PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Sunday, January 27, 2013

Merawat diabetes

ARKIB : 27/01/2013

Matlamat utama dalam rawatan penyakit kencing manis adalah untuk mengurangkan tahap gula dalam darah, dari kadar yang luar biasa ke tahap gula lebih rendah dan normal. - Gambar hiasan
 
Soalan: SAYA Siti Juliana ingin bertanya bagi pihak ayah saya. Ayah saya berumur 60 tahun menghidap penyakit kencing manis sejak 10 tahun lalu. 

Tahap suntikan insulin yang perlu diambil adalah sebanyak 14 unit pada siang (tiga suntikan) dan 20 unit pada waktu malam. 

Masalahnya dia sering mengalami kebas kaki dan tangan hampir setiap hari dan pada waktu malam menjadi lebih kebas berbanding siang. 

Adakah penyakit kencing manis ini boleh diubati? Apakah ayat-ayat Al-Quran yang patut dibaca oleh ayah saya. Saya berharap Tuan Haji Lokman dapat menjawab soalan saya ini.

-Lina, Taiping, Perak.

JAWAPAN:

Kencing manis atau diabetes adalah satu keadaan yang berlaku apabila tahap gula dalam darah lebih tinggi daripada biasa. 

Kencing manis berlaku apabila pankreas dalam badan tidak menghasilkan insulin atau apabila badan kita sudah tidak sensitif dengan insulin dalam badan. 

Apabila insulin gagal dihasilkan atau tidak berfungsi dengan baik, ia tidak dapat membawa masuk glukos atau gula ke dalam sel dan tisu badan kita sebagai simpanan. 

Akibatnya, darah akan mempunyai kadar gula yang terlalu tinggi untuk sel-sel badan kita. Secara amnya, seseorang dianggap menghidap penyakit kencing manis apabila kadar gula dalam darah semasa berpuasa lebih daripada tahap 7 atau kadar gula selepas makan adalah daripada tahap 11.

Kencing manis terbahagi kepada jenis 1 (bergantung kepada insulin) biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja. 

Kencing manis jenis 2 (tidak bergantung kepada insulin) selalu dihidapi oleh golongan orang berumur atau mempunyai berat badan berlebihan. Terdapat juga kencing manis semasa mengandung (gestational diabetes).

Kencing manis adalah pembunuh yang senyap (silent killer) kerana penyakit ini boleh menyebabkan seseorang pesakit menjadi buta, mengalami komplikasi buah pinggang, masalah jantung, strok dan gangren - selalunya mengakibatkan amputasi kaki akibat luka yang lambat sembuh atau mengalami jangkitan kuman kronik.

Statistik kes-kes diabetes di Malaysia

Pada 2011, Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) melaporkan kira-kira 2.6 juta rakyat Malaysia disahkan mengidap kencing manis. 

Malah, didapati bahawa satu daripada tujuh orang dewasa di Malaysia menghidapinya. Keadaan ini amat membimbangkan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa Malaysia berada di tangga ke-10 di dunia sebagai negara yang mempunyai jumlah penghidap kencing manis yang sangat ramai. 

Dalam pengalaman saya merawat pesakit kencing manis, negeri Pantai Timur Semenanjung mempunyai jumlah pesakit yang lebih ramai berbanding dengan negeri lain di Malaysia. 

Ini mungkin disebabkan faktor pemakanan penduduk Pantai Timur yang gemar makanan berunsur karbohidrat seperti nasi, pulut dan manisan.

Punca kencing manis

Penyakit kencing manis disebabkan oleh beberapa faktor. Di antara punca utama yang dikenal pasti adalah berat badan berlebihan (obesiti), faktor keturunan, tahap kolesterol tinggi, stres atau tekanan emosi berlebihan dan berterusan, pengambilan alkohol yang banyak, amalan pemakanan tidak berkhasiat atau tidak seimbang, kurang membuat aktiviti fizikal (senaman) dan tekanan darah tinggi. 

Selalunya, sesiapa yang mempunyai lebih daripada satu punca yang disebut tadi mempunyai risiko tinggi untuk menghidap kencing manis.

Tanda-tanda awal kencing manis

Tanda awal seseorang mula menghidap kencing manis adalah penurunan berat badan mendadak, luka lambat sembuh, sering buang air kecil, selalu lapar dan haus yang luar biasa, kabur penglihatan, rasa kebas di kaki dan tangan, otot lemah, sentiasa letih, cepat marah dan bagi wanita, gatal di bahagian kemaluan.

Pencegahan penyakit kencing manis

Dari segi perubatan moden, penyakit kencing manis tidak dapat diubati, tetapi boleh dikawal. 

Namun, kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yakin penyakit kencing manis ini boleh diubati dengan mengamalkan ayat-ayat al-Quran yang tertentu dan dengan keizinan Allah SWT. 

Selain itu, beberapa langkah yang dapat dilakukan untuk merawat dan mencegah penyakit kencing manis adalah dengan pengambilan makanan dan diet seimbang, melakukan senaman dengan kerap, mengawasi kadar gula dalam darah, tidak merokok dan mengawal berat badan.

Kepentingan pengambilan makanan berzat dan yang tidak memudaratkan badan turut ditekankan di dalam al-Quran seperti di dalam firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 168 yang lebih kurang bermaksud “Hai manusia! Makanlah sebahagian daripada makanan yang ada di bumi ini yang halal dan baik."

Rakyat Malaysia yang mempunyai risiko tinggi mengidap kencing manis harus mempunyai kefahaman tentang bahaya kencing manis dan perlu melakukan pemeriksaan kesihatan tahunan bagi mengenal pasti penyakit kencing manis di peringkat awal.

Rawatan moden penyakit kencing manis

Matlamat utama dalam rawatan penyakit kencing manis adalah untuk mengurangkan tahap gula dalam darah, dari kadar yang luar biasa ke tahap gula lebih rendah dan normal. 

Penyakit kencing manis jenis 1 boleh dirawat dengan pengambilan insulin, senaman dan pemakanan sihat dan seimbang. 

Penyakit kencing manis jenis 2 pula boleh dirawat dengan penurunan berat badan, mengamalkan diet sesuai dan aktiviti senaman yang konsisten. 

Jika langkah ini gagal mengawal kadar gula darah yang tinggi, ubat-ubatan hospital boleh digunakan.
Jika ubatan masih tidak mencukupi untuk mengawal kadar gula dalam darah, maka rawatan dengan suntikan insulin boleh digunakan.

Rawatan penyakit kencing manis dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran

Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit kencing manis akan diberi ayat berikut untuk mereka amalkan dan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan. Ayat-ayat yang perlu diamal adalah:

Surah Al-Anbiya’ ayat 62 hingga 73
Surah An-Nahli ayat 66 hingga 74
Surah Huud ayat 46 hingga 53
Surah Al-Kahfi ayat 28 hingga 44
Surah Al-Qasas ayat 29 hingga 40
Surah Al-Maidah ayat 62 hingga 75

Cara amalan ayat-ayat al-Quran tersebut adalah pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Al-Anbiya’ tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah An-Nahli tiga kali pada waktu siang. 

Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. 

Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan. 

Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan tersebut dengan surah berikutnya. 

Lebih baik sekiranya pesakit datang berjumpa dengan perawat Al-Hidayah terlebih dahulu supaya dapat kami memeriksa jikalau ada kesan sampingan yang disebabkan oleh penyakit kencing manis ini. 

Sekiranya ada kesan sampingan, kami boleh memberi ayat al-Quran yang lain untuk merawat kesan sampingan tersebut.

Adalah dinasihatkan agar pesakit yang ingin berubat menggunakan ayat-ayat al-Quran ini tidak berhenti terus mengambil ubat yang telah diberi oleh pihak hospital, tetapi boleh mengurangkan dos pengambilan ubat hospital secara perlahan-lahan mengikut kadar pemulihan pesakit. 

Terapi penyembuhan melalui ayat al-Quran ini memakan masa, disiplin dan kesabaran. Kaedah rawatan ini bukan seperti magic, hari ini pesakit membaca ayat yang diberi dan esok pesakit mengharap penyakit itu sembuh. 

Pesakit mesti yakin akan mukjizat ayat-ayat al-Quran dan yang paling penting berdoa kepada Allah memohon penyembuhan serta keberkatan dan rahmat-Nya.

Kepada semua pesakit kencing manis, jangan berputus asa berusaha dan mendapatkan rawatan untuk menyembuhkan penyakit ini. 

Ramai pesakit yang telah berusaha berubat dengan ayat al-Quran dan ada yang telah sembuh selain ada yang masih lagi menjalani rawatan. 

Yakinlah dengan mukjizat ayat al-Quran, penyakit kencing manis boleh dirawati, insya-Allah.

Dari Abu Hurairah r.a: Bahawasanya Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tidaklah Allah menurunkan suatu penyakit, melainkan dia juga menurunkan ubatnya" ( Hadith Sahih Bukhari).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130127/kn_05/Merawat-diabetes#ixzz2KmlptCwx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Merokok jejas kualiti sperma


SAYA dan isteri berusia 27 tahun dan kami berkahwin hampir dua tahun. Sehingga kini isteri belum hamil. Hasil pemeriksaan menunjukkan saya menghadapi masalah kurang sperma dan tiada sperma aktif. 

Jumlah sperma yang diukur cuma 13 juta/ml, malah tiada jumlah sperma aktif dan 25 peratus sperma bergerak perlahan. Bolehkah masalah saya diubati kerana kami mahu cahaya mata dan latar belakang keluarga tiada masalah. 

Saya pernah kemalangan pada 2007 yang mengakibatkan tulang belakang terakhir di bahagian punggung mengalami keretakan. Saya juga kuat merokok sekitar 20 batang sehari. Kerja seharian saya banyak dihabiskan di dalam kereta dan pejabat dan saya juga selalu tidur sekitar jam 12 tengah malam kerana melakukan kerja pejabat di rumah. Disebabkan kekangan kerja, saya juga jarang bersenam. Hampir dua atau tiga bulan sekali baru saya bersenam. Hubungan kelamin juga biasanya bertahan 15 minit saja kerana alat sulit saya tidak dapat bertahan lama sebelum ejakulasi. 

- Mr. R, Selangor.

JAWAPAN:

Kesukaran untuk hamil tidak semestinya disebabkan oleh wanita sahaja tetapi juga lelaki. Hampir 30 hingga 40 peratus infertiliti atau kemandulan disebabkan oleh faktor lelaki. Walaupun lelaki dapat terus menjadi 'produktif' pada usia yang lebih lanjut tetapi ianya tidak bermakna mereka lebih subur. Ramai lelaki mengalami masalah disfungsi seksual seperti ejakulasi pramatang, kegagalan ereksi dan sebagainya.

Terdapat juga lelaki yang mempunyai kualiti dan kuantiti sperma yang rendah akibat faktor genetik, merokok, meminum minuman keras dan mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat. Jangkitan pada kelenjar testis dan saluran yang membawa sperma juga boleh menyebabkan infertiliti. Seperti juga wanita, lelaki juga boleh mengalami infertiliti jika menerima ubat-ubat kemoterapi ataupun radioterapi. 

Anda menjalani ujian air mani dan mendapati kuantiti sperma dan kualiti sperma merosot Kemungkinan juga peratusan sperma anda tidak berbentuk normal. Mungkin doktor memeriksa buah zakar anda untuk meneliti jika isi padu kedua-duanya normal dan pembuluh darah zakar normal tanpa perubahan berpintal atau varikosel. Anda mungkin tahu kedudukan buah zakar dalam kerandut dan di luar badan. 

Jika anda memakai seluar dalam ketat atau tebal, suhu dalam kerandut zakar menjadi tinggi dan ini menjejaskan proses pembiakan sperma dalam kilang sperma. Sama juga jika berat badan tinggi dan anda banyak melakukan kerja dalam keadaan duduk kerana itu membuatkan buah zakar terperap dalam 'lemak' seolah-olah macam dalam 'ketuhar' yang secara langsung meningkatkan suhu kerandut buah zakar dan menjejaskan proses spermatogenesis (proses pengilangan sperma). 

Merosakkan

Amalan merokok boleh menjadi sebab utama sperma bermasalah. Merokok membuatkan anda menghidu bahan toksik yang merosakkan sistem reproduksi dan kesuburan tanpa anda sedari. Merokok mengancam kesuburan lelaki secara meluas dan menyebabkan kualiti dan kuantiti sperma merosot. Mengikut kajian pakar infertiliti, merokok merosakkan sperma secara terus apabila air mani tercemar dengan bahan toksik yang menyebabkan kerosakan kepada protein dan nutrien dalam air mani. Proses kerosakan sperma meningkat ketara apabila amalan merokok berpanjangan. 

Lagi lama anda merokok, lagi bermasalah kualiti sperma anda. Merokok mengurangkan bilangan atau kuantiti sperma. Ini kerana bahan kimia mencegah penyerapan vitamin dan mineral dalam air mani seperti kekurangan vitamin B12, vitamin E dan zat galian. 

Merokok merendahkan tahap hormon kesuburan diperlukan untuk pembiakan sperma dalam kilang. Kadar peratusan bilangan sperma boleh merosot daripada beratus-ratus juta kepada satu angka dalam keadaan serius. Saya harap agar maklumat ini dapat membuka minda dan mendorong anda untuk berhenti merokok.

Merokok juga mengganggu pergerakan sperma. Pergerakan sperma ialah keupayaan bergerak secara ke depan memasuki pangkal rahim (serviks) dan salur Fallopio untuk berjumpa dengan ovum (telur) bagi proses persenyawaan. Sperma perlu bergerak laju dan sehala supaya dapat bergerak dalam kelajuan baik supaya mudah sampai ke destinasi. Ini terhalang akibat merokok. Bilangan sperma yang sampai tidak cukup untuk berinteraksi dengan ovum (telur) bagi memudahkan penetrasi satu sperma ke dalam telur semasa proses persenyawaan. 

Merokok juga menyebabkan penghasilan sperma berbentuk tidak normal akibat tindak balas bahan radikal bebas daripada bahan kimia rokok. Sperma yang tidak berbentuk normal tidak dapat bergerak dan mensenyawakan ovum.

Saya nasihatkan agar encik berhenti merokok demi isteri yang tercinta dan juga demi zuriat yang diimpikan. Kurangkan juga stres dan ambil masa untuk berehat dan bercuti bersama isteri. Gunakan juga masa yang ada untuk sama-sama bersenam dengan isteri. Cuba amalkan nasihat-nasihat ini kerana terbukti dapat meningkatkan kualiti dan kuantiti sperma. Selepas itu elok berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan, nasihat dan rawatan yang lebih lanjut.

Sunday, January 6, 2013

Awas! Jangkitan parasit kucing

Membela kucing boleh memberikan kesan negatif kepada kehamilan kerana keadaan ini berkait rapat dengan sejenis parasit iaitu protozoa yang dikenali sebagai toxoplasma gondii. 
SAYA ialah seorang penggemar kucing. Saya mempunyai 10 ekor kucing di rumah, kebanyakannya kucing kampung. Untuk pengetahuan doktor, saya sedang mengandung anak pertama dalam empat bulan. Saya tidak mengalami apa-apa alahan atau masalah perubatan semasa hamil. Kawan baik saya ada memberitahu akan masalah yang mungkin timbul kepada bayi dalam kandungan jika kita membela kucing. Mohon penjelasan daripada doktor?

Penggemar kucing, Selangor.

JAWAPAN:

Haiwan jinak seperti kucing sememangnya kerap dijadikan haiwan peliharaan di rumah. Tetapi sekiranya anda sedang hamil, mungkin anda perlu mengehadkan masa bersama dengan haiwan peliharaan khususnya dari segi pengendalian najis kucing. Membela kucing boleh memberikan kesan negatif kepada kehamilan. Keadaan ini berkait rapat dengan sejenis parasit iaitu protozoa yang dikenali sebagai toxoplasma gondii yang membiak di dalam usus kucing dan didapati di dalam najisnya dan juga dalam tanah. 

Parasit ini menyebabkan sejenis jangkitan yang sering ditemui iaitu toksoplasmosis yang tidak membahayakan orang dewasa tetapi boleh menyebabkan masalah kesihatan serius kepada bayi dalam kandungan. Ini boleh mendatangkan ancaman jangkitan toksoplasma yang boleh memberi kesan kepada anak dalam kandungan. Ramai wanita dijangkiti oleh parasit toksoplasma tetapi tidak menyedari hakikat ini kerana parasit ini tidak memberikan tanda yang ketara.

Isu yang paling dikhuatiri ialah apabila jangkitan parasit itu dialami buat kali pertama ketika mengandung. Ramai ibu yang sedang hamil tidak mengetahui bahaya parasit berkenaan kerana ia tidak mendatangkan petanda luar biasa seperti sesak nafas atau demam tinggi.

Sebaliknya, ibu yang dijangkiti akan mendapat demam serta selesema biasa, kelenjar limfa membengkak, sakit otot, kekejangan dan sakit sendi. Gejala sebegini selalu dianggap 'keadaan biasa' oleh ibu hamil dan doktor yang merawatnya. Proses penyebaran boleh berlaku berpunca daripada najis haiwan peliharaan yang menyebabkan toksoplasmosis atau dalam dunia perubatan digelar jangkitan yang disebabkan oleh parasit toksoplasma yang menyerang jaringan saraf manusia. 

Menjangkiti bayiSeorang wanita yang dijangkiti sama ada sebelum atau semasa hamil, boleh menjangkiti bayi yang dikandung. Toksoplasmosis kongenital adalah satu masalah perubatan yang mana bayi dalam kandungan dijangkiti melalui uri (plasenta). Jika seorang wanita menerima pendedahan pertama kepada toksoplasmosis ketika mengandung, bayi akan berisiko tinggi. Risiko bayi termasuk mati dalam kandungan, buta mata dan kecacatan otak termasuk 'retardasi mental'. 

Jangkitan paling biasa diperolehi menerusi sentuhan dengan kucing serta najis mereka. Toksoplasma juga boleh dijangkiti apabila wanita mengendalikan daging mentah atau separuh masak.


PeringatanSebagai peringatan kepada wanita khususnya yang sedang hamil dan berusaha untuk hamil, anda perlu mengehadkan masa bersama haiwan atau pengurusan najis haiwan itu. Pengurusan najis haiwan ini boleh dilakukan oleh suami atau orang lain. Dengan cara ini moga anda dapat mengelak risiko jangkitan kali pertama ketika hamil. Lebih utama ia dapat mengurangkan risiko bayi menghidapi toksoplasmosis kongenital.
Jika doktor mengesyaki yang ibu mempunyai jangkitan toksoplasmosis aktif, ujian darah boleh dilakukan untuk mengesan kehadiran antibodi yang mengesahkan jangkitan ini. Jika ibu disahkan mendapat jangkitan, ujian lanjutan seperti amniosintesis dan ujian imbasan ultrabunyi akan dilakukan ke atas bayi dalam kandungan. Ibu akan diberi ubat khusus jika bayi disyaki telah dijangkiti, agar gejala yang akan dialami oleh bayi apabila lahir dapat dikurangkan. 

RawatanRawatan ini diteruskan ke atas bayi selepas dilahirkan. Sebaliknya, jika bayi dalam kandungan belum dijangkiti, ibu akan diberi ubat antibiotik khusus supaya risiko jangkitan kepada bayi dapat dikurangkan sehingga 50 peratus. Bayi-bayi yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu yang mendapat jangkitan toksoplasmosis haruslah diuji agar tidak mempunyai sebarang gejala semasa dilahirkan dan terus diberi rawatan.

Langkah-langkah pencegahan seperti berikut dapat mengurangkan insiden ia berlaku. Antaranya dengan membasuh tangan sebelum mengendalikan makanan, mengelakkan pemakanan daging mentah atau tidak sempurna dimasak, membasuh dengan teliti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak perlu dimasak sebelum dimakan, menggunakan sarung tangan semasa berkebun atau semasa mengendalikan tanah dan akhir sekali elakkan daripada menyentuh najis kucing. 

Elakkanlah membela kucing semasa hamil sekiranya langkah ini sukar dilakukan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...