PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.
Showing posts with label Diabetis. Show all posts
Showing posts with label Diabetis. Show all posts

Monday, September 30, 2019

Diabetes ketika hamil

Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Berada di kedudukan kesembilan sebagai ‘pembunuh’ wanita di seluruh dunia dengan catatan 2.1 juta kematian, Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil tindakan proaktif dalam meningkatkan kesedaran mengenai penyakit diabetes sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia pada 14 November lalu.

Bersesuaian dengan tema Wanita dan Diabetes: Kesihatan Kita, Milik Kita, Hak Kita; Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kempen tahun ini fokus kepada wanita untuk menerima akses penjagaan dan pengetahuan lengkap dalam mengawal diabetes.

Statistik terbaru 2016 menunjukkan seramai 3.6 juta penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas adalah penghidap diabetes dan daripada jumlah berkenaan, seramai 1.8 juta adalah wanita.

“Kementerian komited memberikan akses penjagaan dan maklumat yang cukup supaya wanita mampu mengawal diabetes.

“Ini merangkumi golongan wanita mengandung untuk mendapatkan saringan, didikan dan penjagaan terbaik demi kesihatan ibu serta anak dalam kandungan.

“Bagi semua ibu hamil yang berisiko, mereka disarankan melakukan saringan diabetes mellitus gestasi (GDM) antara minggu ke-24 hingga 28 kehamilan dengan ujian ‘modified’ toleransi glukosa oral (mOGTT).

“Manakala, pesakit diabetes yang mahu hamil, perlu menghadiri kaunseling prakehamilan sebelum hamil supaya mereka mampu mengawal paras gula dalam darah dengan lebih baik sebelum dan sewaktu kehamilan,” katanya.

Bagi ibu hamil yang berisiko perlu melakukan ujian OGTT untuk memeriksa tindakan balas badan ibu mengawal tahap gula dalam darah sekali gus mengenal pasti penyakit kencing manis ketika hamil.

Berdasarkan kajian Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat, ibu yang hamil bersama diabetes memiliki risiko tinggi antara 20 hingga 50 peratus untuk mendapat penyakit diabetes mellitus (jenis 2) berterusan dalam tempoh lima hingga 10 tahun selepas melahirkan anak.

Untuk mengurangkan risiko penyakit ini, wanita perlu menjalani pemeriksaan gula dalam darah secara tahunan selepas bersalin.

Selain itu, mereka perlu fokus pada penjagaan kesihatan, pemakanan seimbang dan gaya hidup aktif.

Bagi pesakit diabetes mellitus jenis 1 (IDDM) yang berhasrat untuk memiliki cahaya mata pula, mereka perlu mendapatkan khidmat runding daripada pakar perubatan pelbagai bidang selain obstetrik dan ginekologi.

Ini kerana mereka berdepan risiko keguguran atau bayi dilahirkan dengan kecacatan, serta mendapat penyakit jantung 10 kali ganda berbanding ibu normal.

Antara perkara perlu dititikberatkan ketika hamil termasuklah imbasan terhadap pemeriksaan fizikal, darah, air kencing dalam menjaga kesuburan kandungan.

Selain mengamalkan gaya hidup aktif, golongan ibu perlu mengambil makanan berserat untuk kesihatan jantung mereka dan mengurangkan makanan bergula, berlemak serta berminyak.

Peningkatan kes diabetes antara penyakit kronik yang kian membimbangkan, justeru KKM menyambut baik inisiatif daripada pelbagai pihak untuk bersama-sama membantu menyebarkan kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya penyakit diabetes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 1:20 AM - Harian Metro

Sunday, September 29, 2019

Kawal Gula Dalam Darah

Diabetes adalah penyakit yang serius. Walaupun penghidap perlu mematuhi pelan rawatan yang memerlukan komitmen penuh, namun usaha itu sangat berbaloi. Penjagaan teliti mampu mengurangkan risiko serius termasuk komplikasi yang mengancam nyawa.


Dalam kalangan penghidap diabetes Jenis 2, pankreas yang menghasilkan insulin masih berfungsi namun tidak secekap seperti yang sepatutnya. Ini bermaksud tubuh mereka sedang membina kerintangan insulin yang menyebabkan tubuh badan tidak berupaya menukar glukosa daripada makanan kepada tenaga dan mengakibatkan terlalu banyak gula kekal dalam darah.

Diabetes Jenis 2 boleh diuruskan dengan mengubah gaya hidup termasuk pemakanan sihat, senaman tetap dan mengawal aras glukosa dalam darah. Makan dengan baik membantu menguruskan aras glukosa darah dan berat badan kita, manakala bersenam membantu insulin menjalankan fungsinya dengan lebih cekap, menurunkan tekanan darah dan mengurangkan risiko sakit jantung.

Matlamat pengurusan diabetes adalah mencapai kawalan glukosa darah yang optimum kerana ini akan membantu mencegah komplikasi jangka panjang dan pendek. Oleh itu, ujian pemantauan glukosa darah yang berkala memberitahu sama ada rawatan yang diikuti mencukupi untuk mengawal aras glukosa darah atau pesakit perlu mengubah rawatan mereka.

Gaya hidup sihat yang disyorkan termasuk melakukan aktiviti fizikal sederhana sekurang-kurangnya dua jam setengah setiap minggu atau satu jam 15 minit senaman berintensiti tinggi.

Aktiviti fizikal sederhana adalah seperti berjalan, berbasikal, senaman aerobik, jejak denai dan memotong rumput, manakala aktiviti memerlukan penggunaan lebih tenaga seperti joging, berbasikal bukit dan bermain bola sepak.

Melakukan pengurangan berat badan beransur-ansur bagi mencapai jisim berat badan (BMI) yang sihat. Mengganti karbohidrat halus kepada makanan bijirin penuh dan meningkatkan pengambilan sayuran dan makanan lain yang tinggi serat. Pesakit diabetes juga dinasihatkan mengurangkan pengambilan lemak tepu dalam pemakanan.

Mereka yang mempunyai berat berlebihan disyorkan mengurangkan berat beransur-ansur sehingga mencapai BMI sihat iaitu antara 18.5 hingga 24.9 dengan sasaran pengurangan sebanyak lima hingga 10 peratus setahun.

Pengurangan berat membantu mengurangkan risiko mendapat diabetes, malah membolehkan pesakit diabetes mengawal glukosa darah dengan lebih baik. Jika BMI melebihi bacaan 30, anda mungkin dirujuk untuk mendapatkan kaunseling pemakanan dan menyertai program pengurangan berat berstruktur, manakala mereka yang tidak berupaya mengurangkan berat menerusi perubahan gaya hidup mungkin perlu mengambil ubatan untuk menurunkan berat.

Objektif pengurusan pemakanan untuk mengekalkan paras gula pada tahap normal, mengurangkan paras kolesterol dalam darah dan mengelakkan komplikasi diabetes. Ada tiga kumpulan makanan dalam pengurusan pemakanan untuk pesakit.

1. Kumpulan makanan yang perlu dielakkan
• Semua jenis gula: Gula putih, gula perang, gula Melaka, gula batu, madu
• Minuman manis: Minuman berkarbonat, kordial, sirap
• Sapuan: Jem, kaya, marmalad (jem limau)
• Makanan manis: Gula-gula, kuih manis, kek, coklat, ais krim, susu pekat manis, yogurt manis, lassi manis
• Pencuci mulut: Buah dalam tin yang ditambah sirap, agar-agar, jeli

2. Kumpulan makanan yang diambil mengikut sukatan
• Bijirin dan hasil bijirin
• Nasi
• Roti, biskut, kuih yang tidak manis
• Pasta, makaroni, spageti, mi, bihun, kuetiau, laksa
• Capati, roti canai, tosai
• Ubi kentang, ubi kayu, keladi, keledek
• Kekacang
• Susu dan hasil tenusu
• Buah-buahan

3. Kumpulan makanan yang boleh diambil secara bebas
• Semua jenis sayur-sayuran: Bayam, parsli, kailan, kubis, sawi, terung, kacang panjang, tomato, timun dan lain-lain
• Sayur-sayuran berkanji: Lobak merah, lobak putih, labu, boleh diambil mengikut sukatan
• Semua minuman tanpa gula: Teh Cina, air kosong, barli tanpa gula, kopi dan teh tanpa gula
• Rempah-ratus dan herba: Serbuk cili, serbuk kari, kayu manis, bunga cengkih, ketumbar, halia, serai, jintan, lada hitam, asam jawa, kunyit
• Semua daging tanpa lemak, ayam tanpa kulit dan lemak, tauhu, telur, ikan, ikan bilis

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 12:02 AM - Harian Metro

Tuesday, March 29, 2016

Suntik Insulin Bukan Penamat Buat Penghidap Diabetes


Nurul Halawati Azhari

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Sama ada memang sikap kita atau ia hanya salah faham di Malaysia, apabila seseorang penghidap diabetes telah sampai ke tahap perlu melakukan suntikan insulin, mereka beranggapan seluruh kehidupannya juga berakhir.

Semangat mula luntur dan kualiti hidup mula menurun serta sudah tiada masa untuk bersosial bersama keluarga.

"Leceh sebab nak kena bawa macam-macam ubat," kata Alia Muhammad, 42.

Alia penghidap diabetes miletus tahap 2 sudah lebih dua tahun mengguna suntikan insulin yang perlu disuntik setiap hari. Beliau antara contoh penghidap diabetes yang lebih gemar menghabiskan masa di rumah daripada keluar bercuti atau berjalan-jalan kerana berasa sukar dan leceh dalam keadaan kesihatannya yang kurang menentu.

Sedar ia bukan penamat buat hidupnya tetapi kerana malas untuk berenyah-renyah, lebih baik duduk diam-diam sahaja di rumah.

Diabetes atau disebut kencing manis oleh kebanyakan orang di negara ini adalah satu daripada 10 penyakit yang membawa kematian di Malaysia.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, terdapat peningkatan jumlah penghidap diabetes di Malaysia iaitu kepada 17.5 peratus pada tahun 2015 berbanding 15.2 peratus pada tahun 2011.

Ia penyakit metabolik kompleks yang semakin lazim di negara ini. Dan didefinisikan melalui peningkatan taraf glukos di dalam saluran darah (hyperglisemia) yang menyebabkan badan tidak berupaya menghasilkan serta menggunakan insulin.

Menurut Konsultan Kanan Endoktrinologi, Profesor Dr Chan Siew Pheng, jika keadaan itu berterusan, dijangkakan kadar kes diabetes di Malaysia akan terus meningkat jika tiada strategi berkesan diambil bagi membanterasnya.

"Wujud satu lompong mengenai kesedaran diabetes serta kelazimannya di negara ini dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini sekaligus menghalang usaha proaktif bagi memperkenalkan kehidupan lebih sihat yang boleh mengurangkan risiko diabetes," jelas Prof Chan.

SEDIKIT MENGENAI KENCING MANIS

Diabetes adalah terma am kepada penyakit yang berkait dengan kencing berlebihan. Diabetes Jenis 1 adalah jenis 'insulin-dependant' disebabkan kegagalan insulin dihasilkan oleh badan. Ia juga disebut 'Juvenille Diabetes' disebabkan hanya biasa terjadi kepada kanak-kanak.

Manakala Diabetes Mellitus Jenis 2 pula disebabkan 'disorder carbohydrate (sugar)' metabolism atau juga dipanggil 'non-insulin dependant diabetes mellitus'. Penyakit ini dibahagikan kepada 'hyperglycemia' (gula dalam darah) dan 'glycouria' (gula dalam air kencing). Keadaan ini berlaku disebabkan kekurangan pengeluaran insulin dalam badan.

Satu jenis lagi ialah pregnancy diabetes. Ini berlaku sewaktu seseorang hamil dan akan hilang selepas bersalin tetapi boleh berterusan jika tidak dikawal.

Diabetes jenis 2 merangkumi 90 peratus hingga 95 peratus daripada jumlah pesakit diabetes. Biasanya terjadi sejajar dengan peningkatan usia, penambahan berat badan atau obesiti, keturunan atau genetik dan juga gaya hidup yang kurang aktif. Biasanya diabetes jenis ini tidak memerlukan suntikan insulin tetapi perlu dikawal dan pemakanan perlu dijaga.

Bagaimananpun jika tidak dikawal ia turut meningkatkan risiko kepada komplikasi penyakit kardiovaskular atau jantung (mikro dan makro). Malah penyakit ini turut berkait rapat dengan peningkatan kematian pramatang serta kematian yang boleh dielakkan,penyakit hati, kegagalan buah pinggang serta buta dan dipotong kaki (amputasi).

Walaupun lebih lazim dalam kalangan orang dewasa, penyakit ini turut menyerang kanak-kanak apabila kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak kian meningkat.

INSULIN

Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh pankreas manusia.

Ia berfungsi dengan menukar glukos/gula yang terdapat di dalam aliran darah menjadi tenaga.

Kehadiran insulin sangat penting bagi mengawal kadar gula dalam darah dan glukos akan ditukarkan ke dalam bentuk tenaga. Jika glukos tidak ditukar ke dalam bentuk tenaga ia akan terus berada di dalam darah dan menyebabkan pelbagai komplikasi.

Penghidap diabetes yang mempunyai masalah insulin tidak mencukupi ataupun tidak boleh dihasilkan, mereka terpaksa mendapatkan insulin yang dihasilkan daripada haiwan atau insulin yang diperbuat secara sentetik yang menyerupai insulin manusia.

Insulin tambahan ini akan disuntik ke badan pesakit untuk meningkatkan insulin dalam darah. Bagaimanapun tidak semua pesakit memerlukan insulin tambahan ini. Keperluan bergantung kepada tahap dan jenis diabetes yang dihidapi.

KENAIKAN MENDADAK

Kajian terbaharu Diabcare 2013 pula mencatatkan walaupun dengan kepelbagaian ubatan yang diambil, 76 peratus pesakit gagal mengawal tahap glukos dalam darah mereka berbanding catatan sebanyak 72 peratus pada tahun 2008.

Menurut Prof Chan, jumlah kenaikan penghidap diabetes yang mendadak di Malaysia adalah amat membimbangkan.

"Oleh kerana Diabetes Jenis 2 merupakan penyakit yang kompleks, perlu ada pilihan rawatan efektif untuk membantu pesakit mengoptimumkan kawalan glisemik mereka," jelas Prof Chan ketika ditemui pada majlis pelancaran Once-Weekly Bydureon, sejenis rawatan baharu yang diluluskan bagi diabetes jenis 2 di Malaysia.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Endokrinologi serta Diabetologi dari Universiti Tubingen, Jerman, Dr Stephan Jacob. Beliau turut menjelaskan bagaimana rawatan yang telah 10 tahun berada di pasaran Jerman dan Eropah membantu meningkatkan gaya hidup aktif pesakit diabetes yang tidak mahu dibebani dengan jadual rawatan.

Terapi suntikan secara mingguan berbentuk suntikan serbuk pelarut tersebut membantu menambah baik pengawalan glisemik bagi pesakit dewasa yang menghidap Diabetis Mellitus Jenis 2.

"Jumlah pesakit diabetes seluruh dunia juga semakin meningkat hingga ia membebankan. Hari ini kita mempunyai ramai golongan muda menghidap diabetis."

Beliau berkata Once-Weekly Bydureon dipercayai rawatan berkesan kepada pesakit.

"Ia memberi kesan baik kepada pesakit Diabetes Jenis 2 dengan pengurangan dua peratus HbA, turun 4.0 kg berat badan dan keseimbanganan dalam HbA untuk selama enam tahun. Ini menjadikan ubat berkenaan sebagai inovasi terbaru rawatan bagi Diabetes Jenis 2 dan sesuai untuk pesakit yang gemar cara hidup yang bebas dan tidak terikat dengan jadual rawatan", katanya.

PROGRAM SOKONGAN PESAKIT B+

Bersempena pelancaran itu, pihak AstraZeneca Sdn Bhd selaku pembekal turut memperkenalkan Program Sokongan Pesakit B+. Ia khusus buat pesakit yang menerima rawatan Diabetes Mellitus Jenis 2 yang menggunakan ubat berkenaan.

Antara lain program sokongan itu menawarkan Diabetic Nurse Educators yang dilatih secara khusus untuk mengajar pesakit kaedah penggunaannya. Di samping turut memberikan kaunseling dan mendidik pesakit mengenai amalan diet serta gaya hidup yang sihat.

Program berkenaan turut merangkumi peringatan rawatan mingguan, risalah serta akses kepada pengamal perubatan profesional bagi sebarang pertanyaan mengenai rawatan mereka.

Bagaimanapun, pesakit perlu mendapatkan kebenaran dan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum menyertai program itu.

BERNAMA

Sunday, January 27, 2013

Merawat diabetes

ARKIB : 27/01/2013

Matlamat utama dalam rawatan penyakit kencing manis adalah untuk mengurangkan tahap gula dalam darah, dari kadar yang luar biasa ke tahap gula lebih rendah dan normal. - Gambar hiasan
 
Soalan: SAYA Siti Juliana ingin bertanya bagi pihak ayah saya. Ayah saya berumur 60 tahun menghidap penyakit kencing manis sejak 10 tahun lalu. 

Tahap suntikan insulin yang perlu diambil adalah sebanyak 14 unit pada siang (tiga suntikan) dan 20 unit pada waktu malam. 

Masalahnya dia sering mengalami kebas kaki dan tangan hampir setiap hari dan pada waktu malam menjadi lebih kebas berbanding siang. 

Adakah penyakit kencing manis ini boleh diubati? Apakah ayat-ayat Al-Quran yang patut dibaca oleh ayah saya. Saya berharap Tuan Haji Lokman dapat menjawab soalan saya ini.

-Lina, Taiping, Perak.

JAWAPAN:

Kencing manis atau diabetes adalah satu keadaan yang berlaku apabila tahap gula dalam darah lebih tinggi daripada biasa. 

Kencing manis berlaku apabila pankreas dalam badan tidak menghasilkan insulin atau apabila badan kita sudah tidak sensitif dengan insulin dalam badan. 

Apabila insulin gagal dihasilkan atau tidak berfungsi dengan baik, ia tidak dapat membawa masuk glukos atau gula ke dalam sel dan tisu badan kita sebagai simpanan. 

Akibatnya, darah akan mempunyai kadar gula yang terlalu tinggi untuk sel-sel badan kita. Secara amnya, seseorang dianggap menghidap penyakit kencing manis apabila kadar gula dalam darah semasa berpuasa lebih daripada tahap 7 atau kadar gula selepas makan adalah daripada tahap 11.

Kencing manis terbahagi kepada jenis 1 (bergantung kepada insulin) biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja. 

Kencing manis jenis 2 (tidak bergantung kepada insulin) selalu dihidapi oleh golongan orang berumur atau mempunyai berat badan berlebihan. Terdapat juga kencing manis semasa mengandung (gestational diabetes).

Kencing manis adalah pembunuh yang senyap (silent killer) kerana penyakit ini boleh menyebabkan seseorang pesakit menjadi buta, mengalami komplikasi buah pinggang, masalah jantung, strok dan gangren - selalunya mengakibatkan amputasi kaki akibat luka yang lambat sembuh atau mengalami jangkitan kuman kronik.

Statistik kes-kes diabetes di Malaysia

Pada 2011, Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) melaporkan kira-kira 2.6 juta rakyat Malaysia disahkan mengidap kencing manis. 

Malah, didapati bahawa satu daripada tujuh orang dewasa di Malaysia menghidapinya. Keadaan ini amat membimbangkan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa Malaysia berada di tangga ke-10 di dunia sebagai negara yang mempunyai jumlah penghidap kencing manis yang sangat ramai. 

Dalam pengalaman saya merawat pesakit kencing manis, negeri Pantai Timur Semenanjung mempunyai jumlah pesakit yang lebih ramai berbanding dengan negeri lain di Malaysia. 

Ini mungkin disebabkan faktor pemakanan penduduk Pantai Timur yang gemar makanan berunsur karbohidrat seperti nasi, pulut dan manisan.

Punca kencing manis

Penyakit kencing manis disebabkan oleh beberapa faktor. Di antara punca utama yang dikenal pasti adalah berat badan berlebihan (obesiti), faktor keturunan, tahap kolesterol tinggi, stres atau tekanan emosi berlebihan dan berterusan, pengambilan alkohol yang banyak, amalan pemakanan tidak berkhasiat atau tidak seimbang, kurang membuat aktiviti fizikal (senaman) dan tekanan darah tinggi. 

Selalunya, sesiapa yang mempunyai lebih daripada satu punca yang disebut tadi mempunyai risiko tinggi untuk menghidap kencing manis.

Tanda-tanda awal kencing manis

Tanda awal seseorang mula menghidap kencing manis adalah penurunan berat badan mendadak, luka lambat sembuh, sering buang air kecil, selalu lapar dan haus yang luar biasa, kabur penglihatan, rasa kebas di kaki dan tangan, otot lemah, sentiasa letih, cepat marah dan bagi wanita, gatal di bahagian kemaluan.

Pencegahan penyakit kencing manis

Dari segi perubatan moden, penyakit kencing manis tidak dapat diubati, tetapi boleh dikawal. 

Namun, kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yakin penyakit kencing manis ini boleh diubati dengan mengamalkan ayat-ayat al-Quran yang tertentu dan dengan keizinan Allah SWT. 

Selain itu, beberapa langkah yang dapat dilakukan untuk merawat dan mencegah penyakit kencing manis adalah dengan pengambilan makanan dan diet seimbang, melakukan senaman dengan kerap, mengawasi kadar gula dalam darah, tidak merokok dan mengawal berat badan.

Kepentingan pengambilan makanan berzat dan yang tidak memudaratkan badan turut ditekankan di dalam al-Quran seperti di dalam firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 168 yang lebih kurang bermaksud “Hai manusia! Makanlah sebahagian daripada makanan yang ada di bumi ini yang halal dan baik."

Rakyat Malaysia yang mempunyai risiko tinggi mengidap kencing manis harus mempunyai kefahaman tentang bahaya kencing manis dan perlu melakukan pemeriksaan kesihatan tahunan bagi mengenal pasti penyakit kencing manis di peringkat awal.

Rawatan moden penyakit kencing manis

Matlamat utama dalam rawatan penyakit kencing manis adalah untuk mengurangkan tahap gula dalam darah, dari kadar yang luar biasa ke tahap gula lebih rendah dan normal. 

Penyakit kencing manis jenis 1 boleh dirawat dengan pengambilan insulin, senaman dan pemakanan sihat dan seimbang. 

Penyakit kencing manis jenis 2 pula boleh dirawat dengan penurunan berat badan, mengamalkan diet sesuai dan aktiviti senaman yang konsisten. 

Jika langkah ini gagal mengawal kadar gula darah yang tinggi, ubat-ubatan hospital boleh digunakan.
Jika ubatan masih tidak mencukupi untuk mengawal kadar gula dalam darah, maka rawatan dengan suntikan insulin boleh digunakan.

Rawatan penyakit kencing manis dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran

Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit kencing manis akan diberi ayat berikut untuk mereka amalkan dan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan. Ayat-ayat yang perlu diamal adalah:

Surah Al-Anbiya’ ayat 62 hingga 73
Surah An-Nahli ayat 66 hingga 74
Surah Huud ayat 46 hingga 53
Surah Al-Kahfi ayat 28 hingga 44
Surah Al-Qasas ayat 29 hingga 40
Surah Al-Maidah ayat 62 hingga 75

Cara amalan ayat-ayat al-Quran tersebut adalah pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Al-Anbiya’ tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah An-Nahli tiga kali pada waktu siang. 

Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. 

Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan. 

Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan tersebut dengan surah berikutnya. 

Lebih baik sekiranya pesakit datang berjumpa dengan perawat Al-Hidayah terlebih dahulu supaya dapat kami memeriksa jikalau ada kesan sampingan yang disebabkan oleh penyakit kencing manis ini. 

Sekiranya ada kesan sampingan, kami boleh memberi ayat al-Quran yang lain untuk merawat kesan sampingan tersebut.

Adalah dinasihatkan agar pesakit yang ingin berubat menggunakan ayat-ayat al-Quran ini tidak berhenti terus mengambil ubat yang telah diberi oleh pihak hospital, tetapi boleh mengurangkan dos pengambilan ubat hospital secara perlahan-lahan mengikut kadar pemulihan pesakit. 

Terapi penyembuhan melalui ayat al-Quran ini memakan masa, disiplin dan kesabaran. Kaedah rawatan ini bukan seperti magic, hari ini pesakit membaca ayat yang diberi dan esok pesakit mengharap penyakit itu sembuh. 

Pesakit mesti yakin akan mukjizat ayat-ayat al-Quran dan yang paling penting berdoa kepada Allah memohon penyembuhan serta keberkatan dan rahmat-Nya.

Kepada semua pesakit kencing manis, jangan berputus asa berusaha dan mendapatkan rawatan untuk menyembuhkan penyakit ini. 

Ramai pesakit yang telah berusaha berubat dengan ayat al-Quran dan ada yang telah sembuh selain ada yang masih lagi menjalani rawatan. 

Yakinlah dengan mukjizat ayat al-Quran, penyakit kencing manis boleh dirawati, insya-Allah.

Dari Abu Hurairah r.a: Bahawasanya Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tidaklah Allah menurunkan suatu penyakit, melainkan dia juga menurunkan ubatnya" ( Hadith Sahih Bukhari).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130127/kn_05/Merawat-diabetes#ixzz2KmlptCwx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Wednesday, May 23, 2012

Lelaki lebih terdedah pada diabetes jenis 2


LELAKI lebih terdedah dengan diabetes peringkat 2 kerana faktor biologi dan pemakanan.


SEORANG pengkaji dari Universiti Glasgow, Scotland, Profesor Naveed Sattar berkata lelaki lebih terdedah kepada penyakit diabetes jenis 2 berbanding wanita disebabkan faktor biologi dan pemakanan.

Kenyataannya itu berdasarkan kajian terhadap 51,290 lelaki dan 43,137 wanita di Scotland dengan mengambil kira berat badan, faktor kegemukan serta indeks jisim badan (BMI) mereka.

Kata Sattar dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Diabetologia itu, kebanyakan lemak lelaki tersimpan di dalam organ seperti limpa dan buah pinggang manakala wanita di pinggul dan muka.

Diabetes jenis 2 terjadi disebabkan terlalu banyak gula dalam badan hingga merosakkan buah pinggang dan organ lain.

Katanya lagi, penyakit itu dapat dicegah dengan mengurangkan berat badan berlebihan, makan makanan yang sihat dan seimbang selain selalu bersenam.

Monday, April 18, 2011

Risiko penghidap diabetes mati awal (Kosmo Online)


PESAKIT diabetes terdedah kepada kehadiran penyakit lain dalam tubuh.


KENCING manis atau diabetes dipercayai meningkatkan risiko kematian yang dikaitkan dengan saluran darah seperti kanser payu dara dan radang paru-paru.

Kes yang pernah dirujuk kepada sebuah pusat kesihatan di New York membuktikan penghidap diabetes yang berusia 50 tahun meninggal dunia enam tahun lebih awal berbanding individu yang tidak menghidap penyakit itu.

Kajian yang dijalankan untuk menyukat tahap diabetes itu mendapati penyakit tersebut turut meningkatkan risiko kematian pramatang yang disebabkan kegagalan fungsi sistem saluran darah.

Ujar seorang penyelidik dari Universiti Cambridge di Britain, Dr. John Danesh, diabetes semakin mengancam kesihatan masyarakat dunia.

"Ketika kebanyakan orang beranggapan masalah jantung menjadi punca utama kematian, diabetes pula mengejutkan kita apabila muncul sebagai pemangkin utama kepada penyakit lain di dalam tubuh manusia," katanya.

Tambahnya, perokok jangka panjang juga menjadi penyebab pengurangan jangka hayat manusia selama 10 tahun berbanding individu yang tidak merokok.

Diabetes tersenarai sebagai tujuh penyakit utama penyebab kematian di Amerika dengan 26 juta rakyatnya menghidap penyakit itu.

Diabetes terjadi apabila kadar insulin dalam badan dihasilkan terlalu sedikit atau langsung tidak boleh digunakan untuk menghasilkan gula dalam darah.

Selain itu, diabetes dikaitkan dengan obesiti melampau yang menyebabkan risikonya bertambah dua kali ganda untuk pesakit diserang lemah jantung atau strok.

Namun, mereka juga mendapati 25 peratus pesakit diabetes lebih berisiko menderita kanser dan maut akibat kehadiran pelbagai penyakit lain termasuk jangkitan, komplikasi jantung dan buah pinggang selain kemalangan.

Dalam kes jangkitan penyakit berbahaya, diabetes melemahkan sistem imunisasi badan pesakit sekali gus memudahkan peluang virus menyerang sistem tubuh.

Diabetes juga boleh menyebabkan masalah penglihatan dan kegagalan sistem saraf pada kaki seterusnya mendorong seseorang itu terlibat dalam kemalangan.

Wednesday, March 3, 2010

Usah abai penjagaan diabetes (Kosmo)

Rawatan diabetes adalah tanggungjawab sepanjang hayat, baik bagi penghidap mahupun ahli keluarga terdekat.


SELAIN suntikan insulin, penghidap perlu peka kepada vaksin terkini bagi penyakit lain.


BUKAN sekadar orang yang gemuk cenderung menghidap diabetes. Mereka yang kurus juga berisiko mendapat penyakit kencing manis ini jika corak pemakanan dan gaya hidup sihat tidak dijaga atau diamalkan.

Paterikan dalam fikiran tentang peringatan ini - diabetes adalah penyakit yang serius.

Maka, bagi mereka yang telah didiagnosis menghidapinya, hendaklah membulatkan tekad untuk mengikuti komitmen penjagaan kesihatan sepanjang masa.

Percayalah, usaha itu berbaloi kerana bukan sahaja dapat mengurangkan risiko kesihatan, malah menghindarkan masalah yang mengancam nyawa.

Berikut adalah 10 kaedah rawatan dan penjagaan yang membolehkan penghidap menikmati hari mendatang dengan lebih baik:

1. Komitmen untuk menangani diabetes

Pasukan perubatan seperti doktor, jururawat dan pakar diet boleh membantu anda dalam memahami dan menyokong rutin penjagaan diabetes. Pokok pangkalnya, diri anda perlu berjanji untuk berubah dan melaksanakan penjagaan itu demi masa depan sendiri.

Antara aspek gaya hidup yang perlu diberi tumpuan adalah soal pemakanan sihat, senaman dan berat badan.

Pada masa yang sama, pastikan paras gula dalam darah selalu diperiksa supaya paras sasaran seperti yang dinasihatkan doktor dapat dicapai.

Jangan berlengah jika memerlukan perhatian dan rawatan diabetes dari pihak klinik atau hospital.

2. Hentikan tabiat merokok

Jika anda menghisap rokok atau apa juga jenis tembakau lain, dapatkan panduan doktor untuk menghentikan tabiat tersebut.

Merokok akan meningkatkan risiko terhadap pelbagai komplikasi diabetes seperti serangan jantung, strok, kerosakan saraf dan penyakit buah pinggang.

Perokok yang menghidap diabetes adalah tiga kali ganda berhadapan dengan maut akibat penyakit kardiovaskular berbanding penghidap diabetes yang tidak merokok.

3. Kawal tekanan darah dan paras kolesterol

Tekanan darah tinggi boleh merosakkan saluran darah.

Paras kolesterol yang tinggi juga perlu diberi tumpuan memandangkan kemungkinan kerosakan saluran darah itu lebih berganda bagi penghidap diabetes.

Apabila kedua-dua masalah ini bergabung, seseorang penghidap boleh diancam masalah kesihatan yang mengancam nyawa seperti serangan jantung dan strok.

Semua itu boleh dicapai dengan mengambil pemakanan sihat dan sering bersenam.


RUJUK kepada pakar diet untuk memahami konsep pemakanan ideal.


4. Ikuti pemeriksaan tahunan untuk mata dan fizikal

Dengan mengikuti rutin pemeriksaan diabetes, tidak bermakna pemeriksaan tahunan terhadap tubuh dan mata boleh diabaikan.

Semasa pemeriksaan kesihatan tubuh, doktor boleh mengenal pasti komplikasi yang berkaitan diabetes seperti tanda-tanda kerosakan fungsi buah pinggang, saraf atau masalah jantung.

Pemeriksaan mata pula boleh mengesan sekiranya seseorang pesakit mengalami katarak, glaukoma atau kerosakan pada retina.

5. Pastikan vaksin yang terkini

Gula dalam darah tinggi boleh melemahkan sistem imunisasi seterusnya meningkatkan kepentingan pengambilan vaksin. Dapatkan konsultasi doktor tentang vaksin flu untuk menghindar komplikasi demam selesema.

Vaksin pneumonia yang lebih daripada satu dos suntikan amat penting bagi penghidap diabetes yang ebrusia 65 tahun ke atas. Tidak ketinggalan, pastikan anda mengambil tahu tentang suntikan tetanus dan juga hepatitis B.

6. Jaga kebersihan gigi

Diabetes membuatkan penghidapnya cenderung kepada jangkitan gusi. Maka, nasihat mengenai rutin memberus gigi sekurang-kuragnya dua kali sehari itu banyak kepentingannya.

Selain itu, pastikan amalan flos dilakukan dan pastikan temu janji dengan doktor gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun. Temui doktor gigi segera jika terlihat gusi dalam keadaan berdarah, bengkak atau kemerah-merahan.

7. Beri perhatian kepada kaki

Gula dalam darah yang tinggi boleh merosakkan saraf di kaki lantas menjejaskan pengaliran darah ke bahagian tersebut. Jika dibiarkan kemelaratan itu tanpa dirawat, sebarang kejadian luka dan lepuhan boleh menjadi jangkitan serius.

Antara langkah penjagaan kaki adalah seperti membasuh kaki dengan air hangat setiap hari, mengeringkannya dengan baik terutama di celah-celah jari, sapukan pelembap hingga ke pergelangan kaki dengan losyen serta rawat kaki secepat mungkin jika terdapat luka, ruam, lepuhan atau bengkak.

8. Ambil aspirin harian

Aspirin mengelakkan darah anda daripada tersumbat. Dengan mengambil aspirin setiap hari. ia mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.

Kedua-dua penyakit ini adalah kemungkinan yang berbahaya jika seseorang itu menghidap diabetes. Maklumat lanjut tentang terapi pengambilan aspirin harian boleh ditanyakan terus kepada doktor. Tanyakan juga dos yang bersesuaian.


TABIAT makan yang tidak terkawal membawa mudarat.


9. Elakkan minuman beralkohol

Bergantung kepada berapa banyak anda minum dan makan pada waktu yang sama, alkohol akan menyebabkan gula dalam darah menjadi rendah.

Bagi mereka yang memilih untuk minum, dinasihatkan agar tidak berlebihan dan jangan lupa untuk makan. Kiraan pengambilan kalori harian juga perlu dikira dalam makanan dan minuman beralkohol itu.

10. Hindari stres

Kalau anda dalam keadaan stres, pastikan rutin penjagaan diabetes anda akan terganggu. Penghasilan hormon akibat daripada stres yang berpanjangan boleh menghalang insulin daripada menjalankan fungsinya dengan baik.

Bagi menanganinya, pastikan anda meletakkan had kepada stres dan mulakan pengkhususan keutamaan dalam kerja. Kalau punya masa terluang, pelajari teknik relaksasi dan dapatkan tidur yang secukupnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...