PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Sunday, July 1, 2012

Entecavir terapi baru hepatitis B


Sirosis hati - komplikasi jangkitan virus hepatitis B.



HEPATITIS merupakan penyakit keradangan hati yang lazimnya menjadikan hati membengkak dan terasa lembut disebabkan oleh pelbagai jenis virus - A, B, C, D dan E.

Hepatitis yang paling biasa ditemui adalah virus hepatitis A (HAV), virus hepatitis B (HBV) dan virus hepatitis C (HCV).

HBV tergolong dalam salah satu penyakit yang paling banyak menghasilkan mikroorganisma di dunia.

Kira-kira 400 juta orang telah dijangkiti secara kronik oleh HBV - 100 kali lebih berjangkit berbanding virus human immunodeficiency (HIV).

Di Malaysia, kira-kira 2.5 juta rakyatnya dikesan menghidap kanser hati - penyakit yang boleh dielakkan melalui suntikan hepatitis B.

“Jangkitan hepatitis B terjadi melalui darah dan cecair-cecair badan lain seperti air liur, air mani, rembesan dari faraj, air mata, mukus, air kencing dan susu badan.

“Sebaik sahaja HBV memasuki saluran darah, ia akan berhijrah ke hati di mana ia membahagi,” kata Pakar Runding Hepatologi dan Gastroeneterologi, Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Rosmawati Mohamed.

Menurutnya, jangkitan hepatitis B kronik adalah sejenis penyakit yang berpotensi membawa maut.

Saban tahun, lebih setengah juta orang di seluruh dunia mati disebabkan oleh kanser hati. Dari jumlah tersebut, sehingga 80 peratus berpunca daripada hepatitis B kronik.

“Kanser hati merupakan satu-satunya kanser yang paling kerap ditemui pada kaum lelaki,” katanya.

Penyakit ini boleh merebak dengan cara:

* Sentuhan dengan darah orang yang dijangkiti melalui:

1- Pemindahan darah, hemodialisis

2- Berkongsi jarum (seperti penyalahgunaan dadah melalui suntikan), pisau cukur, berus gigi

3- Kecederaan terutamanya kepada pegawai kesihatan (seperti tercucuk jarum, terkena percikan darah ke mata atau ke tempat luka)

4- Mencacah tatu, akupunktur, elektrolisis dan menindik telinga.

* Perinatal (sekitar kehamilan) - daripada ibu kepada anak ketika kelahiran

* Hubungan seks.

Tindak balas jangkitan HBV bergantung kepada usia seseorang ketika dijangkiti. Kanak-kanak menunjukkan gejala-gejala HBV yang kurang berbanding orang dewasa manakala bayi yang baru lahir langsung tidak memberikan apa-apa tanda.

Sekalipun tidak mempamerkan sebarang gejala, kanak-kanak masih rentan terhadap komplikasi jangkitan HBV manakala di kalangan orang dewasa, kira-kira 40 peratus tidak mempunyai gejala.

Bagi mereka yang menunjukkan gejala, HBV sering disalah anggap sebagai jangkitan selesema.

Gejala-gejala hepatits B seakan-akan mendapat selesema, demam, sakit-sakit badan (sendi dan otot), keletihan dan lemah, hilang selera makan, loya dan muntah dan, jaundis (warna kulit dan mata kekuningan)

Kira-kira satu peratus individu akan mengalami masalah kegagalan hati yang teruk semasa tahap penyakit HBV akut, yang memerlukan pemindahan hati.

Hepatitis B terbahagi kepada dua jenis iaitu berbentuk akut dan kronik (lebih serius selepas serangan yang akut).

Prof. Dr. Rosmawati berkata, adalah dianggarkan 95 peratus daripada mereka yang dijangkiti HBV semasa dewasa berupaya menyingkirkan virus tersebut secara spontan dari tubuh mereka dengan bantuan sistem imun.

“Kumpulan ini mungkin mengalami beberapa gejala tetapi mereka akan pulih sepenuhnya tanpa komplikasi.

“Sementara itu, bakinya akan menjadi pembawa kronik dan memandangkan hepatitis B umumnya adalah penyakit yang tidak menunjukkan sebarang gejala, pesakit selalu tidak menyedari bahawa mereka telah dijangkiti,” katanya.

Bagaimanapun, oleh kerana HBV masih menyerang organ hati, mereka mempunyai risiko yang meningkat untuk mengalami penyakit-penyakit hati seperti sirosis atau kanser hati.

Penyakit hati yang berkaitan Hepatitis B mendorong kepada antara 15 hingga 25 peratus kematian pesakit dengan jangkitan kronik.

Secara idealnya, jelas Prof. Dr. Rosmawati, matlamat rawatan HBV adalah untuk menghalang pembahagian virus secara kekal.

“Lebih tinggi jumlah virus bermakna lebih risiko menghidap kanser hati dan sirosis.

“Mengurangkan muatan virus di samping meningkatkan tindak balas imun semula jadi badan mampu mengurangkan risiko kerosakan hati,” katanya.

Rawatan

Buat masa ini, terdapat dua kelas ubat-ubatan yang diluluskan bagi merawat hepatitis B.

Salah satu pilihan adalah interferon yang mirip bahan melawan jangkitan semula jadi dihasilkan oleh tubuh.

Juga, analog nukleosid tertentu yang dikenali sebagai antiviral – digunakan untuk merawat HBV dengan cara mengganggu enzim yang digunakan untuk menghasilkan DNA, yang diperlukan bagi penghasilan semula virus.

Terdapat vaksin yang berkesan sebagai perlindungan menentang HBV dan perlu diberikan kepada semua bayi, kanak-kanak dan remaja yang belum mencapai usia 18 tahun.

Mana-mana orang dewasa yang berisiko tinggi juga perlu divaksinasi manakala mereka yang belum menerima pelalian dan terdedah kepada HBV boleh diberikan imunoglobulin hepatitis B (HBIG) untuk melawan virus.

Bagi mengelakkan pemindahan, individu yang telah dijangkiti perlu mengamalkan hubungan seks selamat dan tidak boleh mendermakan darah, organ, sperma, telur atau lain- lain tisu.

Barangan isi rumah seperti berus gigi, pencukur atau jarum tidak boleh dikongsi dengan individu yang dijangkiti HBV.

BARACLUDE (entecavir)

Penghidap hepatitis B kronik di Malaysia kini mempunyai pilihan rawatan baru dalam bentuk tablet iaitu entecavir yang dipreskripsi oleh doktor.

Dikeluarkan oleh Bristol-Myers Squibb, ia merupakan sejenis analog nukleosid yang mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA).

Terapi antiviral itu direka khusus untuk menyekat replikasi atau pembahagian HBV di dalam hati pesakit dewasa.

Program percubaan klinikal entecavir merupakan yang terbesar setakat ini tentang hepatitis B kronik. Ia juga pertama kali membandingkan dua jenis ubat antiviral iaitu antara entecavir dengan lamivudine.

Selepas kajian selama 48 minggu, entecavir menunjukkan pembaikan lebih nyata mengikut statistik berbanding laminuvide dari segi histologi hati.

Muatan virus HBV dikurangkan kepada paras yang tidak dapat dikesan (kurang 300 spesimen/mL).

Para pesakit yang menerima rawatan entecavir dengan keamatan sederhana hingga kuat juga menunjukkan kesan-kesan sampingan paling lazim termasuk sakit kepala, keletihan, cirit-birit dan dispepsia.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...