PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.
Showing posts with label Kanser Kelenjar Prostat. Show all posts
Showing posts with label Kanser Kelenjar Prostat. Show all posts

Thursday, January 1, 2015

Serangan 
kanser prostat

Lelaki berusia 50-an dinasihat menjalani pemeriksaan
30 Disember 2014 1:28 PM


Men’s Sexual Health

KANSER satu perkataan yang cukup menggerunkan bagi setiap masyarakat kerana merupakan antara penyakit yang berisiko tinggi mengundang maut.

Tidak kira muda ataupun tua, lelaki mahu pun wanita, kanser akan menyerang sesiapa sahaja malah penyakit ini menduduki tangga teratas dalam carta jenis-jenis penyakit.

Kanser, sebenarnya ialah sejenis penyakit yang mampu ‘menyerang’ setiap tubuh badan kita, malah boleh dikategorikan sebagai penyakit kronik dalam senyap.

Kanser prostat antara kanser yang cukup popular menyerang kaum Adam yang berumur 50 tahun dan ke atas, malah kanser prostat menduduki tangga keempat jika dibandingkan dengan penyakit kanser lain.

Menurut Perunding Urologi, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Loh Chit Sin, di Malaysia angka bagi penyakit ini meningkat setiap tahun.

Tambah beliau, hal ini terjadi disebabkan penyakit ini tidak boleh dirasai dan dikesan pada peringkat awal. Mereka yang menghidap penyakit ini juga tidak mempunyai tanda-tanda yang mereka ‘diserang’ penyakit tersebut.

“Jika kita bercakap mengenai angka, di Malaysia setiap tahun penyakit ini pasti meningkat dan tidak lari daripada 2,500 hingga 3,000 kes setahun.

“Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2005 kaum Cina mendahului dengan 15.8 peratus dan diikuti kaum India 14.8 peratus dan akhir sekali Melayu 7.7 peratus.

“Untuk itu, saya menasihatkan orang lelaki yang berumur 50 tahun dan ke atas agar segera menjalani pemeriksaan kesihatan kerana golongan ini berisiko tinggi menghidap kanser prostat,” ujarnya ketika ditemui pada kempen Fight For Your Men di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, pada dasarnya, usia dikenal pasti sebagai faktor utama risiko kanser prostat dan penyakit ini bagaimanapun agak jarang berlaku dalam kalangan mereka yang berusia 45 tahun ke bawah.

Begitupun ulas beliau, kepada mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit ini yang berumur 40 tahun seharusnya risau dan segera menjalani pemeriksaan kerana ada kajian menunjukkan bahawa individu tersebut berisiko tinggi, dua kali ganda untuk mendapat kanser yang sama.

Berbicara lebih lanjut mengenai penyakit tersebut, Dr. lohmenjelaskan, biarpun punca sebenar berlakunya kanser prostat masih menjadi tanda tanya, tetapi antara faktor risikonya ialah usia, sejarah keluarga, bangsa, diet, obesiti, pendedahan kepada radiasi, merokok, kurang bersenam, dan penyakit kelamin.

Pada masa yang sama, Dr. Loh memberitahu hubung kait antara pemakanan dan kanser prostat juga belum boleh dibuktikan sepenuhnya oleh para pengkaji dan saintis.

Namun terdapat data yang menunjukkan bahawa mereka yang mempunyai pemakanan yang kaya dengan daging merah dan barangan tenusu mempunyai kebarangkalian menghidap kanser prostat lebih tinggi.

Bagaimanapun para penyelidik berpendapat gaya hidup sihat adalah antara cara terbaik menghindari ancaman berbahaya ini.

Dengan dunia yang semakin canggih dengan pelbagai teknologi yang ada hari ini, para saintis, doktor, dan komuniti perubatan mendapati penyakit ini boleh dicegah, dikawal, dan disembuhkan.

“Pesakit yang berada pada peringkat awal penyakit dan mendapatkan imbasan mempunyai peluang yang lebih cerah untuk sembuh, manakala mereka yang mengabaikan ‘tanggungjawab’ ini hanya memberi peluang kepada sel-sel kanser untuk membiak.

“Kanser prostat mempunyai banyak kaedah rawatan seperti pembedahan, terapi radio, dan kemoterapi tetapi biasanya pembedahan adalah kaedah rawatan yang terakhir bagi pesakit kanser kecuali mereka yang telah berada pada tahap kritikal.

“Apa sekali pun rawatan yang ada, pesakit disarankan merujuk kepada doktor masing-masing untuk menentukan jenis atau kaedah rawatan yang paling sesuai dengan tahap penyakit pesakit,” tuturnya lanjut.

Sebagai garis panduan, adalah disarankan agar semua kaum lelaki yang berumur 50 tahun ke atas mendapatkan nasihat doktor tentang menjalani pemeriksaan untuk mengesan kanser prostat kerana boleh diubati sepenuhnya jika dikesan awal.

Oleh yang demikian, adalah lebih baik seandainya kita dapat mengenal pasti kanser tersebut pada tahap awal agar rawatan setimpal dan sewajarnya dapat dijalani.

Sekiranya kanser prostat dapat dikesan awal, kita mempunyai banyak pilihan rawatan berbanding dengan kanser yang dikesan lambat dan gunakanlah kemudahan yang ada di negara kita untuk membuat saringan kanser prostat.

Dalam hal ini ahli keluarga serta saudara mara wanita turut disarankan agar memainkan peranan penting dalam menasihatkan ahli keluarga (lelaki) untuk segera menjalani pemeriksaan kesihatan dalam usaha mencegah lebih baik daripada mengubati.

- UTUSAN MALAYSIA

Wednesday, November 23, 2011

Kesan barah

Rencana disediakan Dr Muhammad Arif M Hashim, Ketua Jabatan Patologi dan Pakar Perunding Kanan Hospital Kuala Lumpur (HKL)
bminggu@bharian.com.my
2010/11/07

pix_gal0
Pemeriksaan saringan sahkan kanser rahim, payu dara dan kelenjar prostat

RAMAI yang sudah maklum apa itu barah pangkal rahim, payudara serta kelenjar prostat. Malangnya, tidak ramai yang tahu apakah ujian saringan membabitkan tiga penyakit barah ini yang turut dilakukan di Jabatan Patologi, Hospital Kuala Lumpur.
Bagi barah pangkal rahim misalnya, ada banyak pertanyaan membabitkan masalah pendarahan di faraj yang berlaku selepas hubungan seksual yang dialami wanita, termasuk yang berusia 40-an dan mempunyai ramai anak.
Hakikatnya, ada beberapa sebab mengapa berlakunya pendarahan vagina selepas melakukan hubungan seksual. Ini seperti masalah radang (inflamasi), trauma, ketumbuhan biasa seperti ‘polyp’ dan yang paling membahayakan adalah kanser pangkal rahim.

Oleh itu, ujian saringan perlu dilakukan kalangan wanita dalam usia kumpulan reproduktif dan aktif dalam hubungan seksual. Lazimnya, saringan ini dilakukan ke atas wanita yang berumur antara 20 hingga 65 tahun.

Ujian saringan PAP smear adalah mudah untuk dilakukan dan tidak memerlukan perbelanjaan yang sebegitu tinggi. Seseorang wanita yang berisiko itu hanya perlu menjalani ujian ini dengan membenarkan sampel diambil dari pangkal rahim untuk pemeriksaan.

Sampel ini akan dihantar ke Jabatan Patologi (Unit Sitologi) yang mana sampel ini akan diproses dan diperiksa untuk pengesanan sel-sel yang tidak normal. Kakitangan yang terbabit dalam proses pemeriksaan ini termasuklah Juruteknologi Makmal yang terlatih atau ‘Cytoscreener,’ Pegawai Sains dan Pakar Patologi.
Bagaimanapun, apakah langkah seterusnya jika sel-sel yang tidak normal dikesan dalam pemeriksaan PAP smear anda? Berdasarkan laporan Patologi, jika didapati sel-sel tidak normal ada dalam sampel itu, anda akan dirujuk dengan kadar segera kepada Pakar Ginekologi untuk pemeriksaan selanjutnya.

Kebiasaannya, pemeriksaan kolposkopi akan dilakukan dan contoh tisu akan diambil (tissue biopsy) untuk dihantar ke makmal histopatologi untuk pengesahan. Sampel biopsi ini akan melalui beberapa peringkat pemprosesan di makmal histopatologi sebelum ia boleh diperiksa secara mikroskopi oleh Pakar Patologi.

Laporan histopatologi yang mengesahkan penyakit kanser pangkal rahim akan dimaklumkan kepada pesakit melalui Pakar Ginekologi yang merawat pesakit berkenaan. Pesakit akan diberi rawatan yang selanjutnya sama ada pembedahan, rawatan radioterapi dan, atau kemoterapi.

Bagaimana pula dengan mereka yang mengalami masalah seperti lelehan bukan biasa dari puting payudara? Jika anda mengalami masalah ini anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Ini disebabkan masalah itu adalah antara tanda-tanda kanser payu dara selain daripada ketulan tidak normal pada payu dara atau pun perubahan pada kulit payu dara. Ada beberapa kaedah saringan untuk mengesan peringkat awal kanser payu dara termasuklah Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP), Mammography, Ultrasonography dan Fine Needle Aspiration Cytology (FNAC).

Jika anda mendapati ketulan yang tidak normal pada payu dara anda atau keputusan pemeriksaan mamogram atau ultrasonography yang tidak normal, maka anda perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan selanjutnya.

Ujian pengesahan akan dilakukan ke atas anda sama ada melalui FNAC yang mana pengambilan sampel sel dari bahagian yang tidak normal itu dilakukan dengan menggunakan jarum yang halus dan picagari untuk pemeriksaan oleh Pakar Patologi. Sampel tisu boleh juga diambil dari bahagian yang tidak normal itu untuk pemeriksaan histopatologi.

Sekali lagi di makmal Saitologi/Histopatologi, sampel-sampel ini akan diproses untuk pemeriksaan dan pengesahan oleh Pakar Patologi sama ada pesakit itu mengidap kanser payu dara atau pun tidak. Jika laporan Histopatologi mengesahkan yang anda mengidap kanser barulah rawatan selanjutnya dapat dilakukan sama ada pembedahan, radioterapi atau pun kemoterapi.

Bagi lelaki pula, apakah puncanya masalah seperti kerap kencing termasuk pada waktu malam serta aliran air kencing yang tidak lancar? Lebih membimbangkan, selera makan dan berat badan pula merosot.

Untuk makluman ramai, pesakit yang mengidap penyakit kanser kelenjar prostat juga boleh mengalami gejala ini. Apakah kelenjar prostat ini? Ia adalah organ yang ada pada lelaki, bersaiz kecil atau sebenar kacang walnut yang terletak di belakang alat kemaluan lelaki, di depan usus besar (rectum), di bawah pundi kencing dan mengelilingi saluran kencing (urethra).

Oleh itu, andai ada sebarang bengkak atau pembesaran pada kelenjar prostat, sama ada berpunca daripada kanser atau tidak, pesakit akan mengalami masalah sama ada kencing tidak lawas atau pun ada darah dalam air kencing atau air mani.

Bagaimana mengesan peringkat awal kanser kelenjar prostat? Saringan untuk penyakit kanser kalenjar prostat boleh dilakukan melalui ujian darah dengan mengukur paras protin yang dirembeskan oleh kelenjar prostat iaitu PSA (Prostatic Specific Antigen). Paras PSA dalam darah biasanya tidak normal jika kelenjar prostat diserang kanser.

Selain itu, satu pemeriksaan ringkas dan mudah juga boleh dilakukan untuk mengesan peringkat awal kanser kelenjar prostat iaitu DRE (Digital Rectal Examination) yang mana doktor akan memasukkan jari ke dalam rektum pesakit dan memeriksa kalenjar prostat.

Sampel tisu untuk pemeriksaan oleh Pakar Patologi perlu dilakukan untuk pengesahan sama ada pesakit itu mengidap kanser jika didapati paras PSA dalam darahnya tinggi dan kelenjar prostatnya melalui pemeriksaan DRE tidak normal.

Pemeriksaan dan pengambilan sampel tisu dari pada kelenjar prostat ini dilakukan oleh Pakar Pembedahan Urologi menggunakan teknik Transrectal Ultrasound biopsy (TRUS). Jika laporan Histopatologi mengesahkan anda mengidap kanser kelenjar prostat, barulah rawatan lanjut dapat dilakukan sama ada pembedahan, rawatan hormon atau pun radioterapi.

Apakah komplikasi kanser jika lambat di kesan? Kanser boleh merebak ke bahagian lain anggota badan seperti hati, paru-paru, tulang dan otak dan seterusnya menyebabkan kematian. Oleh itu saringan ini perlu untuk mengesan peringkat awal kanser dan mengelakkan dari berlakunya komplikasi.


Sumber rujukan: Unit Histopatologi, Jabatan Patologi, HKL dan Uronological Society of Australia.
--- Berita Harian Online
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...