas atau sekolah berikutan serangan - itu bukannya kehidupan," katanya.

Jurnal Elergi dan Immunologi Klinikal menggariskan kawalan sepenuhnya asma sebagai berikut:

*Aktiviti dan senaman yang penuh.

*Tiada simptom asma pada siang atau malam hari. Tiada keperluan untuk Albuterol (alat yang merehatkan otot di laluan udara dan meningkatkan perjalanan udara ke paru-paru).

*Tiada ponteng kerja atau sekolah akibat asma.

*Paru-paru berfungsi seperti biasa.

Mengawal asma


KANAK-KANAK yang menghidap asma tetapi aktif dapat membantu paru-paru mereka bekerja lebih kuat.


Langkah pertama dalam mengawal asma, kata Aziah ialah mendapatkan diagnosis yang tepat, memandangkan sesetengah orang takut bila mendengar perkataan asma kerana mereka hanya memikirkan suasana bilik kecemasan seperti yang ditayangkan di televisyen.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa walaupun terdapat beberapa simptom asma, penyakit itu tidak perlu digeruni sekiranya ia diurus dengan baik.

Beliau berkata, penghidap asma hendaklah mengetahui tanda-tanda asma dan bagaimana untuk bertindak balas terhadapnya kerana setiap orang yang menghidap asma akan bertindak balas mengikut set faktor risiko berbeza seperti bulu binatang, habuk, bau atau semburan yang kuat, debunga dari pokok dan bunga, rokok dan asap.

"Untuk mengawalnya, doktor adalah umpama rakan yang dapat membantu memenuhi dan mengekalkan kawalan terhadap penyakit asma. Jumpa dengan doktor dua atau tiga kali setahun untuk pemeriksaan, walaupun anda berasa sihat dan tidak mempunyai masalah pernafasan," nasihat beliau.

Mengenai ubat-ubatan, Aziah berkata, terdapat dua kategori utama ubat untuk asma; sejenis ubat pelega yang bertindak cepat yang perlu dibawa bersama sepanjang masa untuk merawat serangan atau pelega segera kepada simptom, dan ubat kawalan yang diambil setiap hari untuk tempoh yang lama untuk mengelakkan simptom dan serangan daripada bermula.

"Pesakit perlu mengetahui bahawa asma boleh dikawal. Bagaimanapun, sesetengah kumpulan yang mudah puas hati, dan bersikap alpa bertindak tidak mengambil ubat apabila mereka berasa baik selama dua hingga tiga minggu," katanya.

Aziah berkata, orang ramai perlu dididik mengenai serangan dan pencegahan asma untuk memperbaiki kehidupan kanak-kanak yang mempunyai asma dan terpaksa bergelut dengan penyakit itu untuk sepanjang hayatnya.

"Perkara yang boleh membuatkan saya sedih ialah apabila melihat kanak-kanak tidak berdaya menghadapinya dan untuk mengatasinya, hanyalah dengan mendapatkan pendidikan asma dan hidup akan lebih mudah," katanya.

Inisiatif Sejagat Untuk Asma (GINA) melaporkan bahawa di sesetengah kawasan seperti Timur Tengah dan bekas Negara-negara Baltik Sosialis, asma tidak didiagnosis dan ramai orang dengan simptom asma tidak menyedari bahawa mereka mempunyai penyakit itu.

Di Asia Tengah dan Pakistan, pengetahuan cetek dan salah anggap yang meluas mengenai asma dan rawatannya mengakibatkan pengurusan penyakit itu tidak dapat dijalankan dengan teratur.

Aziah menekankan, pendidikan asma bukan sahaja penting untuk seseorang itu didiagnosis malahan setiap orang yang terlibat dalam kehidupan pesakit berkenaan memandangkan asma kini dianggap sebagai satu keadaan kronik.

"Pendidikan atau pembelajaran mengenai penyakit itu sendiri, membolehkan jumlah pesakit yang masuk hospital dan lawatan ke bilik kecemasan akibat asma boleh diminimumkan. Pendidikan asma boleh membantu pesakit memahami akan pentingnya memeriksa kapasiti paru-parunya dengan kerap," jelas beliau.


PERBEZAAN antara paru-paru individu sihat (kiri) dan penghidap asma.


Aziah berkata, pada satu ketika dahulu, kanak-kanak atau orang dewasa yang menghidap asma dilarang sama sekali menyertai sukan dan diminta supaya berehat sahaja.

Hari ini bekerja dan bersukan banyak membantu seorang kanak-kanak atau dewasa yang menghidap asma untuk terus hidup sihat, mengekalkan berat badan sihat dan berseronok.

Malahan, beliau berkata, ia sebenarnya boleh menguatkan otot pernafasan dan membantu paru-paru untuk bekerja kuat.

Pada 1996, hampir 17 peratus daripada atlet Olimpik Amerika Syarikat (AS) menghidap asma dan 30 peratus daripada mereka memenangi pingat, dan satu pertiga daripada pasukan renang Australia adalah pesakit asma. - Bernama


--- KOSMO

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...