PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Monday, July 9, 2012

Pembedahan Caesarean | Torehan melintang 10 sm

Adakah kerana prosedur ini lebih mudah tanpa perlu menanggung rasa sakit menyebabkan ia menjadi pilihan ramai wanita moden hari ini?




ZARINA MOHAMAD, 40, telah menjalani pembedahan caesarean sebanyak tiga kali. Semuanya kerana masalah kesihatan yang dihadapinya.
“Saya melahirkan anak sulung yang diberi nama Junaidah secara normal. Tetapi sejak hamil anak kedua, tahap kesihatan saya semakin merosot apabila doktor mengesahkan saya menghidap hipertensi dan diabetes yang serius. Justeru, untuk menyelamatkan keadaan apabila usia kandungan mencecah tujuh bulan, doktor terus melakukan pembedahan.
“Alhamdulillah, walaupun tidak cukup bulan, Sarah Hanis, anak kedua saya berada dalam keadaan sihat. Cuma dia terpaksa ditahan di hospital selama 12 hari kerana mengalami jaundis. Selepas bersalin, saya ingatkan hipertensi dan diabetes yang dialami ketika hamil hilang. Sebaliknya, ia terus kekal,” ujar Zarina.

ZARINA (tengah) bersama dua anaknya yang dilahirkan secara caesarean.


Empat tahun selepas melahirkan anak kedua, Zarina sekali lagi disahkan hamil. Dalam tempoh tersebut, hipertensi dan diabetesnya sentiasa mencatatkan paras tertinggi hingga menyebabkan dia terpaksa ditahan di hospital.
“Ketika usia kandungan saya belum mencecah tujuh bulan, doktor telah memberitahu bahawa pembedahan perlu dilakukan segera untuk menyelamatkan diri saya dan juga bayi. Namun, sebelum proses caesarean dilakukan, doktor juga memaklumkan mengenai peluang untuk anak saya hidup adalah 50-50. Tiada apa yang mampu saya katakan, selain hanya berserah kepada Allah.
“Pada 10 Disember 1998, saya selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Tetapi kerana usia kandungan yang tidak mencukupi, ia menyebabkan paru-paru dan jantung anak saya tidak dapat berfungsi dengan baik.
“Lima hari selepas itu, anak yang diberi nama Aiman Yusuf meninggal dunia tanpa sempat saya tatap, peluk dan susui. Malah, sehingga arwah dikebumikan, saya tidak berpeluang langsung untuk melihatnya kerana keadaan kesihatan saya yang begitu kritikal.
DR. JAMIYAH HASSAN


Bayangkan bagaimana perasaan yang terbuku di hati ini? Walaupun sedih, namun saya reda kerana semua ini adalah ketentuan Ilahi,” jelas Zarina sambil memberitahu suaminya banyak memberi sokongan.
Selepas peristiwa tersebut, doktor menasihatkan Zarina supaya tidak hamil lagi kerana bimbang kejadian serupa akan berulang.
Bagaimanapun, takdir-Nya tiada siapa yang tahu. Pada usia 35 tahun, Zarina sekali lagi hamil dan berjaya melahirkan anak bongsunya yang diberi nama Fatimah Az-Zahra juga melalui pembedahan caesarean.


PROSEDUR pembedahan caesarean hanya mengambil masa antara 30 hingga 45 minit.



Bagi Junaidah yang kini berusia 17 tahun, walaupun usia adik lelakinya terlalu singkat namun dia bersyukur kerana ibunya selamat.
“Memang saya sedih kerana kehilangan adik lelaki yang kami nanti-nantikan selama ini. Tetapi saya yakin setiap yang berlaku itu ada hikmahnya,” kata pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Seksyen 18, Shah Alam ini.
Caesarean merupakan satu prosedur pembedahan untuk melahirkan bayi jika terdapat sebarang masalah yang dialami oleh si ibu atau bayi itu sendiri. Ia juga boleh dianggap sebagai proses menyelamatkan nyawa kedua-dua pihak.
“Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pembedahan ini perlu dilakukan. Antaranya ialah ibu yang telah melalui proses bersalin melebihi tempoh 16 jam kerana tempoh untuk kelahiran bayi secara normal antara 10 hingga 16 jam.
“Selain itu, faktor semula jadi seperti wanita yang mempunyai tulang punggung yang kecil hingga menyebabkan pembukaan rahim tidak dapat berlaku semasa tempoh melahirkan.
“Malah, jika bayi terlalu besar atau ibu mempunyai masalah hipertensi dan diabetes yang serius juga menjadi punca untuk seseorang menjalani prosedur ini,” kata Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi (Feto-Maternal), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Dr. Jamiyah Hassan ketika ditemui.

JIKA bayi bermasalah ketika dilahirkan, maka pembedahan caesarean perlu dilakukan.


Menurut sejarah, prosedur ini mula diperkenalkan sejak zaman kuno lagi. Ada beberapa teori yang mengaitkan tentang asal-usul pembedahan caesarean.
Antaranya, perkataan caesar diambil daripada nama Julius Caesar, pemimpin utama empayar Rom yang dipercayai dilahirkan oleh ibunya secara pembedahan caesarean, Aurelia pada tahun 100 Sebelum Masihi.
Selain itu ada juga pendapat mengatakan, masyarakat Latin turut menjadi antara pihak yang terawal melakukan proses caesarean.
Ketika itu klorofom dan arak diberi kepada wanita terbabit sebagai bius untuk menahan kesakitan apabila pembedahan dilakukan.
Seiring dengan peredaran zaman, kebanyakan wanita kini lebih gemar memilih cara melahirkan anak menerusi caesarean. Perkara ini diakui sendiri oleh Dr. Jamiyah.
“Memang rata-rata wanita di Malaysia terutamanya yang mengamalkan gaya hidup moden, lebih suka melalui proses kelahiran menerusi pembedahan ini yang menurut mereka lebih mudah tanpa perlu menanggung rasa sakit untuk bersalin.


“Walaupun mereka sebenarnya boleh melahirkan anak secara normal, namun kami sebagai doktor tiada pilihan jika pesakit tetap menginginkan cara sedemikian. Cuma kami akan menasihati dan berbincang dengan mereka terlebih dahulu sekiranya mereka mahukan prosedur tersebut dilakukan,” jelasnya.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar kelahiran bayi menerusi pembedahan caesarean amat tinggi di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Australia, Britain dan sebagainya.
Malah seorang doktor pakar Obstetrik & Ginekologi di Australian National University, Dr. David Ellwood mengatakan, dalam tempoh dua dekad lagi tidak mustahil 90 peratus kelahiran di negara itu akan dilakukan melalui caesarean.
Ini membuktikan bahawa pembedahan caesarean sudah menjadi seperti satu budaya di kalangan wanita moden berbanding matlamat asalnya iaitu hanya dilakukan sekiranya berhadapan dengan kecemasan ketika melahirkan
--- KOSMO

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...