PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Saturday, February 26, 2011

PCV7 cegah pneumokokal

Kesihatan kanak-kanak merupakan satu khazanah negara yang tidak ternilai.


USAHA untuk mencegah risiko dan bahaya pneumokokal hendaklah dimulakan dari awal. - Gambar hiasan


IBU bapa sentiasa mengharapkan kesihatan yang baik bagi anak-anak mereka. Berdasarkan kepada faktor itulah, Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) dengan kerjasama WyethAID melancarkan kempen pendidikan seluruh negara yang bertajuk Anugerah Kasih Sayang, Jaga Kesihatan Anak-anak Kita dan Vaksin Mereka daripada Penyakit Pneumokokal (PnD).

Kerjasama ini dibuat untuk mendidik ibu bapa di Malaysia tentang risiko dan bahaya penyakit ini yang boleh dicegah melalui vaksin PCV7. Sejajar dengan usaha yang dilakukan ini, semua hospital bersekutu di Malaysia akan menganjurkan Minggu Kesedaran Pneumokokal yang meliputi program seperti forum dan pameran awam bagi menyedarkan ibu bapa dan bakal ibu bapa tentang bahaya penyakit tersebut.

Antara badan-badan dan hospital yang terlibat ialah Columbia Asia, Demc, KPJ Healthcare, Hospital Pantai, Prince Court, Hospital Pusrawi, Pusat Perubatan Subang Jaya dan Pusat Perubatan Sunway.

PnD berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman pneumokokus atau streptokokus pada organ di dalam tubuh kanak-kanak. Jangkitan yang berlaku pada saluran pernafasan akan menyebabkan jangkitan kuman dalam darah, keracunan dalam darah, jangkitan bakteria dalam membran tulang belakang dan pneumonia.


DR. ZULKIFLI ISMAIL


Jika kuman pneumokokes atau streptokokus merebak dari dalam hidung ke bahagian atas saluran pernafasan, ini akan menyebabkan berlakunya gejala pneumonia atau radang paru-paru. Jangkitan ini boleh membawa maut, otitis media akut atau radang pada bahagian tengah telinga yang mencatat kes sebanyak 500,000.

Sebanyak 250,000 kes cenderung kepada situasi otorrhea kronik iaitu lelehan nanah berjangkit ke dalam saluran telinga, 750 kes PnD bacteremia atau jangkitan darah pula menyebabkan 15 hingga 20 kematian yang dijangka.

Akibatnya, kanak-kanak yang menghidap penyakit ini akan kehilangan pendengaran, kesukaran belajar, lambat bercakap, sukar untuk berjalan dan apa yang menyedihkan lagi, ia boleh membawa maut.

Kanak-kanak mudah terdedah dengan penyakit ini melalui keadaan persekitaran di sekeliling mereka.

PnD merupakan penyebab utama kematian dalam kalangan kanak-kanak yang berusia lima tahun di seluruh dunia. Bagaimanapun, mengikut kaji selidik global, hanya 31 peratus ibu bapa sedar akan kewujudan PnD.

Melalui kempen pendidikan penyakit ini, ibu bapa mesti menjadi lebih proaktif bagi melindungi anak-anak mereka daripada PnD. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan kematian lebih satu juta kanak-kanak bawah umur lima tahun berlaku di setiap negara-negara yang sedang membangun.

Sementara itu, seorang pakar pediatrik di Pusat Perubatan Selangor dan Presiden MPA, Datuk Dr.Zulkifli Ismail menjelaskan, kanak-kanak yang dilindungi dan sentiasa sihat akan menikmati pertumbuhan mental yang lebih baik, di samping mempunyai kecemerlangan dalam hidup.

Penyakit ini sukar dikesan. Sebagai contohnya, ada cecair yang keluar dari telinga tetapi penyakit ini tidak akan dapat dikesan seandainya ia tidak diperiksa secara terperinci.

Penggunaan ubat untuk merawat pengeluaran cecair ini pula menyebabkan jangkitan pneumokokal sukar dikenal pasti.

Banyak faktor menyebabkan peningkatan risiko kanak-kanak mendapat jangkitan ini. Antaranya, bayi yang baru lahir sehingga berusia dua tahun mempunyai risiko yang paling tinggi kerana kandungan antibodi pneumokokus yang rendah.

Selain itu, masalah kekurangan imun kongenital turut meningkatkan risiko jangkitan di mana seseorang itu mempunyai daya tahan yang lemah.

Vaksin 7-valent pneumokokal konjugat (PCV7) boleh mencegah 57 peratus hingga 91 peratus kes penyakit pneumokoki invasif (IPD) dalam kalangan kanak-kanak yang berusia bawah dua tahun.

Vaksin PCV7 ini merupakan kaedah paling berkesan untuk mencegah PnD.

Harga terkini vaksin itu ialah RM300 untuk satu dos yang boleh didapati di hospital bersekutu yang disenaraikan.

Sementara itu, Pakar Pediatrik dan Neonatologi, Datuk Dr. Musa Mohd Nordin, menjelaskan betapa seriusnya risiko dan akibat PnD terhadap kehidupan bayi dan kanak-kanak.

"Saya menggesa semua ibu bapa mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengelak masalah ini dan membantu mereka menjalani hidup yang lebih normal," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...