PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Thursday, March 20, 2014

Doktor Tempatan Digalakkan Guna Kaedah Pembedahan MIS

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan menggalakkan doktor di negara ini menggunakan kaedah pembedahan Tulang Belakang Minimal Invasif (MIS) bagi merawat penyakit berkaitan tulang belakang.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata MIS terbukti amat bermanfaat bagi pesakit berbanding kaedah pembedahan terbuka, terutama kerana ia menghasilkan tempoh penyembuhan yang lebih cepat.

"Pembedahan invasif minimal membantu mengurangkan kos dan tempoh pesakit perlu menjalani rawatan di hospital, mengurangkan kadar jangkitan dan mengurangkan kejadian kehilangan darah akibat pembedahan. Ia juga lebih baik dari segi kosmetik dan membolehkan bahagian berkenaan kembali berfungsi seperti biasa dengan lebih cepat," katanya.

Berucap pada majlis perasmian Kongres MIS Antarabangsa di sini hari ini, Subramaniam berkata beliau berharap semakin banyak doktor di negara ini mampu melakukan MIS.

"Bidang ini dipacu oleh teknologi kerana ia berorientasikan peralatan yang memerlukan ketepatan pembedahan dan sememangnya memerlukan kelengkapan baharu serta lebih baik. Doktor bedah perlu sentiasa berlatih menggunakan teknologi, sejajar dengan perkembangan terkini dan untuk meningkatkan kemahiran mereka," katanya.

Beliau berharap kongres anjuran Persatuan Tulang Belakang Malaysia (MSS) dan Persatuan Endoskopi Tulang Belakang Sedunia (WESS) itu akan dapat membantu menangani isu tersebut dengan kerjasama penuh kemenetrian itu.

Subramaniam berkata kerajaan, melalui Kementerian Kesihatan, sedar tentang keperluan rakyat apabila mendapati jumlah pesakit yang memerlukan penjagaan ortopedik terus meningkat setiap tahun.

"Kami membelanjakan banyak wang untuk latihan, pembangunan berterusan dan membeli kelengkapan seperti Sistem Pemantauan Tulang Belakang, Kelengkapan Navigasi dan meja pembedahan khas serta peralatan khusus yang diperlukan bagi menambah baik urusan penjagaan pesakit," katanya.

Beliau berkata kementerian itu membelanjakan lebih RM4 juta untuk membeli kelengkapan ortopedik pada tahun lepas.

Prosedur MIS menggunakan beberapa insisi kecil dan bukan satu lubang besar, manakala dua penyakit utama yang sering dirawat menggunakan kaedah ini ialah 'lumbar spinal stenosis' dan 'prolapsed intervertebral discs', yang lebih dikenali sebagai cakera teranjak, katanya.

Unit penjagaan tulang belakang khusus pertama di negara ini di Hospital Ipoh, pertama kali melakukan prosedur berkenaan pada tahun 2000, katanya.

Subramaniam berkata hospital lain yang kini melaksanakan prosedur serupa ialah Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Umum Sarawak and Hospital Sultanah Nur Zahirah Terengganu.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...