PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Thursday, July 5, 2012

Jangan remehkan penyakit sinus

Keadaan sinus di dalam hidung.

MIOR Muhammad Hezri Abdul Rahim, 27, merasakan seperti ada sesuatu dalam hidungnya. Lebih menakutkan, hidungnya tiba-tiba mengeluarkan darah.

"Selang tiga hari, kepala saya berasa sangat sakit. Sakit itu kemudiannya berpindah ke rahang. Mata saya pula berair," ujarnya yang mengalami simptom berkenaan pada Oktober tahun lepas.

Hezri kemudian berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Awalnya dia hanya disahkan mengalami pendarahan biasa tetapi selepas tiga hari, keadaan kesihatannya masih sama.

Tidak tahan dengan sakit, Hezri tekad berjumpa doktor pakar tekak, hidung dan telinga (ENT).

"Saya disahkan menghidap penyakit sinus dan terdapat ketumbuhan sinus di sebelah kiri hidung saya.

"Ia menghalang pernafasan saya. Saya juga mengalami gangguan tidur seperti mudah terjaga," luahnya.

Masalah yang sama turut dialami Fatimah Majid, 65.

"Akibat ketumbuhan dalam hidung, saya susah untuk bernafas. Dulu saya tidak kisah tetapi lama-kelamaan berasa rimas," ujarnya.

Fatimah pernah mengambil ubat yang disarankan doktor dan penyakit itu hilang sekejap namun kembali serius menyebabkan hidungnya tersumbat.

"Bukan sahaja suara menjadi sengau, saya rasa tidak selesa ketika menjalankan ibadat seperti mengaji al-Quran dan bersolat," katanya.

PembedahanMungkin bagi anda masalah ini biasa. Namun, ia tidak harus dipandang remeh kerana boleh mengganggu aktiviti harian.

Kini, Hezri dan Fatimah amat bersyukur apabila dipilih antara lima pesakit kurang mampu dari Hospital Kuala Lumpur dan Ipoh untuk menjalani pembedahan Balloon Sinuplasty di Prince Court Medical Centre.

Pembedahan itu menggunakan teknik terkini berbanding kaedah biasa. Ia dilakukan secara percuma menerusi program tanggungjawab sosial korporat hospital berkenaan.

Pakar ENT hospital itu, Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, Balloon Sinuplasty (BS) adalah kaedah baru yang menyaksikan sejenis alat dikenali sebagai ''balloon'' dimasukkan ke dalam hidung bagi membuka sinus.

Pembedahan itu disaksikan lebih 100 doktor termasuk pakar bedah dari negara ASEAN, Amerika Syarikat dan Eropah yang menyertai Sidang Kemuncak Tahunan Rinologi pada Februari lalu.

''Hasil kajian yang dijalankan mendapati penggunaan belon halus berkenaan mampu membuka rongga liang sinus yang sempit dan tersumbat serta yang sukar dengan lebih selamat," ujarnya.

Tambah Dr. Kuljit, jika kaedah pembedahan biasa, tempoh untuk pulih di antara satu hingga dua minggu, dengan kaedah BS, pesakit biasanya boleh kembali bekerja dalam masa 24 jam atau 48 jam selepas pembedahan.

" Hasil kajian juga menunjukkan pesakit yang menjalani kaedah BS kurang atau tidak langsung mengalami sakit selepas pembedahan dan simptom-simptom sinusitis juga hilang dengan cepat," katanya.

Dalam pada itu, Hezri dan Fatimah yang dihubungi beberapa hari selepas pembedahan bersyukur kerana pembedahan tersebut berjaya.

"Saya kini boleh bekerja seperti sedia kala. Tiada lagi gangguan tidur waktu malam," ujar Hezri.

Fatimah pula gembira kerana dapat menjalankan ibadat pada usia emas dengan sempurna.

"Jika dulu, nak sujud pun susah. Seperti ada sesuatu mengalir dari hidung. Kini ia seolah-olah hilang," katanya.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...