PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Monday, August 11, 2014

Penyusuan Ibu, Berjaya Kurangkan Kadar Kematian Kanak-kanak Di Malaysia

Oleh Siti Baaqiah Mamat

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Malaysia berjaya mengurangkan kadar kematian kanak-kanak bawah lima tahun sebanyak 85 peratus sejak 30 tahun lepas berikutan pelbagai inisiatif kerajaan dalam menggalakkan penyusuan ibu di negara ini.

Pakar Perunding Pediatrik Neonatologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Farah Inaz Syed Abdullah berkata penyusuan ibu merupakan kaedah terbaik mengurangkan risiko kematian bayi dan kanak-kanak kerana ia membekalkan zat dan imuniti yang membantu mengekalkan tahap kesihatan kanak-kanak sehingga dewasa.

"Jika kanak-kanak di seluruh dunia diberi penyusuan susu ibu dalam jangka 'waktu terpenting' iaitu pada jam pertama selepas dilahirkan, dianggarkan satu juta kematian kanak-kanak dapat dielakkan.

"Ini disebabkan susu ibu istimewa kerana mengandungi 'kolostrum' iaitu khasiat dalam imbangan yang betul bagi pertumbuhan bayi dan uniknya khasiat ini berubah mengikut keperluan bayi membesar," katanya kepada Bernama selepas Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat HKL di sini, baru-baru ini.

Dr Farah Inaz berkata kolostrum juga mengandungi antibodi yang mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit-birit, selesema dan radang paru-paru.

Lebih peting, ia bertindak sebagai imunisasi pertama bayi.

Sementara itu, Pakar dan Pensyarah Perubatan Kanan Obstetrik dan Ginekologi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Maiza Tusimin berkata penyusuan ibu juga dapat mengurangkan risiko Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS) yang selalunya disebabkan bayi tersedak susu.

"SIDS kerap berlaku kepada bayi yang minum susu formula melalui botol susu. Risiko ini boleh dikurangkan kerana penyusuan ibu diberi secara eksklusif dan penuh perhatian, selain kandungan susu ibu yang mengandungi enzim lipase yang dapat menghadamkan lemak secara semulajadi," katanya kepada Bernama.

Walaupun teknologi moden cuba meniru dan merumus susu formula agar menyamai susu ibu, beliau berkata sehingga kini khasiat dan kebaikan yang terkandung dalam susu ibu, sukar ditandingi.

Sementara itu, Ketua Pusat Pengeluaran Susu Negara Dr Noor Haliza Yussoff ketika ditemui Bernama berkata dalam menggalakkan penyusuan ibu, Kementerian Kesihatan telah mewujudkan Hospital Rakan Bayi sejak 1993.

Beliau yang juga Perunding Kanan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi HKL berkata kejayaan Malaysia mewujudkan Hospital Rakan Bayi itu turut diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 1998, sebagai negara ketiga di dunia selepas Sweden dan Oman yang berjaya mengakreditasi semua hospital kerajaan sebagai Hospital Rakan Bayi.

"Semua hospital kerajaan di Malaysia sudah mendapat status Hospital Rakan Bayi dan kita memastikan semua bayi yang dilahirkan tidak diberikan susu selain susu ibu semasa di hospital.

"Selain itu, kita juga mengajar ibu-ibu baru cara menyusukan bayi mereka dan bagaimana untuk memastikan penyusuan dapat diteruskan sehingga usia bayi mencecah enam bulan," katanya.

Ditanya mengenai kesedaran terhadap penyusuan ibu di Malaysia, Dr Noor Haliza berkata ia semakin meningkat, terutama selepas kaum ibu mengetahui kebaikan penyusuan ibu tidak hanya kepada bayi malah kepada diri sendiri.

Beliau berkata melalui penyusuan, ibu berupaya mengurangkan berat badan, mengurangkan risiko kanser payu dara, kanser ovari, kanser rahim (Endometrium) dan penyakit rapuh tulang (Osteoporosis) serta mengurangkan risiko kehamilan yang terlalu hampir.

"Kini kelibat wanita menyusukan anak dengan susu ibu boleh dilihat di mana-mana. Malah, ibu yang bekerjaya juga mengambil langkah bijak dengan menyimpan susu bagi simpanan anak mereka. Ini memberi petunjuk yang baik tentang tahap kesedaran masyarakat mengenai kebaikan susu ibu," katanya.

Setiap tahun, lebih 170 buah negara termasuk Malaysia menyambut Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang disambut dari 1 hingga 7 Ogos lepas, bertemakan "Penyusuan Ibu: Pencapaian Terunggul Satu Kehidupan".

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...