PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Sunday, March 14, 2010

Pemeriksaan awal bantu atasi glaukoma (Utusan Malaysia)


Melalui pemeriksaan mata termasuk beberapa ujian khas, ia dapat mengelakkan kehilangan penglihatan akibat glaukoma.


Pagi Jumaat lalu, Zaini ke sebuah pusat membeli-belah untuk memeriksa matanya. Sejak akhir-akhir ini, penglihatannya semakin kabur. Memang sebelum ini dia kurang gemar memakai cermin mata hitam, malah dia sering menatap komputer pada jarak yang dekat. Kebetulan rakannya menyarankan dia membuat pemeriksaan mata di sebuah kedai optik terkenal.

Melalui penerangan rakannya, baru dia mengetahui tidak semua kedai optik mempunyai ahli optometri. Ahli optometri adalah individu yang berkait rapat dengan penglihatan.

Bidang kerjaya sebagai ahli optometri agak luas. Ia turut merangkumi memberi rawatan kepada masalah penglihatan yang dialami pesakit.

Mereka juga membuat diagnosis terhadap masalah penglihatan yang dialami mana-mana individu sama ada rabun jauh atau dekat atau kedua-duanya sekali yang memerlukan bantuan alat penglihatan seperti cermin mata atau kanta lekap untuk kembali normal.

Selain itu, tugas mereka turut membabitkan ujian terhadap keupayaan mata individu untuk memfokus. Mereka juga mampu untuk menentukan darjah kanta yang perlu digunakan oleh mana-mana individu yang mengalami masalah rabun.

Ahli optometri mampu membuat ujian glaukoma dan penyakit mata yang lain dengan melakukan diagnosis keadaan yang disebabkan masalah penglihatan mata seperti darah tinggi dan kencing manis dengan merujuk pesakit kepada pengamal perubatan yang disarankan.

Melalui pemeriksaan mata termasuk beberapa ujian khas, ia dapat mengelakkan kehilangan penglihatan akibat daripada penyakit ini.

Menurut juru gaya cermin mata dan ahli optometri Malaya Optical, Ryan Ho, kebanyakan ahli optometri menjalankan tugas secara umum. Bagaimanapun, ada yang pakar dalam penglihatan warga emas dan kanak-kanak. Selain itu, ada juga di antara mereka yang pakar dalam bidang kanta lekap, terapi penglihatan dan penglihatan untuk ahli sukan.

Selain itu, ada juga ahli optometri yang terbabit dalam bidang penyelidikan, mengajar dan memberikan khidmat perundingan.

" Untuk menjadi ahli optometri bukan mudah. Mereka perlu mendapatkan kelayakan yang sah. Mana-mana individu yang berminat perlu ada kelaykan tertentul," katanya.

Menurut Ryan, orang ramai boleh membuat ujian glaukoma di Malaya Optical memandangkan kedai ini mempunyai ahli optometri yang sah dan mesin pemeriksaan yang canggih. Kemudian, Ryan akan menyarankan pelanggannya yang mempunyai masalah mata berjumpa dengan pakar perubatan.

"Ramai orang yang tidak memahami fungsi optometri. Dengan pencegahan dan pengesanan awal, kami dapat membantu pelanggan mengatasi glaukoma. Justeru itu, selain membeli cermin mata hitam untuk melindungi mata, mereka juga boleh mengetahui tahap kesihatan mata," jelasnya yang telah memenangi anugerah BrandLaureate-SMEs 2009 (Hadiah Jenama-Usahawan Kecil Sederhana) di bawah kategori Jenama Terbaik Dalam Jualan Runcit - Pusat Vision Solution.

Kedai pertama Malaya Optical dibuka pada tahun 1957 oleh datuk Ryan, di China Town Kuala Lumpur. Ryan memberitahu, keistimewaan kedai Malaya Optical adalah setiap tujuh kedai ini ditempatkan seorang optometri agar pelanggan-pelanggannya boleh mendapatkan nasihat daripada seseorang yang bertauliah.

"Satu lagi kelebihan kedai Malaya Optical berbanding dengan kedai kaca mata lain yang terdapat di Malaysia adalah beberapa daripada cawangannya dilengkapi dengan mesin-mesin canggih untuk mengesan masalah penglihatan dan kesihatan anak mata.

Juru gaya cermin mata ini pernah menjadi penasihat kepada beberapa orang ahli politik dan artis-artis popular dalam negara.

"Saya menganalisis bentuk tulang muka dan deria sebelum memberikan mereka nasihat dan panduan untuk menyerlahkan lagi bahagian muka. Ini menambahkan lagi keceriaan di muka si pemakai, kerana kaca mata mampu mengubah rupa bentuk seseorang dalam sekelip mata tanpa kosmetik," ujarnya.

Tibi penyakit sepanjang zaman


PESAKIT tibi hilang selera makan dan berat badan turun secara mendadak.


PELBAGAI cara telah dilakukan. Langkah pencegahan juga telah dilaksanakan. Namun, penularan penyakit tibi (tuberculosis) tetap tidak ada surutnya.

Malah angkanya terus meningkat dari tahun ke tahun.

Menurut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini terdapat lebih kurang 20 juta kes tibi aktif di seluruh dunia.

Penyakit ini dikatakan menjangkiti antara 50 hingga 100 juta penghuni dunia terutama kanak-kanak secara tahunan.

Tiga juta kematian berlaku setiap tahun disebabkan penyakit jangkitan tibi dan 80 peratus daripadanya melibatkan negara-negara membangun.

WHO juga menyatakan hampir 26 peratus kematian di negara dunia ketiga boleh dielakkan sekiranya pesakit tibi mendapatkan rawatan sewajarnya.

Apakah punca utama penyakit yang sudah wujud sejak zaman kuno ini terus bertahan? Bagaimana pula peranan kita dalam usaha untuk memastikan penyakit ini tidak lagi menjadi antara pembunuh utama penyakit berjangkit ini?

Senario jangkitan tibi di Malaysia

Di negara ini, angka mereka yang dijangkiti penyakit ini semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Sejak 1989 secara purata sebanyak 11,500 hingga 12,000 kes dikesan setiap tahun. Separuh daripada kes ini didapati positif dijangkiti tibi.

Pada 2006, seramai 14,000 pesakit tibi telah dapat dikesan dimana nisbah jangkitan adalah 61 untuk setiap 100,000 penduduk.

Tahun berikutnya, sebanyak 16,000 kes baru dicatatkan dan pada 2008 pula sebanyak 17,506 kes baru didaftarkan. Daripada angka ini, 10,441 disahkan dijangkiti kuman tibi dengan 2207 kes melibatkan pendatang asing.

Angka jangkitan terus meningkat tahun lalu dengan 17,496 kes baru direkodkan.

Bagaimanapun, kes tibi di Malaysia masih rendah berbanding Filipina, Thailand dan Indonesia, namun lebih tinggi dari negara Singapura.

Tibi dan pendatang asing

Kemasukan pekerja dari negara-negara dunia ketiga sememangnya menjadi punca utama jangkitan tibi masih berleluasa biar pun tahap kebersihan dan kesihatan di negara ini boleh dikatakan berada pada paras sederhana.

Menurut Dr. Hairulfaizi, tibi sememangnya sangat sinonim dengan negara mundur dan kemasukan pekerja dari negara-negara ini turut membawa sekali penyakit tersebut.

“Pemeriksaan kesihatan menyeluruh perlu dilakukan kepada pekerja asing ini agar mereka tidak membawa sekali kuman yang mudah berjangkit ini. Bagaimanapun, langkah ini masih belum boleh diimplementasi sepenuhnya atas beberapa sebab, antaranya kemasukan pendatang tanpa izin,” kata beliau.

Penyebaran kuman di kalangan pendatang berlaku dengan mudah disebabkan keadaan persekitaran yang memudahkan penyakit merebak dan menular.

Boleh dikatakan dengan keadaan tempat tinggal yang sempit dan kurang ventilasi menjadi salah satu sebab penting kepada jangkitan ini menular dengan mudah.

Selain itu kata beliau, negara maju seperti Amerika Syarikat juga turut berdepan dengan masalah ini disebabkan kemasukan pendatang asing dari negara membangun seperti Mexico.

Rawatan

Bakteria tibi mempunyai dinding sel yang tebal dan amat sukar untuk dibunuh menggunakan antibiotik. Kuman ini juga boleh hidup di dalam sel-sel darah dan di dalam tisu anggota badan lain.

Oleh itu, rawatan tibi perlu terus diberikan selama enam bulan supaya semua kuman di dalam dan di luar sel dapat dibunuh sepenuhnya.

Cara rawatan adalah dengan memberikan antibiotik kepada pesakit. Ini adalah untuk mengelakkan kuman tibi menjadi kebal kepada ubat (multidrug resistance tibi). Ubat yang biasa diberi adalah isoniazid, rifampicin, pyrazinamide, streptomycin dan ethambutol. Pesakit perlu mengambil ubat-ubat ini setiap hari bagi dua bulan pertama, sehinggalah pemeriksaan doktor dijalankan.

Sekiranya pemeriksaan doktor menunjukkan kemajuan dari segi simptom, imej imbasan sinar-X dan pemeriksaan kahak, cara pengambilan ubat akan diubah kepada dua kali seminggu untuk empat bulan seterusnya. Imbasan sinar-X dan ujian kahak perlulah dijalankan setiap dua bulan sepanjang tempoh rawatan, sehinggalah pesakit didapati sembuh sepenuhnya (selalunya hanya dalam tempoh enam bulan).

Seperti antibiotik lain, ubat-ubat untuk tibi juga mempunyai kesan sampingan termasuk loya, muntah, rasa gatal badan dan letih. Adalah sangat penting pesakit memaklumkan doktor atau jururawat jika terjadi sebarang kesan sampingan yang teruk.

Kejadian kuman tibi yang kebal kini didapati meningkat di beberapa negara di rantau Asia. Kuman jenis ini amat sukar dihapuskan dan kadar kematian pesakit akibat jangkitan kuman tibi kebal adalah setinggi 80 peratus.

Langkah pencegahan

Menurut kajian, pesakit yang aktif tibi akan menjangkiti 10 hingga 15 orang di sekelilingnya.

Bagi pesakit yang disahkan tibi mereka perlu:

  • Mematuhi arahan pengambilan ubat yang telah ditetapkan tempohnya.
  • Ambil cuti dan tidak ke tempat kerja atau sekolah bagi mengelakkan kuman tibi tersebar.
  • Selepas beberapa minggu rawatan, pesakit akan rasa lebih baik dan tidak akan menjangkiti orang lain lagi. Doktor akan menasihatkan waktu yang paling sesuai untuk kembali berkerja atau ke sekolah.
  • Asingkan bilik tidur, jangan berkongsi pakaian, makanan dan sebagainya. Elakkan sentuhan dengan orang lain bagi mengurangkan risiko jangkitan.
  • Dari segi ventilasi, pastikan sistem pengudaran rumah dan pejabat dalam keadaan baik. Halakan kipas ke arah tingkap untuk meniup angin keluar dari ruang bilik. Ini akan mengurangkan peluang bakteria tibi untuk terus berada dalam ruang dan menjangkiti orang lain.
  • Selain itu, kanak-kanak yang merupakan golongan mudah dijangkiti digalakkan tidak mengunjungi hospital bagi mengelakkan penyebaran kuman tibi. Bagi bayi baru lahir, suntikan BCG mampu memberi perlindungan daripada bakteria tibi.

    Pemeriksaan kesihatan menyeluruh perlu dilakukan ke atas pekerja yang masuk ke negara ini terutama jika dari negara dunia ketiga.

    We're on the move - tema Hari Tibi Sedunia 2010

    Tahun ini menjadi titik tengah kepada Rancangan Memerangi Tibi Global yang dilancarkan WHO pada 2006. Pertubuhan itu menyasarkan tahun 2015 sebagai noktah kepada penyakit berbahaya ini. Pelbagai langkah dan usaha ditingkatkan demi satu matlamat iaitu memberhentikan penyebaran penyakit yang menjadi pembunuh utama penyakit berjangkit di dunia ini.

    Slogan on the move memerangi tibi menunjukkan tema yang dipilih tahun ini ringkas, fleksibel dan mudah difahami. Sesuai dengan kempen tahun ini memberi fokus kepada individu tidak kira dari seluruh pelosok dunia yang berjaya menemui cara memberhentikan tibi untuk menjadi inspirasi kepada orang lain.


    --- UTUSAN MALAYSIA

    Tuesday, March 9, 2010

    Pembedahan bibir sumbing (Berita Harian)

    Oleh Mohd Azis Ngah
    azis@bharian.com.my

    Kemiskinan, kos mahal jadi halangan kanak-kanak sumbing dibedah untuk baiki lelangit

    JAM 8.30 malam, bersama rakan setugas, kami meninjau dewan tempat saringan memilih pesakit bibir sumbing di Pulau Dabo Singkep, Kabupaten Lingga, Riau, Indonesia untuk dibedah bagi memulihkan bibir mereka.

    Selepas taklimat ringkas kepada pesakit yang disampaikan ketua pasukan perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof Dr Rani Samsudin, kami duduk di barisan belakang berbual dengan kanak-kanak berbibir sumbing yang datang bersama keluarga.
    Cuping telinga pantas menangkap suara sengau kanak-kanak seolah-olah sedang menyanyi. Melodi dan liriknya memang popular tetapi kurang jelas, tetapi apabila diamati kanak-kanak istimewa itu sedang mendendangkan lagu popular ‘Namun Ku Punya Hati’ yang sedikit masa lalu begitu popular di Malaysia.

    Di sana, penyanyi Malaysia memang popular kerana penduduknya meminati lagu Melayu. Menariknya, apabila diamati bait lirik lagu yang dinyanyikan Santalia Lestari Herman, 12, ia cukup menyentuh hati, seolah-olah menyedari kecacatan diri tanpa harapkan simpati.

    “Kawan-kawan saya semuanya lelaki, tidak ada kawan perempuan. Mereka tak suka sebab saya hodoh, tak cantik macam yang lain,” katanya yang menamatkan persekolahan gara-gara sering diejek rakan.

    Anak bongsu daripada tiga beradik ini adalah antara 25 orang yang menjalani pemeriksaan dan 15 daripadanya berjaya menjalani pembedahan bibir sumbing dan memperbaiki lelangit. Kebanyakannya menjalani rawatan susulan selepas pembedahan pertama membaiki bibir sumbing dua tahun lalu.

    Kali ini, kumpulan perubatan menumpukan usaha menampal, membaikpulih lelangit mereka. Hanya dua kes pembedahan bibir sumbing. Operasi itu dijalankan di Rumah Sakit Umum Dabo Singkep yang membabitkan 31 pakar bedah, pakar bius, doktor, jururawat dan pasukan sokongan.

    Pasukan perubatan itu dipecahkan kepada tiga kumpulan diketuai Prof Dr Rani, Prof Zainal Ariff Abdul Rahman (Pusat Perubatan Universiti Malaya) dan Dr Kasmah Mohamed (Hospital Sungai Buloh).

    Program Bakti Sosial Pembedahan Bibir Sumbing itu dijalankan serentak dengan Perkampungan Belia Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) anjuran Gerakan Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) selama enam hari baru-baru ini.

    Walaupun pembedahan dijalankan di Dabo Singkep, kebanyakan pesakit yang disenaraikan Dinas Kesihatan Kepulauan Riau datang dari segenap pelosok pulau.

    Dr Rani berkata, kebanyakan kes yang dirawat ialah kanak-kanak dan remaja kerana usia bawah 10 tahun adalah paling sesuai menjalani pembedahan.

    “Di Malaysia, kes bibir sumbing memang ada tetapi jumlahnya terlalu kecil kerana ia sudah dirawat sebaik bayi dilahirkan. Keadaan itu jauh berbeza di sini kerana mereka tidak mampu, kosnya terlalu mahal, sebab itu mereka biarkan saja sedangkan ia memberi kesan jangka panjang kepada pesakit.

    “Kami mencuba yang terbaik berdasarkan kemudahan peralatan yang terhad dan bersyukur kerana semua berjalan lancar. Pasukan perubatan berjaya menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

    Hakikat itu memang benar, pasukan perubatan dilihat bertungkus lumus sejak awal pagi hingga ke malam dan ada kalanya hingga ke awal pagi bagi rawatan susulan. Semuanya bagi memastikan pesakit mendapat yang terbaik walaupun selepas ini mereka akan menerima rawatan susulan di tempat sendiri.

    Seorang pesakit, Wahyudi Putra Handoko, 23, yang datang jauh dari Kijang, Tanjung Pinang kira-kira empat jam perjalanan menaiki feri berkata, beliau seolah-olah bermimpi dapat apabila terpilih menjalani pembedahan bibir dan lelangit.

    “Kami anak yatim dan orang miskin, ibu hanya menjual kuih. Saya baru habis belajar tetapi sering bekerja sambilan membersihkan bangunan. Logiknya memang kami tak mampu, kosnya saja hampir Rp10 juta (RM3,600). Jika ada duit pun, ia lebih penting untuk beli makanan,” katanya.

    Sawan boleh diubati

    Bersama Dr Fadzillah Ghazali

    bminggu@bharian.com.my

    Gangguan pada arus elektrik dalam otak dikenal pasti sebagai punca penyakit

    SOALAN:

    DOKTOR, anak saya disahkan mengalami penyakit sindrom nefrotik. Adakah penyakit ini boleh diubati? Bagaimana pula dengan pemakanannya? Adakah diet tertentu yang harus diambil?

    Selain itu, seorang anak saudara saya menghidapi penyakit sawan sejak umur enam bulan. Dia diserang sawan dua kali dalam sebulan. Dia masih masih bergantung pada ubat epilepsi yang diberi oleh hospital kerajaan. Adakah cara lain untuk mengatasi masalah ini.

    Ahmad Kamal.

    JAWAPAN:

    Penyakit sindrom nefrotik ialah sejenis masalah buah pinggang yang kronik. Ia disebabkan oleh kehilangan protein yang berlebihan di dalam air kencing. Air kencing biasa tidak mengandungi bahan protein. Ini menyebabkan di sekeliling mata, muka dan kakinya bengkak.

    Air kencing juga nampak kotor, berbuih dan berkurangan. Penyakit ini boleh diubati dengan rawatan steroid. Jika tidak ada kes berulang dalam masa lima tahun, peluang untuk kes tidak berulang sehingga dewasa adalah lebih tinggi.

    Pemakanan kanak-kanak yang menghidap penyakit ini sama seperti kanak-kanak biasa. Kurangkan pengambilan garam dalam makanannya terutama makanan ringan dan makanan yang diproses. Lebihkan mengambil makanan yang tinggi kandungan protein.

    Mengenai masalah sawan, seperti yang diketahui, penyakit sawan ialah sejenis penyakit kronik yang memerlukan rawatan jangka panjang. Ia terjadi disebabkan gangguan pada arus elektrik dalam otak iaitu manifestasi yang terjadi bergantung pada bahagian saraf otak yang terbabit.

    Sekiranya menjejaskan keseluruhan bahagian otak, ia akan menyebabkan grand mal epilepsi. Sekiranya anak saudara masih mendapat sawan walaupun mengambil ubat sawan secara berterusan, beberapa perkara perlu dikaji semula sama ada:

  • Dos ubat yang diambil mencukupi,

  • Ubat yang diberi bersesuaian untuk jenis sawan yang dihidapi dan,

  • Perlu penambahan ubat yang lain atau tidak.

    Tujuan utama rawatan penyakit sawan ialah memastikan pesakit tidak lagi diserang sawan dan dapat menjalani kehidupan dengan normal. Sekiranya tiada diserang sawan selama dua tahun dan ujian ulangan EEG adalah normal, ubat sawan mungkin boleh diberhentikan.

    Secara amnya, kanak-kanak yang menghidap sawan mempunyai IQ yang lebih rendah dan mengalami masalah dalam membaca, mengeja dan mengira. Ini mungkin disebabkan oleh kerosakan pada bahagian otak yang menyebabkan sawan. Sesetengah ubat sawan juga boleh menyebabkan anak kurang cergas dan hilang tumpuan ketika belajar.

  • Bagi anda yang memiliki kemusykilan mengenai kesihatan, sila hantarkan soalan kepada "Doktor di Berita Minggu" melalui e-mel, bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

    Jawapan disediakan oleh: Dr Fadzillah Ghazali, Pakar Runding Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Darul Ehsan.
  • --- BERITA HARIAN

    Kaji vaksin barah pangkal rahim (Berita Harian)

    Oleh Hafizah Iszahanid


    Serviks yang diserang barah.

    Pakar perubatan anggap penyelidikan tempatan, ujian lumuran pap perlu diutama

    NATALIE Morton, 14, dan Ashleigh Cave, 12, mungkin hanya memikirkan kesihatan diri, khususnya mengelak barah pangkal rahim apabila mengambil pelalian mencegah virus human papilloma (HPV) - penyebab penyakit maut berkenaan.

    Malangnya, keadaan berlaku sebaliknya apabila Morton meninggal dunia manakala Cave pula lumpuh separuh badan selepas mengambil pelalian berkenaan.

    Memang secara umumnya tiada ubat yang benar-benar selamat secara 100 peratus. Ini kerana setiap ubat memiliki kesan yang berbeza kepada individu yang turut memiliki tahap daya tahan yang berbeza. Perlu diingat juga, setiap ubat memiliki kesan sampingannya namun lazimnya, kesan sampingan yang kecil ini tenggelam jika manfaat ubat itu terbukti lebih besar.

    Bagaimanapun dalam kes pelalian mencegah HPV, ia masih baru dilaksanakan termasuk di negara maju seperti Amerika Syarikat yang diperkenalkan pada 2006 dan tahun lalu di Britain.

    Program pelalian ini sudah dinyatakan pada satu majlis anjuran MCA April lalu dan hanya secara rasmi diumumkan pada Jumaat lalu. Justeru apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan pelaksanaan program pelalian mencegah HPV bermula tahun depan kepada 300,000 remaja perempuan 13 tahun, ia sebenarnya mencetuskan banyak persoalan, termasuk apakah keputusan itu dibuat secara terburu-buru.

    Pangkal rahim terjejas dengan HPV.

    Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Pakar Kesihatan Awam, Datuk Dr Maamor Othman, berkata kebanyakan data berkaitan keberkesanan vaksin mencegah HPV itu hanyalah berasaskan kajian dari barat.

    "Mungkin sebelum kita memulakannya di Malaysia, kita memerlukan kajian tempatan. Namun apa yang lebih utama, kerajaan perlu meningkatkan langkah pencegahan dan kesedaran mengenai HPV itu terlebih dulu," katanya.

    Beliau berkata, setakat ini hanya ada dua syarikat pengeluar vaksin mencegah HPV di bawah jenama Gardasil dan Cervarix.

    "Mungkin kita masih perlu menunggu untuk beberapa tahun lagi sebelum membuat keputusan. Melakukan perbandingan dengan vaksin jenama lain juga perlu dalam melihat yang mana lebih efektif dan berbaloi dari segi kos," katanya.

    Dr Maamor berkata, jika kesedaran masyarakat mengenai HPV dan barah pangkal rahim sememangnya tinggi, langkah pencegahan awal tidak perlu menelan belanja besar.

    "Kita perlu ingat faktor risiko barah pangkal rahim adalah mereka yang beranak ramai dan ramai pasangan seksual (lelaki atau perempuan) dan kebersihan alat kelamin itu sendiri.

    "Sehubungan itu, setiap wanita mesti melakukan pemeriksaan pelvis berjadual bagi mengesan sebarang perubahan sel di sekitar pangkal rahim. Wanita perlu peka kepada kepentingan ujian lumuran pap (pap smear)," katanya.

    Kenyataan Dr Maamor ada benarnya, kerana dalam kes vaksin barah pangkal rahim, hanya ada dua pemain utama dalam usaha pengeluarannya. Ini secara langsung, menyebabkan harganya masih mahal walaupun sudah ditolak kos subsidi oleh kerajaan.

    Walaupun Cervarix sudah didaftarkan dan disenaraikan sebagai selamat di pasaran 95 negara, namun ia masih tidak mendapat kelulusan Pihak Pentabdiran Ubat dan Makanan Amerika Syarikat (FDA). Satu daripada alasan yang tipikal adalah ia membabitkan dua syarikat berbeza - satu dari Amerika dan satu lagi dari Britain.

    Namun sejak 1930, Amerika, menerusi melalui FDA mengharamkan penggunaan teknik khas dalam penyediaan vaksin (adjuvant in vaccine) yang bertindak meningkatkan sistem imun sekali gus membolehkan seseorang itu tidak perlu mendapat suntikan susulan dalam tempoh yang singkat.

    Cervarix hanya mencegah dua strain atau jenis HPV - jenis 16 dan 18 (sedangkan ada 100 jenis HPV dengan 13 dikaitkan sebagai punca barah).

    Gardasil pula mencegah jenis 16 dan 18 dan dua lagi jenis yang menyebabkan ketuat kelamin.

    Selain itu, walaupun vaksin mencegah HPV disuntik, kelengkapan makmal untuk ujian lumuran pap juga harus disediakan. Ini kerana walaupun mendapat suntikan pelalian namun setiap wanita masih perlu melakukan ujian lumuran pap setiap tahun.

    Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melancarkan subsidi pemeriksaan pelvik bagi mereka yang kurang berkemampuan. Namun, masalah sebenarnya bukan subsidi tetapi lokasi yang menyediakan ujian itu.

    Di luar Kuala Lumpur misalnya, cuma ada 15 klinik yang berdaftar dengan kementerian untuk melakukan ujian lumuran pap dan bukan semua klinik desa menyediakan perkhidmatan itu.

    Kemudahan ujian lumuran pap hanya tertumpu di bandar besar dan jika di hospital kerajaan, dikatakan membabitkan karenah birokrasi apabila individu itu perlu menunggu berbulan-bulan lamanya bagi melakukan ujian selepas membuat temujanji.

    Jadi, adakah kesukaran melakukan pap smear itu menjadikan vaksin sebagai pilihan yang terbaik?

    Jawapannya tidak. Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Prof Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata pemberian vaksin mencegah HPV bukan bermaksud ia melindungi seseorang itu 100 peratus.

    "Walaupun ada vaksin tetapi setiap orang perlu menjalani pap smear mengikut jadual dan mengekalkan cara hidup sihat. Walaupun ada vaksin tetapi masih mengamal-amalkan gaya hidup bertukar pasangan ia masih boleh menyebabkan barah pangkal rahim," katanya.

    Kemujaraban vaksin melindung 70 peratus kemungkinan diserang barah pangkal rahim tetapi masih ada ruang 30 peratus untuk barah terjadi.

    "Memang di Britain misalnya ada laporan kematian dan kecacatan kecil yang dikaitkan dengan pelalian HPV, tetapi setakat ini semua laporan perubatan menafikan kaitannya dengan suntikan," katanya.

    "Dunia perubatan ini mudah dan telus. Ia berdasarkan fakta dan bukti. Kalau benar ia menyebabkan banyak komplikasi dan laporan itu diterbitkan dalam jurnal perubatan, dengan sendirinya produk itu akan dikeluarkan dari pasaran," katanya.

    Jelasnya, walaupun setakat ini hanya ada dua syarikat pengeluar vaksin itu, tidak lama lagi selepas luputnya paten harta intelek akan banyak ubat-ubat generik muncul dan memberi pilihan kepada pengguna dengan harga yang jauh lebih murah.

    "Keberkesanan sebenar ubat-ubatan akan mengambil masa berpuluh tahun untuk mengetahui kemujarabannya. Adakah kita perlu menunggu selama itu? Tentulah tidak. Perkiraan yang dibuat adalah berdasarkan beban ekonomi yang perlu ditanggung dengan statistik pesakit barah pangkal rahim di Malaysia," katanya.

    Prof Abdul Rashid, pemberian vaksin mencegah HPV adalah pilihan terbaik kerana bukan semua wanita mahu melakukan ujian lumuran pap atas dasar malu dan akses yang terhad terutama di luar bandar.

    Namun, fakta yang lebih tepat walaupun sudah mendapat suntikan vaksin, ujian lumuran pap masih perlu dilakukan. Jadi bukankah meningkatkan prasarana ujian lumuran pap di seluruh negara dan meningkatkan kesedaran tentang HPV dan barah pangkal rahim adalah jalan pertama yang perlu dibuat kerajaan sebelum memilih program pelalian mencegah HPV?

    FAKTA: Barah pangkal rahim

    • Malaysia membelanjakan RM250 juta setahun untuk menguruskan barah pangkal rahim.
    • Daripada jumlah itu hanya sembilan peratus digunakan untuk ujian pengesanan awal barah pangkal rahim - ujian lumuran pap.
    • Daripada keseluruhan kes barah di Malaysia, barah pangkal rahim menduduki tempat kedua selepas barah payu dara.
    • Di peringkat global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan hampir 500,000 wanita diserang barah pangkal rahim setiap tahun.


    Mengenali barah pangkal rahim
    • Disebabkan oleh jangkitan kuman human papillomavirus (HPV).
    • Pangkal rahim secara saintifiknya bertindak sebagai laluan. Darah mengalir dari uterus melaluinya untuk ke faraj ketika haid.
    • Pangkal rahim juga menghasilkan mukus yang membantu sperma bergerak ke dalam rahim. Ketika hamil, pangkal rahim tertutup rapat bagi melindung janin. Ketika proses kehamilan, pangkal rahim terbuka untuk membenarkan bayi lahir.
    • Barah pangkal rahim bermula seperti kebanyakan barah di mana-mana bahagian tubuh, ia bermula di dalam sel.
    • Selain HPV, faktor lain seperti merokok, sistem imun tubuh wanita, komplikasi pengambilan pil cegah hamil hanya sebahagian faktor lain yang dikaitkan dengan barah pangkal rahim.
    • HPV adalah virus yang sangat biasa ditemui pada lelaki dan wanita dan ada lebih 100 jenis HPV.
    • Lebih 50 peratus orang akan mengalami satu daripada jenis HPV itu sekali dalam hidupnya. Manakala jenis HPV yang lebih berisiko tinggi (misalnya jenis 16 dan 18) pula akan menjadi punca barah pangkal rahim.
    • HPV amat mudah berjangkit. Malah, kebanyakan orang dijangkiti HPV pada tahun-tahun pertama mereka aktif dalam hubungan seksual. Justeru, ujian lumuran pap sangat disarankan.


    Faktor dijangkiti HPV.
    • Tidak melakukan rutin ujian lumuran pap
    • Sistem tubuh yang lemah
    • Usia (barah pangkal rahim lebih banyak terjadi pada wanita berusia 40 tahun ke atas).
    • Ramai pasangan seks atau perempuan yang melakukan hubungan intim dengan lelaki yang banyak pasangan seks.
    • Merokok
    • Komplikasi penggunaan pil perancang dalam masa yang panjang

    Gangguan mental dan penyelesaian (Utusan Malaysia)


    PESAKIT mental terdorong melakukan perlakuan di luar kewarasan jika tidak dirawat segera. - Gambar hiasan.


    TRAGEDI pembunuhan empat sekeluarga di Gemencheh, Negeri Sembilan baru-baru ini menyentuh hati rakyat Malaysia. Bagi kita yang mengikuti perkembangan tragedi hitam itu tentu sukar untuk menggambarkan bagaimana seksanya mangsa melalui detik-detik terakhir sebelum ajalnya.

    Lebih menyedihkan, suspek dalam kes ini adalah ahli keluarga terdekat.

    Tentu terlintas di fikiran bagaimana ahli keluarga tergamak bertindak sedemikian bukan terhadap seorang tetapi empat mangsa.

    Pelbagai andaian dibuat antaranya suspek mengalami gangguan mental dan ada juga yang mengaitkannya dengan ilmu hitam.

    Bukan ingin mencurah air garam ke hati keluarga mangsa yang masih diselubungi kesedihan, yang pasti kes ini masih dalam siasatan polis. Biarlah pihak berkuasa yang menentukan keputusannya.

    Kesihatan minggu ini sekadar ingin merungkai permasalahan gangguan mental dan juga berkongsi maklumat mengenai beberapa kejadian seumpama yang pernah berlaku sebelum ini.

    Peristiwa empat sekeluarga itu bukan yang pertama berlaku. Sebelum ini terdapat pelbagai tragedi seumpama yang melibatkan nyawa disebabkan masalah berkaitan gangguan psikologi.

    Fenomena semasa

    Pakar Psikologi dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, jika melihat kepada laporan Kajian Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi Ketiga pada 2006, 11 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah mental.

    “Ini bermakna kira-kira 2.6 juta daripada keseluruhan penduduk mengalami gangguan berkaitan psikologi dan jumlah ini agak ketara,” katanya yang juga merupakan Pensyarah Kanan Universiti Malaya dalam bidang ini.

    Menurut beliau, jika kini penyakit berkaitan gangguan mental (termasuk disebabkan pengambilan dadah) berada di tangga ke 10 dalam senarai penyakit membebankan, dianggarkan menjelang 2020, masalah ini akan menduduki tangga kedua iaitu selepas penyakit jantung.

    “Ini berdasarkan perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyasarkan masalah mental akan mewakili 15 peratus daripada penyakit global pada tahun tersebut,” katanya.

    Jelas beliau, gangguan mental juga boleh dikaitkan dengan kesan sampingan kemajuan yang dicapai sesebuah negara.

    Katanya, sesetengah individu gagal menyesuaikan diri dengan kemajuan, ditambah pula dengan punca-punca lain menyebabkan mereka mudah mengalami gangguan mental.

    Di Malaysia, ia kini menjadi penyakit lazim dan statistik 2008 menunjukkan kira-kira 400,227 pesakit mental mendapatkan bantuan psikiatri di hospital-hospital kerajaan. Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding 346,196 pesakit pada 2007.

    Di PPUM sahaja kata beliau, berbanding sepuluh tahun lalu yang mencatatkan satu atau dua pesakit setiap hari bertemu pakar psikiatri kini bertambah menjadi tujuh hingga lapan pesakit sehari.

    Dr. Muhsin berkata dari segi kepakaran pula kita masih lagi ketinggalan iaitu dengan hanya sekitar 200 pakar psikiatri.

    “Kekurangan kepakaran sangat ketara kerana kebanyakan bertumpu di sekitar Lembah Klang sahaja. Menakala kawasan pedalaman seperti Sabah dan Sarawak hanya mempunyai satu atau dua psikiatri sahaja,” katanya.

    Punca

    Menurut Dr Muhsin, terdapat dua sebab utama menyumbang kepada masalah kesihatan mental iaitu sejarah keluarga (dalaman) dan persekitaran.

    “Pelbagai sebab seperti stres, tekanan kerja, hubungan sosial, personaliti introvert iaitu seorang yang cepat putus asa, tak suka bergaul dan sebagainya mudah terdedah kepada masalah mental,” kata beliau.

    Menurutnya, masalah mental ada yang serius dan ada yang minor. Bergantung kesedaran awal pesakit dan sejauh mana dia berusaha untuk menanganinya, ia boleh membantu.

    Jika mereka mendapatkan nasihat daripada profesional, peratusan untuk pulih adalah tinggi tetapi. Sebaliknya jika mendapatkan nasihat daripada rakan atau saudara berkemungkinan untuk menjadi lebih parah. Begitu juga seandainya pesakit dibiarkan tanpa sebarang rawatan, masalah akan menjadi bertambah rumit.

    Selain itu katanya, masalah gangguan mental 15 kali berisiko tinggi andai pesakit terlibat dengan pengambilan dadah.

    Pelakuan di luar kawalan

    Merujuk kepada peratusan WHO Dr Muhsin berkata, sebanyak 14 peratus kematian di kalangan remaja berusia 15 hingga 24 tahun di seluruh dunia adalah disebabkan oleh keganasan seperti amuk, rompakan dan kecurian yang mendorong kepada bunuh, pergaduhan, buli dan sebagainya.

    Kes-kes seperti ini ada kaitan dengan gangguan mental, yang mana pembunuh akan melakukan sesuatu diluar jangkaan seperti kes yang berlaku di Gemencheh.

    “Bagi orang yang waras fikiran dan memang berniat untuk membunuh, mustahil dia akan meninggalkan bukti malah tidak akan mengaku bersalah jika ditangkap polis,” kata Dr. Muhsin.

    Dalam kebanyakan kes seperti ini kata beliau, mangsa biasanya adalah orang yang paling rapat sekali dengan pembunuh seperti ayah, ibu, anak, suami, isteri dan adik-beradik terdekat.

    Bagaimana untuk mengesan?

  • Individu sendiri atau saudara terdekat boleh sedar kelainan yang dialami.
  • Rasa tidak selesa.
  • Terdengar suara-suara ganjil yang menyuruh melakukan sesuatu.
  • Nampak bayangan-bayangan aneh.
  • Sukar tidur dan kerap terjaga ketika tidur.
  • Hilang selera makan.
  • Penyelesaian

    Dr. Muhsin menasihatkan mereka yang mempunyai simptom gangguan mental agar mendapatkan rawatan awal supaya masalah tidak berlanjutan.

    “Kebanyakan pesakit di Malaysia bertemu pakar selepas 24 bulan mengalami masalah. Berbanding di Amerika Syarikat, jika mereka tidak boleh tidur dalam masa tiga hari sahaja mereka terus bertemu doktor untuk mendapatkan nasihat,” katanya.

    Beliau berkata, persepsi masyarakat mengenai gangguan mental perlu diubah. Selama ini, orang mengaitkan pesakit mental sebagai ‘orang gila’ dan mereka disisihkan keluarga.

    “Sepatutnya orang terdekat dengan pesakit perlu memberi sokongan dan membawa pesakit mendapatkan rawatan agar ia berlanjutan,” katanya.

    Selain itu katanya, rawatan yang ada di negara ini masih lagi mengikut akta lama iaitu mengurung pesakit atau menempatkan pesakit di suatu tempat tertentu misalnya hospital sakit jiwa.

    Jelas beliau, keadaan ini akan menyebabkan pesakit lebih tenat kerana merasa diri mereka disisihkan dan terkongkong.

    “Saya percaya jika pesakit dapat bergaul dengan masyarakat dan meneruskan kerja mereka seperti biasa, mereka lebih cepat sembuh kerana merasa diri disayangi serta boleh melakukan perkara seperti orang lain,” katanya.

    Di PPUM sendiri menurut beliau, pesakit mental yang sedang menjalani rawatan dibenarkan mengendalikan kafe di bawah pengawasan doktor.

    Dalam pada menjalani rawatan Dr. Muhsin menekankan pesakit perlu mengambil ubat seperti antipsikotik dan antidepression yang telah diberi doktor untuk membantu penyembuhan.

    “Orang kita kadang kala lebih percayakan bomoh dalam hal ini. Nasihat saya, kalau ingin bertemu bomoh sekali pun tak mengapa, asalkan jangan lupa mengambil ubat yang telah diberikan doktor,” katanya.

    Wednesday, March 3, 2010

    Penyakit Chikungunya? (Sumber: KKM)

    1. Apa itu Penyakit Chikungunya?

    Chikungunya adalah sejenis penyakit bawaan nyamuk. Chikungunya
    pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania pada tahun 1953.

    Semenjak itu ia berlaku di negara-negara Afrika, Asia dan akhir-akhir
    ini ia berlaku di beberapa buah tempat di Negara Eropah. Ia endemik (selalu berlaku) di kebanyakan negara Sub Sahara Afrika, India, Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina.

    Ia bukanlah satu penyakit misteri yang tidak diketahui puncanya.




    2. Bagaimana penyakit ini boleh berlaku?

    Chikungunya adalah demam yang disebabkan oleh virus daripada genus Alphavirus di dalam keluarga Togaviridae.


    3. Adakah ia berjangkit?

    Ya. Virus
    Chikungunya berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes albopictus atau
    Aedes aegypti yang membawa virus tersebut. Nyamuk Aedes juga
    menyebarkan virus penyakit demam denggi.


    4. Apakah masa pengeraman bagi Chikungunya?

    Masa pengeraman bagi Chikungunya boleh menjangkau dari 3 hingga 12 hari
    tetapi pada kebiasaannya di antara dari 3 hingga 7 hari.


    5. Apakah tanda-tanda dan gejala penyakit ini?

    · Demam panas mengejut
    · Sakit teruk pada sendi
    · Ruam pada badan
    · Sakit kepala
    Seorang pesakit boleh demam dari 1 hingga 7 hari (kebiasaannya 5 hari).
    Penyakit Chikungunya boleh disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.


    6. Adakah penyakit ini boleh membawa maut?

    Di Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan atau
    kematian. Tetapi, sesetengah pesakit mengalami gejala yang
    berpanjangan. Pesakit yang berumur boleh mengalami kesakitan berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun.


    7. Apakah rawatan bagi penyakit ini?

    Seperti penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus, ia tiada rawatan yang
    khusus. Selalunya rawatan diberi berdasarkan gejala klinikal yang
    dialami oleh seseorang pesakit. Kebanyakan kes yang terjadi hanya memerlukan rawatan pesakit luar sahaja. Tiada vaksin bagi penyakit ini.


    8. Apakah yang perlu dilakukan jika dijangkiti penyakit?

    Jika mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya, orang ramai adalah dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.


    9. Cara pencegahan penyakit Chikungunya

    · Bersihkan
    kawasan rumah dan persekitaran supaya bebas daripada tempat-tempat
    pembiakan nyamuk Aedes. Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong
    royong. Adalah terbukti tiada kes baru yang dilaporkan di
    kawasan-kawasan yang melakukan gotong- royong.
    · Periksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes.
    · Dapatkan rawatan dengan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit.


    10. Bolehkah kawasan saya dijangkiti penyakit Chikungunya?

    Boleh, kerana penyakit ini dibawa oleh nyamuk Aedes albopictus dan Aedes aegypti yang terdapat di negara kita.

    SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

    Tuberkulosis (Batuk Kering)


    Batuk kering atau Tuberkulosis adalah jangkitan bakterium Mycobacterium tuberculosis, yang biasanya menyerang paru-paru (pulmonari TB) juga mampu menyerang sistem saraf tunjang (meningitis), sistem lymphatik, sistem peredaran "circulatory system" (miliari TB), sistem genitourinari, tulang dan sendi.

    Di Malaysia, seramai 15,852 orang dilaporkan menghidap penyakit batuk kering di negara ini pada 2003 iaitu bersamaan dengan kadar insiden sebanyak 64 kes bagi setiap 100,000 penduduk menurut lapuran Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad. Secara umumnya, terdapat penurunan trend kadar insiden batuk kering di Malaysia iaitu pada kadar dua peratus setahun sejak sepuluh tahun lepas.

    Sabah dan Sarawak pula menunjukkan kadar penurunan yang ketara iaitu hampir lima peratus
    setahun dalam tempoh yang sama, katanya semasa menjawab soalan asal dan tambahan Dr. Mohamed Hayati Othman (Pas-Pendang) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga mendapati imunisasi BCG yang diberikan kepada bayi baru lahir tidak memberi perlindungan sepenuhnya terhadap jangkitan batuk kering. Imunisasi BCG hanya melindungi kanak-kanak daripada mendapat penyakit batuk kering yang teruk. Apabila kanak-kanak meningkat dewasa, risiko jangkitan ini adalah sama dengan orang dewasa lain yang tidak mendapat imunisasi BCG.

    WHO menetapkan dua sasaran utama menjelang 2005 iaitu mengesan sekurang-kurangnya 70 peratus kes baru batuk kering kahak positif dalam masyarakat dan menyembuhkan sekurang-kurangnya 85 peratus daripada mereka yang dikesan. Malaysia telah mencapai sasaran ini sejak tahun 2002.

    Adalah sukar untuk menentukan bilakah penyakit batuk kering dapat dihapuskan di Malaysia ini memandangkan banyak faktor yang menyumbang kepada kemunculan semula penyakit ini, antaranya termasuk :-


    * Pendatang asing secara haram tidak disaring daripada penyakit ini.
    * Pesakit lambat atau tidak mendapatkan rawatan kerana jahil tentang penyakit ini.

    Kementerian Kesihatan khususnya bahagian kawalan penyakit berjangkit sentiasa berusaha secara intensif untuk membasmikan semua penyakit berjangkit daripada terus menular di Malaysia. Mengikut turutan penyakit berjangkit dunia, penyakit tibi berada di tangga ketujuh dan ia tidak pernah berubah sejak tahun 1990.

    * 1 Tanda dihidapi penyakit
    * 2 Mereka Mungkin Diserang:
    * 3 Cara Batuk Kering Merebak


    Tanda dihidapi penyakit

    Batuk berdarah atau berkahak.


    * Sakit di bahagian dada.
    * Lemah dan keletihan.
    * Susut berat badan.
    * Kehilangan selera.
    * Menggigil.
    * Demam.
    * Berpeluh waktu malam.


    Mereka Mungkin Diserang:


    Menyerang tidak kira kaum, bangsa atau umur, namun kumpulan berisiko tinggi adalah:


    * Mereka yang dijangkiti AIDS (virus HIV).
    * Mereka yang mendampingi pesakit batuk kering.
    * Rakyat asing daripada negara yang mempunyai kadar jangkitan batuk kering yang tinggi.
    * Sesetengah bangsa dan etnik minoriti.
    * Mereka yang kekurangan zat dan vitamin.
    * Pemabuk dan penagih dadah yang dijangkiti HIV.


    Cara Batuk Kering Merebak

    Batuk kering merebak melalui udara. Apabila penghidap batuk atau bersin, mereka mengelauarkan bakteria dalam udara akan dihidu orang sekeliling.

    Apabila seseorang menghidu bakteria batuk kering, bakteria tersebut akan bertapak di dalam paru-paru dan membesar serta bergerak melalui darah kepada buah pinggang, tulang belakang dan otak.

    E. coli bakteria kawan dan lawan




    Oleh Najibah Hassan

    BAKTERIA E. coli berbentuk rod ini juga mampu menghasilkan antibiotik untuk merawat penyakit.

    SAINTIS mendakwa bakteria merupakan salah satu hidupan tertua
    dan dipercayai wujud di dunia ini hampir 4,000 juta tahun lamanya.
    Dalam tempoh tersebut, hidupan ini menjalani kehidupan yang
    berbeza-beza dan cukup menarik.

    Organisme mikroskopik ini merupakan hidupan satu sel yang sebahagian besarnya hidup di atas permukaan objek.

    Dengan pelbagai bentuk dan saiznya yang berbeza-beza, mereka berkembang biak secara membelah dua dalam beberapa jam.

    Sebagai komponen semula jadi yang terdapat di tasik, tanah, tubuh
    manusia dan haiwan hampir sebahagian besar bakteria tidak berbahaya
    kepada manusia.

    Sebaliknya, organisme yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ini
    mempunyai sumbangan dan peranan yang tidak kurang pentingnya kepada
    dunia dan manusia.

    Mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa interaksi bakteria dengan
    lain-lain hidupan mampu menghasilkan sesuatu yang bermanfaat.

    Ini termasuklah dalam proses pembuatan tanah, makanan lembu,
    mengawal serangga, ubat-ubatan, bioplastik, tumbuh-tumbuhan,
    mengurangkan pencemaran seperti minyak, plastik dan sebagainya.

    Sebagai contoh, sebahagian besar haiwan mamalia seperti lembu dan
    kambing bergantung kepada bakteria untuk membantu menghadamkan makanan
    mereka.

    Dunia juga terhutang kepada bakteria kerana keupayaannya menghasilkan ubat-ubatan seperti antibiotik untuk merawat penyakit.

    Seiring dengan wujudnya teknik mikrobiologi moden, bakteria bukan
    saja digunakan untuk menghasilkan ubat-ubatan yang diimport dari luar
    negara, bahkan plastik mesra alam.

    Tetapi, tidak dinafikan ada kalanya interaksi bakteria ini jika
    tidak `kena pada tempatnya' boleh memudaratkan, sekali gus menyebabkan
    jangkitan penyakit.

    Bakteria Escherichia coli atau singkatannya E. coli, juga di sebut
    sebagai E.kolai adalah sejenis basilus gram-negatif. Ia merupakan
    sebahagian flora normal usus pada haiwan dan manusia. Sebagai flora
    normal, E. coli membantu menghalang penempatan organisme patogen yang
    menyebabkan penyakit.

    Selain itu, E. coli juga menghasilkan vitamin K dan B kompleks yang diperlukan tubuh.
    ``Bagaimanapun, sekiranya E. coli beralih daripada ekosistem
    asalnya, bakteria ini menjadi berbahaya. Ia dilaporkan, antara agen
    penyebab jangkitan saluran kencing (UTI), jangkitan kuman dalam darah
    atau septisemia, radang selaput otak pada bayi (neonatal meningitis),
    cirit-birit dan jangkitan luka selepas pembedahan terutama yang
    melibatkan pembedahan usus,'' kata Pakar Perunding Mikrobiologi dan
    Kawalan Infeksi, Jabatan Mikrobiologi, Hospital Universiti Kebangsaan
    Malaysia (HUKM), Profesor Madya Dr. Nordiah Awang Jalil.

    Bakteria E. coli julung kalinya ditemui dalam usus manusia oleh seorang pakar bakteria Jerman, Theodor Escherich pada 1885.

    Beliau berjaya membuktikan bahawa terdapat beberapa jenis bakteria
    yang bertanggungjawab menyebabkan cirit-birit pada kanak-kanak.
    Bakteria ini juga dipercayai menyebabkan radang pada perut dan usus
    atau juga dikenali sebagai gastroenteritis.

    Ia merupakan kejayaan terbesar dalam kesihatan orang awam. Peringkat awal, bakteria ini lebih dikenali sebagai Bacterium coli.

    Bagaimanapun, namanya diubah kepada Escherichia coli sebagai satu penghormatan kepada individu pertama yang menemuinya.

    Menurut Nordiah, E. coli dibahagikan kepada pelbagai jenis atau
    serogroup berdasarkan antigen O, H dan K. Antara faktor yang
    menyebabkan bakteria E. coli ini menjadi ganas dan punca penyakit ialah
    kehadiran adhesin iaitu rerambut halus yang melekat pada mukosa. ``Pada
    masa yang sama, penghasilan toksin iaitu sejenis racun daripada
    bakteria ini boleh merosakkan tubuh,'' katanya.

    Lebih 80 peratus agen penyebab UTI adalah E. coli. UTI lebih ketara
    di kalangan wanita kerana beberapa faktor seperti uretra wanita yang
    lebih pendek berbanding lelaki. Pada masa yang sama, kedudukan faraj
    dan dubur yang berhampiran.

    Pesakit yang mengalami UTI kata Nordiah, biasanya mengeluh rasa
    pedih semasa membuang air kecil, kerap membuang air kecil atau tidak
    dapat menahan untuk membuang air kecil.


    Bagaimana E. coli dikenal pasti?

    E. coli boleh dibiakkan di dalam makmal pada piring agar-agar
    daripada spesimen klinikal seperti najis, air kencing, darah dan cecair
    serebrospina pesakit. Ia kemudian diproses dan dikultur.

    Selepas satu atau dua hari koloni E. coli yang tumbuh pada piring akan dikenal pasti menggunakan ujian biokimia.

    Biasanya proses ini mengambil masa dua hingga tiga hari. Jika E.
    coli ditemui dalam air, ini boleh menjadi petanda bahawa air itu
    tercemar dengan najis haiwan atau manusia. Ia boleh terjadi sama ada
    melalui kumbahan sisa najis, yang boleh mengakibatkan penyakit tularan
    najis ke mulut seperti Salmonelosis dan kolera.


    E. coli penyebab gastroenteritis dan cirit-birit terdiri daripada beberapa jenis:
    * Enterotoksigenik E. coli (ETEC)
    Biasanya cirit-birit ini dialami pengembara dan bayi di
    negara-negara kurang membangun. Ia berpunca daripada makanan atau
    minuman yang tercemar dengan najis.
    Antara gejala yang dialami ialah kekejangan perut, muntah dan cirit-birit.

    * Enteropatogenik E. coli (EPEC)
    Ia menyebabkan cirit-birit pada bayi. Antara gejala yang dialami ialah demam, mual dan muntah-muntah.

    * Enteroinvasif E. coli (EIEC)
    Jangkitan daripada makanan. Pesakit biasanya mengalami demam, kekejangan perut, cirit-birit yang ada kalanya bercampur darah.

    * Enteroagregatif E. coli (EAEC)
    Ia mengakibatkan cirit-birit berair pada bayi yang berlanjutan sehingga pesakit mengalami dehidrasi.

    * Enterohemoragik E. coli (EHEC)
    Jenis ini berpunca daripada bakteria E. coli 0157:H7 yang
    mengakibatkan penyakit yang serius kepada manusia. Pesakit yang
    mengalami cirit-birit ini melarat hingga menyebabkan pendarahan usus.

    Bakteria ini akan masuk ke dalam perut dan usus kecil. Ia
    kemudiannya melekat pada permukaan usus besar dan mengakibatkan radang
    pada dinding usus. Tindak balas ini disebabkan toksin yang dihasilkan
    oleh bakteria terbabit.

    Ia berpunca daripada pengambilan produk tenusu seperti susu atau jus
    buah yang tidak dipastur, sayur-sayuran yang tidak dimasak seperti
    salad dan produk daging separuh masak.

    Antara gejalanya ialah kekejangan perut dan cirit-birit berdarah.
    Keadaan ini boleh berlanjutan hingga pesakit mengalami komplikasi
    hemolytic uremic syndrome (HUS).

    Ia menyebabkan komplikasi seperti kegagalan buah pinggang akut, sel
    platelet menjadi rendah dan kekurangan sel darah merah. Kira-kira tiga
    hingga lima peratus meninggal dunia akibat komplikasi ini.

    E. coli O157:H7 buat pertama kalinya menyebabkan wabak penyakit
    cirit-birit berdarah berlaku pada 1982. Wabak itu dipercayai berpunca
    daripada burger yang tercemar. Selepas itu wabak E. coli O157:H7 juga
    telah dilaporkan terjadi di Amerika Syarikat, Jepun dan United Kingdom.


    Rawatan

    Rawatan untuk UTI, jangkitan kuman dalam darah atau septisemia,
    radang selaput otak pada bayi dan jangkitan pada luka pembedahan,
    pesakit perlu diberi ubat antibiotik tertentu.

    Sebaliknya, pesakit yang mengalami cirit-birit perlu mendapat air
    dan garam gantian secukupnya sama ada melalui minuman atau intravena.
    Bagaimanapun, agen menghalang pergerakan usus seperti lomotil tidak
    disyorkan kerana ia mengakibatkan cirit-birit yang dialami menjadi
    semakin serius.


    Pencegahan

    Sehingga kini, belum ada vaksin digunakan secara rutin untuk mencegah jangkitan E. coli.
    Penggunaan antibiotik profilaksis juga tidak disyorkan kecuali
    kepada individu yang berisiko tinggi menghidap cirit-birit akibat
    mengembara.

    Lebih penting amalan kebersihan diri dan menggunakan air
    bersih dapat membantu mengelakkan masalah ini. Selain itu:
    * Mengelakkan daripada menggunakan kateter membuang air kecil
    * Menyusu bayi dengan susu ibu
    * Pastikan daging yang dimakan masak sepenuhnya
    * Minum susu yang dipasteur
    * Kepada pengembara, pastikan mengamalkan makanan yang dimasak dan minum air yang dibotolkan atau dididihkan.

    Usah abai penjagaan diabetes (Kosmo)

    Rawatan diabetes adalah tanggungjawab sepanjang hayat, baik bagi penghidap mahupun ahli keluarga terdekat.


    SELAIN suntikan insulin, penghidap perlu peka kepada vaksin terkini bagi penyakit lain.


    BUKAN sekadar orang yang gemuk cenderung menghidap diabetes. Mereka yang kurus juga berisiko mendapat penyakit kencing manis ini jika corak pemakanan dan gaya hidup sihat tidak dijaga atau diamalkan.

    Paterikan dalam fikiran tentang peringatan ini - diabetes adalah penyakit yang serius.

    Maka, bagi mereka yang telah didiagnosis menghidapinya, hendaklah membulatkan tekad untuk mengikuti komitmen penjagaan kesihatan sepanjang masa.

    Percayalah, usaha itu berbaloi kerana bukan sahaja dapat mengurangkan risiko kesihatan, malah menghindarkan masalah yang mengancam nyawa.

    Berikut adalah 10 kaedah rawatan dan penjagaan yang membolehkan penghidap menikmati hari mendatang dengan lebih baik:

    1. Komitmen untuk menangani diabetes

    Pasukan perubatan seperti doktor, jururawat dan pakar diet boleh membantu anda dalam memahami dan menyokong rutin penjagaan diabetes. Pokok pangkalnya, diri anda perlu berjanji untuk berubah dan melaksanakan penjagaan itu demi masa depan sendiri.

    Antara aspek gaya hidup yang perlu diberi tumpuan adalah soal pemakanan sihat, senaman dan berat badan.

    Pada masa yang sama, pastikan paras gula dalam darah selalu diperiksa supaya paras sasaran seperti yang dinasihatkan doktor dapat dicapai.

    Jangan berlengah jika memerlukan perhatian dan rawatan diabetes dari pihak klinik atau hospital.

    2. Hentikan tabiat merokok

    Jika anda menghisap rokok atau apa juga jenis tembakau lain, dapatkan panduan doktor untuk menghentikan tabiat tersebut.

    Merokok akan meningkatkan risiko terhadap pelbagai komplikasi diabetes seperti serangan jantung, strok, kerosakan saraf dan penyakit buah pinggang.

    Perokok yang menghidap diabetes adalah tiga kali ganda berhadapan dengan maut akibat penyakit kardiovaskular berbanding penghidap diabetes yang tidak merokok.

    3. Kawal tekanan darah dan paras kolesterol

    Tekanan darah tinggi boleh merosakkan saluran darah.

    Paras kolesterol yang tinggi juga perlu diberi tumpuan memandangkan kemungkinan kerosakan saluran darah itu lebih berganda bagi penghidap diabetes.

    Apabila kedua-dua masalah ini bergabung, seseorang penghidap boleh diancam masalah kesihatan yang mengancam nyawa seperti serangan jantung dan strok.

    Semua itu boleh dicapai dengan mengambil pemakanan sihat dan sering bersenam.


    RUJUK kepada pakar diet untuk memahami konsep pemakanan ideal.


    4. Ikuti pemeriksaan tahunan untuk mata dan fizikal

    Dengan mengikuti rutin pemeriksaan diabetes, tidak bermakna pemeriksaan tahunan terhadap tubuh dan mata boleh diabaikan.

    Semasa pemeriksaan kesihatan tubuh, doktor boleh mengenal pasti komplikasi yang berkaitan diabetes seperti tanda-tanda kerosakan fungsi buah pinggang, saraf atau masalah jantung.

    Pemeriksaan mata pula boleh mengesan sekiranya seseorang pesakit mengalami katarak, glaukoma atau kerosakan pada retina.

    5. Pastikan vaksin yang terkini

    Gula dalam darah tinggi boleh melemahkan sistem imunisasi seterusnya meningkatkan kepentingan pengambilan vaksin. Dapatkan konsultasi doktor tentang vaksin flu untuk menghindar komplikasi demam selesema.

    Vaksin pneumonia yang lebih daripada satu dos suntikan amat penting bagi penghidap diabetes yang ebrusia 65 tahun ke atas. Tidak ketinggalan, pastikan anda mengambil tahu tentang suntikan tetanus dan juga hepatitis B.

    6. Jaga kebersihan gigi

    Diabetes membuatkan penghidapnya cenderung kepada jangkitan gusi. Maka, nasihat mengenai rutin memberus gigi sekurang-kuragnya dua kali sehari itu banyak kepentingannya.

    Selain itu, pastikan amalan flos dilakukan dan pastikan temu janji dengan doktor gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun. Temui doktor gigi segera jika terlihat gusi dalam keadaan berdarah, bengkak atau kemerah-merahan.

    7. Beri perhatian kepada kaki

    Gula dalam darah yang tinggi boleh merosakkan saraf di kaki lantas menjejaskan pengaliran darah ke bahagian tersebut. Jika dibiarkan kemelaratan itu tanpa dirawat, sebarang kejadian luka dan lepuhan boleh menjadi jangkitan serius.

    Antara langkah penjagaan kaki adalah seperti membasuh kaki dengan air hangat setiap hari, mengeringkannya dengan baik terutama di celah-celah jari, sapukan pelembap hingga ke pergelangan kaki dengan losyen serta rawat kaki secepat mungkin jika terdapat luka, ruam, lepuhan atau bengkak.

    8. Ambil aspirin harian

    Aspirin mengelakkan darah anda daripada tersumbat. Dengan mengambil aspirin setiap hari. ia mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.

    Kedua-dua penyakit ini adalah kemungkinan yang berbahaya jika seseorang itu menghidap diabetes. Maklumat lanjut tentang terapi pengambilan aspirin harian boleh ditanyakan terus kepada doktor. Tanyakan juga dos yang bersesuaian.


    TABIAT makan yang tidak terkawal membawa mudarat.


    9. Elakkan minuman beralkohol

    Bergantung kepada berapa banyak anda minum dan makan pada waktu yang sama, alkohol akan menyebabkan gula dalam darah menjadi rendah.

    Bagi mereka yang memilih untuk minum, dinasihatkan agar tidak berlebihan dan jangan lupa untuk makan. Kiraan pengambilan kalori harian juga perlu dikira dalam makanan dan minuman beralkohol itu.

    10. Hindari stres

    Kalau anda dalam keadaan stres, pastikan rutin penjagaan diabetes anda akan terganggu. Penghasilan hormon akibat daripada stres yang berpanjangan boleh menghalang insulin daripada menjalankan fungsinya dengan baik.

    Bagi menanganinya, pastikan anda meletakkan had kepada stres dan mulakan pengkhususan keutamaan dalam kerja. Kalau punya masa terluang, pelajari teknik relaksasi dan dapatkan tidur yang secukupnya.

    Kanser usus boleh dicegah? (Kosmo)


    Oleh NURUL HALAWATI AZHARI



    BEGINILAH rupa kanser kolorektal.
    Presiden Persatuan Onkologi Malaysia, Datuk Dr. Mohamed
    Ibrahim Abdul Wahid menjelaskan, kanser boleh ditangani jika ia dikesan
    awal dan belum merebak.


    KANSER kolorektal yang juga dikenali sebagai kanser usus adalah
    penyakit kanser yang utama bagi orang lelaki dan ketiga paling banyak
    menyerang kaum wanita di negara ini.

    Penyakit ini pula paling tinggi menyerang masyarakat Cina.
    Setiap tahun di seluruh dunia, 655,000 kematian dilaporkan akibat
    kanser ini. Kanser usus menjadi kes kanser ketiga yang paling utama dan
    penyebab kematian kedua di Barat.

    Di Asia, terutama di Jepun dan Singapura, jumlah kes kanser semakin meningkat dalam tempoh sedekad lalu.
    Kanser usus juga telah mengambil alih kanser paru-paru sebagai kanser utama yang menyerang lelaki.
    "Dahulu, kanser usus bukanlah sesuatu yang biasa di Jepun, Singapura
    atau negara Asia yang lain. Satu teori yang dikaitkan adalah diet
    mereka kini bertukar mengikut diet Barat.

    "Mereka kurang makan makanan yang berserat, minum banyak alkohol dan daging.
    "Saya tak mengatakan daging faktor penyebab kanser. Tetapi tabiat
    pemakanan boleh jadi satu faktor. Diet memainkan peranan utama. Ini
    mungkin boleh menjelaskan kenapa insiden kanser kolon semakin meningkat
    di Malaysia, Singapura dan Jepun," menurut Presiden Persatuan Onkologi
    Malaysia, Datuk Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Wahid.


    GAMBARAJAH menunjukkan tahap serangan kanser kolorektal yang menyerang usus.




    MOHAMED IBRAHIM




    ADA yang percaya kanser ini hanya menyerang lelaki tetapi pada hakikatnya ia juga menyerang wanita.



    Kanser boleh sembuh kalau disedari lebih awal. Inilah mesej yang
    sentiasa diberi para doktor. Tetapi pesakit mungkin memerlukan beberapa
    jenis rawatan.
    Menurut Mohamed Ibrahim, rawatan untuk kanser adalah sesuatu yang
    kompleks dan mencabar. Jika kanser usus disedari pada peringkat awal
    dan tidak merebak, ia boleh disembuh.
    "Jika disedari pada peringkat lewat, peluang untuk sembuh adalah
    kurang cerah. Rawatan berlainan diperlukan bagi peringkat awal dan
    peringkat lanjut dengan kaedah yang berbeza, kami akan lihat berapa
    lama pesakit boleh hidup dalam masa lima tahun.

    "Kita tak melihat kepada jangka hayat mereka tetapi bagaimana mereka meneruskan survival. Adakah mereka selesa atau sebaliknya," kata Mohamed Ibrahim.

    Pakar onkologi perlu menilai beberapa aspek sebelum membuat
    keputusan tentang rawatan yang terbaik bagi pesakit. Pembedahan
    merupakan pilihan atau pilihan utama manakala kemoterapi atau
    radioterapi dicadangkan bergantung kepada keadaan pesakit dan faktor
    perubatan yang lain.

    Terdapat pelbagai jenis penyakit kanser, begitu juga rawatannya.
    Bagi sesetengah orang, mereka mungkin terdengar tentang satu atau
    dua kaedah rawatan kanser tetapi doktor mungkin menggabungkan beberapa
    jenis terapi bukan sahaja untuk membuang kanser tersebut, juga untuk
    memastikan bahawa kanser tersebut tidak akan kembali.

    Pakar Runding Onkologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr.
    Christina Ng berkata, kemampuan doktor mengenalpasti sel kanser secara
    spesifik adalah satu penemuan yang luar biasa.

    Ini membantu sel-sel tersebut menjadi 'sasaran' dan dilemahkan, lantas membantutkan pembesaran kanser itu.

    Rawatan seperti ini adalah pencapaian yang signifikan jika
    dibandingkan dengan kaedah konvensional seperti kemoterapi yang
    membunuh semua sel yang ada.

    "Rawatan ini diasaskan kepada pemahaman bahawa sel-sel kanser
    membesar lebih cepat daripada sel normal, jadi sel kanser akan binasa
    terlebih dahulu.

    "Bagaimanapun ada sel lain yang membesar dengan cepat seperti sel
    usus, sum sum tulang, folikel rambut dan rahim. Ini juga akan binasa."
    Sementara itu, terapi sasaran seperti Cetuximab hanya menyerang sel
    kanser. Cetuximab boleh melekat pada reseptor faktor pembesar epidermal
    (EGFR) dan menyekat sel kanser daripada menerima nutrien untuk
    pembesaran dan percambahan.

    Ini menghalang tumor daripada menyerang tisu normal dan merebak
    kepada organ. Cetuximab sebenarnya membuat sel kanser 'kebuluran'.
    Sehubungan itu, kaedah terapi sasaran mempunyai kesan sampingan yang
    kurang. Menurut Global Cancer News, Cetuximab merupakan antibodi
    monoklonal yang boleh digunakan bagi rawatan kanser usus, leher dan
    kepala.
    Cetuximab, yang mempunyai penanda bio prediktif adalah rawatan
    barisan hadapan bagi kanser kolorektal bermetastasis, membantu dalam
    pemilihan pesakit yang sesuai untuk terapi ini.

    Penanda bio ini, dinamakan KRAS, adalah protein yang mengawal EGFR.
    Menurut Daftar Majlis Barah Kebangsaan, terdapat beberapa situasi
    yang menimbulkan pelbagai persepsi terhadap kanser. Ada yang percaya
    kanser ini hanya menyerang lelaki tetapi pada hakikatnya ia juga
    menyerang wanita.

    Adalah tidak benar kanser usus tidak boleh dihalang. Ini kerana
    amaran awal seperti kehadiran tanda dan gejala seperti polip boleh
    dibuang sebelum kanser tersebut membesar dan merebak.

    Kebanyakan kes kanser usus di Malaysia melibatkan mereka yang berumur lebih 40 tahun.
    Ia juga merupakan satu mitos bila dikatakan rawatan kanser
    membinasakan kedua-dua sel normal dan sel kanser. Hakikatnya, doktor
    mempunyai opsyen rawatan seperti surgeri, radioterapi, kemoterapi dan
    terapi sasaran.

    "Kesan sampingan seperti rasa mual dan muntah boleh dikawal.
    "Ramai juga yang menjalani rawatan alternatif kerana mereka percaya
    rawatan alternatif boleh menyembuh barah. Tetapi mereka harus sedar
    bahawa kaedah rawatan kanser perlu melalui ujian yang intensif dan
    pembuktian secara saintifik sama ada mujarab atau sebaliknya.

    "Sehingga kini, tiada ujian dan pengesahan berhubung keberkesanan
    perubatan alternatif dalam merawat kanser", tambah beliau. - Bernama

    Penyakit Kelamin Gonorrhoea


    Gonorrhoea merupakan salah satu daripada penyakit kelamin (Sexually Transmitted Diseases - STDs) yang kerap berlaku. Gonorrhoea boleh menjadi teruk sekiranya tidak dirawat dan akan menyebabkan pelbagai komplikasi yang lain. Malangnya ramai di antara mangsa Gonorrhoea sehingga 80%, tidak menyedari mereka telah dijangkiti Gonorrhoea. Ini adalah disebabkan dalam kebanyakan kes, jangkitan Gonorrhoea tidak menunjukkan tanda-tanda yang nyata.

    Apa itu Gonorrhoea

    Gonorrhoea disebabkan oleh jangkitan bakteria Neisseria gonorrhoeae yang merebak melalui hubungan kelamin, yang menjangkiti saluran pembiakan dalaman seperti uterus, salur fallopian, dan ovari. Kadang-kala tanda-tanda Gonorrhoea dapat dikesan, tetapi dalam kebanyakan kes penghidap Gonorrhoea tidak menunjukkan sebarang tanda yang ketara. Kuman Gonorrhea
    boleh didapati pada bahagian berlendir badan seperti saluran pembiakan, zakar, dubur, kerongkong, faraj, dan serviks. Sekiranya penyakit Gonorrhoea tidak dirawat, Gonorrhea juga boleh merebak kepada bahagian rahim dan salur fallopian, menyebabkan penyakit radang pelvik (Pelvic Inflammatory Disease - PID). Sekiranya ini berlaku, komplikasi bagi wanita seperti percantuman pada salur fallopian boleh menyebabkan kemandulan dalam 10% kes, dan juga masalah kehamilan di luar rahim. Sekiranya Gonorrhoea menjangkiti wanita yang mengandung, bayi yang dilahirkan secara normal menghadapi risiko dijangkiti Gonorrhoea dan menjadi buta.

    Untuk mengelakkan keadaan ini, kebiasaanya, bayi akan dilahirkan melalui pembedahan Caesarean. Sekiranya bayi dilahirkan secara normal, rawatan menggunakan lapsis (silver nitrate) yang diletakkan pada mata bayi sekiranya terdapat tanda jangkitan. Sebelum 1985 rawatan ini digunakan secara meluas, tetapi kini ia hanya digunakan apabila terdapat tanda jangkitan.

    Bagi kedua-dua golongan lelaki dan wanita masalah jangka panjang bagi Gonorrhea yang tidak dirawat adalah bengkak sendi arthritis kategori gonococcal arthritis boleh menyebabkan sendi jadi bengkak dan kaku. Jangkitan darah "Fatal septicemia" yang boleh membawa maut, juga merupakan salah satu komplikasi yang boleh berlaku.


    Golongan berisiko

    Sesiapa yang aktif secara seksual boleh dijangkiti Gonorrhea, dan penyakit Gonorrhea lebih kerap merebak di kalangan golongan yang lebih muda, antara umur 15 - 30 tahun. Ini disebabkan tabiat golongan muda yang menjalinkan hubungan rambang dengan dari satu pasangan seksual.

    Gonorrhea juga lebih luas merebak dikawasan bandar berbanding kawasan luar bandar. Selain itu peratusan kes Gonorrhea dikalangan kumpulan homoseksual juga meningkat. Di Amerika
    Syarikat sahaja, di anggarkan terdapat 800,000 kes dilapurkan setiap tahun.


    Apakah Tanda Gonorrhoea

    Mereka yang dijangkiti Gonorrhoea menunjukkan tanda-tanda
    seperti :-

    Lelaki
    • Keluar cecair bewarna kekuningan (creamy) atau hijau daripada
      alat kelamin.
    • Sakit seperti terbakar apabila kencing.
    • Gatal-gatal pada bahagian dubur.
    • Radang (gatal-gatal) pada bahagian kerandut zakar
    • Radang pada bahagian kelanjar prostate (boleh ditentukan
      dengan pemeriksaan doktor.)
    Tanda-tanda ini kelihatan pada hari ke 2-7 selepas
    jangkitan pada lelaki. 10% - 15% lelaki tidak menunjukkan sebarang tanda
    jangkitan Gonorrhea.


    Wanita
    • Peningkatan keluaran lendir bewarna kekuningan (creamy) atau
      hijau daripada alat kelamin.
    • Peningkatan jumlah cecair yang keluar dari alat kelamin.
    • Pendarahan antara tempoh haid.
    • Sakit apabila kencing.
    • Gatal-gatal pada bahagian alat kelamin.
    • Sakit / memulas bahagian bawah perut.
    • Sakit apabila bersetubuh.
    • Jangkitan kerongkong.
    • Demam.
    • Jangkitan dalaman
      • Sembelit
      • Keluar lendir bewarna kekuningan (creamy) atau hijau daripada
        dubur.
      • Gatal bahagian dalam dubur/alat sulit.
      • Sakit ketika membuang air besar dan ada darah bersama najis.
      • Dubur berdarah.


    Tanda-tanda ini biasanya kelihatan pada hari ke 2-30 selepas jangkitan dikalangan 20% kes bagi wanita. Bagaimanapun, dalam 80% kes tiada sebarang tanda jangkitan Gonorrhea kelihatan di kalangan wanita.

    Mereka yang tidak menunjukkan sebarang tanda menghadapi risiko lebih tinggi menghadapi komplikasi daripada jangkitan Gonorrhea teruk, dan tanpa disedari akan menyebarkan jangkitan Gonorrhea. Dari tempoh jangkitan Gonorrhea akan terus merebak sehingga dirawat dengan betul. Jangkitan yang terdahulu tidak menjadikan seseorang immune kepada Gonorrhea, malah komplikasi boleh berlaku dengan lebih pantas berbanding dengan mereka yang
    mengalami Gonorrhea kali pertama. Jangkitan kali kedua juga menambah risiko mendapat jangkitan HIV.


    Masalah jangka panjang

    Dianggarkan 2% daripada pesakit Gonorrhea yang tidak dirawat akan mengidap Jangkitan Gonococcal Meluas (Disseminated Gonococcal Infection (DGI)). Tanda-tanda Jangkitan Gonococcal Meluas adalah :-

    • Sakit sendi tulang (Gonococcal Arthritis)
    • Demam
    • Kudis pada kulit

    Gonorrhea yang tidak dirawat juga boleh tersebar melalui salur darah dan boleh menjangkiti :-
    Selain itu, masalah jangka panjang bagi lelaki
    adalah :-

    • Epididymitis (Radang pada keradut zakar (testicles) yang boleh menyebabkan kemandulan).
    • Sakit sendi tulang (Gonococcal Arthritis)
    • Jangkitan organ lain.
    • Bengkak pada kerandut zakar dan zakar.

    Masalah jangka panjang bagi wanita adalah :-

    • Kudis (Abscesses)
    • Mengandung luar rahim yang boleh menyebabkan kematian pada ibu. (Ectopic pregnancy)
    • Pelvic Inflammatory Disease (PID). Jangkitan yang merebak dari faraj dan serviks kepada uterus dan salur fallopian dan menyebabkan kemandulan.
    • Jangkitan pada hati (Perihepatitis).
    • Mandul pada wanita.
    • Salur fallopian tersumbat yang menghalang telur yang subur memasuki rahim dan menyebabkan kemandulan.
    • Jangkitan sekeliling hati (Perihepatitis).
    • Tisu tebal (scar) terbentuk pada saluran fallopian.

    Jangkitan

    Walaupun Gonorrhoea tersebar melalui hubungan seks, Gonorrhoea juga boleh merebak melalui kaedah yang lain. Cara Gonorrhoea merebak adalah melalui :-

    • Hubungan kelamin termasuk :-

      • Hubungan kelamin biasa. (30-50% lelaki, 60%-90% wanita.)
      • Alat kelamin ke mulut (Gonococcal pharyngitis)
      • Alat kelamin ke dubur

    • Dari ibu kepada bayi ketika proses kelahiran semasa bayi
      melalui saluran peranakan yang menyebabkan jangkitan dan kerosakan pada
      mata.
    • Melalui sentuhan pada bahagian yang sakit.
    • Melalui najis pesakit.
    • Vulvovaginitis pada kanak-kanak melalui pakaian yang bercampur
    • dengan pakaian pesakit Gonorrhoea ketika dibasuh. Ini boleh menyebabkan satu keluarga dijangkiti Gonorrhoea sekiranya bapa terkena Gonorrhoea. Vulvovaginitis juga terdapat dalam kes penderaan seksual.

    Pengesanan dan Pengesahan

    • Cara terbaik mengelakkan Gonorrhoea adalah dengan mengelak dari melakukan hubungan kelamin (bagi yang belum berkahwin) atau melakukan hubungan dengan pasangan yang dikahwini sahaja.

    • Bagi mereka yang mengamalkan cara hidup berisiko dan aktif secara seksual, mereka perlu mengamalkan cara yang selamat ketika melakukan hubungan kelamin seperti penggunaan kondom dengan betul, yang menutupi bahagian yang terkena jangkitan penyakit kelamin. Penggunaan kondom dengan betul boleh mengelakkan penyebaran penyakit kelamin disamping mencegah kehamilan yang tidak dirancang.

    • Melakukan pemeriksaan lebih kerap dan secara berkala seperti setiap enam bulan sekali. Mereka juga perlu membersihkan tangan dengan teliti disebabkan bakteria Gonorrhoea boleh merebak kepada mata.

    • Hubungan seksual perlu dilakukan dengan mereka yang diketahui selamat atau dengan satu pasangan sahaja dan dengan menggunakan kondom. Elakkan daripada melakukan hubungan rambang.

    • Mendapatkan penerangan terperinci dengan melawat klinik penyakit kelamin (sexually transmitted disease (STD) clinic), hospital, doktor, atau pengamal perubatan.

    • Selain itu adalah penting bagi wanita untuk menjalani pemeriksaan pap smear bertujuan mengesan sebarang kelainan kepada alat kelamin. Pengesanan awal perubahan yang diperoleh daripada ujian ini adalah langkah pencegahan terbaik bagi mengelakkan kanser
      rahim
      .

    Ramai doktor gemar menggunakan lebih dari satu ujian bagi mengenalpasti Gonorrhoea agar lebih tepat. Terdapat tiga jenis ujian makmal yang boleh dilakukan untuk memastikan Gonorrhoea iaitu :-

    • Mewarnakan Contoh Biologi (Staining Biological Samples)

      • Ujian mewarnakan contoh biologi dilakukan dengan meletakkan contoh lendir yang keluar dari zakar atau serviks dan mewarnakannya dengan pewarna (dye). Ujian ini adalah lebih tepat bagi lelaki berbanding wanita disebabkan hanya 1/2 wanita yang dijangkiti dapat dikesan dengan menggunakan ujian ini.


    • Penkulturan (Cultures)

      • Membiakkan bakteria dalam makmal dengan menggunakan lendiran yang keluar untuk dikulturkan dalam petri kultur (culture plate) dan mengeramkannya sehingga 2 hari untuk membenarkan bakteria membiak. Penkulturan contoh serviks mengesan 90% daripada mereka yang dijangkiti. Penkulturan juga boleh dilakukan dengan menggunakan sapuan kerongkong (throat swabs).

    • Mengesan gen Bakteria atau ujian Nucleic Acid (DNA)

      • Mengesan gen Bakteria atau ujian Nucleic Acid (DNA) digunakan dengan menggunakan air kencing atau sapuan serviks (cervical swabs) untuk mengesan gen bakteria. Ujian ini adalah lebih tepat berbanding penkulturan.

    Diagnosis

    Sekiranya anda mempunyai tanda-tanda seperti di atas, atau mempunyai hubungan kelamin dengan mereka yang diketahui mempunyai penyakit kelamin atau mereka yang tidak dikenali, atau dirogol, anda perlu berjumpa dengan doktor serta merta. Anda perlu memberitahu doktor untuk pemeriksaan penyakit kelamin.


    Pemeriksaan

    sapuan pap (pap smears) hanya menumpu kepada pemeriksaan kelainan pada sel serviks (cervical cell), dan bukannya untuk penyakit kelamin. Dengan permintaan khusus, pihak makmal akan menguji penyakit Gonorrhoea secara khusus.

    Jika anda ada melakukan hubungan seks rambang tanpa menggunakan kondom, anda perlu menguji diri anda untuk penyakit kelamin. Ini adalah untuk memastikan anda bebas daripada sebarang penyakit kelamin dan juga agar anda boleh mendapatkan rawatan untuk penyakit kelamin sekiranya anda dijangkiti. Sekiranya anda didapati positif mempunyai sebarang penyakit kelamin, anda perlu memberitahu pasangan anda, kerana penyakit kelamin boleh berjangkit.

    Selain daripada menghalang penyakit kelamin daripada terus merebak, pasangan anda mungkin tidak sedar tentang tanda-tanda penyakit. Dengan memberitahu pasangan anda, ini membantu pasangan anda untuk mendapat rawatan yang sempurna. Walaupun anda mungkin merasa malu atau rendah diri untuk memberitahu pasangan anda bahawa mereka mempunyai masalah ini, amat penting mereka diberitahu untuk mengelakkan mereka menghadapi masalah jangka panjang.


    Rawatan

    Penyakit Gonorrhoea mudah dirawat dengan pengambilan antibiotik dalam bentuk pil, atau suntikan tempoh tertentu. Bagaimanapun Gonorrhoea semakin tahan kepada ubat-ubatan biasa. Antibiotik yang digunakan sekarang adalah :-

    • Cefixime
    • Ceftriaxone
    • Ciprofloxacin *(Tidak sesuai bagai mereka yang
      mengandung)
    • Ofloxacin
      *(Tidak sesuai bagai mereka yang mengandung)
    • Tetracycline


    * Antibiotik Ciprofloxacin dan Ofloxacin perlu dielakkan sekiranya anda mengandung atau bawah 18 tahun.

    Pengidap Gonorrhea biasanya juga mengidap jangkitan Chlamydial, sejenis penyakit kelamin yang lain. Gabungan antibiotik yang mampu merawat kedua-dua penyakit adalah
    :-



    • Azithromycin
    • Ceftriaxone
    • Doxycycline

    Untuk memastikan rawatan yang diberikan berkesan, anda perlu mendapatkan rawatan seberapa segera sebelum kemandulan berlaku. Jangan berlengah kerana kemandulan hanya diketahui apabila anda cuba untuk mengandung.

    Menghindar adalah cara terbaik untuk mengelakkan jangkitan Gonorrhoea atau sebarang penyakit kelamin. Gunakan kondom kerana kondom berkesan sehingga 99% mengelakkan jangkitan penyakit kelamin. Atau elakkan daripada hubungan rambang, dan sebaiknya berkahwin. hubungan rambang, dan sebaiknya berkahwin.


    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...