PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Thursday, August 28, 2014

Ibu hamil gemar minum kopi, bayi kena leukemia


RISIKO anak menghidap leukemia tinggi jika ibu minum dua cawan kopi sehari.


KAJIAN yang dimuatkan dalam American Journal of Obstetrics and Gynaecology mendapati, wanita hamil yang gemar minum kopi setiap hari berpotensi melahirkan bayi dengan penyakit leukemia.

Hal ini disebabkan kandungan kafein yang tinggi dapat mengubah DNA di dalam sel-sel janin sehingga membuatkan mereka lebih mudah terkena tumor dan seterusnya kanser.

Menurut profesor emeritus di Universiti Bristol, United Kindgom, Denis Henshaw, kajian mendapati bayi yang lahir daripada wanita yang suka minum kopi semasa hamil berisiko 20 peratus lebih tinggi dibandingkan dengan mereka yang tidak minum kopi.

"Angka ini akan naik hingga 60 peratus jika ibu hamil minum kopi lebih dua cawan sehari.

"Disebabkan itu, kami menyarankan ibu hamil supaya mengurangkan pengambilan kafein atau tidak mengambilnya langsung," jelasnya.

Di Eropah, lebih 500 bayi dan anak kecil dilaporkan menderita leukemia dan kanser tersebut menjadi kanser yang paling biasa terjadi di sana.

--- KOSMO

Wednesday, August 27, 2014

Virus Ebola bawa maut

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
KEADAAN badan bergelembung merupakan tanda Ebola kronik.
"Penduduk lebih percaya kepada dukun dan mengatakan Ebola tidak wujud atau hanya rekaan orang Barat untuk menakutkan orang Afrika. Lebih buruk, mereka mengatakan klinik dan hospital ialah tempat untuk mati dan bukan untuk mengubati," kata Kendell Kauffeldt yang merupakan Pengarah Samaritan Purse iaitu sebuah badan sukarela yang ditubuhkan untuk memberi pendidikan kesihatan kepada orang awam di Monrovia, Liberia.

Inilah senario yang berlaku di Afrika. Hakikatnya, Ebola ialah ancaman yang jelas wujud di Afrika hingga menyebabkan maut.

Bagi Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam baru-baru ini berkata, setakat ini tiada laporan kes penularan penyakit virus Ebola di negara ini dan pemantauan mengenainya sedang dijalankan.

Pun begitu, Kementerian Kesihatan telah memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan respon terutama di pintu masuk negara terutamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menghadapi penularan virus Ebola.

Dalam pada itu, Pakar Mikrobiologi Klinikal, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Azian Harun berkata, virus Ebola merupakan sejenis virus yang tergolong dalam famili virus Filoviridae (filovirus). Virus Ebola menyebabkan penyakit demam berdarah yang dikenali sebagai penyakit virus Ebola atau Ebola virus disease (EVD). Terdahulu, ia dikenali sebagai demam berdarah Ebola (Ebola haemorrhagic fever). 

Tambah Dr. Azian, seseorang individu boleh dijangkiti Ebola melalui beberapa cara seperti sentuhan secara langsung (direct contact) kontak rapat dengan darah atau cecair badan pesakit EVD. Ebola juga berjangkit melalui cecair badan yang dimaksudkan termasuk air liur, air kencing, air mani, najis, dan lain-lain. 

"Virus ini turut berjangkit melalui jarum yang tercemar oleh virus Ebola dan berhubung rapat dengan bangkai haiwan yang telah dijangkiti virus Ebola (berlaku dalam kalangan pengendali haiwan dan pemburu haiwan liar)," jelasnya.

Biasanya, virus ini akan mula menunjukkan simptom bermula dua hingga 21 hari selepas individu terdedah kepada virus ini.

Simptom
Dr. Azian memberitahu, pesakit Ebola akan mengalami simptom seperti demam mendadak, sakit kepala yang teruk, sakit otot, lemah badan atau kelesuan, ruam, cirit-birit, muntah-muntah, sakit perut dan hilang selera makan. Seterusnya, jangkitan berkemungkinan membawa kepada kegagalan buah pinggang dan hati serta pendarahan dalaman dan luaran. Individu yang mengalami gejala jangkitan mampu menjangkiti individu lain sebaik-baik saja gejala-gejala tersebut muncul. 

Rawatan dan pencegahan

Pesakit yang dijangkiti penyakit virus Ebola yang teruk lazimnya memerlukan rawatan rapi di hospital. 

"Sehingga kini, tiada rawatan khusus (antiviral) yang disahkan berkesan untuk melawan penyakit virus Ebola. Rawatan yang lazimnya diberikan merupakan rawatan sokongan (supportive) sahaja termasuklah memastikan tahap hidrasi badan yang optimum. Sehingga kini juga tiada vaksin yang dibuktikan berkesan untuk melindungi manusia daripada dijangkiti virus ini," jelasnya.

Tambah beliau, secara amnya risiko jangkitan Ebola dalam kalangan penduduk Malaysia ialah rendah kecuali bagi individu yang melawat ke negara-negara yang dilaporkan mengalami wabak penyakit virus Ebola. 

Sejak Mac 2014, pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memaklumkan tentang kejadian wabak Ebola yang melibatkan empat buah negara di Afrika Barat iaitu Guinea, Liberia, Sierra Leone dan Nigeria. 

"Oleh itu, amatlah wajar untuk menangguhkan kunjungan ke negara atau kawasan yang terlibat sekiranya tiada keperluan yang mendesak," nasihat Dr. Azian.

Sehingga hari ini, tidak ada laporan wujudnya penyakit virus Ebola di Malaysia tetapi risiko untuk penyakit ini menular ke negara kita tetap ada melalui perjalanan merentas benua sama ada melalui jalan udara atau lain-lain.

--- UTUSAN MALAYSIA

Thursday, August 21, 2014

Obesiti Sebab Makan, Gugat Kesihatan: Mana Satu Keutamaan?


Oleh Noor Zafira Mohd Shafie

KUALA LUMPUR (Bernama)-- "Ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa", apatah lagi bila selera makan melampau yang dilayan tanpa berfikir panjang akan kesan baik dan buruk.

Tabiat mengambil banyak makanan yang berkalori tinggi akan menjurus kepada obesiti sebelum ia menjadi pintu masuk kepada pelbagai penyakit tidak berjangkit khususnya diabetes, darah tinggi dan sakit jantung.

Malaysia adalah negara yang tidak terlepas daripada masalah obesiti akibat perubahan gaya hidup masyarakat serta amalan pemakanan yang tidak sihat.

Pakar pemakanan menjelaskan obesiti sebagai suatu keadaan yang terjadi disebabkan oleh ketidakseimbangan antara pengambilan makanan (tenaga) dan penggunaan tenaga (aktiviti fizikal).

Isu obesiti bukan lagi suatu isu baru dan hakikatnya ia dilaporkan meningkat dari tahun ke tahun sekaligus turut menjadi pembunuh utama bagi golongan yang mengalami masalah itu.

OBESITI MASA KINI

Cabaran dalam menangani masalah obesiti di Malaysia kini adalah dari segi mengubah corak pemakanan dan menjelaskan kepentingan gaya hidup aktif yang dapat membantu mengatasi masalah itu dalam kalangan masyarakat.

Peringkat awal obesiti boleh berlaku ke atas kanak-kanak dari sekolah rendah lagi, yang mana pengambilan makanan tidak sihat diambil akibat daripada pihak pengusaha kantin yang kurang menitikberatkan kepentingan pengambilan makanan berzat kepada pembesaran pelajar.

Sirap, minuman berkarbonat, nugget segera, keropok dan gula-gula adalah menjadi makanan rutin kepada setiap pelajar sekolah rendah terutama yang hanya makan di kantin sekolah tanpa membawa bekal makanan dari rumah.

Kesedaran seharusnya timbul dalam kalangan ibu bapa dalam melatih anak untuk mengamalkan pengambilan pemakanan sihat setiap hari seperti menyediakan air kosong, mengurangkan kandungan gula dalam minuman, menyajikan hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran serta melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam.

PENYEBAB OBESITI

Ketidakseimbangan antara pengambilan tenaga dan penggunaan tenaga menyebabkan tenaga berlebihan yang disimpan bertukar menjadi lemak yang memudaratkan tubuh badan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr. Hamid Jan Jan Mohamed berkata dimensi umum kepada terjadinya obesiti adalah dilihat hasil daripada pengambilan makanan berkalori tinggi seperti makanan segera dan minuman berkarbonat.

Berikutan corak kehidupan yang sibuk dan kesuntukan masa untuk menyediakan makanan menyebabkan rakyat Malaysia seperti mana rakyat di negara maju akan memilih makanan segera yang mengandungi kalori tinggi.

"Strategi pemasaran kreatif adalah penyebab bagi pengguna terutama kanak-kanak dan remaja terpengaruh untuk membeli makanan segera", katanya.

"Lebih teruk, tabiat pengambilan makanan secara berlebihan menjadi budaya hidup kebanyakan orang dan garis panduan pemakanan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia diabaikan", jelasnya lagi.

Namun masalah berkenaan tidak berakhir di situ sahaja, kerana rata-rata masyarakat Malaysia kini mengamalkan cara hidup moden dan gaya hidup yang kurang aktif.

Bagi sesetengah pula beranggapan, "makan sahaja apa yang terasa hendak dimakan, esok lusa amalkan gaya hidup sihat semula, bukan salah pun".

Hakikatnya, sikap sedemikian hanya membawa padah kepada kesihatan dan kecergasan tubuh badan diri sendiri.

PEMAKANAN SIHAT

Paling utama, apa yang dimakan dalam setiap hidangan harian adalah penentu kesihatan bagi setiap individu yang berlainan.

Berbaloikah untuk merisikokan tubuh badan yang kita miliki cuma kerana ingin memuaskan nafsu makan yang tiada kesudahannya?

Persoalan ini wajar diteliti dengan berbalik kepada panduan anjuran tatacara pemakanan dan kesihatan menurut pandangan Islam, kata Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Norkumala Awang.

Lazimnya, elemen kesihatan fizikal, mental dan emosi, spiritual dan persekitaran sosial bersifat saling berkaitan antara satu sama lain sebagai sistem bersepadu yang menyumbang kepada kesihatan seseorang.

"Makan secara sederhana sebagaimana yang dianjurkan oleh agama, kerana perut kita ini ada hadnya, selain itu sifat sederhana dan tidak berlebihan dalam hal ehwal makan dapat mengelakkan datangnya gangguan kesihatan kepada tubuh badan," katanya pada Seminar Daripada Malnutrisi Kepada Obesiti: Menelusuri Tabiat Makan Umat Islam di Malaysia di sini, baru-baru ini.

Pemakanan sihat boleh diamalkan dengan mengambil pelbagai makanan dan seimbang dalam status pengambilannya di samping mementingkan unsur keberkatan dalam makanan yang dimakan.

Kurang pengetahuan membuatkan ramai yang seringkali salah dalam mengurus kualiti dan kuantiti makanan yang diambil dalam seharian.

-----------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

MAKANAN SUNNAH DAN KESIHATAN

Sikap peduli, prihatin dan ambil berat membawa seseorang kepada meneliti dengan lebih bagi setiap makanan yang diambil sebagai tenaga harian.

Makanan yang halal dan baik adalah diharuskan kerana ia sesuatu yang diperoleh kelazatan dan kebaikan darinya selain merangkumi keberkatan bagi dunia dan akhirat.

Pemakanan sunnah merujuk kepada makanan yang dikategorikan sebagai halal dan baik yang mana juga ditunjukkan galakan oleh Rasullulah S.A.W. untuk kita memakannya.

"Dalam soal makanan, apa yang penting dan mesti diingati adalah perintah al-Quran agar memastikan ia halal dan baik, kerana penentuan baik buruk makanan ini termasuk dalam bidang kajian ilmu nutrisi, yang kian berkembang pesat dan membawa faedah kepada manusia," jelas Felo Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM Asham Ahmad.

-- BERNAMA

Pertolongan Pertama Pada Orang Yang Kena Stroke


Orang yg kena STROKE mendadak (jatuh di tandas) pembuluh darah ke otak akan pecah sedikit demi sedikit. Ingat,untuk mengatasi hal ini janganlah gugup/panik. Jika korban berada di tempat kejadian seperti di bilik mandi/bilik tidur/ruang tamu dll. Jangan dipindah2kan ke tempat lain, kerana akan percepat pecahnya pembuluh darah, dan janganlah sampai dia terjatuh lagi.

Caranya adalah dengan mengeluarkan darah korban dgn menggunakan jarum yg telah dibakar/disteril yg kemudian ditusukkan ke ujung setiap jari masing2 sampai darahnya keluar 1-2 titis.Kalau darahnya tidak keluar dapat diurut sampai keluar, sesudah itu korban akan sedar setelah beberapa minit kemudian. Jika korban mulutnya miring, tariklah kedua daun telinganya sampai merah dan langsung tusuk bagian bawah daun telinga dg jarum steril sampai darah keluar 1-2 titis.Setelah korban sedar dan mulutnya sudah pulih kembali, barulah dibawa ke doktor atau hospital.

Biasanya orang yg terkena STROKE pembuluh darahnya akan lebih cepat pecah karena goncangan dalam perjalanan ke doktor atau hospital.Orang tersebut dapat tidak sedar kembali/pengsan dan biasanya akan cacat/lumpuh. (Kita harus ingat MENGELUARKAN DARAH dari jari orang yg terkena STROKE, maka kita sudah boleh menolong orang tersebut dari penyakit STROKE).

Monday, August 11, 2014

Penyusuan Ibu, Berjaya Kurangkan Kadar Kematian Kanak-kanak Di Malaysia

Oleh Siti Baaqiah Mamat

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Malaysia berjaya mengurangkan kadar kematian kanak-kanak bawah lima tahun sebanyak 85 peratus sejak 30 tahun lepas berikutan pelbagai inisiatif kerajaan dalam menggalakkan penyusuan ibu di negara ini.

Pakar Perunding Pediatrik Neonatologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Farah Inaz Syed Abdullah berkata penyusuan ibu merupakan kaedah terbaik mengurangkan risiko kematian bayi dan kanak-kanak kerana ia membekalkan zat dan imuniti yang membantu mengekalkan tahap kesihatan kanak-kanak sehingga dewasa.

"Jika kanak-kanak di seluruh dunia diberi penyusuan susu ibu dalam jangka 'waktu terpenting' iaitu pada jam pertama selepas dilahirkan, dianggarkan satu juta kematian kanak-kanak dapat dielakkan.

"Ini disebabkan susu ibu istimewa kerana mengandungi 'kolostrum' iaitu khasiat dalam imbangan yang betul bagi pertumbuhan bayi dan uniknya khasiat ini berubah mengikut keperluan bayi membesar," katanya kepada Bernama selepas Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat HKL di sini, baru-baru ini.

Dr Farah Inaz berkata kolostrum juga mengandungi antibodi yang mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit-birit, selesema dan radang paru-paru.

Lebih peting, ia bertindak sebagai imunisasi pertama bayi.

Sementara itu, Pakar dan Pensyarah Perubatan Kanan Obstetrik dan Ginekologi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Maiza Tusimin berkata penyusuan ibu juga dapat mengurangkan risiko Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS) yang selalunya disebabkan bayi tersedak susu.

"SIDS kerap berlaku kepada bayi yang minum susu formula melalui botol susu. Risiko ini boleh dikurangkan kerana penyusuan ibu diberi secara eksklusif dan penuh perhatian, selain kandungan susu ibu yang mengandungi enzim lipase yang dapat menghadamkan lemak secara semulajadi," katanya kepada Bernama.

Walaupun teknologi moden cuba meniru dan merumus susu formula agar menyamai susu ibu, beliau berkata sehingga kini khasiat dan kebaikan yang terkandung dalam susu ibu, sukar ditandingi.

Sementara itu, Ketua Pusat Pengeluaran Susu Negara Dr Noor Haliza Yussoff ketika ditemui Bernama berkata dalam menggalakkan penyusuan ibu, Kementerian Kesihatan telah mewujudkan Hospital Rakan Bayi sejak 1993.

Beliau yang juga Perunding Kanan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi HKL berkata kejayaan Malaysia mewujudkan Hospital Rakan Bayi itu turut diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 1998, sebagai negara ketiga di dunia selepas Sweden dan Oman yang berjaya mengakreditasi semua hospital kerajaan sebagai Hospital Rakan Bayi.

"Semua hospital kerajaan di Malaysia sudah mendapat status Hospital Rakan Bayi dan kita memastikan semua bayi yang dilahirkan tidak diberikan susu selain susu ibu semasa di hospital.

"Selain itu, kita juga mengajar ibu-ibu baru cara menyusukan bayi mereka dan bagaimana untuk memastikan penyusuan dapat diteruskan sehingga usia bayi mencecah enam bulan," katanya.

Ditanya mengenai kesedaran terhadap penyusuan ibu di Malaysia, Dr Noor Haliza berkata ia semakin meningkat, terutama selepas kaum ibu mengetahui kebaikan penyusuan ibu tidak hanya kepada bayi malah kepada diri sendiri.

Beliau berkata melalui penyusuan, ibu berupaya mengurangkan berat badan, mengurangkan risiko kanser payu dara, kanser ovari, kanser rahim (Endometrium) dan penyakit rapuh tulang (Osteoporosis) serta mengurangkan risiko kehamilan yang terlalu hampir.

"Kini kelibat wanita menyusukan anak dengan susu ibu boleh dilihat di mana-mana. Malah, ibu yang bekerjaya juga mengambil langkah bijak dengan menyimpan susu bagi simpanan anak mereka. Ini memberi petunjuk yang baik tentang tahap kesedaran masyarakat mengenai kebaikan susu ibu," katanya.

Setiap tahun, lebih 170 buah negara termasuk Malaysia menyambut Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang disambut dari 1 hingga 7 Ogos lepas, bertemakan "Penyusuan Ibu: Pencapaian Terunggul Satu Kehidupan".

-- BERNAMA

Thursday, August 7, 2014

Denggi Pembunuh dalam diam

Oleh AMIZUL TUNIZAR
DEMAM denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa sejak beberapa tahun lalu. Peningkatan mendadak jangkitan virus denggi bukan hanya berlaku di negara ini tetapi di seluruh dunia.

Penyakit yang boleh membawa maut itu kini merupakan fenomena global. Kalau dahulu, serangan virus denggi ini hanya berlaku di negara beriklim tropika dan subtropika tetapi ia sekarang merebak ke negara-negara yang bukan beriklim sebegitu.

Peningkatan mendadak kes demam denggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dikaitkan dengan perubahan iklim di seluruh dunia yang menyebabkan proses pembiakan dan kitaran hidup nyamuk aedes menjadi lebih cepat.

Serangan penyakit demam denggi dikesan berlaku sejak awal abad ke-18 lagi. Sehingga ini, ia bukan sahaja gagal dihapuskan atau dikurangkan tetapi meningkat dengan begitu mendadak sejak kebelakangan ini walaupun banyak langkah pencegahan telah diambil pihak berkuasa termasuk menggunakan kaedah fogging atau semburan kabus.

Lebih membimbangkan, virus denggi yang bermutasi mempunyai strain baharu yang boleh berjangkit dengan kesan yang lebih teruk terutamanya terhadap bekas pesakit demam denggi.

Pada masa ini, manusia masih merupakan perumah gandaan utama bagi virus denggi. Penyakit ini tersebar kepada manusia dalam tempoh lapan hingga 12 hari selepas gigitan nyamuk aedes pembawa virus denggi.

Pancawarna minggu ini melihat kepada permasalahan sebenar penyakit ini serta pelbagai aspek lain termasuk penemuan baharu dalam dunia perubatan bagi mengubati penyakit berbahaya itu.

--- UTUSAN MALAYSIA

Wednesday, August 6, 2014

Keracunan makanan boleh dielak

SAMBIL meneruskan tradisi saling kunjung-mengunjungi, ketika inilah kesempatan turut diambil untuk menjamu selera dengan pelbagai hidangan tersedia.

Apa pun, kegembiraan menyambut hari raya tidak harus keterlaluan hingga boleh memudaratkan.

Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah bahaya yang mungkin menjelma jika tiada batasan dan kawalan dalam menikmati hidangan hari raya.

Ini kerana, keracunan makanan khususnya pada musim perayaan boleh berlaku jika perkara ini dipandang remeh.

Ini diakui sendiri Pakar Perunding Perubatan dan Pernafasan Hospital Pantai Cheras, Dr. Liza Ahmad Fisal, sambil menegaskan keseronokan menyambut Aidilfitri tidak seharusnya disulami rasa duka akibat kecuaian dan kurang kesedaran untuk menyediakan makanan yang menjamin kesihatan diri.

"Keracunan makanan atau food poisoning merupakan satu spektrum penyakit yang lazimnya didapati daripada makanan atau minuman yang tercemar. Satu lagi punca yang selalu dilupai ialah air dan air batu. Contohnya, minuman dibeli bersih tetapi air batu yang selalu peniaga gunakan diperoleh daripada kedai atau kilang yang tercemar. 

"Punca lain ialah makanan yang tidak dimasak seperti buah potong dan sayur ulam yang dicuci dengan air tercemar," katanya.

Tambah Dr. Liza, keracunan makanan boleh disebabkan oleh bakteria atau virus. 

Contoh virus ialah Rotavirus dan bakteria seperti Salmonella, Eschericia coli (E. coli) dan banyak lagi.
Menerangkan lebih lanjut tentang keracunan makanan, selain sakit perut, cirit-birit, kejang dan loya merupakan antara simptom yang dikaitkan dengan keracunan makanan .

Senario cirit-birit dan muntah berterusan itu menyebabkan dehidrasi selain berkemungkinan merosakkan organ penting di dalam tubuh termasuk sel hati, buah pinggang serta tisu lembut serta mengurangkan kecekapan fungsi badan secara normal.

"Ini boleh membawa kepada tekanan darah rendah dan kelemahan otot kepada tahap bahaya.
Kadangkala kerana pesakit kurang atau tidak dapat makan, tahap gula di dalam darah juga boleh menjadi rendah. 

"Semua kesan penyakit keracunan makanan ini lebih genting jika berlaku kepada kanak-kanak, warga emas, pesakit yang menghidapi penyakit kronik seperti kencing manis dan buah pinggang serta pesakit yang mempunyai daya tahan rendah seperti HIV. Pun begitu, jarang berlaku cirit birit yang bercampur dengan darah atau lebih dikenali sebagai dysentery. Cirit-birit yang bercampur dengan darah sangat bahaya dan perlu mendapatkan rawatan segera," jelasnya.

Namun , beliau menjelaskan kes kematian akibat keracunan makanan jarang berlaku dan boleh dielakkan.

--- UTUSAN MALAYSIA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...