Oleh RAMLI ABDUL KARIM
KEMUNCULAN bakteria antraks ketika dunia sedang menyaksikan peperangan Amerika Syarikat (AS) - Afghanistan (Taliban) telah mencetuskan satu lagi kebimbangan antarabangsa iaitu kemungkinan ancaman serangan biologi.
Kebimbangan itu bukan saja tertumpu di AS iaitu di mana `serangan' bermula, malah menular ke beberapa negara.
Ini termasuklah Afrika Selatan, Australia, Belgium, Brazil, China, Israel, Jepun, Jerman, Korea Selatan, New Zealand, Perancis dan Rusia.
Menurut laporan, jangkitan antraks pada pernafasan yang mengakibatkan kematian di AS baru-baru ini adalah yang pertama di negara itu sejak 1978.
Manakala di Britain, hanya empat kes jangkitan bakteria pembunuh itu dilaporkan sejak 1990.
Pada 1979, kelengkapan tentera Soviet Union secara tidak sengaja telah melepaskan spora aerosol antraks menyebabkan sekurang-kurangnya 79 orang dijangkiti dan 68 daripadanya menemui maut.
Kumpulan pengganas Jepun, Aum Shinrikyo, pernah menggunakan aerosol antraks di Tokyo tidak kurang lapan kali.
Bagaimanapun ketika itu, serangan senjata biologi tersebut tidak menyebabkan sebarang jangkitan kepada penduduk.
Tetapi dalam kes terbaru, sejurus kematian mangsa pertama, Robert Stevens, 63, iaitu pengarang berita akhbar tabloid pasar raya The Sun di Florida, AS, dunia mula berasa cemas.
Stevens meninggal dunia 5 Oktober, sehari selepas disahkan dijangkiti antraks. Beliau dijangkiti antraks melalui sistem pernafasannya.
Pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menegaskan, penyebaran bakteria pembunuh itu didakwa sebagai perbuatan terancang manusia.
Ia berikutan keputusan ujian dan siasatan terhadap mangsa mendapati penyebaran bakteria dalam bentuk serbuk itu dilakukan menerusi surat yang dikirim kepada mereka.
Surat pertama yang disyaki mengandungi antraks dikesan pada 18 September. Sepucuk surat yang mengandungi ancaman kepada AS telah dialamatkan kepada penyampai rangkaian televisyen NBC, Tom Brokaw.
Ia dihantar dari Trenton, New Jersey ke ibu pejabat NBC di New York dan diterima oleh NBC pada 25 September. Sampul surat itu yang tidak mempunyai alamat pengirim, mengandungi serbuk coklat.
Kiriman surat itu menggemparkan AS apabila beberapa pekerja di syarikat rangkaian NBC mengalami sakit dengan tanda-tanda dijangkiti antraks.
Pada 13 Oktober lalu, ujian terhadap surat kepada Brokaw itu disahkan positif antraks.
Pada hari yang sama, di Nevada, sepucuk surat yang didakwa dihantar dari Malaysia kepada Microsoft didapati positif antraks.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Malaysia mendakwa surat itu sebenarnya dihantar oleh Microsoft ke Malaysia dan dikembalikan semula selepas alamat penerima tidak dapat dikesan.
Bermula dari surat kepada Brokaw, satu demi satu kes penemuan serbuk putih atau penerimaan surat mencurigakan telah dikaitkan dengan antraks. Ia dilaporkan setiap hari di seluruh dunia.
Di England misalnya, beratus-ratus orang dipindahkan dari Gereja Canterbury selepas seorang pekerja memberitahu, beliau melihat seorang lelaki menggugurkan serbuk putih.
Pekerja memakai pakaian perlindungan kimia terpaksa dipanggil membersihkan serbuk tersebut dan mengambil sampel untuk dianalisis.
Di Korea Selatan pula, pekerja pos dimestikan memakai sarung tangan dan penutup mulut ketika mengendalikan surat, bagi mengelak sebarang bentuk sentuhan dengan bakteria tersebut.
Di samping itu mereka menyediakan topeng gas dan kelengkapan kecemasan lain sebagai langkah berjaga-jaga.
Keadaan seperti ini yang dilaporkan oleh media pada setiap hari menambahkan lagi kebimbangan orang awam bahawa terdapat kemungkinan serangan senjata biologi sedang dilancarkan oleh pihak tertentu.
Bakteria antraks turut dikaitkan oleh AS dengan serangan berani mati pengganas di New York dan Washington pada 11 September lalu.
Malah ia dikatakan menjadi senjata biologi yang efektif untuk membunuh ramai manusia, jika disebarkan secara berleluasa.
Tetapi, sejauh mana penggunaan senjata biologi menggunakan antraks memenuhi matlamat penyerangnya untuk membunuh manusia, masih samar-samar.
Ini kerana, saintis di John Hopkins University, Dr. Calvin Chue dilaporkan berkata, hanya satu peratus daripada pesakit yang dirawat mati disebabkan jangkitan antraks.
Manakala, 80 peratus daripada mereka yang terdedah dengan antraks terselamat walaupun mereka langsung tidak menerima rawatan.
Bagi menyediakan spora antraks pula memerlukan pakar biologi untuk melakukannya. Ini kerana bakteria perlu diproses untuk dijadikan dalam bentuk spora dan bebas habuk serta kotoran.
Dalam pada itu, bagi penyedutan antraks oleh bakal mangsa, antara 8,000 dan 35,000 spora diperlukan oleh pembikin senjata biologi dan ia sukar dilakukan.
Pun begitu, berbanding dengan senjata nuklear yang memerlukan kelengkapan besar dan kos tinggi, senjata biologi boleh dihasilkan dari mana-mana makmal di seluruh dunia dengan pembiayaan kecil dan mudah dilakukan.
--- UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment