Oleh RAMLI ABDUL KARIM
SUDAH tentu ramai yang merujuk istilah ozon kepada lapisan ozon di atmosfera yang dikatakan mengalami kebocoran dan menipis akibat pencemaran udara serta pelepasan gas yang boleh menghakisnya.
Mengikut kajian saintifik, lapisan ozon amat berbahaya termasuk boleh merosakkan sistem pernafasan manusia.
Ozon ditemui oleh Christian Friedrich Schonbein pada tahun 1840. Semasa Perang Dunia Pertama, Albert Wolf menggunakannya untuk tujuan perubatan terutama pada luka yang telah dijangkiti kanser.
Perkembangan ilmu ini berterusan sehingga Joachim Hansler dan Hans Wolff menghasilkan suatu generator yang merupakan asas terapi ozon secara moden.
Sejak itu penggunaan ozon untuk tujuan perubatan berkembang pesat dan pelbagai penyelidikan dilakukan untuk mengkaji keberkesanan terapi ozon.
Di Malaysia, menyahut cabaran Malaysia Boleh! warga kita juga menghasilkan mesin generator yang memproduksi ozon dinamakan ALIF-1 OZONE MACHINE.
Ozon untuk tujuan perubatan dinamakan sebagai `medical ozone' iaitu campuran ozon 0.05 - 5.0 peratus dan oksigen 99.95 hingga 95 peratus yang dihasilkan dalam bentuk gas oleh ALIF-1.
Terdapat banyak kaedah penggunaannya untuk tujuan perubatan. Antaranya ialah proses Pengoksidanan dan Pengozonan Darah Ekstrakorporeum (EBOO). Proses ini seumpama dialisis.
Ia merupakan proses paling penting dalam terapi ozon selain menjalani autohemotherapy atau dipanggil mencuci darah dalam jumlah kecil.
Melalui proses EBOO secara berperingkat, mereka yang mengalami pelbagai penyakit pembunuh seperti sakit jantung, kanser dan AIDS diberi jaminan menikmati semula kehidupan lebih baik dan meyakinkan.
Tiada jaminan untuk menyembuhkan sepenuhnya penyakit tersebut tetapi terapi ozon membantu proses memulihkan kembali kesihatan.
Penyelidikan pakar membuktikan bahawa ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan penderitaan pesakit akibat komplikasi dan serangan penyakit.
Di samping itu, berdasarkan kes-kes pesakit yang dijadikan penyelidikan, kualiti kehidupan mereka jauh lebih baik selepas menjalani rawatan ozon.
Bagaimanapun ia masih bergantung kepada tahap keseriusan pesakit sewaktu mereka memulakan rawatan.
Kaedah terapi ozon ini berperanan membekalkan oksigen ke dalam badan. Lebih banyak oksigen yang dibekalkan badan, lebih banyak tenaga yang dihasilkan, maka pembuangan toksin juga menjadi lebih berkesan.
Oksigen yang cukup membolehkan badan membaik pulih sendiri dan mengekalkan sistem ketahanan.
Pada masa yang sama, oksigen yang mencukupi mampu menghapuskan pelbagai kuman, yis, fungus dan protozoa, sekali gus meningkatkan sistem pertahanan badan.
Ia juga memperbaiki peredaran darah, membersihkan darah dan limfa, menormalkan proses penghasilan hormon dan enzim, mengurangkan peradangan, menenangkan sistem saraf, mencegah kesan teruk akibat strok, memulihkan fungsi otak dan daya ingatan dan membuang toksin.
Penulis baru-baru ini berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana kaedah rawatan menggunakan ozon dilakukan di sebuah pusat rawatan dan terapi ozon swasta di Kuala Lumpur.
Pegawai pusat berkenaan memberitahu, antara fungsi terapi ozon ialah menyahkan bakteria dan virus dari dalam darah sama seperti ia bertindak ke atas air.
Penggunaan ozon juga mencegah seseorang daripada jangkitan hepatitis, virus HIV dan sifilis serta penyakit berjangkit lain.
Seseorang yang menjalani EBOO mengikut jadual ditetapkan dapat mengatasi kesakitan angina akibat sakit jantung dan memperbaiki fungsi otak.
Di samping itu, ketumbuhan kanser, limfoma dan leukemia dapat dilemahkan menggunakan ozon terutama pada peringkat awal jangkitan.
Setiap pesakit yang menjalani EBOO diperlukan mencuci sekurang-kurangnya 3 - 4 liter daripada 5 - 6 liter darah dalam badan.
Satu tiub untuk saluran keluar darah dari badan pesakit kemudian disambung ke alat penapis atau penyaringan darah.
Satu tiub lain yang dipasang dari mesin generator ALIF-1 pula menyalurkan `medical ozone' ke dalam alat penapis sama.
Dari penapis tersebut, darah yang telah dibersihkan dan menjalani proses pengoksidanan dan pengozonan disalurkan semula ke badan pesakit.
Sepanjang tempoh kira-kira sejam itu, toksin dalam darah pesakit dialirkan keluar dari penapis tersebut ke satu bekas lain mengandungi minyak masak yang menyerap toksin tersebut untuk dibuang.
Jelas pegawai di pusat rawatan ozon berkenaan, pesakit menjalani proses EBOO dua kali seminggu selama 21 hari sebelum perubahan awal dapat dilihat.
Bagi pesakit yang kritikal, mereka dinasihatkan menjalani tiga kali proses EBOO setiap minggu. Ini bagi memastikan darah mereka bebas daripada kuman dan toksin di samping membekalkan badan dengan oksigen secukupnya.
Selain melihat secara dekat proses EBOO, penulis juga sempat menemui dua pesakit yang menceritakan perubahan tahap kesihatan mereka selepas melalui terapi ozon.
Salah seorang merupakan pesakit AIDS yang menderita beberapa tahun lalu. Seorang lagi menderita kerana sakit angina.
KES 1
PESAKIT ini dimaklumkan oleh doktor pakar di sebuah hospital kerajaan bahawa berdasarkan prognosis atau ramalan, beliau hanya boleh hidup sehingga Oktober 2000.
Lelaki berusia 50-an ini yang mengakui kerap melanggan pelacur di negara jiran dan bertukar-tukar pasangan seks, pernah tiga kali cuba membunuh diri.
Ini kerana beliau, yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Boon, tidak terdaya lagi menanggung penderitaan akibat sakit yang dihidapinya.
Menurut Ah Boon, keadaan dirinya ketika itu begitu tenat, daif dan menjijikkan apabila seluruh badannya dipenuhi kudis yang bernanah berterusan.
``Ketika itu badan saya terlalu lemah, sakit dada, selalu demam, sakit kepala dan batuk di samping sakit akibat kencing manis.
``Saya tidak ada tempat untuk dituju dan selalunya tidur di mana-mana saja termasuk di tepi jalan,'' ujarnya.
Tetapi jelas Ah Boon, melalui seorang rakan, beliau bersetuju menjalani terapi di pusat rawatan dan terapi ozon itu pada September 2000.
``Saya tidak faham apa itu ozon. Tetapi apa yang saya tahu selepas melalui beberapa kali proses EBOO, kini selepas 14 bulan dari tarikh ramalan mati, saya masih hidup lagi,'' ujarnya.
Sejak memulakan rawatan, Ah Boon menjalani sekurang-kurangnya dua kali proses EBOO pada setiap minggu.
Ketika ujian kali pertama dilakukan, terdapat lebih 700,000 kuman di dalam badannya kerana ketika itu virus HIV dalam badannya sedang merebak sepenuhnya.
Setelah lebih 14 bulan dan melalui banyak proses EBOO, kuman di dalam badannya kini tinggal 25,000.
Kini Ah Boon semakin sihat dan sudah mula bekerja menyara diri sendiri sebagai mekanik.
Perubahan paling ketara dalam dirinya ialah beliau sudah tidak lagi sentiasa mengantuk, selalu letih, pening kepala dan sakit dada.
KES 2
PESAKIT ini, Razali Abu, 61, adalah seorang nelayan yang mempunyai enam anak berasal dari Teluk Gong, Klang dan mengalami sakit jantung.
Sebelum ini, beliau menghabiskan lebih RM25,000 untuk membiayai kos rawatan jantungnya di hospital kerajaan dan beberapa hospital pakar swasta di ibu negara.
Setiap pakar yang ditemuinya memberitahu perkara yang sama mengenai kedudukan dan tahap kesihatannya.
``Ke mana-mana saya pergi, doktor beritahu 30 peratus saluran darah di jantung saya tersumbat.
``Akhirnya pakar di sebuah hospital swasta mencadangkan supaya saya menjalani pembedahan pintasan jantung.
``Saya tidak bersedia lebih-lebih lagi saya tahu risiko yang bakal hadapi dan juga tiada kemampuan membiayai kosnya,'' ujarnya.
Beliau kemudian menjalani terapi ozon bermula 5 Oktober 2001.
Dalam tempoh hampir tiga bulan menjalani terapi ozon, Razali kini hampir bebas daripada penderitaan sakit dada kerana gejala angina.
Dalam ujian sebelum menjalani EBOO, Razali hanya mampu menjalani stress test selama tiga minit yang disusuli sakit dada yang serius.
Di samping mengalami sakit dada teruk selepas ujian itu, tempoh masa yang dicatatkan untuk pemulihannya juga agak lama.
Tetapi selepas 20 kali menjalani EBOO, kini beliau boleh melalui stress test selama enam minit dan tidak lagi mengalami sakit dada yang teruk selepas berakhirnya ujian.
--- UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment