PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Saturday, May 30, 2020

Kes Chikungunya di Perak meningkat lebih 30 kali ganda

30/05/2020 02:56 PM


IPOH, 30 Mei  -- Sebanyak 454 kes Chikungunya direkodkan di Perak sejak Januari tahun ini hingga Sabtu lepas, meningkat lebih 30 kali ganda berbanding hanya 13 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak Datuk Dr Ding Lay Ming berkata berlaku peningkatan sebanyak 441 kes berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Daerah Kampar mencatatkan bilangan kes tertinggi pada tahun ini iaitu 157, diikuti dengan Daerah Larut Matang dan Selama (109 kes) manakala Kinta (99 kes). Dalam tempoh sama, Daerah Kinta menunjukkan peningkatan tertinggi bagi kejadian kes dan wabak Chikungunya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya terdapat 15 lokaliti wabak Chikungunya yang masih aktif dilaporkan termasuk satu lokaliti Wabak Tidak Terkawal iaitu tempoh wabak berlarutan melebihi 14 hari di Daerah Kinta.

Terdapat 14 lokaliti Wabak Terkawal iaitu tempoh wabak adalah 14 hari atau kurang dan Daerah Kinta mencatatkan 12 lokaliti dan dua lokaliti di Daerah Kampar.

Dr Ding berkata tiada kematian direkodkan akibat penyakit Chikungunya yang dilaporkan sehingga kini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati punca utama perebakan jangkitan Chikungunya adalah kerana indeks pembiakan Aedes yang tinggi di lokaliti-lokaliti terbabit.

“Antara tempat pembiakan nyamuk Aedes yang ditemui adalah di longgokan sampah haram, di lot kosong terbiar seperti premis atau rumah kosong yang tidak berpenghuni terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Sebanyak 4,969 bekas positif pembiakan nyamuk Aedes ditemukan semasa pemeriksaan, katanya lagi. 

Katanya Jabatan Kesihatan dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melaksanakan pelbagai usaha bagi membendung kejadian Chikungunya antaranya menjalankan pemeriksaan dan penghapusan tempat pembiakan di premis-premis persendirian, perniagaan dan tanah lapang. 

Dr Ding berkata 749 kompaun dan 116 notis pembersihan dikeluarkan di bawah Seksyen 8 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 terhadap pemilik premis yang membiak Aedes, setakat tahun ini.

“Selain itu, pendidikan kesihatan diberikan kepada penduduk setempat menggunakan media sosial dan siar raya semasa PKP dan ketika aktiviti kawalan dilaksanakan oleh PKD malah melaksanakan aktiviti  larvisid, semburan ruang termal (SRT) dan ‘semburan ultra low volume’ (ULV) di semua lokaliti berwabak dan berpotensi wabak di negeri Perak,” katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...