PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Followers

Wednesday, July 4, 2012

Sindrom lelaki ‘menopaus’


Simptom lelaki yang menopaus ialah letih, cepat mendapat tekanan, sakit sendi, kurang nafsu atau libido, kurang kekerasan zakar dan air mani.


Soalan: BolehKAH Doktor terangkan mengenai andropaus dan kesannya kepada masalah lelaki?

*Jo, Kuala Lumpur

Saudara Jo,

Pertama, saya perlu maklumkan bahawa perkataan atau terma andropaus sebenarnya tidak begitu tepat. Secara fisiologinya, orang lelaki adalah berbeza dengan wanita.

Apabila wanita putus haid, hilanglah keupayaan reproduktif mereka iaitu untuk mengandung dan melahirkan anak. Maka berlakulah apa yang sering disebutkan sebagai menopaus atau situasi apabila paras hormon estrogen menjadi terlalu rendah.

Simptom seperti keletihan, sakit sendi, kurang nafsu dan faraj kering boleh timbul sejurus sebelum putus haid atau selepas berlakunya putus haid.

Bagi lelaki, penurunan paras hormon testosteron berlaku secara perlahan-lahan bermula akhir 30-an atau awal 40-an dan berterusan ke akhir hayat. Keadaan ini dipanggil sindrom kurang hormon testosteron.

Penurunan hormon testosteron ini boleh berlaku amat perlahan atau mendadak ke paras yang sangat rendah sehingga memberikan simptom yang ringan, sederhana mahupun teruk. Corak penurunan ini banyak bergantung kepada tahap kesihatan seseorang lelaki itu.

Contohnya, jika anda menghadapi masalah kegemukan, darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung, maka paras hormon akan menjadi sangat rendah manakala jika anda mengamalkan corak kehidupan yang positif dan sihat, maka paras hormon tersebut mungkin tidak menurun atau menurun dengan kadar sangat perlahan malah mungkin tidak ada simptom langsung.

Simptom yang biasa berlaku kepada lelaki hampir sama dengan simptom menopaus dialami wanita iaitu keletihan, sakit sendi, cepat mendapat tekanan, kurang nafsu atau libido, kurang kekerasan zakar dan air mani serta banyak lagi simptom yang tidak begitu spesifik.

Doktor perlu mengenal pasti penyakit yang dihadapi dengan menjalankan pemeriksaan kesihatan dan penyiasatan ujian darah sebelum mengesahkan seseorang lelaki itu menghadapi masalah andropaus. Kini, banyak rawatan yang terbukti memberi kesan positif terhadap kualiti kehidupan seseorang lelaki dan pasangan mereka.

Jika saudara ingin maklumat lanjut, jumpalah doktor dan dapatkan nasihat lanjut. Dalam pada itu jangan lupa amalkan cara hidup sihat dan positif dalam kehidupan seharian.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...