PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.
Showing posts with label Obesiti. Show all posts
Showing posts with label Obesiti. Show all posts

Tuesday, November 17, 2015

Menangani obesiti ibu hamil


Hospital Northwestern Memorial di Chicago kini mewujudkan satu program percubaan khas untuk mencegah obesiti dalam kalangan ibu-ibu hamil.
 
ELENA NIEVES (kiri) yang sedang hamil mendengar arahan daripada seorang pengajar Psikologi Senaman, Lindsey Hanna di Hospital Northwestern Memorial, Chicago.

ELENA NIEVES, 23, yang mempunyai ketinggian 1.7 meter kelihatan seperti seorang gadis poster untuk satu program khas obesiti dalam kalangan ibu-ibu hamil. Sebelum disahkan hamil oleh doktor, dia baru kehilangan 23 kilogram (kg) dan kelihatan sihat.

Tetapi menjelang minggu ke-15 dia hamil, berat badan Nieves naik mendadak.

"Rupa-rupanya, saya hamil pada Disember tahun lalu, dan hanya berjumpa doktor pada pertengahan bulan Januari. Ketika itu, berat badan saya sudah meningkat sebanyak tujuh kg," kata Nieves.

Ekoran pernah berdepan dengan masalah berat badan ketika hamil, Nieves nekad untuk melakukan sesuatu.

Nieves menjadi ahli terbaru dalam satu program yang masih dalam tempoh percubaan di Hospital Northwestern Memorial di Chicago. Ia diwujudkan bagi memberi peluang kepada ibu-ibu hamil mengawal berat badan.

Berdasarkan kajian terbaru, berat badan berlebihan dalam kalangan ibu-ibu hamil boleh memberi kesan kepada kandungan dan si ibu. Ini kerana obesiti boleh meninggalkan komplikasi sepanjang proses mengandung sekali gus meletakkan risiko bayi menghidap penyakit diabetes dan juga obesiti.

"Kami tahu sejak dulu lagi, anak yang dilahirkan oleh ibu yang berlebihan berat badan akan mengalami masalah yang sama setelah dilahirkan," kata Pengarah Northwestern Comprehensive Center on Obesity, Dr. Robert Kushner.

Menurutnya, para pengkaji membuat kesimpulan itu kerana ibu-ibu yang obesiti boleh mewarisi tabiat makan mereka kepada bayi yang dilahirkan.

Malah, hasil kajian kemanusiaan turut melaporkan bahawa persekitaran fetus berkembang di bawah pengaruh genetik.

"Ia seperti lahir dengan gari di tangan. Dalam persekitaran seperti itu, bagaimana mereka boleh terlepas? soal Kushner yang merujuk kepada epidemik obesiti yang menjejaskan 17 peratus daripada kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS).

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS menganggarkan hampir suku daripada empat juta kelahiran pada setiap tahun melibatkan wanita yang obes.

  
WANITA hamil wajar menjaga pemakanan dan kesihatan tubuh mereka untuk kesejahteraan bayi dalam kandungan.

Obesiti meningkatkan risiko diabetes, hipertensi, penyakit jantung, strok, kanser dan banyak lagi.

Dalam satu laporan pada tahun 2000, pakar bedah AS menganggarkan kos untuk merawat obesiti mencecah RM424 bilion setiap tahun.

Kushner memberitahu, program yang dijalankan di Northwestern merupakan yang pertama di negara itu yang kini berusaha mengatasi masalah obesiti ketika hamil.

Katanya, wanita hamil selalu tidak mengendahkan masalah berat badan mereka kerana mereka bimbang mengawal berat badan boleh menjejaskan kandungan.

Tetapi, jika mereka tidak melakukan apa-apa, ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada bayi.

Doktor telah merujuk 20 kes wanita hamil yang obes sejak program itu bermula pada November lalu. Hasilnya, program itu kini menerima peserta baru pada setiap minggu.

Wanita-wanita tersebut akan diberikan kelas mengenai nutrisi, tekanan, senaman dan menyimpan log mengenai diet dan juga aktiviti harian.

Jururawat yang mengendalikan program itu, Charlotte Niznik memberitahu, kumpulan tersebut akan memberikan perkhidmatan melalui dalam talian tidak lama lagi.

"Segalanya kini semakin mudah. Jika kita masih malas, kita tidak akan mengambil bahagian," katanya.

Selain itu, bantuan dana yang diberikan untuk tiga tahun membolehkan mereka mengadakan program tersebut secara percuma.

Mereka berharap dapat menarik perhatian golongan kulit hitam dan juga Hispanik yang paling berisiko untuk mendapat komplikasi obesiti.

Niznik juga berkata, beberapa wanita dalam program ini telah menjalani pembedahan pintasan gastrik kerana takut berat badan mereka bertambah.

"Mereka berusaha untuk mengekalkan berat badan normal ketika mengandung iaitu tidak lebih daripada tujuh kg. Ini kerana mereka adalah wanita yang obes yang mempunyai berat antara 136kg hingga 180kg," katanya.

Dengan 90kg, berat Nieves dikira masih tidak terlalu berbahaya tetapi peningkatan sebanyak 10kg setakat ini, menjadikan dia salah seorang daripada wanita hamil yang obes.

Semasa mengandungkan anak yang sebelumnya, Nieves berasa tertekan dengan pakar perbidanannya yang menyuruh dia menambah berat badan.

"Ketika itu, berat saya adalah 100kg. Saya beritahunya bahawa saya sudah berlebihan berat dan saya tidak mahu menambahnya lagi.

"Tetapi dia memberitahu bahawa saya perlu menambah berat badan sebanyak satu paun setiap minggu sehingga saya bersalin. Ini bermakna berat saya akan bertambah sebanyak 40 paun," katanya.

Dia berharap, program yang disertainya itu dapat mengurangkan tekanannya yang bimbang mengalami masalah berat badan.

"Saya seorang Hispanik. Ibu mertua saya pula memaksa saya makan banyak kerana katanya, bayi yang dilahirkan perlu sihat dan gemuk," ujarnya.

Seorang ahli obstetrik, Dr. Alan Peaceman yang mengendalikan program itu berkata, matlamat utama program tersebut adalah untuk membantu wanita seperti Nieves hamil secara sihat.

Mereka berharap dapat mengumpul data bagi mengurangkan komplikasi ibu dan bayi daripada mempunyai berat badan yang boleh mendatangkan bahaya.

"Jika kami boleh membuktikan bahawa mengawal berat badan ketika hamil boleh mengubah trend sedia ada, ia akan menyelesaikan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak," katanya. - Reuters

--- KOSMO

Thursday, August 21, 2014

Obesiti Sebab Makan, Gugat Kesihatan: Mana Satu Keutamaan?


Oleh Noor Zafira Mohd Shafie

KUALA LUMPUR (Bernama)-- "Ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa", apatah lagi bila selera makan melampau yang dilayan tanpa berfikir panjang akan kesan baik dan buruk.

Tabiat mengambil banyak makanan yang berkalori tinggi akan menjurus kepada obesiti sebelum ia menjadi pintu masuk kepada pelbagai penyakit tidak berjangkit khususnya diabetes, darah tinggi dan sakit jantung.

Malaysia adalah negara yang tidak terlepas daripada masalah obesiti akibat perubahan gaya hidup masyarakat serta amalan pemakanan yang tidak sihat.

Pakar pemakanan menjelaskan obesiti sebagai suatu keadaan yang terjadi disebabkan oleh ketidakseimbangan antara pengambilan makanan (tenaga) dan penggunaan tenaga (aktiviti fizikal).

Isu obesiti bukan lagi suatu isu baru dan hakikatnya ia dilaporkan meningkat dari tahun ke tahun sekaligus turut menjadi pembunuh utama bagi golongan yang mengalami masalah itu.

OBESITI MASA KINI

Cabaran dalam menangani masalah obesiti di Malaysia kini adalah dari segi mengubah corak pemakanan dan menjelaskan kepentingan gaya hidup aktif yang dapat membantu mengatasi masalah itu dalam kalangan masyarakat.

Peringkat awal obesiti boleh berlaku ke atas kanak-kanak dari sekolah rendah lagi, yang mana pengambilan makanan tidak sihat diambil akibat daripada pihak pengusaha kantin yang kurang menitikberatkan kepentingan pengambilan makanan berzat kepada pembesaran pelajar.

Sirap, minuman berkarbonat, nugget segera, keropok dan gula-gula adalah menjadi makanan rutin kepada setiap pelajar sekolah rendah terutama yang hanya makan di kantin sekolah tanpa membawa bekal makanan dari rumah.

Kesedaran seharusnya timbul dalam kalangan ibu bapa dalam melatih anak untuk mengamalkan pengambilan pemakanan sihat setiap hari seperti menyediakan air kosong, mengurangkan kandungan gula dalam minuman, menyajikan hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran serta melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam.

PENYEBAB OBESITI

Ketidakseimbangan antara pengambilan tenaga dan penggunaan tenaga menyebabkan tenaga berlebihan yang disimpan bertukar menjadi lemak yang memudaratkan tubuh badan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr. Hamid Jan Jan Mohamed berkata dimensi umum kepada terjadinya obesiti adalah dilihat hasil daripada pengambilan makanan berkalori tinggi seperti makanan segera dan minuman berkarbonat.

Berikutan corak kehidupan yang sibuk dan kesuntukan masa untuk menyediakan makanan menyebabkan rakyat Malaysia seperti mana rakyat di negara maju akan memilih makanan segera yang mengandungi kalori tinggi.

"Strategi pemasaran kreatif adalah penyebab bagi pengguna terutama kanak-kanak dan remaja terpengaruh untuk membeli makanan segera", katanya.

"Lebih teruk, tabiat pengambilan makanan secara berlebihan menjadi budaya hidup kebanyakan orang dan garis panduan pemakanan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia diabaikan", jelasnya lagi.

Namun masalah berkenaan tidak berakhir di situ sahaja, kerana rata-rata masyarakat Malaysia kini mengamalkan cara hidup moden dan gaya hidup yang kurang aktif.

Bagi sesetengah pula beranggapan, "makan sahaja apa yang terasa hendak dimakan, esok lusa amalkan gaya hidup sihat semula, bukan salah pun".

Hakikatnya, sikap sedemikian hanya membawa padah kepada kesihatan dan kecergasan tubuh badan diri sendiri.

PEMAKANAN SIHAT

Paling utama, apa yang dimakan dalam setiap hidangan harian adalah penentu kesihatan bagi setiap individu yang berlainan.

Berbaloikah untuk merisikokan tubuh badan yang kita miliki cuma kerana ingin memuaskan nafsu makan yang tiada kesudahannya?

Persoalan ini wajar diteliti dengan berbalik kepada panduan anjuran tatacara pemakanan dan kesihatan menurut pandangan Islam, kata Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Norkumala Awang.

Lazimnya, elemen kesihatan fizikal, mental dan emosi, spiritual dan persekitaran sosial bersifat saling berkaitan antara satu sama lain sebagai sistem bersepadu yang menyumbang kepada kesihatan seseorang.

"Makan secara sederhana sebagaimana yang dianjurkan oleh agama, kerana perut kita ini ada hadnya, selain itu sifat sederhana dan tidak berlebihan dalam hal ehwal makan dapat mengelakkan datangnya gangguan kesihatan kepada tubuh badan," katanya pada Seminar Daripada Malnutrisi Kepada Obesiti: Menelusuri Tabiat Makan Umat Islam di Malaysia di sini, baru-baru ini.

Pemakanan sihat boleh diamalkan dengan mengambil pelbagai makanan dan seimbang dalam status pengambilannya di samping mementingkan unsur keberkatan dalam makanan yang dimakan.

Kurang pengetahuan membuatkan ramai yang seringkali salah dalam mengurus kualiti dan kuantiti makanan yang diambil dalam seharian.

-----------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

MAKANAN SUNNAH DAN KESIHATAN

Sikap peduli, prihatin dan ambil berat membawa seseorang kepada meneliti dengan lebih bagi setiap makanan yang diambil sebagai tenaga harian.

Makanan yang halal dan baik adalah diharuskan kerana ia sesuatu yang diperoleh kelazatan dan kebaikan darinya selain merangkumi keberkatan bagi dunia dan akhirat.

Pemakanan sunnah merujuk kepada makanan yang dikategorikan sebagai halal dan baik yang mana juga ditunjukkan galakan oleh Rasullulah S.A.W. untuk kita memakannya.

"Dalam soal makanan, apa yang penting dan mesti diingati adalah perintah al-Quran agar memastikan ia halal dan baik, kerana penentuan baik buruk makanan ini termasuk dalam bidang kajian ilmu nutrisi, yang kian berkembang pesat dan membawa faedah kepada manusia," jelas Felo Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM Asham Ahmad.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...