PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Tuesday, July 17, 2012

Penjagaan gigi kanak-kanak


10:03:59 AM

Ketahui panduan menjaga kesihatan oral dengan betul

KETIKA dilahirkan, lazimnya gigi bayi sudah terbentuk walaupun masih tidak kelihatan. Gigi berkenaan akan mula keluar pada usia enam bulan, namun ada juga sesetengah bayi yang mengalami pertumbuhan gigi lebih awal dan tidak kurang juga yang agak lewat. Bagi kebanyakan bayi, gigi yang mula tumbuh ialah dua gigi depan bahagian bawah, diikuti empat gigi bahagian atas. Selepas itu barulah gigi lain mulai tumbuh, lazimnya dua sekali gus di satu rahang diikuti rahang sebelahnya. Pada umumnya, setiap kanak-kanak mesti mempunyai 20 gigi susu keseluruhannya ketika mencapai usia 36 bulan.

Begitu pun, kebiasaannya anda akan dapat melihat ruang antara gigi susu si kecil memandangkan ada perbezaan antara gigi susu dengan gigi dewasa. Ini bagi membolehkan pembentukan gigi dewasa kelak, selain memudahkan anda menggosok gigi si kecil.

Menjaga gigi susu

WALAUPUN gigi susu akan diganti kelak, adalah wajar menjaga gigi susu seperti gigi dewasa. Ini kerana kehadiran gigi susu yang sihat:

Membantu kanak-kanak menggigit dan mengunyah.
Membuatkan kanak-kanak tampak menarik.
Membantu kanak-kanak bertutur dengan lancar.
Membantu gigi dewasa berada pada kedudukan betul kelak.

Ibu bapa digalakkan memberus gigi anak menggunakan berus gigi apabila bayi sudah mempunyai empat gigi sekali gus, sama ada di atas atau di bawah. Pilih berus gigi lembut dengan berus nilon. Anda juga boleh menjadikan berus itu lebih lembut dengan merendamnya dalam air suam untuk beberapa minit.

Gunakan ubat gigi berflourida dengan saiz sebiji kacang atau bersihkan berus gigi dengan air biasa. Ingatlah, anak anda mungkin akan cuba menelan ubat gigi berkenaan. Menelan terlalu banyak ubat gigi berflourida boleh menyebabkan masalah kosmetik pada gigi dewasa kelak.

Pada masa sama, bersihkan gusi yang tiada gigi dengan kain lembut. Pastikan anda menggunakan flos sekali sehari apabila ada dua gigi yang tumbuh bersebelahan. Sebaiknya bincangkan masalah gigi anak anda dengan doktor gigi atau doktor paediatrik.

Ada ketikanya, anak anda mungkin ingin mencuba untuk menggosok sendiri giginya. Sebenarnya, tidak menjadi masalah bagi melatih si kecil anda untuk menggosok sendiri giginya, asalkan anda pastikan dia berjaya menggosok semua giginya dengan betul.

Kanak-kanak akan dapat menggosok gigi dengan betul ketika mereka berusia tujuh atau lapan tahun, justeru sebaiknya penting bagi anda untuk memeriksa gigi mereka setiap hari.

Kerosakan gigi akibat susu

Kerosakan gigi akibat tabiat meminum susu adalah serius, tetapi boleh dicegah. Ini boleh berlaku apabila gigi terdedah kepada gula dalam karbohidrat untuk jangka masa yang lama. Karbohidrat dalam bentuk cecair seperti jus buah-buahan dan susu mulai dicerna dalam mulut untuk ditukar kepada bentuk gula.
Oleh itu, apabila cecair itu dibiarkan berada lama dalam mulut, bakteria akan mula memakan gula yang ada dan dalam proses itu. Bakteria berkenaan akan menghasilkan asid yang boleh menyebabkan gigi mengalami kerosakan.

Lazimnya, ini berlaku jika bayi:
Tidur sambil minum susu, jus atau air manis.
Minum air manis atau susu sebelum masuk tidur.
Diberikan puting yang dicelup dalam madu, gula atau cecair manis.

Bagaimanapun, susu ibu tidak akan menyebabkan kerosakan gigi melainkan ia diberi bersama sumber karbohidrat. Bayi yang diberi diet campuran berisiko mengalami kerosakan gigi, namun kajian menunjukkan kerosakan gigi bukan sekadar berpunca daripada apa yang diminum, sebaliknya berapa kerap anak anda minum.

Panduan elak kerosakan gigi bayi:

Jangan tidurkan bayi anda dengan sebotol susu mengandungi sumber karbohidrat. Ini termasuk minuman lain kecuali air biasa.
Ceraikan susu si kecil ketika usia 12 atau 14 bulan dengan nasihat daripada paediatrik anda.
Jangan tenangkan bayi anda untuk waktu tidur pada siang hari menggunakan botol susu, melainkan anda menggunakan air biasa.
Jangan celup puting dengan cecair manis.
Jangan campur gula dalam makanan si kecil.
Bersihkan gigi dan gusi selepas waktu makan.
Bawa bayi bertemu doktor gigi sebaik gigi susu pertama mula tumbuh.
Ajar anak anda untuk minum menggunakan cawan.

Pemeriksaan doktor gigi

Menurut American Academy of Pediatric Dentistry, kanak-kanak wajar dibawa bertemu doktor gigi apabila dia meraikan ulang tahun kelahiran yang pertama bagi mengelakkan mereka mengalami kerosakan gigi pada usia muda.

Walaupun idea itu masih agak janggal di negara ini, amalan itu dicadangkan oleh kebanyakan pakar pergigian. Lebih satu daripada empat kanak-kanak di Amerika Syarikat didapati mempunyai kaviti ketika berusia empat tahun, dan ada yang seawal usia dua tahun.

Bagi mengelakkan kaviti pada usia muda, ibu bapa digalakkan memahami panduan penjagaan gigi dan pengurusan makanan yang betul untuk kanak-kanak kecil.

Oleh itu, apabila bertemu dengan doktor gigi, ibu bapa digalakkan mendapatkan maklumat seperti cara menjaga gigi yang betul, penggunaan betul ubat gigi berflourida, tabiat oral termasuk menghisap jari dan hubungan antara diet dan kesihatan oral.

--- BERITA HARIAN

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...