PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Sunday, June 5, 2011

Misteri E.coli menyukai wanita


RUPA E.coli jenis baharu yang kini amat ditakuti masyarakat Eropah.


PENULARAN wabak E.coli di Jerman dan beberapa negara Eropah sudah meragut sekurang-kurangnya 18 nyawa sehingga Jumaat lalu manakala lebih 1,800 lagi dirawat di hospital selepas mengadu cirit-birit.

Dalam kebanyakan kes penularan wabak sebelum ini, mangsa terdiri daripada kanak-kanak kerana sistem imun tubuh mereka belum dapat melawan keracunan makanan tetapi dalam kes E.coli di Jerman, kebanyakan daripada kira-kira 1,200 mangsa adalah wanita.

Para saintis tidak mengetahui puncanya. Salah satu teori ialah mangsa merupakan golongan yang gemar mengambil makanan organik dan rendah kalori seperti timun dan salad.

Bagaimanapun, saintis kini semakin berhati-hati dengan pandangan itu. Dr. Ulf Goebel dari Hospital Universiti Charite di Berlin berkata, bakteria jenis baharu yang dikesan di Jerman itu mungkin mempunyai sebab yang spesifik untuk menghuni tubuh wanita berbanding lelaki.

Apa yang menarik, dalam wabak yang melibatkan E.coli jenis itu di Amerika Syarikat pada tahun 1994, kebanyakan mangsa juga adalah wanita dengan purata umur 36 tahun.

Sehingga punca sebenar bakteria itu dikenali, pegawai-pegawai kesihatan Jerman menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada memakan tomato, timun dan salad mentah.

Basuh

Agensi Standard Makanan Britain (FSA) memberitahu, pengguna mesti membasuh dahulu buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum memakannya.

Agensi itu berkata: “Ia satu tindakan yang bagus untuk membasuh dahulu sayur dan buah yang anda ingin makan bagi memastikan ia bersih daripada kuman.

“Membuang kulit atau memasaknya juga boleh menyingkirkan bakteria.”

Namun, pakar Scotland berkata penyelidikan baharu mendapati membasuh sahaja tidak mencukupi kerana bakteria itu sudah masuk ke dalam makanan mentah terbabit.

Dr. Nicola Holden dari Institut James Hutton, Scotland berkata, bakteria yang berasal daripada haiwan itu boleh melekat pada tanaman menerusi parit atau semburan air. Kadangkala ia tercemar semasa proses membungkus dan menghantar produk berkenaan.

Holden berkata, bakteria itu boleh berkumpul pada akar pokok sebelum naik ke daun dan buahnya.




“Ancaman kepada kesihatan manusia bukan disebabkan bakteria ini mendiami permukaan pokok sahaja bahkan ia sukar dibuang selepas proses menuai,” katanya.

Profesor Brendan Wren dari Sekolah Perubatan Tropika dan Kebersihan London pula menambah, E.coli melekat pada makanan segar seperti daun salad, bayam dan timun.

“E.coli jenis ini boleh hidup dalam persekitaran yang ekstrem berbanding E.coli biasa bahkan mampu menghasilkan toksin berbahaya kepada tubuh manusia,” ujarnya.

Berdasarkan pengalaman sebelum ini, E.coli tidak memilih mangsa. Selebriti Elton John misalnya pernah dimasukkan ke hospital di London akibat dijangkiti bakteria itu pada November 2009.

Di Malaysia, selain sayur-sayuran, pencemaran bakteria E.coli pernah dikesan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu tahun lalu.

Bagaimanapun, keputusan ujian Jabatan Kimia Terengganu mendapati tahap pencemaran E.coli di situ adalah di antara dua hingga 920 MPN/100ml.

Paras tersebut adalah di bawah tahap maksimum yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 5,000 mpm/100ml.

“Bakteria ini boleh mendiami usus manusia, mamalia dan burung.

“Ia merupakan satu kelompok bakteria yang besar dengan lebih daripada 700 serotaip telah dikenal pasti. Sebahagian besarnya tidak mendatangkan bahaya dan penyakit kepada manusia,” ujar bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican.

----- KOSMO ONLINE

1 comment:

  1. Meminum madu juga boleh menguatkan daya tahan penyakit dan menguatkan sistem penghadaman. Mungkin boleh membantu mengelakkan jangkitan e.coli.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...