Pengesanan kanser payu dara awal boleh dilakukan menerusi pemeriksaan sendiri atau melalui mamografi yang dilakukan dari semasa ke semasa.
VASILIKI Kostoula kelihatan tenang dan bersahaja. Riak di wajah tidak langsung menunjukkan sebarang kerisauan. Namun hakikatnya, wanita yang berasal dari Greek itu adalah seorang pesakit kanser payu dara. Kostoula yang menjalani pembedahan mastektomi payu dara kanannya kini terpaksa mengikuti sesi kemoterapi pula. Biarpun setelah kehilangan salah satu aset penting seorang wanita, Kostoula tidak pernah berputus asa, malah tetap mendapatkan pemeriksaan mamografi di Hospital Athen secara kerap.
Seperti Kostoula, sebanyak 1.3 juta kes kanser payu dara baru didiagnosis setiap tahun. Malah, Persatuan Kanser Amerika menganggarkan kira-kira 465,000 wanita meninggal dunia akibat kanser payu dara pada tahun lalu.
Kanser payu dara masih merupakan punca utama kematian di serata dunia. Satu dalam setiap lapan orang wanita dianggarkan mendapat kanser payu dara sepanjang jangka hayat mereka.
Di Amerika Syarikat (AS) sahaja, kanser payu dara meragut lebih banyak nyawa berbanding kanser lain. Punca utama mengapa sesetengah wanita mendapat kanser payu dara masih belum dikenalpasti.
Namun, antara faktor risiko yang memungkinkan seseorang wanita mendapat kanser ini termasuk usia, genetik dan faktor-faktor peribadi.
Risiko mendapat kanser payu dara meningkat seiring dengan peningkatan usia. Malah, wanita yang mempunyai ahli keluarga yang mendapat kanser payu dara atau kanser ovari juga tergolong dalam kategori berisiko.
Faktor peribadi seperti mereka yang mengalami kitaran haid sebelum usia 12 tahun atau menopaus selepas usia 55 tahun juga berisiko.
Simptom-simptom kanser payu dara yang biasanya dihadapi oleh pesakit termasuk ketulan dalam payu dara, perubahan dari segi saiz dan bentuk payu dara serta pengeluaran bendalir daripada puting.
Justeru itu, pengesanan kanser payu dara awal boleh dilakukan menerusi pemeriksaan sendiri atau melalui mamografi dari semasa ke semasa. Kesemua kaedah ini membantu mengesan kanser lebih awal.
Rawatan kanser payu dara antaranya termasuk radiasi, kemoterapi, terapi hormon dan mastektomi. Mastektomi adalah sejenis pembedahan yang selamat dengan sebilangan besar pesakit pulih tanpa sebarang komplikasi.
Seperti pembedahan, tiada satu yang boleh dilakukan tanpa risiko. Antara risikonya bagi sebarang pembedahan termasuk pendarahan, jangkitan atau kecederaan pada kawasan berdekatan dengan tisu-tisu.
Risiko yang melibatkan penyingkiran payu dara merangkumi bekalan darah yang mencukupi kepada kulit di sekitar dinding dada. Keadaan ini mungkin boleh mengakibatkan kehilangan sebahagian daripada kulit.
Dalam kes-kes yang serius, komplikasi seumpama itu mungkin memerlukan penggantian kulit, tetapi ini pun jarang berlaku.
No comments:
Post a Comment