PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Monday, December 13, 2010

Tibi: Tuberkulosis Ekstrapulmonari



Bahagian kedua

TIBI ekstrapulmonari (luar paru-paru) berpunca daripada penularan kuman tibi melalui darah. Tibi ekstrapulmonari ialah jangkitan yang menyerang mana-mana bahagian badan yang di luar paru termasuk selaput paru-paru.

Tibi ekstrapulmonari boleh menjangkiti mana-mana sahaja bahagian badan termasuk:
- Larinks kelenjar
- Selaput paru-paru jantung
- Usus hati
- Peritoneum otak dan selaput otak
- Tulang kulit

Tibi laringitis pula adalah akibat daripada perebakan kuman tibi secara terus dari paru-
paru melalui bronkus, trakea dan ke larinks.

Risiko untuk mendapat jangkitan daripada pesakit tibi laringitis adalah sangat tinggi kerana getaran peti suara mengeluarkan berjuta-juta kuman tibi secara aerosol ke udara..

* Tibi kelenjar

Kelenjar yang paling biasa diserang tibi ialah kelenjar (limfa) di bahagian leher. Simptom utama ialah kebengkakan pada kelenjar leher secara perlahan-lahan tanpa rasa sakit.

Masa beberapa minggu akan berlalu apabila pesakit mula perasan bengkak di lehernya. Kurang daripada 20 peratus pesakit mengalami simptom lain seperti berat badan menurun, demam, kurang selera makan, penat atau rasa sakit.

Jika bengkak limfa ini dibiarkan begitu sahaja tanpa rawatan, ia akan menjadi kronik dan pesakit hanya akan berjumpa doktor apabila limfa bernanah dan pecah atau terbentuknya sinus yang mengeluarkan nanah tidak berhenti.

Jika kelenjar yang terlibat adalah di bahagian sisi trakea atau sisi bronkus, pesakit dewasa akan mengalami simptom seperti kurang selera makan, turun berat badan, demam, sakit dada kronik, letih atau tiada simptom langsung, tetapi terdapat kelainan dalam imej imbasan sinar-X dada.

Bagi kanak-kanak pula, simptom adalah berkaitan dengan tibi di dalam bronkus, di mana simptom utama adalah batuk yang sangat teruk.

Apabila bronkus tersumbat secara perlahan-lahan, nafas kanak-kanak akan berbunyi, berlakunya sesak nafas, dan seterusnya kegagalan pernafasan akibat saluran pernafasan tersumbat dan paru-paru tidak boleh mengembang.

* Jangkitan tibi berlainan

- Radang pada selaput paru-paru (pleuritis) menyebabkan cecair selaput paru-paru bertambah (pleural effusion). Jika tidak dirawat, ini boleh bertukar menjadi nanah (empyema).
Satu lagi komplikasi tibi pleuritis ialah pengumpulan angin antara dua selaput paru-paru dipanggil pneumotoraks. Pesakit boleh mengadu sesak nafas, sakit dada atau sakit di dada semasa menarik nafas.

- Tibi usus pula biasanya disebabkan oleh kuman tibi dari kahak yang ditelan. Tempat jangkitan yang paling utama di usus ialah di kawasan ileoceal dan perirektal.
Rasa sakit di bahagian-bahagian tersebut juga boleh menyerupai sakit apendiks atau kanser usus besar. Tibi peritoneum (ruang abdomen) boleh membentuk cecair serus di dalam kaviti peritoneum dan perut kelihatan buncit disebabkan cecair.

- Tibi selaput otak (meningitis) mengakibatkan terbentuk lebihan cecair di dalam selaput otak, hasilnya ventrikel otak mengembang dan boleh tersumbat. Ini dikenali sebagai hidrocephalus (hidro-air, cephalus-kepala).

- Tibi otak. Jangkitan kuman tibi pada otak boleh menyebabkan otak membengkak dan saraf-saraf penting di bahagian bawah otak terhimpit mengakibatkan mata kabur, mata juling dan pandangan menjadi dua (double vision). Ujian tomografi berkomputer (computerised tomography atau CT) otak akan menunjukkan kehadiran tuberkuloma.

- Tibi selaput jantung. Ini boleh menyebabkan terkumpul cecair di dalam selaput jantung dan jika terlalu banyak ia menghalang jantung daripada berdenyut, dipanggil constrictive pericarditis.
Pesakit mungkin mengadu sesak nafas, kaki boleh membengkak dan pesakit tidak boleh baring dan terpaksa tidur dalam keadaan duduk. Ini adalah suatu keadaan kecemasan dan cecair perlu dikeluarkan dengan segera, jika tidak jantung boleh berhenti berdenyut dan membawa maut.

- Buah pinggang adalah organ yang mempunyai banyak pengaliran darah, oleh yang demikian jangkitan melalui darah ke orang berkenaan adalah agak biasa. Tempat-tempat yang boleh dijangkiti ialah ginjal, saluran buah pinggang dan pundi air kencing.
Disebabkan saluran buah pinggang adalah halus, keadaan radang kepada kuman tibi menyebabkan saluran ini tersumbat dan jika tidak dirawat boleh menyebabkan air kencing dari ginjal tersumbat dan pesakit tidak membuang air kecil. Ini boleh berakhir dengan kegagalan buah pinggang.

- Tibi juga boleh menjangkiti bahagian alat kelamin lelaki pada prostat dan ependidimis sementara alat kelamin wanita di saluran (tiub) falopian dan bahagian rahim, kedua-duanya boleh mengakibatkan kemandulan.

- Tibi tulang paling biasa berlaku pada tulang belakang dan bahagian tulang yang besar seperti di lutut dan tulang pinggul.

* Diagnosis tibi ekstrapulmonari

Spesimen dari bahagian yang disyaki terlibat akan diambil untuk ujian sapuan terus pewarnaan AFB (acid-fast bacilli) dan untuk dikulturkan. Spesimen yang dimaksudkan boleh diambil dari:
- darah aspirasi kelenjar
- cecair paru-paru cecair peritoneum
- cecair sendi cecair jantung
- cecair selaput otak aspirasi bronkus
- air tulang sum-sum

Ujian biopsi juga boleh dilakukan untuk memastikan tiada penyakit lain seperti barah limfa, leukaemia dan barah-barah yang lain pada bahagian yang dijangkiti.

Biopsi boleh dilakukan pada:

* Limfa
* Selaput paru-paru
* Selaput jantung jika pesakit tidak menunjukkan tanda-tanda pulih apabila dirawat
* Rawan sendi atau tulang
* Prosedur Pleuroskopi
Ini adalah prosedur yang digunakan untuk mendiagnosis dan merawat masalah pengumpulan cecair atau angin yang berada di ruang selaput paru-paru.

Pesakit diberi ubat bius supaya tidak berasa sakit dan tidak sedar semasa prosedur dijalankan. Pesakit akan dibaringkan ke sisi dan alat pleuroskop akan dimasukkan melalui hirisan (potongan) kecil yang dibuat pada sisi dada, di antara tulang rusuk.

Cecair berlebihan, nanah atau darah akan dikeluarkan kesemuanya menggunakan alat pleuroskop.
Ruang selaput paru-paru akan kelihatan lebih jelas apabila cecair dan sebagainya telah dikeluarkan. Ruang paru-paru dan kedua-dua selaput paru-paru kemudian akan diperiksa.

Jika terdapat apa-apa yang tidak normal, biopsi akan dilakukan untuk ujian lanjut. Semua bahagian yang melekat juga akan cuba dileraikan.

Setelah itu, satu tiub akan dimasukkan ke ruang tulang rusuk di bawah tempat pleuroskop dimasukkan tadi. Prosedur ini biasanya hanya mengambil masa satu hingga satu setengah jam.

* Rawatan tibi ekstrapulmonari

Secara umumnya, rawatan untuk tibi ekstrapulmonari adalah sama dengan tibi pulmonari.

Perbezaannya cuma pada jangka masa rawatan. Jumlah jangka masa rawatan dipanjangkan dari enam bulan ke sembilan bulan atau satu tahun bergantung kepada jenis tibi.

Rawatan menggunakan kortikosteroid diberi untuk penyakit tibi yang menyerang bahagian-bahagian di mana ruang adalah kecil dan boleh tersumbat disebabkan oleh keradangan.

Kortikoteroid diketahui boleh mengurangkan dan mengawal keradangan dan boleh digunakan untuk tibi pada bahagian:
- Jantung dan selaput jantung
- Otak dan cecair otak
- Genitourinari (buah pinggang, alat kelamin)

Rawatan adkjunktif seperti pembedahan jarang dilakukan untuk penyakit tibi ekstrapulmonari. Pembedahan untuk tibi di selaput jantung kadang-kala terpaksa dilakukan supaya cecair boleh dikeluarkan untuk memudahkan jantung berdenyut. Kajian menunjukkan rawatan ini mengurangkan kematian dan kadar sembuh yang lebih pantas.

Saraf yang terhimpit akibat tibi tulang belakang pula perlu dilegakan dengan pembedahan di bahagian tulang tersebut kerana jika tidak dilakukan, saraf tulang belakang mungkin mengalami kerosakan berkekalan dan pesakit berkemungkinan lumpuh.

Nanah di bahagian abdomen yang banyak boleh dikeluarkan melalui pembedahan kerana rawatan pengubatan tidak boleh sampai ke kawasan tersebut.

* Kesimpulan

Semua organ di dalam badan boleh dijangkiti oleh kuman tibi melalui saluran darah tetapi semua tibi ekstrapulmonari, melainkan pada bahagian larinks, tidak berjangkit dan pesakit tidak perlu diasingkan.

Sesetengah rawatan bagi tibi ekstrapulmonari mengambil masa lebih panjang iaitu antara sembilan bulan hingga ke setahun berbanding tibi pulmonari.

Ada tibi ekstrapulmonari seperti di bahagian otak dan jantung yang boleh membawa maut jika tidak dirawat dari peringkat awal.

Kaedah rawatan pengubatan boleh disusuli atau disertai dengan rawatan prosedur invasif jika membahayakan nyawa pesakit, seperti berlakunya empyema, hidrocephalus atau konstirktif perikarditis.

Rawatan pengubatan berpanjangan hendaklah diawasi dengan DOT (directly observed therapy) bagi memastikan pesakit mengambil ubat mengikut arahan doktor.

- Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...