PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.
Showing posts with label Penyakit Jangkitan Seks. Show all posts
Showing posts with label Penyakit Jangkitan Seks. Show all posts

Sunday, July 1, 2012

Entecavir terapi baru hepatitis B


Sirosis hati - komplikasi jangkitan virus hepatitis B.



HEPATITIS merupakan penyakit keradangan hati yang lazimnya menjadikan hati membengkak dan terasa lembut disebabkan oleh pelbagai jenis virus - A, B, C, D dan E.

Hepatitis yang paling biasa ditemui adalah virus hepatitis A (HAV), virus hepatitis B (HBV) dan virus hepatitis C (HCV).

HBV tergolong dalam salah satu penyakit yang paling banyak menghasilkan mikroorganisma di dunia.

Kira-kira 400 juta orang telah dijangkiti secara kronik oleh HBV - 100 kali lebih berjangkit berbanding virus human immunodeficiency (HIV).

Di Malaysia, kira-kira 2.5 juta rakyatnya dikesan menghidap kanser hati - penyakit yang boleh dielakkan melalui suntikan hepatitis B.

“Jangkitan hepatitis B terjadi melalui darah dan cecair-cecair badan lain seperti air liur, air mani, rembesan dari faraj, air mata, mukus, air kencing dan susu badan.

“Sebaik sahaja HBV memasuki saluran darah, ia akan berhijrah ke hati di mana ia membahagi,” kata Pakar Runding Hepatologi dan Gastroeneterologi, Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Rosmawati Mohamed.

Menurutnya, jangkitan hepatitis B kronik adalah sejenis penyakit yang berpotensi membawa maut.

Saban tahun, lebih setengah juta orang di seluruh dunia mati disebabkan oleh kanser hati. Dari jumlah tersebut, sehingga 80 peratus berpunca daripada hepatitis B kronik.

“Kanser hati merupakan satu-satunya kanser yang paling kerap ditemui pada kaum lelaki,” katanya.

Penyakit ini boleh merebak dengan cara:

* Sentuhan dengan darah orang yang dijangkiti melalui:

1- Pemindahan darah, hemodialisis

2- Berkongsi jarum (seperti penyalahgunaan dadah melalui suntikan), pisau cukur, berus gigi

3- Kecederaan terutamanya kepada pegawai kesihatan (seperti tercucuk jarum, terkena percikan darah ke mata atau ke tempat luka)

4- Mencacah tatu, akupunktur, elektrolisis dan menindik telinga.

* Perinatal (sekitar kehamilan) - daripada ibu kepada anak ketika kelahiran

* Hubungan seks.

Tindak balas jangkitan HBV bergantung kepada usia seseorang ketika dijangkiti. Kanak-kanak menunjukkan gejala-gejala HBV yang kurang berbanding orang dewasa manakala bayi yang baru lahir langsung tidak memberikan apa-apa tanda.

Sekalipun tidak mempamerkan sebarang gejala, kanak-kanak masih rentan terhadap komplikasi jangkitan HBV manakala di kalangan orang dewasa, kira-kira 40 peratus tidak mempunyai gejala.

Bagi mereka yang menunjukkan gejala, HBV sering disalah anggap sebagai jangkitan selesema.

Gejala-gejala hepatits B seakan-akan mendapat selesema, demam, sakit-sakit badan (sendi dan otot), keletihan dan lemah, hilang selera makan, loya dan muntah dan, jaundis (warna kulit dan mata kekuningan)

Kira-kira satu peratus individu akan mengalami masalah kegagalan hati yang teruk semasa tahap penyakit HBV akut, yang memerlukan pemindahan hati.

Hepatitis B terbahagi kepada dua jenis iaitu berbentuk akut dan kronik (lebih serius selepas serangan yang akut).

Prof. Dr. Rosmawati berkata, adalah dianggarkan 95 peratus daripada mereka yang dijangkiti HBV semasa dewasa berupaya menyingkirkan virus tersebut secara spontan dari tubuh mereka dengan bantuan sistem imun.

“Kumpulan ini mungkin mengalami beberapa gejala tetapi mereka akan pulih sepenuhnya tanpa komplikasi.

“Sementara itu, bakinya akan menjadi pembawa kronik dan memandangkan hepatitis B umumnya adalah penyakit yang tidak menunjukkan sebarang gejala, pesakit selalu tidak menyedari bahawa mereka telah dijangkiti,” katanya.

Bagaimanapun, oleh kerana HBV masih menyerang organ hati, mereka mempunyai risiko yang meningkat untuk mengalami penyakit-penyakit hati seperti sirosis atau kanser hati.

Penyakit hati yang berkaitan Hepatitis B mendorong kepada antara 15 hingga 25 peratus kematian pesakit dengan jangkitan kronik.

Secara idealnya, jelas Prof. Dr. Rosmawati, matlamat rawatan HBV adalah untuk menghalang pembahagian virus secara kekal.

“Lebih tinggi jumlah virus bermakna lebih risiko menghidap kanser hati dan sirosis.

“Mengurangkan muatan virus di samping meningkatkan tindak balas imun semula jadi badan mampu mengurangkan risiko kerosakan hati,” katanya.

Rawatan

Buat masa ini, terdapat dua kelas ubat-ubatan yang diluluskan bagi merawat hepatitis B.

Salah satu pilihan adalah interferon yang mirip bahan melawan jangkitan semula jadi dihasilkan oleh tubuh.

Juga, analog nukleosid tertentu yang dikenali sebagai antiviral – digunakan untuk merawat HBV dengan cara mengganggu enzim yang digunakan untuk menghasilkan DNA, yang diperlukan bagi penghasilan semula virus.

Terdapat vaksin yang berkesan sebagai perlindungan menentang HBV dan perlu diberikan kepada semua bayi, kanak-kanak dan remaja yang belum mencapai usia 18 tahun.

Mana-mana orang dewasa yang berisiko tinggi juga perlu divaksinasi manakala mereka yang belum menerima pelalian dan terdedah kepada HBV boleh diberikan imunoglobulin hepatitis B (HBIG) untuk melawan virus.

Bagi mengelakkan pemindahan, individu yang telah dijangkiti perlu mengamalkan hubungan seks selamat dan tidak boleh mendermakan darah, organ, sperma, telur atau lain- lain tisu.

Barangan isi rumah seperti berus gigi, pencukur atau jarum tidak boleh dikongsi dengan individu yang dijangkiti HBV.

BARACLUDE (entecavir)

Penghidap hepatitis B kronik di Malaysia kini mempunyai pilihan rawatan baru dalam bentuk tablet iaitu entecavir yang dipreskripsi oleh doktor.

Dikeluarkan oleh Bristol-Myers Squibb, ia merupakan sejenis analog nukleosid yang mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA).

Terapi antiviral itu direka khusus untuk menyekat replikasi atau pembahagian HBV di dalam hati pesakit dewasa.

Program percubaan klinikal entecavir merupakan yang terbesar setakat ini tentang hepatitis B kronik. Ia juga pertama kali membandingkan dua jenis ubat antiviral iaitu antara entecavir dengan lamivudine.

Selepas kajian selama 48 minggu, entecavir menunjukkan pembaikan lebih nyata mengikut statistik berbanding laminuvide dari segi histologi hati.

Muatan virus HBV dikurangkan kepada paras yang tidak dapat dikesan (kurang 300 spesimen/mL).

Para pesakit yang menerima rawatan entecavir dengan keamatan sederhana hingga kuat juga menunjukkan kesan-kesan sampingan paling lazim termasuk sakit kepala, keletihan, cirit-birit dan dispepsia.

--- UTUSAN MALAYSIA

Monday, December 13, 2010

Penyakit jangkitan seks...menular dalam diam


Lazimnya lelaki yang gemar melakukan seks rambang akan membawa penyakit ini kepada isteri seterusnya menurunkannya kepada anak-anaknya pula.

Dalam hal ini wanita yang tidak berdosa kadangkala menjadi mangsa tanpa disedari kerana penyakit ini menular dalam diam.

Anak-anak juga tidak terkecuali menjadi mangsa hingga ada yang dilahirkan cacat dan menderita sampai membawa maut.

Kesedaran orang ramai terutamanya kaum wanita perlu dipertingkatkan agar mereka tidak terus menjadi mangsa kesalahan yang mereka tidak pernah lakukan.

Sembilan jenis penyakit jangkitan seks ini antaranya berkemungkinan mendedahkan pesakit kepada jangkitan HIV seterusnya Aids.

Mengenali penyakit berjangkit melalui hubungan dan komplikasinya dan kesannya:

Trikomoniasis

Penyakit ini dibawa oleh sejenis kuman trichmonas Vaginalis iaitu sejenis protozoa.

Jangkitan terjadi melalui hubungan seks dengan seorang yang telah mendapat infeksi kuman ini.

Tanda-tandanya:
* Keluarnya cairan vagina yang berwarna putih dan lama-kelamaan jika tidak diubati akan bertukar menjadi kuning kehijauan, berbuih dan berbau.

* Valva akan membengkak, kemerah-merahan terasa gatal, kadang-kadang berbuih dan sungguh tidak selesa.

* Pada kaum lelaki pula keluar cecair jernih melalui saluran kencing.

Komplikasi yang akan muncul jika tidak segera diubati boleh menyebabkan kulit vulva melecet.

Jika jangkitan berlaku pada kalangan ibu hamil berkemungkinan menyebabkan bayi lahir prematur.

Jangkitan ini juga mempermudahkan penularan infeksi HIV iaitu virus penyebab AIDS.

Vaginosis Bakteria (BV)

Penyebabnya adalah campuran antara kuman Gardanella Vaginalis dan bakteria anaerob.

Penularannya bukan saja melalui hubungan seks rambang tetapi juga dari sebab-sebab lain antaranya tidak menjaga kebersihan vagina.

Tanda-tandanya:
* Keluarnya keputihan berwarna abu-abu yang berbau.

* Kadangkala vulva terasa gatal.

Komplikasi yang mungkin timbul akibat darinya terutamanya kepada ibu hamil kemungkinan melahirkan anak sebelum waktunya.

* Penyakit ini juga boleh meningkatkan kemungkinan infeksi pada saluran telur pada lelaki.

Kandidiasis Vulvovaginalis

Penyebabnya adalah jangkitan sejenis kulat yang dinamakan Candida Albicans yang mudah membiak pada bahagian tubuh yang sering lembap.

Bukan saja boleh menular melalui hubungan seks tetapi kurangnya menjaga kebersihan alat kelamin, pakaian dalam atau mangkuk tandas.

Tanda-tandanya:
* Keluarnya cairan pekat berwarna putih seperti susu yang sudah basi.

Terasa gatal, vulva menjadi merah dan membengkak.

Komplikasi yang mungkin terjadi, kulit vulva mudah melecet.

Apabila seseorang itu telah dijangkiti penyakit ini mudah terjadi penularan HIV .

GonorRhea

Penyebabnya adalah kuman atau bakteria Neisseria. Gonorrhea yang boleh menular melalui hubungan seks yang terjadi di kalangan lelaki dan perempuan

Tanda jangkitan kepada wanita:
* Rasa sakit ketika hendak membuang air kecil yang diikuti dengan keluarnya cecair kental berwarna putih kuning iaitu nanah .

Komplikasi yang mungkin terjadi:

* Penyakit radang pinggul.

* Kemandulan.

* Infeksi mata dan kebutaan pada bayi yang baru lahir apabila ibu menderita gonorrhea.

* Mereka yang mendapat penyakit ini mudah memberi laluan kepada infeksi HIV.

Klamidia

Penyebabnya adalah kuman atau bakteria Clamidia Trachomatis yang menular melalui kegiatan seks di kalangan lelaki dan wanita.

Tanda-tandanya:
Di kalangan lelaki jangkitan ini akan menyebabkan peradangan di saluran kencing hingga menyebabkan keluarnya cairan jernih berwarna putih.

Keluarnya cecair ini disertai dengan rasa gatal di hujung atau di sepanjang saluran kencing.

Jika jangkitan ini berlaku kepada kaum wanita akan disertai dengan keluarnya cairan vagina yang cair berwarna putih kekuningan dan disertai dengan rasa sakit di rongga pinggul.

Jika dalam keadaan teruk, akan berlaku pendarahan setelah melakukan hubungan seks.

Komplikasi akan timbul jika tidak diubati antaranya boleh menyebabkan penyakit rongga pinggul.

Pesakit juga dinasihatkan berjumpa doktor pakar jika tidak mendapat anak dalam jangka waktu perkahwinan yang lama kerana serangan penyakit ini juga berkemungkinan mandul atau kehamilan di luar kandungan.

Bagi wanita yang hamil, anak yang dilahirkan akan mendapat infeksi mata serta randang paru-paru.

Infeksi HIV juga mudah menular di kalangan mereka yang mendapat Klamidia.

Siflis
Penyakit tersebut disebabkan oleh kuman atau bakteria Treponema Pallidum Spirochaeta dan menular melalui hubungan seks.

Tanda-tandanya:
* Gejala awal yang boleh dikesan akibat daripada jangkitan ini ialah luka pada kemaluan lelaki atau wanita tanpa rasa sakit.

* Gejala awal ini akan disertai dengan gejala sekunder dengan timbulnya bintil yang berwarna kemerah-merahan pada tubuh.

Apabila memasuki peringkat ke tiga akan timbul kelainan jantung, saraf, pembuluh darah dan juga kulit yang hanya akan dapat dikesan apabila berjumpa doktor pakar.

Komplikasi yang mungkin dialami pesakit ialah penyakit jantung dan juga jangkitan pada otak.

Jika penyakit siflis menjangkiti wanita yang hamil dan tidak diubati berkemungkinan besar bayi yang akan dilahirkan menjadi cacat.

Kajian terbaru juga menunjukkan penyakit ini memberi laluan kepada penularan HIV.

Herpes Genital

Penyebabnya adalah virus herpes simplex yang menular melalui hubungan seks.

Tanda-tandanya:
* Tumbuhnya bintil berair secara berkelompok yang terlalu menyakitkan pada bahagian sulit kemudiannya pecah dengan meninggalkan luka kering serta kerak yang hilang dengan sendirinya.

* Kemudian tumbuh lagi seperti di atas, namum tidak sakit pada tahap awal. Gejala ini timbul bila ada faktor pencetus seperti stres, haid, mengambil alkohol dan juga hubungan seks berlebihan.

Komplikasi yang timbul ialah rasa sakit pada saraf tertentu dan menjangkiti bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai penyakit ini apabila bintil berair masih aktif.

Menimbul infeksi yang teruk pada bayi dan menyebabkan kematian serta keguguran di peringkat awal.

Penyakit ini memudahkan penularan HIV.

Genital Warts/ Konbdilomata Akumilata

Penyakit ini berasal daripada Human Pappiloma Virus, yang berjangkit melalui hubungan seks.

Tanda-tandanya:
* Muncul satu atau beberapa benjolan seperti kutil yang kemudiannya boleh berkembang biak di sekitar alat kelamin.

Komplikasi yang timbul seperti kutil yang membesar dan berkembang dengan cepat.

Memberi laluan kepada beberapa jenis virus yang menjadi penyebab kepada kanser di pangkal rahim.

AIDS

Penyebabnya adalah virus HIV yang menyerang serta merosakkan sel-sel darah putih.

Penularannya berlaku melalui hubungan seks dengan seorang yang penderita HIV dan juga melalui darah yang tercemar melalui penggunaan jarum suntikan, menerima darah, bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai penyakit HIV/AIDS.

Gejala atau tanda-tandanya:
* Setelah terjadi infeksi virus HIV, pesakit akan mendapat demam seperti flu selama dua minggu. Kemudian sembuh dan seterusnya tiada sebarang serangan selama lima hingga 10 tahun.

* Setelah tempoh ini gejala seperti demam, berpeluh waktu malam, cirit-birit berpanjangan, sering penat, batuk kronik diikuti dengan penurunan berat badan yang cepat akan dialami oleh pesakit.

* Serangan ini berlanjutan hingga timbul pelbagai penyakit lain seperti kanser, sakit saraf, infeksi pelbagai virus, jangkitan kulat, bakteria serta parasit.

Komplikasi yang timbul akibat penyakit ini terutamanya kepada janin dalam kandungan.

Pada tahap akhir infeksi HIV dan AIDS boleh menyebabkan rasa sakit yang keterlaluan hingga mengakibatkan kematian. - Journal PMS.

--- UTUSAN MALAYSIA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...