PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Followers

Friday, October 7, 2011

Dengar, adakah anak anda berdehit?


PENGGUNAAN alat penyedut mungkin tidak ideal buat kanak-kanak kecil.


PERNAHKAH anda mendengar orang yang merungut tentang penyakit asma mereka? Atau ternampak seseorang yang bernafas menggunakan ubat sedut (inhaler)? Meskipun asma bukan penyakit luar biasa, namun ia masih misteri dalam dunia perubatan moden.

Sehingga hari ini, puncanya masih belum diketahui dan tiada ubat untuk menyembuhkannya. Oleh kerana asma merupakan penyakit keturunan yang diwarisi dalam keluarga, kanak-kanak akan cenderung mendapat asma jika mempunyai anggota keluarga yang menghidapnya.

Setiap kanak-kanak mempunyai enam peratus kecenderungan mendapat asma. Namun, ia meningkat kepada 30 peratus jika salah seorang daripada ibu atau bapa menghidapnya, dan 70 peratus jika kedua-dua ibu dan bapa merupakan penghidap asma.

Secara amnya, asma adalah keadaan saluran pernafasan ke paru-paru yang mengecil atau tersumbat buat sementara waktu lalu mengakibatkan gejala seperti batuk, berdehit, pendek nafas dan sesak dada.

Pesakit yang menghidap asma sering menyamakan serangan asma seperti bernafas melalui penyedut minuman di dalam mulut sambil menutup hidung!

Melihat anak anda tiba-tiba tercungap-cungap untuk bernafas adalah pengalaman yang menakutkan bagi ibu bapa, kerana kanak-kanak lebih mudah mendapat serangan asma kerana saluran pernafasan mereka lebih sempit berbanding orang dewasa.

Semua serangan asma memerlukan perhatian dan rawatan perubatan segera. Begitupun, ibu bapa boleh belajar mengenali tanda-tanda amaran awal serangan, seperti:

n Batuk. Adakalanya, batuk merupakan satu-satunya gejala serangan asma. Jika anak anda kerap batuk, terutama sekali pada waktu malam dan tanpa sebarang penyakit lain yang boleh menjadi punca, segeralah membuat pemeriksaan doktor. Jika batuk itu berterusan selama 2 minggu atau lebih tanpa sebab nyata, maka besar kemungkinan si anak sedang diserang asma.

n Bernafas. Jika anak anda sukar bernafas, dengar dengan teliti kerana ini mungkin menandakan dia akan diserang asma. Dengarkan sebarang bunyi berdehit, bunyi nafas yang kuat dan cepat, dan perhatikan sama ada dia bernafas dengan hidung kembang, atau jika dia kerap berdehem. Kanak-kanak penghidap asma juga sering berdehit apabila bernafas secara normal.

n Simptom lain. Periksa sama ada anak anda menunjukkan gejala fizikal lain seperti muntah, berpeluh dan kulit pucat yang boleh menandakan serangan asma. Dia juga mungkin akan mengadu rasa sesak atau tidak selesa di dada.

Pencetus asma

Walaupun asma seringkali diwarisi daripada ahli keluarga, namun kanak-kanak boleh juga mendapat asma daripada pendedahan faktor-faktor persekitaran yang dikenali sebagai asma alahan. Pencetus-pencetus yang boleh mengakibatkan serangan asma mungkin berbeza antara individu.

Bagi sesetengah kanak-kanak, asma menjadi lebih buruk apabila menyedut asap rokok, bau atau udara tercemar, wap cat dan semburan aerosol.

Bahan-bahan ini mudah merengsa bahagian atas dan bawah saluran pernafasan lalu menyebabkan kanak-kanak berdehit, batuk, dan hidung atau mata berair. Asma juga boleh dicetuskan oleh cuaca, pendedahan kepada udara sejuk atau udara terlalu panas.

Antara pencetus dalam rumah yang lazim boleh mencetuskan serangan asma termasuk:

n Bulu haiwan peliharaan, bulu burung, kelemumur, air kencing atau air liur haiwan peliharaan.

n Hama debu dalam rumah.

n Kulat dan spora.

n Tahi dan bangkai lipas.

n Asap tembakau.

n Minyak wangi, semburan rambut, losen wangi.

n Bahan pencuci, racun serangga, wap cat.

Elakkan perengsa

Cara terbaik untuk membantu kanak-kanak penghidap asma adalah dengan mengelakkan pencetus asma mereka. Namun, kadang-kadang pencetus itu tidak boleh dielak dan hanya boleh diuruskan dengan pengambilan ubat.

Kanak-kanak yang bergejala ringan tidak berterusan, iaitu gejala waktu siang kurang daripada seminggu dan gejala waktu malam kurang daripada dua kali sebulan serta akan sihat pada waktu-waktu lain, tidak perlu mengambil ubat untuk jangka panjang.

Kanak-kanak ini hanya akan menggunakan ubat asma apabila diserang asma. Ini dikenali sebagai ubat penyelamat atau pelega (bronkodilator seperti agonis beta tindakan singkat (SABA) dan antikolinergik) kerana ia bertindak cepat untuk membuka saluran pernafasan bagi membenarkan pernafasan.

Kanak-kanak yang mengalami gejala asma waktu siang lebih dari sekali seminggu, gejala malam lebih dari dua kali sebulan dan mengalami serangan asma yang mengganggu tidur serta aktiviti lebih daripada sekali sebulan akan memerlukan rawatan jangka panjang, iaitu ubat pencegah dalam bentuk sedutan kortikosteroid.

Ubat ini perlu diambil setiap hari bagi mencegah keradangan dan serangan asma. Sekiranya masih tidak terkawal walaupun dengan mematuhi pengambilan ubat sedutan kortikosteroid, maka satu ubat pengawal akan ditambah dalam bentuk agonis B2 tindakan lama atau antileukotriene.

Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang mengikuti terapi jangka panjang perlu kerap berjumpa doktor untuk menilai gejala dan kawalan asmanya serta untuk menyelaras dos ubat dari semasa ke semasa.

Ubat asma paling kerap adalah semburan alat penyedut yang ditekup pada mulut dan ditekan untuk melepaskan kabut ke dalam paru-paru apabila menarik nafas. Kanak-kanak tidak digalak menggunakan ubat sedutan teknik ini kerana ia memerlukan kordinasi.

Mereka perlukan alat corong dengan topeng mulut. Ubat ini akan mengembangkan saluran pernafasan untuk memudahkan kanak-kanak bernafas. Terapi penyedutan merupakan jenis ubat pilihan berbanding ubat makan, kerana ubat yang disedut boleh sampai terus ke paru-paru, dengan hanya sedikit atau tiada kesan sampingan.

Bukan mudah bagi seisi keluarga jika mempunyai anak yang menghidap asma. Namun demikian, dengan langkah berjaga-jaga dan pengurusan yang betul, anda sekeluarga boleh hidup dalam keadaan yang hampir normal.

Ramai kanak-kanak akan sembuh sepenuhnya daripada asma atau kurang mengalami serangan yang teruk apabila lebih besar. Doktor percaya, saluran pernafasan kanak-kanak akan lebih luas apabila mereka lebih besar dan ini memudahkan udara keluar dan masuk lantas mengurangkan kekerapan mereka diserang asma.

Sementara itu, jangan pandang remeh tentang penyakit asma dan sentiasa pastikan ubat anak anda tidak jauh daripada anda. Asma yang tidak dikawal boleh menyebabkan serangan yang lebih teruk dan boleh membawa maut jika tidak segera diberi rawatan kecemasan yang betul.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...