PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.
Showing posts with label Sawan. Show all posts
Showing posts with label Sawan. Show all posts

Tuesday, March 9, 2010

Sawan boleh diubati

Bersama Dr Fadzillah Ghazali

bminggu@bharian.com.my

Gangguan pada arus elektrik dalam otak dikenal pasti sebagai punca penyakit

SOALAN:

DOKTOR, anak saya disahkan mengalami penyakit sindrom nefrotik. Adakah penyakit ini boleh diubati? Bagaimana pula dengan pemakanannya? Adakah diet tertentu yang harus diambil?

Selain itu, seorang anak saudara saya menghidapi penyakit sawan sejak umur enam bulan. Dia diserang sawan dua kali dalam sebulan. Dia masih masih bergantung pada ubat epilepsi yang diberi oleh hospital kerajaan. Adakah cara lain untuk mengatasi masalah ini.

Ahmad Kamal.

JAWAPAN:

Penyakit sindrom nefrotik ialah sejenis masalah buah pinggang yang kronik. Ia disebabkan oleh kehilangan protein yang berlebihan di dalam air kencing. Air kencing biasa tidak mengandungi bahan protein. Ini menyebabkan di sekeliling mata, muka dan kakinya bengkak.

Air kencing juga nampak kotor, berbuih dan berkurangan. Penyakit ini boleh diubati dengan rawatan steroid. Jika tidak ada kes berulang dalam masa lima tahun, peluang untuk kes tidak berulang sehingga dewasa adalah lebih tinggi.

Pemakanan kanak-kanak yang menghidap penyakit ini sama seperti kanak-kanak biasa. Kurangkan pengambilan garam dalam makanannya terutama makanan ringan dan makanan yang diproses. Lebihkan mengambil makanan yang tinggi kandungan protein.

Mengenai masalah sawan, seperti yang diketahui, penyakit sawan ialah sejenis penyakit kronik yang memerlukan rawatan jangka panjang. Ia terjadi disebabkan gangguan pada arus elektrik dalam otak iaitu manifestasi yang terjadi bergantung pada bahagian saraf otak yang terbabit.

Sekiranya menjejaskan keseluruhan bahagian otak, ia akan menyebabkan grand mal epilepsi. Sekiranya anak saudara masih mendapat sawan walaupun mengambil ubat sawan secara berterusan, beberapa perkara perlu dikaji semula sama ada:

  • Dos ubat yang diambil mencukupi,

  • Ubat yang diberi bersesuaian untuk jenis sawan yang dihidapi dan,

  • Perlu penambahan ubat yang lain atau tidak.

    Tujuan utama rawatan penyakit sawan ialah memastikan pesakit tidak lagi diserang sawan dan dapat menjalani kehidupan dengan normal. Sekiranya tiada diserang sawan selama dua tahun dan ujian ulangan EEG adalah normal, ubat sawan mungkin boleh diberhentikan.

    Secara amnya, kanak-kanak yang menghidap sawan mempunyai IQ yang lebih rendah dan mengalami masalah dalam membaca, mengeja dan mengira. Ini mungkin disebabkan oleh kerosakan pada bahagian otak yang menyebabkan sawan. Sesetengah ubat sawan juga boleh menyebabkan anak kurang cergas dan hilang tumpuan ketika belajar.

  • Bagi anda yang memiliki kemusykilan mengenai kesihatan, sila hantarkan soalan kepada "Doktor di Berita Minggu" melalui e-mel, bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

    Jawapan disediakan oleh: Dr Fadzillah Ghazali, Pakar Runding Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Darul Ehsan.
  • --- BERITA HARIAN

    Monday, August 21, 2006

    Demam: Jangan sampai diserang sawan

    ARKIB : 20/08/2006

    DEMAM sememangnya merisaukan ibu bapa. Walau dianggap biasa, ia tidak boleh dipandang ringan apa lagi di kalangan kanak-kanak bawah enam tahun.

    Sekiranya anak-anak mengalami demam yang berlarutan lebih tiga hari, mereka perlulah dibawa berjumpa doktor.

    Begitu juga kalau suhu badannya terlalu tinggi, si anak boleh diserang sawan dan memudaratkan. Dalam sesetengah kes, demam juga memberikan isyarat bahawa ia tidak semestinya demam biasa, malah lebih dari itu.

    Sebagai ibu bapa yang baru beranak kecil dan kurang pengalaman, tentunya akan berasa panik apabila demam anak tidak reda ataupun mereka meracau-racau di dalam tidurnya.

    Pakar Kanak-kanak, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Selangor, Dr. Roliza Ibrahim memberi butiran lebih lanjut mengenai demam dan demam panas.

    “Apa yang jelas, demam juga merupakan simptom bagi pelbagai penyakit lain dan bukan sekadar demam biasa,” katanya.

    Apa itu demam?

    Menurut Dr Roliza, suhu badan yang normal adalah 370C (980F). Seseorang itu boleh dianggap demam jika suhu badannya melebihi 370c.

    Demam akan berlaku jika terdapat jangkitan kuman atau penyakit-penyakit lain yang berinteraksi dengan sistem ketahanan badan.

    Demam biasa pula bermakna suhu kita meningkat lebih daripada 370C tetapi tidak melebihi 380C. Demam biasa akan pulih dalam masa dua, tiga hari sahaja.

    Demam panas pula terjadi apabila suhu melebihi 380C dan berlarutan lebih lama – selalunya disertai simptom-simptom lain seperti batuk dan selesema.

    Beliau berkata, seseorang itu juga akan demam jika mengalami jangkitan kuman sama ada bakteria atau virus.

    Katanya, viral infection bermaksud jangkitan yang disebabkan oleh virus. Terdapat banyak jenis virus yang boleh dijangkiti.

    Virus ini selalunya menyebabkan demam yang kadangkala tidak terlalu tinggi tetapi boleh juga menyebabkan demam panas dengan suhu mencecah lebih 380C.

    Beliau menambah: “Bagaimanapun, demam virus ini selalunya boleh hilang dalam tempoh dua, tiga hari.’’

    Menurutnya lagi, demam sememangnya kerap berlaku di kalangan kanak-kanak. Kebanyakan demam yang mereka alami tidak memudaratkan dan akan pulih hanya dengan diberi ubat demam sekali dua sahaja.

    Namun begitu, ia juga bergantung kepada penyebab demam tersebut. Contohnya, jika demam itu disebabkan oleh jangkitan kuman pada bahagian otak, sudah tentu kanak-kanak itu menghadapi risiko kerosakan otak (meningitis), sekiranya jangkitan itu serius.

    Begitu juga jika demam tersebut disebabkan oleh jangkitan kuman di bahagian paru-paru (pneumonia), kanak-kanak tersebut mungkin mengalami masalah pernafasan.

    Jangkitan virus juga boleh menyebabkan campak, cacar air dan denggi. Bagaimanapun ada juga demam yang bukan disebabkan jangkitan kuman seperti leukimia atau SLE.

    *Serangan sawan.

    Dr. Roliza memberitahu, “lebih kurang 30 peratus kanak-kanak berusia tiga bulan hingga enam tahun ke bawah berisiko mendapat sawan demam. Sawan demam mungkin berlaku ketika suhu sedang naik ataupun sedang menurun.

    “Sawan demam mungkin boleh berulang setiap kali kanak-kanak itu demam. Walau bagaimanapun, prognosis sawan demam ini sangat baik dan tidak memberikan kesan di kemudian hari,’’ katanya.

    Kanak-kanak bawah umur lima tahun mudah dijangkiti demam, batuk dan selesema. Lebih-lebih lagi mereka yang telah ke sekolah atau ditempatkan di taska mahupun pusat penjagaan kanak-kanak.

    Kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai antibodi atau daya ketahanan badan yang kuat untuk melawan jangkitan penyakit.

    Jelas Dr. Roliza lagi, “Apabila mereka bergaul dengan kanak-kanak lain yang mungkin mengalami batuk, selesema dan demam, mereka juga lebih mudah dijangkiti penyakit yang sama seperti rakan-rakan mereka yang lain.’’

    Demam selalunya disebabkan jangkitan kuman sama ada virus atau bakteria. Demam yang tidak disertai batuk dan selesema selalunya sembuh dalam masa dua, tiga hari dan jarang menjangkiti orang lain.

    Beliau menambah. sekiranya demam yang disertai batuk dan selesema, ini bermakna ia lebih mudah menjangkiti orang lain kerana kuman selalunya tersebar melalui titisan cecair dari hingus dan air liur.

    Sekiranya tidak sihat dan sentiasa terbatuk-batuk atau terbersin, ia akan menyebarkan kuman kepada sesiapa sahaja yang berada di persekitaran yang sama.

    Begitu juga jika berkongsi gelas atau sudu yang sama dengan mereka yang mengalami batuk selesema.

    *Peranan ibu bapa

    Dr Roliza berkata, ibu bapa perlu memastikan suhu badan anak tidak terlalu tinggi. Berikan anak-anak ubat demam setiap enam jam sehingga suhu turun sedikit.

    Jika suhu masih tinggi walaupun baru diberi ubat, hendaklah diturunkan suhunya dengan mengelapkan tuala muka basah ke seluruh badan sehingga suhu badannya menurun.

    Beliau mengingatkan apabila suhu badan tinggi, anak-anak tidak perlu dipakaikan baju tebal atau diselimut tebal.

    Menurutnya, “Tindakan ini akan menambah suhu badan dan seterusnya meninggikan lagi risiko untuk mendapat sawan demam.

    “Sebaik-baiknya ibu bapa hendaklah menyimpan jangka suhu di rumah untuk memantau suhu badan anak-anak apabila mereka demam.’’

    Beliau juga memberitahu, memandangkan kebanyakan demam disebabkan oleh jangkitan kuman, pengambilan antibiotik tidak ada peranan untuk menghilangkan jangkitan tersebut.

    “Kanak-kanak yang kerap diberi antibiotik akan mempunyai daya ketahanan yang lebih rendah. Ini kerana kegunaan antibiotik yang terlalu kerap boleh merencatkan pembentukan antibodi di dalam badan,’’ tegasnya.
    Di dalam sesetengah kes, penggunaan ubat melalui dubur adalah perlu bagi menurunkan suhu badan kerana ia bertindak lebih pantas berbanding ubat yang diberi melalui mulut.

    *Demam campak

    Demam campak berpunca daripada virus campak. Ia sangat mudah dijangkiti oleh orang lain, selalunya disertai dengan demam, selesema, batuk yang agak teruk serta mata kemerah-merahan.

    Ini akan disusuli ruam merah yang bermula di bahagian muka dan leher, merebak ke badan, kaki dan tangan. Apabila ruam keluar, suhu badan selalu tinggi dan boleh mencecah 400C (1040F).

    “Demam campak boleh dicegah dengan pemberian suntikan imunisasi (MMR) yang selalunya diberikan apabila kanak-kanak berusia setahun dan kemudian dos booster pada usia lima hingga tujuh tahun.

    *Demam denggi

    Demam denggi disebabkan oleh virus denggi yang disebarkan oleh nyamuk aedes.

    Virus ini selalunya membiak di dalam nyamuk aedes betina yang menjangkiti manusia apabila ia menggigit dan menghisap darah mangsa.

    Dr. Roliza menambah, denggi selalunya tidak disertai oleh simptom seperti batuk dan selesema tetapi mungkin menyebabkan seseorang itu lenguh-lenguh atau sakit badan, sakit kepala dan terasa sakit di bahagian mata.

    Ia juga boleh menyebabkan ruam-ruam merah yang boleh terdapat di keseluruhan bahagian badan.
    Demam denggi ini lazimnya menyebabkan demam yang tinggi dan selalunya berlarutan lebih daripada lima hari. Ujian darah boleh memastikan sama ada seseorang itu menghidapi denggi atau tidak.

    *Pesanan doktor - jika anak demam

    * Pastikan diberi ubat pada setiap enam jam untuk memastikan suhu tidak terus naik secara mendadak dan mendedahkan mereka kepada sawan. Lakukan ‘tepid sponging’ jika suhu masih tinggi walaupun telah diberi ubat.

    * Jangan pakaikan anak dengan pakaian tebal, memadai dengan baju nipis setakat untuk menutupi anggota badan. Tidak perlu diselimut tebal.

    * Pastikan mereka minum banyak air atau susu. Berikan makanan lembut seperti bubur untuk menambahkan tenaga. Bawa anak-anak berjumpa doktor jika mereka masih demam walaupun sudah diberi ubat demam secara tetap selama dua, tiga hari.

    * Suhu badan manusia secara semula jadi adalah lebih tinggi pada waktu petang dan malam. Di waktu siang, kanak-kanak mungkin masih aktif bermain menyebabkan mereka berpeluh sedikit dan menurunkan suhu badan.

    * Ubat boleh diberi dengan sudu atau picagari. Tidak menjadi masalah, jika ibu bapa ingin mencampurkan ubat ke dalam susu. Bagaimanapun ini boleh menyebabkan si anak tidak mahu minum susu pula.
    Sedikit paksaan mungkin diperlukan jika mereka susah makan ubat. Jika begitu, ubat minum boleh digantikan dengan ubat melalui dubur jika anak terlalu susah untuk makan ubat atau jika demam terlalu tinggi.

    * Pastikan anak minum air dengan banyak. Jika hilang selera berilah makan sedikit-sedikit tetapi lebih kerap.
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...