PENAFIAN:
Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.
Tuesday, July 29, 2014
Cirit-Birit
Thursday, September 13, 2012
Bahaya rotavirus
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM
Rotavirus, sejenis virus berbahaya yang menjadi punca cirit-birit teruk terutama di kalangan kanak-kanak.
Ia bukan sahaja berjangkit di kalangan bayi, malah kanak-kanak yang berusia di bawah lima tahun juga berpotensi dijangkiti virus berbahaya ini.
Profesor Paediatrik Fakulti Perubatan dan Perunding Kanan Gastroenterologist dan Hepatologist Paediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Lee Way Seah berkata, rotavirus adalah penyebab utama gastroenteritis teruk di kalangan bayi dan kanak-kanak di seluruh dunia.
"Di negara membangun, rotavirus gastroenteritis adalah penyebab utama kematian kanak-kanak dan mengakibatkan sebanyak setengah juta kematian setiap tahun di kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun.
"Rotavirus menjangkiti dan merosakkan sel-sel usus kecil yang mengakibatkan gastroenteritis. Ia adalah penyebab utama cirit-birit dehidrasi yang teruk di kalangan bayi dan kanak-kanak," katanya.
Tambahnya lagi, rotavirus tidak memilih mangsa dan tempat untuk dijangkiti walaupun berada di tempat dengan air bersih dan sanitasi yang baik.
"Hampir semua kanak-kanak akan dijangkiti rotavirus menjelang usia lima tahun.
"Kajian terkini menunjukkan bahawa 86.1 peratus daripada kes gastroenteritis rotavirus berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang berusia antara tiga dengan 35 bulan," kata Dr. Lee.
Ujarnya lagi, mengekalkan tahap kebersihan yang tinggi sahaja adalah tidak mencukupi untuk mencegah jangkitan rotavirus.
"Namun demikian, vaksin rotavirus telah didapati paling berkesan dan selamat dalam pencegahan jangkitan rotavirus di kalangan kanak-kanak.
"Kami menyeru semua ibubapa di Malaysia membuat pertimbangan untuk memvaksinkan bayi mereka terutama bayi yang berumur kurang dari enam bulan dengan vaksin rotavirus untuk melindungi mereka daripada sebarang jangkitan," katanya.
Ujarnya lagi, adalah sukar untuk membezakan cirit-birit yang disebabkan oleh rotavirus dengan yang disebabkan oleh jangkitan lain.
" Perbezaan ini sukar dikenalpasti kerana simptomnya mungkin sama. Walau bagaimanapun, simptom jangkitan rotavirus selalunya lebih serius daripada cirit-birit akibat jangkitan lain.
"Antara simptom jangkitan yang boleh dikenalpasti adalah muntah yang berlanjutan sehingga lapan hari, cirit-birit yang teruk melebihi sepuluh hari, sakit pada bahagian abdomen dan demam yang berlarutan," kata Dr. Lee.
Menurut beliau, cirit-birit yang berlanjutan sehingga tiga minggu dan muntah secara kerap boleh menyebabkan dehidrasi iaitu kehilangan cecair dalam badan.
"Jika keadaan ini tidak dirawat, dehidrasi yang teruk boleh mengakibatkan kerosakan organ, kejutan malah kematian di kalangan kanak-kanak," ujarnya lagi.
Dr. Lee berkata, kanak-kanak boleh menyebarkan rotavirus sebelum dan selepas mereka jatuh sakit. Demikian pencegahan dan perlindungan dari ibu bapa dapat mengelak virus ini menjangkiti mereka.
"Pembasmian kuman pada alat permainan dengan kerap dan mengamalkan amalan kebersihan diri yang baik iaitu mencuci tangan sebelum mengendalikan makanan, selepas menggunakan tandas dan selepas menyentuh permukaan yang tercemar.
"Selain itu mereka juga dinasihatkan mengambil pelalian rotavirus kerana kanak-kanak yang dijangkiti rotavirus mengumuh 100 billion partikel virus setiap gram najis dan hanya 10 partikel rotavirus yang berjangkit sudah cukup menyebabkan berlaku jangkitan," kata Dr. Lee.
Menurut beliau, walaupun amalan kebersihan diri yang baik merupakan langkah pencegahan yang lazim, kesannya adalah terhad untuk mencegah penyebaran rotavirus.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan pelalian rotavirus sebagai sebahagian daripada program imunisasi bayi kerana ia merupakan strategi pencegahan terbaik terhadap jangkitan rotavirus.
Menyedari kepentingan mencegah virus berjangkit ini kepada kanak-kanak di Malaysia, GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn. Bhd (GSK) dengan kerjasama MumCentre telah melancarkan kempen Memerangi Rotavirus ( Fight Against Rotavirus.)
Pengarah Unit Perniagaan, Vaksin, GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn. Bhd, Henri Antaki berkata, dalam memupuk kesedaran tentang rotavirus gastroenteritis, beberapa inisiaitif telah dikenalpasti untuk mendidik ibu bapa sepanjang tempoh kempen dilakukan.
"Antaranya ialah kelas antenatal anjuran institusi-institusi kesihatan untuk memberi pendedahan secara langsung kepada ibu bapa tentang cara-cara melindungi bayi mereka daripada jangkitan.
"Rota Week juga merupakan satu platform pendidikan tentang rotavirus yang berperanan menyalurkan maklumat selain kempen ini turut melibatkan penerbitan dan penyebaran bahan-bahan pendidikan sebagai sumber kepad ibu bapa," katanya.
--- UTUSAN MALAYSIA
Tuesday, March 6, 2012
Cirit-birit jadi petanda maut
| |
JIKA anak anda mengalami cirit-birit yang kerap dan muntah-muntah, jangan berlengah dan segeralah membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Mereka mungkin dijangkiti rotavirus yang boleh membawa maut.
Awal Februari lalu, negara dikejutkan dengan wabak gastroenteritis akut (AGE) yang telah menyerang dua daerah di Perak. Dua kes kematian tersebut masing-masing melibatkan bayi berusia 10 bulan dan dua bulan.
Virus tersebut dipercayai merebak melalui air. Perak mencatatkan jumlah pesakit yang paling tinggi bagi jangkitan tersebut dengan rekod setakat 16 Februari lalu ialah seramai 3,444 kes.
Jangkitan rotavirus biasanya bermula dengan demam dan diikuti dengan tiga hingga lapan hari cirit-birit dan muntah-muntah. Cirit-birit yang dimaksudkan itu lazimnya menyingkirkan lebih banyak cecair daripada tubuh.
Hampir setiap kanak-kanak akan dijangkiti rotavirus sekurang-kurangnya sekali sebelum menginjak usia lima tahun.
Virus ini telah dikenal pasti sebagai punca utama masalah cirit-birit dan 600,000 kematian akibat rotavirus dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia.
Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekitar tahun 2000 hingga 2003, sebanyak 10.6 juta kematian berlaku setiap tahun dalam kalangan kanak-kanak berusia kurang lima tahun. Semuanya disebabkan masalah cirit-birit.
Di Malaysia, data Kementerian Kesihatan mendedahkan bahawa di antara tahun 1999 hingga 2000, dianggarkan satu daripada 37 kanak-kanak berusia bawah lima tahun dirawat sebagai pesakit luar akibat rotavirus, manakala satu daripada 67 orang ditahan dalam wad, sementara satu daripada 15,000 orang berdepan dengan kematian.
Dua hari
Sebaik sahaja kanak-kanak dijangkiti virus tersebut, merka akan jatuh sakit dalam tempoh dua hari. Jangkitan tersebut mungkin menunjukkan simptom-simptom ringan ataupun tiada langsung.
Kanak-kanak boleh dijangkiti virus beberapa kali dalam hidup mereka dan jangkitan kali pertama selalunya paling teruk.
"Beberapa simptom yang biasa adalah seperti cirit-birit berdarah, muntah-muntah dengan kerap melebihi tiga jam, suhu badan mencecah 39.4 darjah Celsius ke atas dan tidak bermaya.
"Mereka juga menunjukkan simptom dehidrasi seperti mulut kering, menangis tanpa air mata, kencing sedikit atau tiada langsung serta mengantuk yang luar biasa.
"Rotavirus mudah berjangkit. Ia merebak melalui sentuhan dengan najis dan seterusnya dijangkiti melalui makanan tercemar, air dan titisan pernafasan," kata Pakar Perunding Pusat Pediatrik dan Gastroenterologi Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr. Chai Pei Fan.
Tambahnya, rotavirus boleh bertahan selama beberapa hari pada permukaan keras dan kering dan ia boleh hidup selama berjam-jam di tangan manusia.
"Cirit-birit yang teruk boleh mengundang dehidrasi terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kecil. Jika tidak dirawat, dehidrasi boleh menjadi suatu keadaan yang mengancam nyawa, tanpa mengira puncanya.
Tidak ada rawatan ubat yang khusus untuk jangkitan rotavirus, walaupun terapi dehidrasi oral disyorkan. Cecair rehidrasi boleh menggantikan kehilangan mineral lebih berkesan daripada air mahupun cecair lain.
Pei Fan mencadangkan agar kerajaan meneliti keperluan pemberian vaksin rotavirus kepada bayi berumur enam bulan ke bawah sebagai suntikan wajib.
"Sudah tiba masanya kerajaan melihat kepentingan vaksin bagi rotavirus di negara ini seperti pemberian vaksin-vaksin lain.
"Pada masa yang sama ibu bapa perlu lebih serius tentang penjagaan kebersihan anak-anak sepanjang masa," katanya.
Ibu-ibu yang menyusukan bayi pula disarankan meneruskan proses penyusuan kerana ia dapat membantu mencegah jangkitan rotavirus.
Sungguhpun begitu, Pei Fan memberitahu, pemberian vaksin rotavirus kepada bayi di peringkat awal merupakan pencegahan terbaik.
Jangkitan umum
Dalam pada itu, Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Pusat Perubatan KPJ Selangor, Datuk Dr. Zulkifli Ismail memberitahu bahawa rotavirus ialah suatu jangkitan umum yang menyerang manusia terutamanya bayi dan anak kecil.
Menurut beliau, penyelidikan yang dibuat di Jabatan Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya sepanjang 15 tahun lalu dan kaji selidik seluruh negara selama setahun menunjukkan bahawa rotavirus menjadi punca utama AGE teruk yang menimpa kanak-kanak Malaysia.
"Beberapa zarah virus sudah memadai untuk menyebabkan penularan. Virus ini dapat hidup dalam masa seminggu di luar tubuh manusia.
"Kematian akibat jangkitan rotavirus lazimnya disebabkan kehilangan cecair dan elektrolit berpunca daripada muntah dan cirit-birit yang teruk," terang Zulkifli.
Pemberian cecair dan elektrolit secara mencukupi dan segera merupakan teras utama dalam rawatan kes rotavirus gastroenteritis.
"Pencegahan jangkitan rotavirus sebahagian besarnya adalah melalui amalan kebersihan diri. Ini termasuk membasuh tangan dengan air dan sabun, minum air yang telah dimasak dan makan makanan yang telah dimasak dengan sempurna.
"Memandangkan sifat rotavirus yang sangat mudah berjangkit, maka amalan kebersihan diri semata-mata mungkin tidak memadai untuk mencegah penularan jangkitan," ujar beliau.
Rawatan vaksin
Sejak tahun 2006, dua jenis vaksin rotavirus telah disediakan sebagai pencegahan jangkitan rotavirus. Kedua-dua vaksin tersebut didapati sungguh mujarab dan selamat untuk mencegah jangkitan rotavirus bagi anak-anak kecil.
Banyak negara di dunia termasuk negara-negara Eropah, Amerika Syarikat, Australia, beberapa negara di Afrika dan Amerika Selatan telah memperkenalkan vaksin rotavirus sebagai sebahagian daripada program pelalian negara bagi semua bayi.
"WHO menggalakkan semua negara untuk menimbangkan kemasukan vaksin rotavirus dalam program pelalian negara sebagai strategi mencegah penyakit cirit-birit pada anak-anak kecil.
"Kedua-dua vaksin rotavirus ini boleh didapati di Malaysia sejak tiga tahun lalu. Buat masa ini, ia belum menjadi sebahagian program pelalian negara," jelasnya.
Vaksin ini boleh didapati dalam pasaran swasta namun pengambilan vaksin ini dalam kalangan bayi Malaysia masih sangat rendah.
"Kami menggesa semua ibu bapa di Malaysia agar menimbangkan untuk memberi pelalian kepada bayi mereka berusia kurang daripada enam bulan dengan vaksin rotavirus untuk mencegah jangkitan rotavirus.
"Kami juga ingin menggesa kerajaan Malaysia untuk menimbangkan kemasukan vaksin rotavirus dalam program pelalian negara," sarannya.
--- KOSMO
Friday, February 24, 2012
Belum ada pelan perkenal suntikan vaksin rotavirus
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah kementerian berkenaan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman untuk mengadakan kajian berhubung program suntikan vaksin rotavirus di negara ini.
"Kami perlu melihat sama ada terdapat keperluan untuk memperkenalkannya," katanya kepada pemberita di Hospital Orang Asli di Gombak, dekat sini hari ini.
Liow diminta mengulas sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk memperkenalkan suntikan vaksin rotavirus di hospital, susulan wabak akut gastroenteritis (AGE), yang disebabkan oleh rotavirus, di Perak baru-baru ini.
Wabak sejak hujung Januari lepas itu menjangkiti lebih 3,000 kanak-kanak dan mengakibat dua kematian sehingga kini. Menurut laporan, terdapat dua jenis vaksin rotavirus yang sedia ada di pasaran di negara ini.
Liow berkata pada masa ini, terdapat 11 jenis program vaksin bagi kanak-kanak di Malaysia.
"Kami perlu memberi keutamaan kepada bentuk program vaksin yang akan diperkenalkan," katanya.
Mengenai kes 67 pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, sebuah sekolah berasrama penuh di Melaka, yang dikuarantin kerana penyakit menyerupai influenza (ILI), beliau berkata kementeriannya masih memantau keadaan itu.
Katanya pelajar terbabit didapati mempunyai simptom lemah ILI dan langkah berjaga-jaga segera diambil untuk mengekang wabak daripada merebak.
Terdahulu, Liow menghadiri majlis penyerahan rasmi Perkhidmatan Kesihatan dan Perubatan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) kepada Kementerian Kesihatan.
Hospital Orang Asli di Gombak yang ditubuhkan sejak tahun 1957, dan beberapa fasiliti kesihatan khusus bagi Orang Asli, diambil alih dan dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan mulai tahun ini.
Fasiliti tersebut ialah tiga klinik kesihatan Orang Asli iaitu di Rancangan Penyusunan Semula (RPS) Betau di Pahang, RPS Kuala Betis di Gua Musang, Kelantan, dan RPS Kemar di Grik, Perak, perkhidmatan klinik bergerak, perkhidmatan pasukan pergigian bergerak dan perkhidmatan doktor udara.
Liow berkata sebagai menghormati hak dan tradisi Orang Asli, ciri-ciri tradisi Hospital Orang Asli seperti nama, sifat eksklusif, dan amalan 'kemasukan keluarga' akan dikekalkan.
"Kementerian Kesihatan akan terus bekerjasama dengan JAKOA untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada masyarakat Orang Asli," katanya.- Bernama
Sunday, February 19, 2012
Ancaman Rotavirus
Dianggarkan satu daripada 37 kanak-kanak berusia bawah lima tahun dirawat sebagai pesakit luar akibat Rotavirus
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
ROTAVIRUS telah dikenal pasti sebagai punca utama masalah cirit birit. Sebanyak 600,000 kematian akibat Rotavirus dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia.
Merujuk kepada data Kementerian Kesihatan antara 1999 hingga 2000, dianggarkan satu daripada 37 kanak-kanak berusia bawah lima tahun dirawat sebagai pesakit luar akibat Rotavirus. Manakala satu daripada 67 ditahan dalam wad sementara satu daripada 15,000 berdepan dengan kematian.
Dalam pada itu , sebanyak 3,444 kes direkodkan oleh Jabatan Kesihatan Perak setakat 16 Februari lalu melibatkan wabak acute gastroenteritis (AGE) berpunca daripada Rotavirus.
Menurut Pakar Perunding Kanan Perubatan dan Ketua Unit Gastroenterologi, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Datuk Dr, Ahmad Shukri Md Salleh, Rotavirus adalah virus yang berjangkit melalui makanan, minuman dan hasil kumuh.
"Apabila kanak-kanak mendekati barang-barang yang telah dicemari dengan kotoran yang mengandungi Rotavirus , kanak-kanak tersebut berpotensi untuk dijangkiti.
Keadaan menjadi lebih berbahaya kerana Rotavirus mampu bertahan sehingga beberapa hari di satu tempat sebelum menjangkiti mangsanya.
Kanak-kanak yang berada dalam lingkungan umur enam bulan hingga 24 bulan dilihat sebagai golongan yang paling mudah terdedah kepada jangkitan Rotavirus," ujarnya.
Tambah Dr. Ahmad Shukri, ciri-ciri pesakit yang dijangkiti oleh Rotavirus adalah cirit-birit, muntah dan demam.
Dalam konteks ini, orang ramai sering terkeliru antara Rotavirus dengan demam atau cirit biasa.
Dr. Ahmad Shukri menjelaskan, sindrom jangkitan Rotavirus boleh bertahan lebih lama.
Sindrom ini boleh berkekalan sehingga sembilan hari, malahan sindrom cirit-birit yang dialami boleh berterusan sehingga tiga minggu lamanya.
Apa yang lebih membimbangkan adalah kanak-kanak mungkin mengalami cirit-birit sehingga 20 kali sehari.
" Rotavirus justeru boleh membawa kepada masalah kekurangan air dalam badan yang boleh membawa maut kepada kanak-kanak terbabit. Mereka yang dijangkiti akan menjadi lesu, kulit sejuk dan kering, tiada air mata ketika menangis, mulut yang kering, mata menjadi cengkung dan rasa haus yang melampau," katanya.
Pencegahan
Dr. Ahmad Shukri memberitahu, sehingga kini belum ada ubat dan rawatan spesifik untuk mencegah penyakit ini.
"Pada tahun 2006, vaksin untuk Rotavirus telah dihasilkan. Vaksin ini berupaya merangsang badan kanak-kanak untuk meniru tindak balas imunisasi kepada jangkitan Rotavirus . Keadaan ini membolehkan badan kanak-kanak menghasilkan imunisasi terhadap jangkitan Rotavirus yang sebenar pada masa depan.
Proses ini akan meringankan sindrom-sindrom yang akan menimpa kanak-kanak hasil jangkitan Rotavirus berkenaan mengurangkan kadar masuk ke wad di kalangan pesakit Rotavirus sehingga 96 peratus. Tiga dos vaksin berbentuk oral harus diberi kepada kanak-kanak berumur dua, empat dan enam bulan," katanya.
Meskipun vaksin merangsangkan pelalian atau keimunan dari kecil supaya serangan pertama Rotavirus hanya menyebabkan jangkitan ringan atau tanpa gejala, mintalah maklumat lanjut daripada doktor anak anda sekiranya anak anda mengalami simptom yang serius.
"Bagi menangani jangkitan Rotavirus, tiada rawatan antiviral spesifik digunakan. Rawatan dengan oral rehidrasi adalah penyelesaian biasa yang sering digunakan bagi menggantikan kekurangan air dalam badan. Dalam sesetengah kes muntah yang teruk, rehidrasi dengan cecair melalui laluan intravena diperlukan," katanya.