PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Thursday, December 16, 2010

HFMD: Penyakit jangkitan virus



RUAM bersama lepuh pada tangan.



Oleh SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

ANAK anda mengalami demam panas. Dia juga menjadi seorang yang cukup cerewet dan sering menangis. Air liurnya meleleh dan dia tidak berselera untuk makan serta minum.

Keadaan tersebut merupakan gejala-gejala biasa bagi masalah sakit kerongkong, mahu tumbuh gigi dan juga jangkitan telinga. Bagaimanapun, salah satu daripada kumpulan simptom ini yang biasanya terlepas pandang iaitu, ulser mulut, merupakan antara tanda utama penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Dalam keadaan cuaca semasa yang panas dan kering, bibir melepuh mungkin disilap tafsir sebagai kesan kekurangan air, sekali gus menyebabkan segelintir ibu bapa memandang ringan tanda-tanda berkenaan.

Wabak HFMD yang menyebabkan semua 488 taman asuhan kanak-kanak di Sarawak ditutup serta-merta selama dua minggu sejak 3 Mac lalu sedikit sebanyak mencetuskan kebimbangan di kalangan ibu bapa, termasuklah yang berada di semenanjung tanah air.

Sehingga kini, HFMD telah meragut empat nyawa manakala Brunei Darussalam mencatatkan satu kematian pada 5 Mac lalu dan turut menutup semua sekolah rendah dan sekolah agama di negara berkenaan bermula Rabu lalu sehingga diberitahu kelak.

Untuk rekod, wabak yang sama pernah melanda Sarawak pada tahun 1997, menyebabkan 31 kanak-kanak meninggal dunia manakala 78 orang warga Taiwan terkorban akibat HFMD, setahun kemudian.

Pada September 2000, lebih daripada 1,000 kanak-kanak di Singapura telah didiagnos menghidap penyakit yang sama.

Maklumat berikut diharap dapat menyingkirkan sesetengah salah tanggapan, rasa panik serta kekeliruan yang berkaitan dengan ciri-ciri penyakit HFMD seperti mengaitkannya dengan penyakit kuku dan mulut (HMD) yang menyerang binatang ternakan seperti lembu dan biri-biri.

Pakar Runding Pediatrik (kanak-kanak), Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu, Kelantan, Dr. Mazidah Abd. Rasid berkata, HFMD adalah sejenis jangkitan virus yang disebabkan oleh beberapa kumpulan virus termasuklah enterovirus.

“Jangkitan ini menyebabkan timbulnya ruam berserta lepuh di tekak, tonsil, tangan (tapak tangan), kaki (pada tapak kaki) dan di sekitar kawasan lampin.

“Biasanya penyakit ini hanya sekadar sakit ringan dan ruam yang timbul itu akan hilang dalam tempoh lima hingga tujuh hari,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurutnya, terdapat beberapa jenis virus yang menyebabkan HFMD dengan virus yang biasa adalah Coxsackie A16, yang mencetuskan endemik di Malaysia dan biasanya berlaku pada tahap yang sederhana.

Kadangkala, terdapat jenis kuman virus lain seperti virus coxsackie A atau enterovirus 71 yang boleh mencetuskan penyakit ini. Virus Coxsackie merupakan salah satu jenis virus yang terdapat di dalam kelompok virus yang dikenali sebagai enterovirus seperti virus polio, virus coxsackie dan echovirus.

“HFMD merupakan penyakit berjangkit sederhana. Ia merebak melalui sentuhan langsung dengan lelehan yang keluar daripada hidung dan tekak atau najis mereka yang telah dijangkiti kuman ini.

“Penyakit ini amat mudah berjangkit pada minggu pertama pesakit menghidapinya. Ia tidak boleh merebak kepada atau daripada binatang,” kata Dr. Mazidah.

Tempoh pengeraman

Selepas seseorang itu dijangkiti kuman virus ini tempoh pengeramannya adalah di antara dua hingga enam hari.

Gejala seperti demam dan ketidakselesaan pada mulut biasanya akan hilang pada hari ketiga atau keempat. Ulser mulut akan hilang pada hari kelima hingga ketujuh tetapi lepuh dan bintik-bintik merah di tangan, kaki akan hanya hilang dalam tempoh 10 hari.

Faktor-faktor risiko

Penyakit HFM boleh menjangkiti mana-mana kanak-kanak dan di mana saja tanpa mengira kawasan geografi.

“Kanak-kanak yang berumur di bawah lima tahun amat rentan penyakit ini sambil tidak menolak kemungkinan, ia boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat usia.

“Penyakit ini juga biasanya menjangkiti kanak-kanak yang berumur di antara dua minggu hingga tiga tahun. Ini kerana kanak-kanak mempunyai daya tahan badan yang lemah dan mudah dijangkiti berbanding orang dewasa,” katanya.

Bagaimanapun, Dr. Mazidah menambah, ini tidak bermakna, orang dewasa kalis HFMD apatah lagi jika mereka mempunyai sistem imun yang tidak kuat.

Gejala-gejala

- Demam berkemungkinan mencapai panas sehingga 390C

- Sakit tekak

- Ulser pada tekak dan mulut

- Sakit kepala

- Ruam bersama lepuh terdapat di tangan, kaki dan di kawasan lampin.

Komplikasi

Dr. Mazidah menjelaskan, komplikasi biasanya disebabkan oleh kekeringan air dalam badan atau dehidrasi apabila kanak-kanak yang mendapat ulser mulut tidak boleh makan dan minum.

“Virus enterovirus juga menyasarkan sistem saraf, otak dan jantung mangsa menyebabkan radang otak meningitis dan inflamasi serta keradangan otot jantung (miokarditis).

“Kemungkinan juga berlakunya sawan berikutan demam panas. Kesemua komplikasi ini sangat berbahaya dan boleh membawa maut,” katanya.

Diagnosis

Doktor lazimnya akan melakukan pemeriksaan fizikal, melihat gejala-gejala HFMD dan sejarah penyakit dan pemeriksaan fizikal. Ujian darah akan dilakukan di makmal khas bagi mengesahkan jenis virus yang terlibat.

Prognosis

Kebanyakan kes HFMD adalah ringan dan sembuh sepenuhnya dalam masa lima ke tujuh hari. Malangnya, sehingga hari ini kita tidak boleh menjangka siapa yang boleh sembuh dan siapa yang akan mengalami komplikasi yang menjurus kepada kematian.

Hubungi doktor sekiranya:

- Anak anda tidak membuang air kecil lebih lapan jam

- Anak anda kelihatan kusut, mengantuk, pucat atau berbelak-belak, resah atau meragam dan tidak dapat tidur atau berpeluh dingin

- Demam lebih tiga hari

- Sakit mulut semakin teruk

- Anak anda mengalami lemah otot kaki dan tangan atau diserang sawan.

“Jika anak anda ada menunjukkan simptom seperti di atas, dapatkan rawatan doktor segera. Jangan bersikap sambil lewa. Sebarang kelewatan untuk mendapatkan rawatan mungkin boleh menyebabkan kematian,” tegas Dr. Mazidah.

Langkah-langkah pencegahan

- Berhati-hati dan tumpukan perhatian kepada nasihat yang diberikan

- Kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda dan gejala HFMD mestilah dibawa berjumpa doktor secepat mungkin

- Jangan bawa anak anda ke tempat awam seperti pasar raya, pusat membeli-belah, kolam renang awam, sekolah, pusat penjagaan kanak-kanak dan lain-lain

- Anda mestilah lebih berhati-hati dari segi kebersihan semasa menyediakan makanan dan selepas keluar dari tandas. Basuhlah tangan sebelum dan selepas menyediakan makanan dan sebelum dan selepas ke tandas

- Basuhlah tangan anda selalu terutamanya selepas menyalin lampin

- Permukaan yang telah tercemar hendaklah dibasmi kuman dengan menggunakan pencuci

- Basuh pakaian yang terkena kotoran secepat mungkin

- Jangan berkongsi barang kegunaan seperti tuala mandi, berus gigi, pakaian dan sebagainya

- Elakkan diri daripada mengikuti aktiviti luar rumah sehingga pihak berkuasa telah mengesahkan selamat untuk menjalani kegiatan harian

- Elakkan diri daripada mendekati pesakit HFMD

- Pihak berkuasa kesihatan hendaklah memeriksa tahap kebersihan di tempat di mana terdapat ramai kanak-kanak tinggal (contohnya tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak) dan arahkan supaya tempat itu ditutup jika tahap kesihatannya tidak mencapai tahap kebersihan yang sepatutnya

- Kanak-kanak yang dijangkiti HFMD tidak dibenarkan mengikuti program di pusat penjagaan kanak-kanak, sekolah atau aktiviti berkumpulan yang lain

- Berikan rawatan di rumah untuk kes yang tidak disyaki penyakit HFMD tetapi jika anda nampak tanda-tanda komplikasi seperti sakit pada leher atau pada tangan dan kaki, segera dapatkan rawatan doktor

- Jika demam anak anda masih tidak berubah selepas diberi ubat, segera berjumpa doktor semula

- Jika terdapat tanda-tanda dehidrasi (kulit dan membran mukus kering, turun berat badan, meragam, keletihan, kurang air kencing atau air kencing berwarna gelap), segera berjumpa doktor

- Kawasan di Malaysia yang mempunyai populasi terbesar terutamanya kawasan luar bandar, tidak digalakkan menggunakan ubat-ubatan tradisional dan merawat sendiri HFMD jika telah disyaki. Pengawalan penyakit daripada merebak mestilah diberikan keutamaan. (Sumber Kementerian Kesihatan Malaysia)

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...