PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Sunday, May 27, 2012

Mengenal bakteria antraks

ANTRAKS kulit ini berlaku apabila bakteria Bacillus anthracis masuk melalui luka pada kulit.


Oleh NAJIBAH HASSAN


BERMULA dengan kematian pengarang akhbar tabloid pasar raya The Sun, Robert Stevens, 63, yang berpejabat di Florida, Amerika Syarikat (AS) pada 5 Oktober lalu akibat dijangkiti antraks, penyakit ini secara tiba-tiba mendapat perhatian dunia dalam sekelip mata.

Kebimbangan terhadap wabak antraks semakin memuncak di AS apabila seorang demi seorang mangsa antraks disahkan positif.

Wabak antraks yang dikaitkan dengan serangan berani mati di New York dan Washington pada 11 September lalu dikatakan menjadi senjata biologi yang efektif untuk membunuh ramai manusia.

Ketakutan terhadap penyakit ini semakin menjadi-jadi apabila spora bakteria antraks disebarkan dalam bentuk serbuk dan diposkan kepada mereka yang berkenaan.

Pakar Perunding Mikrobiologi, Jabatan Mikrobiologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Nordiah Awang Jalil berkata, antraks merupakan senjata biologi yang amat berkesan kerana ia boleh menyebabkan maut kepada sesiapa yang mendapat jangkitan bakteria itu terutama jangkitan pernafasan.

Menurut beliau, spora yang dihasilkan oleh bakteria antraks disifatkan sebagai pembunuh senyap ini dijadikan dalam bentuk serbuk dan boleh disebarkan ke udara.

``Serbuk ini akan disebarkan melalui semburan roket atau bom di udara tanpa dapat dikesan kerana ia tidak menghasilkan warna, bau dan rasa,'' katanya.

Antraks merupakan sejenis penyakit yang disebabkan bakteria Bacillus anthracis yang biasanya menjangkiti haiwan herbivour iaitu yang memakan rumput seperti kambing, lembu, kuda dan unta.

Bakteria ini menghasilkan spora yang boleh bertahan lama dalam tanah dan di persekitaran.

Bagaimanapun, antraks jarang berlaku kepada manusia dan tularan daripada seorang manusia kepada manusia lain tidak berlaku.

``Bagaimanapun, seseorang itu boleh mendapat jangkitan antraks sekiranya mereka terdedah kepada haiwan yang mendapat jangkitan tersebut atau terhidu udara yang mengandungi spora antraks.

Catatan sejarah terawal mengenai antraks ditemui pada 1491 Sebelum Masihi (BC) yang diklasifikasikan sebagai bencana kelima di Mesir apabila penyakit ini membunuh banyak lembu.

Pada pertengahan abad 1800, antraks industri ditemui di negara-negara Eropah seperti England dan Jerman.

Wabak terakhir yang menjangkiti manusia berlaku pada tahun 1979 di bahagian tengah utara Rusia.

Dr. Nordiah memberitahu, antraks menjadi senjata biologi yang paling berkesan dan amat digeruni kerana organisme ini menghasilkan spora yang boleh bertahan berdekad-dekad lamanya.

Dengan sifatnya yang tahan lasak, spora tersebut boleh hidup dalam apa juga keadaan yang ekstrem sama ada terlalu panas atau sejuk.

Bagaimanapun, spora ini boleh dihapuskan dengan suhu pensterilan iaitu proses menghapuskan segala jenis kuman.

Pensterilan ini akan menggunakan suhu yang tinggi (hot air oven) iaitu 160 darjah centigred selama dua jam.

Selain itu, spora Bacillus anthracis juga boleh dihapuskan dengan menggunakan mesin autoklaf yang digunakan untuk mensterilkan peralatan yang digunakan untuk pembedahan dengan menggunakan wap panas dengan suhu 121 darjah centigred selama 15 minit.

Kedua-dua kaedah ini dapat membunuh segala bentuk bakteria termasuk spora.

Dr. Nordiah memberitahu, antraks yang menjangkiti manusia boleh berlaku dalam tiga bentuk iaitu:

Antraks kulit
Antraks jenis ini berlaku apabila Bacillus anthracis masuk melalui luka pada kulit.

Bakteria ini akan masuk pada bahagian kulit yang terdedah seperti muka, leher dan tangan.

Gejalanya timbul dalam masa satu hingga tujuh hari di mana individu terbabit mengeluh dengan kulit merah yang gatal tetapi tidak sakit seperti gigitan serangga.

Bahagian kulit di mana bakteria tersebut masuk kemudiannya menjadi lesi merah yang gatal tetapi tidak sakit.

Beberapa hari kemudian, ia akan pecah menjadi ulser di mana terdapat tompokan hitam pada bahagian tengahnya.

Bagaimanapun, lesi ini biasanya berlaku pada satu bahagian tubuh yang terdedah seperti muka, leher dan lengan.

Namun bakteria tersebut boleh masuk ke dalam saluran darah yang mengakibatkan individu terbabit mengalami keracunan darah (septicemia).

Kesannya, mangsa boleh mengalami pengsan, pendarahan dan akhirnya kematian akibat tindakan toksin yang dihasilkan oleh bakteria Bacillus anthracis.

Antraks pernafasan
Antraks jenis ini merupakan antraks yang paling berbahaya jika ia terhidu di udara.

Ia boleh terhidu melalui proses mengetam bulu atau kulit haiwan yang mendapat jangkitan.

Pada masa kini, Bacillus anthracis yang digunakan sebagai senjata biologi mengakibatkan sporanya dihidu di udara.

Gejalanya timbul agak cepat antara satu hingga tiga hari selepas spora antraks terhidu.

Namun, gejalanya sukar dikesan kerana ia menyerupai penyakit-penyakit jangkitan virus seperti selesema, rasa letih dan demam ringan.

Individu terbabit akan sembuh dalam tempoh sementara waktu, tetapi kemudiannya mengalami kesukaran bernafas, sakit dada, pengsan dan akhirnya meninggal dunia.

Antraks pernafasan merupakan penyakit yang paling kerap mengakibatkan kematian.

Antraks usus
Antraks usus merupakan antraks yang jarang berlaku, tetapi ia juga boleh mengakibatkan kematian.

Ia biasanya terjadi sekiranya seseorang termakan daging yang tercemar dengan spora antraks.

Gejalanya juga menyerupai mereka yang mengalami keracunan makanan seperti:

-Loya

-Muntah

-Sakit perut

-Cirit-birit

Diagnosis
Diagnosis antraks boleh dilakukan dengan mengkultur spesimen daripada pesakit seperti mengambil contoh spesimen daripada lesi kulit, darah dan kahak.

Ujian darah pesakit juga boleh dilakukan untuk mengesan antibodi spesifik dengan menggunakan mesin asai enzin imun.

Bagaimanapun, ujian ini hanya boleh dimanfaatkan jika penyakit antraks di peringkat lanjut.

Rawatan
Antraks boleh dirawat dengan pemberian antibiotik.

Bagaimanapun, ia perlu diberi secepat mungkin kerana gejala antraks disebabkan oleh toksin yang dihasilkan oleh bakteria Bacillus anthracis boleh mengakibatkan pembengkakan, renjatan dan kematian.

Kelewatan memberi rawatan mengakibatkan antibiotik menjadi kurang berkesan.

Bakteria yang masuk ke dalam darah akan menyerang pembuluh darah, mengakibatkan tubuh gagal berfungsi dan akhirnya membawa maut.

Sehubungan itu, dalam keadaan ancaman serangan antraks dan kemungkinan terdedah dengan ancaman ini, rawatan profilaksis antibiotik boleh diberikan selama individu terbabit terdedah dengan organisma tersebut.

Rawatan profilaksis akan diberi kepada individu terbabit sebelum mendapat sebarang gejala. Langkah ini bertujuan untuk mencegah apabila terdedah dengan penyakit tersebut.

Pencegahan
Pencegahan antraks boleh dilakukan dengan memberi suntikan vaksin antraks di mana tiga dos pertama diberi setiap selang dua minggu.

Manakala tiga dos berikutnya akan diberi selang enam bulan.

Bagi melengkapkan keenam-enam dos ini, ia mengambil masa sehingga satu tahun setengah.

Pada masa yang sama, individu terbabit memerlukan suntikan lanjutan (booster) setiap tahun bagi memastikan tubuh dapat menghasilkan antibodi yang cukup bagi mengelakkan serangan bakteria ini.

Individu yang memerlukan
Individu yang disyorkan mengambil vaksin ini terdiri daripada pakar veterinar yang bekerja di kawasan endemik, angkatan tentera yang dihantar ke kawasan yang terdedah dengan serangan biologi dan kakitangan makmal yang mengendalikan kerja-kerja berkaitan dengan organisma ini. - Alamat e-mel Kesihatan Mingguan ialah kesihatan@utusan.com.my

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...