PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Friday, January 21, 2011

Penjagaan oral

ARKIB : 20/01/2011

Perunding Oral Care, Lee Chu Hoong (kanan), menunjukkan demonstrasi memberus gigi dengan cara yang betul kepada adik Atiqah Maisara.


Mengapa perlu bersusah payah menjaga gigi susu sedangkan ia akan luruh juga? Mungkin itu antara alasan yang terlintas di kotak fikiran ibu bapa apabila diberitahu akan kepentingan penjagaan gigi anak kecil mereka.

Kepentingan penjagaan gigi susu, sebenarnya berkait rapat dengan peranan penting yang dimainkan oleh gigi itu sendiri.

Ketua Jabatan Pergigian Padeatrik, Institut Pediatrik, Hospital Besar Kuala Lumpur, Dr Noraini @ Nun Nahar Yunus berkata, antara fungsi gigi susu ialah membantu pengunyahan makanan, membantu sebutan dan pertuturan serta membentuk keyakinan diri kanak-kanak.

Ujarnya, peranan paling penting gigi susu ialah menyediakan ruang yang cukup dan sejajar untuk pertumbuhan gigi kekal serta memastikan perkembangan rahang yang sempurna.

"Gigi susu yang rosak atau tanggal sebelum waktunya akan menyebabkan ruang dan laluan untuk pertumbuhan gigi kekal tertutup, sekali gus menjadikan kedudukan gigi yang bakal tumbuh tidak sempurna," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya.

Jelasnya, secara semulajadi gigi susu pertama mula luruh sekitar usia enam tahun, namun jika ia luruh terlalu awal, gigi-gigi yang lain boleh tertolak masuk ke dalam ruang kosong yang terbentuk dan menghalang gigi kekal untuk tumbuh di lokasi yang betul.

Pendek kata, penjagaan gigi susu yang baik amat penting bagi memastikan kedudukan gigi kekal yang rata atau tidak berlapis.

Noraini mencadangkan agar ibu bapa mula mengambil berat penjagaan oral anak mereka seawal usia bayi lagi menerusi pemeriksaan gigi berkala sebaik sahaja gigi pertama bayi mereka tumbuh.

Sebaik-baiknya, ibu bapa hendaklah memupuk tabiat membersihkan gigi dan gusi bayi selepas setiap kali makan secara memberus atau menggunakan kain kasa lembut agar penjagaan gigi menjadi sebahagian daripada rutin harian anak.

"Cara memberus gigi anak yang betul ialah menggunakan berus gigi paling lembut dan saiz kecil, ubat gigi berflorida serta mengangkat bibir supaya gusi dan leher gigi dapat dibersihkan.

"Ramai ibu tidak menyedari bahawa selain makanan manis, susu ibu dan susu formula adalah penyebab karies gigi di kalangan kanak-kanak.

"Gula ringkas dalam susu akan diuraikan secara semulajadi oleh bakteria di dalam mulut manusia melalui proses penapaian menjadi asid laktik yang akan menurunkan paras pH dalam mulut serta melarutkan permukaan gigi," jelas beliau.

Beliau juga menasihati ibu bapa agar tidak mencampurkan gula atau susu pekat manis ke dalam susu atau minuman bayi sebaliknya menggalakkan bayi yang telah tumbuh gigi diberikan air kosong selepas makan.

Tetapi bagaimana pula jika anak kecil berdegil mahukan makanan manis?

"Pemberian makanan manis termasuk gula-gula, coklat, biskut dan roti krim perlu dihadkan semasa waktu makan sahaja.

"Makanan manis yang diberi sebagai snek mudah lekat terutama di celah-celah permukaan gigi, menyukarkan pembersihan gigi dan menyebabkan asid sentiasa terbentuk dalam mulut bayi, sekali gus melarut dan mereputkan gigi susu," katanya.

Namun, Noraini mencadangkan, adalah lebih baik sekiranya anak-anak tidak diperkenalkan dengan makanan sebegitu.

Jangan beli atau simpan stok snek sebegini di dapur rumah, tetapi sebagai alternatif, ibu bapa boleh menyediakan keropok atau potongan buah-buahan sekiranya anak-anak mahu snek di antara waktu makan.

"Lagipun, tabiat suka manis di kalangan rakyat Malaysia adalah tabiat yang dipelajari sejak kecil bukannya semulajadi," katanya. - Bernama

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...