PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.
Showing posts with label Pendakap Gigi. Show all posts
Showing posts with label Pendakap Gigi. Show all posts

Thursday, September 28, 2017

Rawatan ortodontik dapatkan gigi cantik

Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

DR IRMA melakukan pemasangan pendakap gigi kepada pesakit.

Hari ini, pemakaian pendakap gigi dilihat sebagai trend apabila golongan muda tanpa mengira usia terpengaruh menggunakannya. Tanpa mendapatkan pemeriksaan lengkap daripada pengamal pergigian berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia serta klinik di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, ramai terpengaruh melihat iklan pendakap gigi di media sosial ditawarkan oleh individu bukan doktor gigi.

Gambar pendakap gigi berwarna pelangi berjaya menarik minat golongan yang gemar berfesyen tanpa memikirkan kemudaratannya. Perlu diingat, pemakaian pendakap gigi adalah sebagai rawatan, ia bukan aksesori seperti rantai dan subang.

Jika salah meletak braket akan menyebabkan kedudukan gigi lebih parah, mengenakan kekuatan ikatan pendakap gigi yang tidak sesuai juga akan mengakibatkan gigi menjadi sakit, saraf mati, gigi longgar dan terkeluar daripada tulang.

Menurut Pakar Pergigian Klinik Pergigian Irma Ariandi, Plaza Larkin, Johor Bahru, Dr Irma Shida Abu Samah, pendakap gigi atau rawatan ortodontik berfungsi bagi menyusun gigi yang tidak berada di tempat sepatutnya.

Ia juga bertujuan mendapatkan barisan gigi yang tersusun cantik pada arca rahang yang berbentuk sempurna agar pesakit boleh makan, bertutur dan senyum sekali gus memberikan keyakinan dan menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup.

“Dari aspek keterukan gigi, biasanya doktor akan meneliti beberapa faktor termasuk keperluan indeks rawatan pesakit (IOTN) iaitu sama ada pesakit masih boleh bercakap, tidak mengganggu kunyahan, tidak merasa sakit dengan gigitan sedia ada, susunan gigi tidak menyebabkan pesakit susah memberus gigi dan dia boleh menjaga kebersihan gigi dengan baik.

“Jika seseorang mempunyai keyakinan diri dengan susunan giginya, dia tidak memerlukan rawatan sebaliknya jika mengalami masalah seperti yang disenaraikan tadi, maka rawatan ortodontik dapat membantu bersama rawatan pergigian yang lain.

“Nasihat saya, dapatkan konsultasi pergigian di klinik gigi berdaftar dan dengarlah nasihat doktor. Perlu dibezakan keperluan dan kehendak. Doktor gigi akan menjalankan rawatan mengikut keperluan pergigian pesakit dan bukannya kehendak hati mereka,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pendakap gigi jenis tetap atau applians lekap lazimnya dipasang apabila semua gigi susu tercabut dan selalunya seawal usia 13 hingga 14 tahun. Umur sebegini dikatakan sebagai usia optimum memasang pendakap gigi kerana selain mengawal pergerakan gigi individu, ia juga dapat mengawal pertumbuhan rahang dan gigitan. Tetapi pada zaman moden ini semakin ramai pesakit dewasa yang ingin mendapatkan rawatan untuk memperbaiki senyuman, rupa wajah dan inginkan deretan gigi sempurna.

PEMASANGAN TIDAK MENYAKITKAN

Bagi yang disyorkan memakai pendakap gigi, pemasangan harus dilakukan di klinik bertauliah. Pendakap gigi biasanya dipasang dalam keadaan sedar kerana rawatan ini tidak menyakitkan dan selesa. Gigi akan diisolasi untuk memastikan permukaannya kering agar senang untuk lekatan braket dan selepas selesai, dawai arca yang paling lembut dipasang bagi menggerakkan gigi dengan perlahan.

“Biasanya proses pemasangan pendakap gigi mengambil masa setengah jam manakala rawatan susulan dilakukan setiap empat hingga lima minggu bagi memastikan pergerakan gigi konsisten serta kebersihan dan kesihatan gigi dalam keadaan memuaskan,” jelasnya.

Rawatan pendakap gigi mengambil masa 18 hingga 30 bulan bergantung kepada keadaan gigi pesakit dan juga disiplin pesakit dalam menepati jadual rawatan susulan. Pesakit juga perlu menjaga aplians agar tidak patah atau tertanggal. Kegagalan menepati kriteria ini akan menyebabkan tempoh rawatan menjadi lebih panjang dan tergendala.

Pesakit juga tidak dibenarkan membuka sendiri pendakap gigi kerana dikhuatiri akan mencederakan mukosa mulut (lapisan membran mukosa dalam mulut) dan trauma kepada kesakitan gigi. Pesakit hanya boleh membuka pendakap gigi dengan doktor gigi dan izin perawat.

MENGAPA SUSUNAN GIGI TIDAK CANTIK

Jelas Dr Irma, ada pelbagai faktor yang menyebabkan kedudukan gigi seseorang tidak cantik, kelihatan jongang atau tidak berada di tempat yang betul iaitu:

Ketidakseimbangan apabila ukuran gigi tidak bersesuaian dengan rahang (dentoalveolar)

Contohnya pesakit dengan rahang kecil dan gigi yang besar akan menyebabkan kejadian gigi berlapis manakala pesakit dengan saiz rahang besar tetapi gigi kecil akan mengalami masalah gigi jarang.

Faktor gigi

Ada beberapa keadaan sama ada terlebih gigi yang menyebabkan susunan gigi menjadi sesak, kekurangan gigi sama ada secara semula jadi gigi tidak terbentuk ataupun dicabut menyebabkan gigi menjadi jarang. Terdapat juga keadaan gigi tumbuh beralih tempat dan di ruang yang salah.

3. Faktor tisu lembut

Gigi atas menggigit bibir bawah menyebabkan gigi atas lebih terkeluar dinamakan liptrap. Lidah besar atau hyperglossia menyebabkan gigi bawah tertolak dan menjadi jarang. Keadaan lekatan frenum atas yang rendah menyebabkan gigi jarang di tengah (median diastema) seperti penyanyi Madonna.

Faktor faktor tulang rahang

Seperti rahang atas yang terjulur ke depan menyebabkan seseorang nampak jongang dan tidak boleh menutup mulut. Keadaan tulang rahang depan yang terbuka menyebabkan gigi atas dan bawah pesakit tidak bertemu sekali gus tidak boleh menggigit makanan.

Tabiat

Kedudukan gigi juga turut dipengaruhi tabiat menghisap jari sejak bayi yang menyebabkan gigi atas tertolak keluar

Penyakit gigi

Seperti periodontitis yang menyebabkan gigi beralih dari tempat asal kerana pegangan tulang gigi yang lemah.

“Ada juga ibu bapa beranggapan botol susu juga penyebab kepada masalah gigi jongang atau tidak sekata. Namun saya menolak dakwaan ini. Ini kerana biasanya botol susu hanya berada di dalam mulut bayi dan dilepaskan apabila susu habis dihisap manakala menghisap puting pula adalah tabiat berterusan dan berpanjangan. Kedua-duanya adalah kurang berisiko berbanding menghisap jari kerana ia berterusan (jika tidak dihalang) sehingga anak tumbuh gigi dan menyebabkan gigi tertekan.

“Seeloknya jika bayi sudah tumbuh gigi hentikan pemberian puting. Namun tabiat menghisap puting adalah lebih baik daripada menghisap jari kerana ia sukar dikawal berbanding puting boleh dialihkan dari bayi,” katanya.

Bagi mendapatkan gigi yang cantik dan tersusun sempurna ibu bapa perlu memastikan penjagaan gigi seawal usia (ketika gigi mula tumbuh). Elakkan cabutan gigi susu sebelum waktunya kerana akan mengganggu susunan gigi kekal. Bawa anak berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan awal setiap enam bulan.

“Sekiranya masalah pertumbuhan rahang dapat dikesan awal, intervensi rawatan dengan aplians boleh tanggal seperti twinblock boleh diberikan kepada anak untuk mengawal pertumbuhan rahang,” katanya.

Panduan memakai pendakap gigi:

- Menjaga kebersihan gigi dengan sempurna, berus gigi dua kali sehari, menggunakan berus gigi khas untuk pendakap gigi sebagai pelengkap.

- Tidak makan makanan yang terlalu keras dan rangup dikhuatiri pendakap gigi tertanggal, dawai patah dan gigi juga boleh trauma dan sakit.

- Tidak makan makanan melekit dikhuatiri melekat pada pendakap gigi dan susah dibersihkan.

- Ikut aturan temujanji dengan doktor.

- Ikut arahan doktor sekiranya dibekalkan getah yang harus dipakai sendiri oleh pesakit di rumah yang berfungsi menggerakkan gigi.

Kesan pemakaian pendakap gigi

Mukosa mulut mudah luka dan terjadi ulser kalau tidak berhati-hati dan tergigit.

Jika tidak dijaga kebersihan dengan betul, tahi gigi berkumpul dan boleh menyebabkan:

- Gusi merah, bengkak dan berdarah

- Gigi goyang

- Gigi berlubang

- Bau mulut
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 2:54 PM

--- HARIAN METRO

Sunday, April 15, 2012

Pendakap gigi estetik

Gambar Hiasan


Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
hidayatulakmal@hmetro.com.my

GIGI bersih, putih, tersusun dan sihat sering menjadi idaman, namun tidak semua insan bernasib baik memiliki gigi sedemikian. Pun begitu, peredaran masa dan perubahan zaman membuatkan sesiapa saja mampu memiliki gigi menawan asal mempunyai kemampuan kewangan.

Kewujudan pendakap gigi (braces) banyak membantu orang ramai yang menghadapi masalah gigi tidak tersusun. Pendakap gigi menyusun kedudukan gigi supaya berada di tempat sepatutnya. Sebelum ini kita ditunjukkan pemakaian pendakap gigi di depan gigi tetapi tahukah anda, kini wujud pendakap gigi yang dipasang pada belakang gigi?

Pakar Pergigian Pusat Perubatan Prince Court, Dr Mumtaj Nisah Abd Rahim berkata, pendakap gigi yang digunakan pada bahagian belakang gigi dinamakan ‘lingual’.

“Sebenarnya pendakap gigi ini sudah lama digunakan di luar negara, terutama Amerika dan Eropah, tapi di Malaysia ia baru diperkenalkan. Pendakap gigi ini bersifat ‘invisible’ kerana dipasang pada belakang gigi dan tidak disedari orang ramai.


“Sebenarnya fungsi pendakap gigi ini tidak banyak beza. Perbezaan paling ketara ialah sama ada ia dipakai pada belakang atau depan gigi. Terpulang kepada pesakit untuk membuat pilihan.


“Remaja dan dewasa yang mengalami masalah gigi pada usia sekurang-kurangnya 16 tahun boleh menggunakannya. Fungsinya sama dengan pendakap gigi konvensional dan mengambil masa lebih kurang sama untuk mendapatkan hasil memuaskan,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu, baru-baru ini.

Bagaimanapun, ini semua bergantung kepada kesesuaian sesuatu kes. Menurutnya, sebelum pemakaian pendakap gigi, pesakit perlu mendapatkan rundingan pakar bagi melihat kesesuaian dan masalah gigi dihadapi.

“Ada pesakit kurang yakin memakai pendakap gigi di depan, sebab itu mereka memilih pendakap gigi di belakang kerana lebih selesa apabila berdepan orang ramai,” katanya sambil menjelaskan, kos pendakap gigi pada belakang lebih tinggi berbanding pendakap gigi biasa kerana ia membabitkan kos makmal dan memerlukan kemahiran tinggi. Ketika ini, hanya segelintir pakar ortodontik memberikan perkhidmatan ortodontik ‘lingual’ di negara ini.

Seperti pendakap gigi biasa, pendakap gigi ‘lingual’ memerlukan penjagaan kebersihan dan pemilihan makanan sesuai. Elakkan pengambilan makanan keras dan melekit. Kurangkan pengambilan makanan dan minuman mengandungi gula yang tinggi, terutama minu man berkarbonat.


Proses rawatan ortodontik

1. Fasa perundingan dan perancangan
2. Fasa rawatan
3. Fasa pemegangan


Fasa perundingan dan perancangan

Pakar ortodontik akan menasihatkan anda atau anak secara profesional mengenai masalah dihadapi

Rawatan ortodontik biasanya dimulakan jika anda atau anak anda:

i) Mempunyai kesihatan mulut yang baik tanpa karies atau penyakit gusi

ii) Bermotivasi untuk menerima rawatan beberapa tahun

iii) Setuju menerima tanggungjawab sebagai pesakit

iv) Kos rawatan ortodontik mungkin berbeza di antara pesakit. Yuran yang dikenakan biasanya bergantung kepada kerumitan rawatan dan juga bahan digunakan ketika rawatan

v) Setiap klinik mempunyai cara dan pelan pembayaran berbeza. Pelan pembayaran yang memuaskan keperluan kewangan seseorang sering ditawarkan kepada pesakit. Pembayaran juga boleh diagihkan sepanjang tempoh rawatan dan ini mengurangkan beban kewangan pesakit

Sebelum memulakan rawatan, pengambilan rekod akan dilakukan:

Ini termasuk satu atau semua daripada berikut:

Sejarah dan pemeriksaan

Acuan untuk model kajian

Gambar muka dan gigi

Radiograf yang perlu

Rekod ini akan digunakan untuk merancang rawatan ortodontik anda.


Perancangan rawatan

Ketika temujanji ini, doktor akan berbincang mengenai perancangan rawatan yang difikirkan sesuai untuk masalah anda

Anda boleh mengambil masa berfikir mengenai pelan ini. Anda tidak perlu menerima atau menolak pelan ini dengan segera


Rawatan

Jika bersetuju menjalani rawatan, anda perlu faham bahawa anda komited untuk menjalani rawatan selama dua hingga tiga tahun dengan temujanji satu hingga dua bulan sekali. Anda juga bersetuju memenuhi tanggungjawab sebagai pesakit.


Pemegangan (retention)

Setelah rawatan selesai, pendakap gigi dibuka dan alat pemegang (retainer) digunakan untuk tempoh ditetapkan. Biasanya, alat pemegang ini tidak ketara dalam mulut dan mudah dipakai pesakit. Pemakaian juga kadangkala dihadkan pada waktu malam saja mengikut kesesuaian rawatan.

--- HARIAN METRO

Monday, December 13, 2010

Kaedah pasang pendakap



1. Pra-pendakap gigi (konsultasi)

Pakar Orthodontik akan mengenal pasti jenis rawatan yang diperlukan. Sekiranya masalah serius, bebarapa batang gigi perlu dicabut. Doktor akan melakukan ujian sinar-x gigi untuk menentukan pelan jenis rawatan. Seterusnya acuan gigi akan dihasilkan bagi kajian modul.

2. Pendakap gigi dipasang Pemakai perlu menjalani rawatan berskala setiap empat hingga enam minggu untuk melihat perkembangan rawatan. Doktor akan melakukan penyenggaraan pendakap gigi setiap kali rawatan. Ada pemakai menunjukkan perkembangan yang baik dan mereka tidak memerlukan rawatan yang lama (tidak sampai dua tahun).

Ada juga pemakai yang tidak mengambil berat menyebabkan rawatan tidak berkesan dan mengambil masa yang lebih panjang. Setiap rawatan hanya mengambil masa 10 hingga 15 minit.

Ketika pemakaian pendakap gigi, pemakai perlu menjaga kebersihan mulut dengan baik. Mereka perlu memberus setiap kali selepas makan dan mengamalkan diet rendah gula.

3. Selepas pemakaian

Apabila doktor menentukan susunan gigi telah rata, pendakap gigi akan dibuka. Ada pemakai memerlukan masa tidak sampai dua tahun dan ada juga sehingga tiga tahun bergantung juga kepada umur. Selepas pendakap gigi ditanggalkan, mereka perlu memakai retainer. Dr. Fatimah menyarankan pemakaian retainer 24 jam untuk enam bulan pertama. Selepas itu, mereka hanya perlu memakai pada waktu tidur.

"Pemakaian retainer bergantung kepada doktor, saya lebih gemar menyuruh memakai seumur hidup untuk kesan yang lebih baik," katanya.

Menurut beliau lagi, terdapat kes masalah susunan gigi berulang disebabkan keengganan memakai retainer.

Masalah rahang serius

Dr. Fatimah berkata, terdapat kes serius di mana individu mempunyai rahang panjang menyebabkan susunan gigi bawah mereka terkedepan.

Bagi memperbaiki masalah itu katanya, memerlukan orthognatic surgery yang melibatkan kos dan risiko lebih tinggi.

"Pembedahan jenis ini lebih rumit kerana ia melibatkan prosedur yang banyak dan boleh dianggap pembedahan plastik.

"Ia melibatkan pemotongan bahagian rahang bawah dan sangat berisiko kerana ia mempunyai kaitan dengan keseluruhan struktur wajah dan juga otak," kata beliau.

Pengalaman memakai pendakap gigi

Model majalah dan peragaan, Sofea Nursolehhatun, mula memakai pendakap gigi lebih setahun yang lalu.

"Saya mempunyai masalah gigi atas yang sedikit jongang dan susunan gigi bawah tidak rata. Pada mulanya saya terfikir pemakaian pendakap gigi pasti menjejaskan kerjaya namun sebaliknya berasa lebih selesa dengan penampilan terkini," kata gadis berusia 21 tahun itu.

Menurut beliau, bentuk mukanya berubah setelah memakai pendakap gigi dan dia berasa lebih yakin dengan keadaan itu.

Sofea juga kini semakin bijak memberi 'pose' terbaik agar pendakap gigi itu kurang kelihatan setiap kali mengadakan sesi fotografi.

"Mungkin ada yang menganggap pendakap gigi ini menjejaskan penampilan seseorang model, tetapi saya pula tidak kisah asalkan hasil nanti memuaskan hati," katanya.

--- UTUSAN MALAYSIA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...