PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Sunday, May 27, 2012

Paru-paru bernanah


ASMA dan selesema berisiko menyebabkan jangkitan virus pembawa pneumonia.


PELAWAK terkenal, Allahyarham Bob Kuman atau Husni Mohd. Rawi, 41, meninggal dunia baru-baru ini kerana dipercayai menghidap masalah paru-paru berair.

Pakar Perunding Perubatan Pernafasan dan Perubatan Am, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Sundari K. Ampikaipakan menjelaskan, penyakit paru-paru berair atau pneumonia boleh menyebabkan batuk, demam dan kesukaran bernafas.

Tambahnya, punca utama jangkitan penyakit pneumonia dalam kalangan masyarakat adalah disebabkan bakteria yang dikenali sebagai Klebsiella pneumonia atau Streptococcus pneumonia.

Sundari menjelaskan, pesakit yang dijangkiti pneumonia peringkat sederhana akan bertambah baik dan pulih dalam tempoh tiga hingga lima hari selepas dirawat dengan antibiotik.

“Keletihan dan batuk ringan boleh berkekalan selama enam minggu tetapi pesakit boleh memulakan aktiviti harian seperti biasa dalam tempoh seminggu.

“Begitupun, pesakit yang memerlukan rawatan hospital selalunya akan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih,” ujarnya.

Tambah Sundari, pneumonia boleh menjadi semakin buruk bagi pesakit yang tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi.

Antara risiko tersebut ialah pengumpulan cecair pada paru-paru dan lapisan dalam dinding dada yang boleh dijangkiti.

Selain itu, katanya, pengumpulan nanah di kawasan paru-paru yang dijangkiti pneumonia selalunya memerlukan rawatan antibiotik berterusan manakala pembedahan membuang nanah merupakan langkah terakhir.

Dalam pada itu, Sundari berkata, jangkitan paru-paru juga mampu merebak kepada organ dalaman yang lain.

Ditanya apakah seseorang pesakit pneumonia berisiko untuk menemui ajal, Sundari menjelaskan, kebanyakan pesakit akan sembuh daripada radang paru-paru. Begitupun, antara 5 hingga 10 peratus mangsa mempunyai risiko maut khususnya bagi golongan yang berusia lebih 65 tahun.

“Golongan ini selalunya kekurangan gizi disebabkan faktor usia atau kurang akses pada makanan.

“Selain itu, mereka yang mempunyai penyakit paru-paru seperti asma, kuat merokok, bronkitis kronik atau emfisema, sejarah diabetes dan penyakit jantung juga mempengaruhi jangkitan pneumonia,” ujarnya.

Tambah beliau, kebanyakan pesakit akan pulih sepenuhnya tetapi mereka selalunya akan mengalami kepenatan serta keletihan untuk beberapa bulan.

Jangkitan itu turut meninggalkan parut kekal dalam paru-paru yang mungkin memberi kesan jangka panjang seperti hilang keupayaan fungsi paru-paru. 

Sundari menambah, antibiotik menjadi kunci rawatan pneumonia dan kebanyakan pesakit boleh dirawat dari rumah dengan antibiotik jenis tablet.

Beliau menjelaskan, walaupun menghidap penyakit paru-paru berair, pesakit selalunya tidak ditegah untuk meminum air dalam jumlah yang banyak. 

“Susah untuk mencegah jangkitan pneumonia tetapi amalan kerap mencuci tangan dengan sabun dan air atau pencuci tangan berasaskan alkohol boleh membantu mengurangkan serangan pneumonia .

“Sentuhan turut menyumbang jangkitan pneumonia, justeru menutup mulut dan hidung setiap kali batuk atau bersin boleh membantu mengekang penularan pneumonia,” katanya.

Beliau menambah, pneumonia tidak hanya menyasarkan warga tua.

“Ia sebenarnya boleh menjejaskan mana-mana kumpulan umur,” katanya.

--- KOSMO

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...