PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Saturday, July 14, 2012

Kerap gugur


Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2010/08/01

Faktor genetik punca utama kehamilan terancam lazimnya 20 minggu mengandung

RAHAYU (bukan nama sebenar) mendirikan rumah tangga pada usia 23 tahun tetapi sudah mengalami 19 kali keguguran. Kini pada usia 40 tahun, dia nekad untuk hamil lagi.

Anehnya, Rahayu tidak berhadapan dengan masalah kesihatan begitu juga dengan suaminya. Namun, keguguran sebanyak 19 kali sepanjang perkahwinan membuatkan dia cukup tertekan. Kerap kalinya, Rahayu mengalami keguguran pada tiga bulan pertama kehamilan. Rahayu mengalami pendarahan yang serius selain kekejangan pada abdomen malah disertai demam.

Menjelang usianya 41 tahun, Rahayu akhirnya selamat melahirkan anak dengan pengawasan doktor dan bantuan perubatan terkini.

Persoalannya, berapa ramaikah yang tabah seperti Rahayu yang sanggup menunggu hingga 23 tahun hanya untuk bergelar ibu? Tempoh 23 tahun adalah sangat panjang dan selama itu juga Rahayu berhadapan dengan tekanan dan sindiran.

Kisah Rahayu sebenarnya kerap ditemui di kalangan wanita hamil. Masalah kehamilan terancam (threatened miscarriage) kerap dikesan pada 20 minggu pertama kehamilan. Selalunya ia ditandai dengan pendarahan yang serius atau kekejangan pada abdomen dengan atau tanpa pendarahan.

Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohd Hashim Omar berkata, umumnya kehamilan terancam adalah keadaan yang biasa. Lebih 30 peratus wanita hamil mengalami pendarahan dalam tempoh 20 minggu kehamilan, iaitu antara seorang daripada empat wanita hamil.

Bagaimanapun, untuk sebahagian besar daripada kumpulan ini akan meneruskan kehamilan seperti biasa dan pendarahan juga akan berhenti. Namun, untuk sebahagian kecil lagi, ia kemudian akan membawa kepada keguguran janin. Lebih teruk, ada kala keguguran itu dialami sebelum kehamilan mencecah 12 minggu.

Umumnya, jika servik kekal tertutup ketika terjadinya simptom kehamilan terancam, peluang untuk fetus terus bertahan sangat tinggi berbanding jika servik terbuka.

“Keguguran pada tiga bulan pertama kehamilan selalunya disebabkan oleh fetus yang abnormal. Ia terjadi apabila berlaku masalah pada gen. Separuh daripada keguguran adalah disebabkan masalah keabnormalan ini. Risiko berhadapan dengan keabnormalan fetus meningkat seiring dengan usia si ibu. Sementara keguguran pada bulan keempat dan keenam kehamilan selalunya berpunca daripada masalah kesihatan ibu,” katanya.

Jelas Prof Hashim, antara 40 ke 60 peratus punca keguguran boleh dikenal pasti manakala selebihnya tidak dapat dipastikan. Punca paling kerap keguguran yang dapat dikenal pasti adalah faktor genetik dan kebiasaannya berlaku dalam tiga bulan pertama kehamilan.

Semasa kehamilan, janin akan terbentuk dan mengandung gen-gen daripada sperma dan telur. Namun, ada kala kromosom embrio mungkin mengalami masalah seperti kehilangan maklumat gen akibat proses pindah silang yang berlaku sewaktu hamil. Keguguran akibat keabnormalan kromosom mungkin boleh berlaku secara kebetulan. Keguguran sedemikian tidak dapat dielak dan besar kemungkinan tidak akan berulang.

“Punca yang tidak dapat dikenal pasti selalunya berkait dengan sistem imun ibu dan kesihatan rahimnya - atas sebab-sebab tertentu, janin tidak dapat melekat pada lapisan dalam rahim dengan sempurna,”katanya.

Jelas Prof Hashim, umumnya kehamilan terancam ditandai dengan rasa kejang pada bahagian perut dengan atau tanpa pendarahan. Simptom lain adalah berlakunya pendarahan pada vagina ketika kehamilan berusia 20 minggu. Warna darah mungkin merah terang mungkin merah jambu terang atau warna gelap.
Sementara pendarahan itu boleh berlaku sama ada sedikit atau banyak.

“Rasa sakit atau kekejangan itu berlaku pada bahagian bawah abdomen. Ia mungkin terjadi pada sebelah abdomen saja atau kedua-duanya atau di bahagian tengah. Kesakitan itu boleh menjalar ke bahagian belakang badan, punggung atau di bahagian alat sulit,”katanya.

Prof Hashim berkata, umumnya tidak dapat dipastikan dengan jelas faktor berlakunya pendarahan ketika hamil. Bagaimanapun, sebahagian daripada sebab-sebab berikut;

1) Fibroid, polip atau sista
2) Jangkitan
3) Radang pada servikal ketika hubungan intim
4) Kehamilan luar rahim
5) Komplikasi plasenta

Anda perlu segera mendapatkan rawatan jika;

1) Pendarahan banyak
2) Pendarahan disertai darah beku atau tisu
3) Kekejangan yang serius (seperti ketika datang haid)
4) Kekejangan atau pendarahan yang disertai dengan demam.
5) Pendarahan atau kekejangan yang berlaku pada wanita yang memiliki sejarah masalah kehamilan luar rahim
6) Muntah yang sangat teruk


Info
Elak keguguran

Selain mengekalkan endometrium yang sihat, hormon semulajadi tubuh - progesteron juga mempunyai kesan imun yang sangat penting dalam tubuh. Hormon ini juga mengeluarkan protein yang dirujuk oleh ahli sains sebagai faktor penghalang cetusan progesteron (PIBF - progesterone induced blocking factor) - satu daripada protein yang penting bagi perkembangan sistem imun ibu.

PIBF sebenarnya penghubung antara endokrin tubuh dan sistem imun. Ini menghasilkan molekul yang dikenali sebagai ‘sitokin’ iaitu penghantar sistem imun sama seperti hormon yang merupakan penghantar bagi sistem endokrin manusia dengan melepaskan sitokin penting yang dipanggil Th2, PIBF boleh membantu memastikan kehamilan sihat.

Di pasaran, terhasil satu ubat dikenali sebagai Duphaston yang mirip progesteron. Ia menghasilkan tidak balas imunologi yang sama seperti hormon semulajadi. Secara ringkas bermaksud, Duphaston berkesan meningkatkan pengeluaran PIBF kerana struktur molekulnya agak sama dengan hormon semula jadi progesteron tubuh.

--- BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...