KUALA LUMPUR (Bernama) -- Insiden tragis melibatkan seorang anggota polis yang menembak mati isteri dan bapa mentuanya sebelum membunuh diri baru-baru ini di Ledang, Johor, menunjukkan soal tekanan mental yang dialami anggota keselamatan tidak boleh dipandang remeh.
Tekanan jiwa yang dihadapi mereka, baik dalam soal peribadi mahupun profesion wajar diberi perhatian bagi memastikan mereka tidak mengalami stres kritikal sehingga mengambil tindakan di luar jangkaan.
Ini apabila membabitkan mereka dalam pakaian seragam biru, akibatnya sangat berbahaya memandangkan mereka memegang senjata api.
JELAS SEKALI
Satu hasil kaji selidik yang pernah dijalankan dari tahun 2007 hingga 2009 oleh Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati 53.7 peratus daripada 453 anggota pasukan keselamatan di enam balai polis di Wilayah Persekutuan mengalami stres tempat kerja.
Angka itu menunjukkan polis berada di kedudukan teratas mengatasi enam organisasi lain, iaitu bomba (47.3 peratus), guru (45.8 peratus), jururawat (42.3 peratus) serta doktor (40.7 peratus).
Hasil kajian itu juga menunjukkan 61.1 peratus anggota polis berpangkat sarjan ke atas mengalami kadar stres lebih tinggi berbanding anggota biasa, iaitu koperal dan konstabel dengan peratusan masing-masing 56 peratus dan 51.3 peratus.
CONTOH KES
Insiden di Johor itu bukan pertama kali direkodkan. Dalam satu lagi kejadian menyedihkan pada 26 April 2012, Konstabel Mohamad Sobri Md Sidik, 22, yang bertugas di Istana Anak Bukit, Kedah, maut di tepi pintu pagar Istana itu akibat ditembak rakan setugas dipercayai akibat perselisihan faham.
Manakala pada April 2011, seorang konstabel ditemui mati dengan satu kesan tembakan di kepala dalam biliknya di kuarters balai polis Salak Selatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Manakala pada Feb 2011 seorang sarjan juga ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala di Jalan Mahang, Puncak Alam 2, Selangor.
Pada Disember 2009, seorang sub inspektor pula ditemui mati dengan kesan tembakan di pejabat cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu. Dalam ketiga-tiga kejadian itu tekanan jiwa kerana masalah keluarga atau kerja tidak dapat ditolak.
Malah baru-baru ini juga Mahkamah Tinggi memerintahkan seorang konstabel untuk membayar ganti rugi sebanyak RM585,000 kepada bekas isteri dan abang iparnya kerana kecederaan yang dialami mereka selepas ditembak lelaki itu tiga tahun lepas di Pantai Dalam.
Kesemua kejadian itu jelas menunjukkan bahawa isu tekanan mental anggota polis perlu diberi perhatian serius termasuk dengan melaksanakan pemeriksaan kesihatan mental menyeluruh serta mengambil langkah pencegahan dan pemulihan bagi mengelak perkara tidak diingini.
WUJUDKAN UNIT KAUNSELING
Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye baru-baru ini menyarankan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewujudkan sebuah unit khas kaunseling di setiap ibu pejabat polis kontinjen (IPK) bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan anggotanya.
Lee yang juga anggota Majlis Penasihat Penggalakkan Kesihatan Mental berpendapat bahawa masalah mental perlu ditangani sebaik mungkin bagi mengelakkan mana-mana anggota pasukan keselamatan melakukan tindakan di luar batasan.
Unit kaunseling atau psikologi bertindak sebagai pencegahan awal dengan memberi nasihat, pandangan serta mampu mengenali tanda-tanda masalah mental yang dihadapi anggota.
Buat masa ini memang telah wujud Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) di setiap kontinjen, namun peranan unit ini terlalu umum dan tidak memberi pengkhususan kepada masalah mental semata-mata, kata Lee.
Menjawab mengenai itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah mewujudkan unit kaunseling itu wajar dipertimbang bagi meningkatkan prestasi dan produktiviti anggota pasukan.
Beliau turut mencadangkan agar jawatan kaunselor atau doktor pakar kesihatan mental diwujudkan bagi tujuan itu.
"Saya bersetuju dan ianya merupakan suatu cadangan yang disambut baik.
"Saya melihat kewujudan unit khas itu perlu, selari dengan bebanan kerja yang bertambah yang mungkin boleh menyebabkan timbul isu tekanan mental di kalangan anggota," katanya kepada Bernama.
PERKETAT PROSES PENGAMBILAN
Dalam pada itu, Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar pula mencadangkan agar PDRM memperketatkan proses pengambilan anggota dengan menyelitkan ujian psikologi atau stres bagi mengesan peringkat awal masalah kesihatan mental yang adakalanya disebabkan keturunan.
"Sebelum pengambilan anggota, adalah perlu dibuat pemeriksaan latar belakang dan juga 'stress test' atau ujian tertentu oleh pakar bagi memastikan mereka tidak mempunyai masalah daripada segi mental kerana tugas kepolisan ini amat mencabar dan menuntut ketahanan mental dan fizikal.
"....jika dari awal didapati mereka tidak mampu untuk menangani stres, sudah tentu mereka tidak sesuai untuk menyarung uniform biru," katanya.
Bagaimanapun, bagi anggota sedia ada, PDRM perlu memperbanyakkan latihan atau aktiviti seperti kursus ketenangan jiwa dan kursus mengatasi stres yang direka khas bagi menangani masalah suasana kerja dan kehidupan yang menekan.
Selain itu, Akhbar juga mencadangkan supaya diwujudkan unit khas kaunseling.
"Anggota polis yang berasakan mereka mempunyai masalah pula perlu bersikap lebih terbuka untuk ke kaunseling...ada anggota yang mungkin tidak mahu dan segan suarakan tekanan yang dihadapi mereka membuatkan apa yang disimpan itu akhirnya 'meletup' dan berlaku sesuatu di luar jangkaan," katanya.
PUNCA STRES
Dalam pada itu beliau berkata kadar masalah mental di kalangan anggota polis sebenarnya belum mencapai tahap serius tetapi kelihatan seperti ramai yang terlibat disebabkan bilangan keanggotaannya yang semakin bertambah.
"Bagaimanapun, ia perlu diberi perhatian segera dan dicari jalan penyelesaian terbaik supaya masalah seperti kemurungan, penyakit mental dan gangguan jiwa dapat dielakkan agar insiden di luar jangkaan tidak berulang," katanya.
Akhbar berkata stres yang dihadapi anggota polis berpunca kerana tiga sebab utama, iaitu profesion kepolisan, peraturan atau polisi yang ketat dalam organisasi serta masalah individu itu sendiri.
"Mungkin ada kerana keturunan meskipun kebanyakkannya atas faktor alam sekeliling seperti bebanan tugas yang banyak kerana kekurangan nisbah anggota polis dan memerlukan masa yang cepat untuk menyelesaikan kes yang banyak, penangguhan kes di mahkamah selain berhadapan dengan persepsi negatif masyarakat terhadap polis.
"Ia juga mungkin kerana anggota itu menanggung banyak hutang selain tertekan dengan masalah keluarga seperti isteri yang mendesak, tabiat buruk diri, gaji yang kecil dan juga pengalaman buruk berhadapan dengan penjenayah yang mungkin menyaksikan rakan sepasukan terbunuh...ini semua mewujudkan stres," katanya.
Anggota polis yang mengalami stres dan terus mendiamkan masalah mereka, dikhuatiri boleh menghadapi masalah sakit jiwa berpanjangan dan mengakibatkan banyak perkara tidak diingini berlaku termasuk menyebabkan nyawa orang lain terancam.
PERTINGKAT PEMANTAUAN
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin pula baru-baru ini berkata PDRM akan mempertingkatkan pemantauan serta pemeriksaan kesihatan mental anggotanya bagi memastikan mereka yang mengalami tekanan perasaan dapat dibantu dari awal.
Beliau berkata langkah itu perlu dilaksana segera untuk memastikan tiada anggota atau warga PDRM hilang pertimbangan lalu bertindak di luar batasan, selain mencari jalan penyelesaian terbaik supaya kejadian seumpama itu tidak lagi berulang.
"Kita perlu membantu pegawai atau anggota yang berdepan masalah. Jika ada yang mengalami tekanan perasaan sebagai contoh, kena ada usaha untuk membantu menyelesaikan masalah itu," katanya.
Justeru adalah amat penting dalam usaha pasukan itu menjaga keselamatan negara dan awam, kesihatan mental warganya tidak sesekali diabaikan, sekaligus meningkatkan motivasi dan prestasi kerja mereka.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment