PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.
Showing posts with label Penjagaan Gigi. Show all posts
Showing posts with label Penjagaan Gigi. Show all posts

Sunday, June 9, 2013

Gigi kuat, sihat dan menawan!

ARKIB : 08/06/2013

 
 GIGI merupakan salah satu aset penting bagi kehidupan seseorang. Kerosakan gigi yang teruk seperti berlubang pastinya akan menjejaskan rupa paras kamu, sekali gus mengurangkan keyakinan diri.

Umumnya, seorang dewasa mempunyai 32 batang gigi. Gigi-gigi tersebut, termasuklah dua gigi kapak, satu gigi taring, dua geraham kecil dan tiga geraham besar dengan geraham bongsu. Gigi yang tidak akan berganti dinamakan sebagai gigi kekal kerana ia tidak akan tumbuh lagi selepas itu sampai bila-bila.

Oleh itu, penjagaan gigi amatlah penting untuk menjamin kehidupan yang ceria di hari kemudian kelak. Apatah lagi pada usia seperti kamu, waktu sebegini merupakan saat yang tepat untuk kamu mula ambil peduli tentang gigi kamu.
Sudah tentu kamu tidak mahu mengalami sebarang komplikasi gigi, bukan? Itu sebenarnya merupakan antara penyebab ada dalam kalangan kamu enggan memberikan senyuman tatkala bergaya di hadapan kamera.

Jadi, untuk tujuan itu, ruangan Kesihatan kali ini memberikan informasi menarik yang boleh kamu ikuti agar gigi kamu sentiasa sihat dan mampu menawan mereka yang berada di sekeliling kamu. Tentu kamu pernah mendengar peribahasa lebih baik mencegah daripada merawat, bukan? Jadi, teruskan membaca! - LAILISUHANA

Karies Gigi

- Terjadi apabila struktur gigi mereput dan mula mengakibatkan kerosakan (karies) nyata pada gigi. Hal ini berpunca daripada pengambilan gula secara kerap yang membantu kepada pembentukan asid oleh bakteria dalam plak gigi.

- Tindak balas daripada pengambilan itu dengan bakteria yang ada di dalam plak seterusnya akan menghasilkan asid yang akan menyerang gigi kamu dan menyebabkan gigi kamu reput.

- Apabila gigi kamu mulai mereput, secara tidak langsung ia akan memberikan satu implikasi yang negatif kepada penampilan kamu. Harus diingat bahawa gigi yang reput itu merupakan gigi kekal dan tidak mungkin akan berganti.
- Inilah yang akan terjadi apabila kamu gemar mengambil makanan ringan atau manis, tidak menjaga kebersihan mulut seperti amalan memberus gigi secara rutin dan kekurangan pengaliran saliva di dalam mulut.

Tanda Karies Gigi

* Kesakitan pada bahagian gigi (rasa seperti ngilu)
* Gigi mulai bertukar warna menjadi hitam
* Kamu mula akan menjadi tidak selesa untuk mengunyah dan memberus gigi.
* Mulut mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.
* Gigi berlubang

Komplikasi Karies Gigi

Bahagian gigi juga mempunyai komplikasi. Antaranya adalah bengkak pada gusi, gigi menjadi mati dan mula kehilangan gigi terutama gigi yang telah pun berlubang.

Tip Penjagaan Gigi

- Gosok gigi kamu setiap dua kali dalam sehari. Sekurang-kurangnya kamu dapat menghalang pembentukan kaviti pada gigi kamu.

- Gosok gigi kamu sebaik-baiknya selepas kamu bersarapan dan sebelum kamu bersedia untuk tidur. Cadangan masa untuk menggosok gigi adalah selama tiga minit setiap sesi.

- Bagi kamu yang mempunyai risiko gigi berlubang yang tinggi, kamu dinasihatkan supaya tidak berkumur selepas menggosok gigi pada waktu malam.

- Amalkan juga flossing pada setiap hari. Flossing dapat membantu kamu membuang sisa-sisa makanan di celah gigi yang sukar dicapai atau dibersihkan oleh berus gigi.

- Dapatkan juga pemeriksaan daripada doktor gigi dari klinik atau hospital yang berhampiran untuk mengetahui tahap kesihatan gigi kamu, sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.

- Selain itu, kamu juga perlulah mengelakkan diri kamu daripada mengambil makanan dan minuman yang boleh merosakkan gigi seperti gula-gula dan minuman berkarbonat.

--- UTUSAN MALAYSIA

Sunday, June 2, 2013

Flos gigi anda

ARKIB : 02/06/2013

SESEORANG yang mengalami sakit gigi akibat gigi berlubang datang berjumpa doktor gigi untuk rawatan. Selepas pemeriksaan rapi, doktor gigi menerangkan bahawa masalah berpunca daripada kurangnya kebersihan gigi.

"Gigi anda tidak bersih", kata doktor gigi. Pesakit itu kelihatan bingung dan menjawab: "Tetapi saya memberus dua kali sehari setiap hari". 

Inilah yang sering difikirkan apabila kita menyebut mengenai kebersihan gigi. Hanya dengan memberus gigi. 

Apa yang perlu difahami ialah kebersihan gigi tidak tertakluk kepada memberus gigi sahaja. Kebersihan gigi melibatkan memberus, memflos dan berkumur. Gigi anda akan hanya separa bersih sekiranya anda tidak melakukan ketiga-tiga kaedah tersebut. 

Apabila anda memberus, anda akan terlepas banyak sisa makanan yang akan menjadi semakin bertambah di dalam mulut. Tidak ada berus gigi yang direka untuk mencapai setiap sudut di dalam mulut. Di kawasan tersebut, sisa makanan dan plak akan terus bertambah dan seterusnya menyebabkan lubang atau pereputan. 

Selain daripada memberus, anda juga harus memflos gigi setiap hari. Mengapa? Kerana memflos akan menanggalkan plak dan sisa makanan di kawasan yang tidak dicapai berus gigi. Pertambahan plak akan membawa kepada penyakit gusi atau pereputan gigi menjadikan aktiviti memflos sebagai sesuatu yang penting. Sekiranya anda memflos sebaik saja selepas memberus gigi, anda akan mendapati gusi dan gigi anda menjadi lebih sihat.

Apabila anda meneliti flos yang digunakan, terdapat dua jenis - nilon dan filamen tunggal. Anda boleh mendapatkan nilon yang bersalut lilin atau tidak. Flos nilon diperbuat daripada beberapa lembaran nilon menjadikan ia mudah putus dan koyak sekiranya terperangkap di celah gigi yang tajam. Meskipun flos filamen tunggal lebih mahal daripada nilon, ia lebih mudah dilalukan di celah-celah gigi terutamanya di kawasan yang sempit. Tidak seperti nilon, flos filamen tunggal sukar untuk koyak atau putus. 

Tidak kira apa jenis flos yang anda pilih, asalkan anda memflos dengan kerap, kaedah ini akan menanggalkan sisa makanan dari gigi dan gusi. Sekiranya anda tidak pernah memflos sebelum ini, anda mungkin akan terkejut betapa banyak sisa makanan yang mampu dibuang dengan memflos. 

Berkumur (dengan ubat kumur) adalah sama penting seperti memberus dan memflos untuk mencapai kawasan yang sukar dicapai oleh flos ataupun berus gigi yang paling kecil. 

Sisa makanan akan mendap di celah gigi dan pada celahan gingival yang menjadikan berkumur penting. Kebanyakan orang tidak sedar bahawa terdapat celahan gingival sedalam tiga milimeter yang boleh menjadi kawasan mendapan sisa makanan termasuklah nasi goreng, jus, tappanyaki, spagetti dan sebagainya. Celahan gingival ini boleh dibersihkan dengan berkumur. 

Akhir sekali, sekiranya anda mahukan gigi anda kekal lama, berhati-hati dengan teknik memberus yang anda gunakan. Terdapat perbezaan nyata antara memberus dengan mata tertutup dan memberus dengan berhati-hati dengan memastikan kedudukan berus mengenai kawasan yang sukar dicapai. Anda perlu lebih berhati-hati sekiranya anda memiliki gigi yang kurang teratur kerana terdapat lebih banyak kawasan yang sukar dicapai. 

Sekiranya anda hanya memberus selama ini, sudah tiba masanya untuk memflos dan berkumur untuk memastikan gigi dan gusi anda sihat. Anda dinasihatkan menjalani pemeriksaan rutin (setiap 6 bulan) dengan pakar pergigian. Namun begitu terpulang kepada anda untuk melakukan penjagaan di rumah dengan memberus, memflos dan berkumur. Siapa kata gigi anda mesti reput apabila anda tua? Sesetengah haiwan masih memiliki gigi sempurna selepas mereka mati.

n DR . FAIZ KHALEED merupakan jurucakap bagi kempen Oral-B, "Complete Care for a Confident Smile". 

--- UTUSAN MALAYSIA

Thursday, July 5, 2012

Penjagaan gigi sempurna



TAHUKAH anda bahawa nafas berbau, pereputan gigi dan gusi yang bengkak adalah disebabkan oleh plak? Memiliki kesihatan mulut yang optimum adalah penting untuk memiliki personaliti yang meyakinkan.

Percaya atau tidak, memberus gigi adalah salah satu daripada cara termudah untuk menjaga kesihatan dan meningkatkan keyakinan diri.

Dalam satu kajian oleh Nielsen untuk kempen Oral-B 'Lebih Berus, Lebih Senyum Malaysia 2012', 93 peratus responden bersetuju bahawa nafas yang segar membina keyakinan diri manakala 78 peratus berasa kurang yakin sekiranya mengalami masalah pereputan gigi. 81 peratus pula akan mengawal ketawa sekiranya memiliki gusi yang bengkak atau nafas berbau (78 peratus).

Kesihatan mulut berkait rapat dengan kesihatan keseluruhan tubuh lebih daripada yang ramai orang jangkakan. Malah, doktor dan saintis terus mencari hubung kait antara penyakit mulut dengan penyakit lain.

Sesetengah penyelidik berpendapat bahawa bakteria di dalam mulut yang menyebabkan keradangan dan jangkitan boleh meningkatkan risiko jangkitan atau penyakit lain.

Kesihatan keseluruhan Apabila anda memiliki gigi dan gusi yang sihat, kuranglah bakteria yang akan masuk ke dalam salur darah dan merebak ke bahagaian tubuh lain. Tetapi pembedahan gigi, ubat-ubatan tertentu atau penyakit gusi yang berpunca daripada kealpaan menjaga kebersihan gigi membolehkan bakteria tersebut merebak.

Pada dasarnya, anda mampu melindungi dan meningkatkan kesihatan tubuh dengan menjaga kesihatan mulut. Beruslah gigi dua kali sehari dan gunakan flos sekurang-kurangnya sekali sehari.

Penjagaan gigi sempurna elak banyak masalah Kesan penjagaan gigi yang lemah termasuk pereputan dan kaviti hinggalah ke gingivitis, periodontitis dan kehilangan gigi. Penjagaan gigi yang betul termasuk membersihkan gigi dengan kerap mampu mencegah kebanyakan masalah tersebut.

Sekiranya anda tidak membersihkan gigi dengan baik setiap hari, anda meningkatkan risiko mendapat pereputan gigi. Tanda-tanda awal pereputan gigi termasuk lubang pada gigi, kesakitan apabila menggigit atau rasa sensitif dan sakit pada gigi.

Apabila karbohidrat dalam makanan dan minuman yang diambil tidak dibersihkan daripada gigi dengan kerap, ia menjadi pemangkin kepada bakteria penyebab kaviti. Bakteria ini mampu membentuk plak seawal 20 minit selepas makan. Jadi, sekiranya anda penggemar snek, anda mungkin mahu membersihkan gigi lebih daripada dua kali sehari.

Sebenarnya, bakteria akan sentiasa wujud di dalam mulut dan membersihkan gigi dengan kerap serta mengurangkan makanan bergula mampu menghalang pereputan gigi.

Membersihkan gigi juga menghalang bakteria penyebab kaviti daripada terus menyebabkan gingivitis atau penyakit gusi.

Rutin penjagaan gigiPastikan gigi anda bersih dan bebas kaviti dengan melakukan rutin penjagaan iaitu memberus dua kali sehari dan menggunakan flos. Berkunjunglah ke doktor gigi sekurang-kurangnya sekali setahun untuk pembersihan gigi profesional dan memeriksa keadaan gigi sebelum menjadi lebih serius.

Doktor gigi anda mungkin akan menyarankan penggunaan berus gigi, flos dan ubat kumur tertentu bagi mendapatkan penjagaan gigi yang maksimum.

--- UTUSAN MALAYSIA

Wednesday, November 17, 2010

Jaminan gigi sihat



Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
2010/11/14

Pemeriksaan rutin 6 bulan sekali elak hilang gigi awal, nafas berbau


KESIHATAN gigi ditentukan oleh gaya hidup, tabiat pemakanan dan cara seseorang individu menjaga giginya. Sikap suka bertangguh melakukan pemeriksaan berkala dan hanya berjumpa doktor ketika gigi sudah sakit hanya memberi kesan terhadap kesihatan badan secara keseluruhan.

Bagi golongan dewasa, kesibukan kerja antara punca tabiat suka bertangguh sehingga menyumbang kepada pelbagai masalah gigi lebih serius.

Tabiat buruk itu, tegas pakar runding pergigian, Dr Halina Haron, turut menyebabkan masalah paling lazim pergigian dewasa iaitu penyakit gusi.

Lebih membimbangkan, kata Dr Halina, ia turut dikenali sebagai pembunuh gigi secara senyap.

“Ia digelar sedemikian kerana tanda-tanda awal penyakit ini sukar dikesan. Punca utama penyakit gusi ialah plak gigi atau dikenali sebagai selaput gigi dan tahi gigi yang pada awalnya akan menyebabkan nafas berbau.

“Antara faktor lain yang menyumbang kepada penyakit gusi termasuk kalkulus atau plak gigi yang mengeras, merokok, diabetes, kerosakan gigi, tekanan, gigi palsu, mulut kering selain kesan pengambilan ubat-ubat untuk masalah perubatan seperti sawan dan tekanan darah tinggi dan perubahan hormon contohnya semasa mengandung,” katanya.

Malah, kata Dr Halina, kajian Kementerian Kesihatan pada 2000 menunjukkan 9 bagi setiap 10 dewasa di negara ini mengalami pelbagai peringkat penyakit gusi.

Masalah kedua, katanya, membabitkan gigi berlubang atau karies gigi yang disebabkan tindakan asid dihasilkan bakteria.

“Karies gigi juga sukar dikesan, apa yang dapat dikenal pasti hanyalah permukaan gigi berubah warna, gigi rapuh, mudah pecah atau berlubang, sehingga individu mula merasa sakit, itu bermakna kerosakan sudah sampai ke rongga pulpa gigi (kedudukan salur darah dan saraf),” katanya.

Bagaimana pula dengan kaedah rawatannya? Dr Halina berkata, ia bergantung kepada berapa besar saiz, kedalaman lubang dan adakah ia sudah sampai ke bahagian akar. Andai membabitkan saraf dan ubat yang diberikan tidak begitu berkesan, pesakit perlu menjalani rawatan akar yang lebih serius selain rawatan susulan.

Selain karies gigi, masalah karang gigi atau tartar juga sering dialami orang dewasa. Ia berpunca daripada sisa makanan di celahan gigi yang tidak dicuci bersih. Lama kelamaan kekotoran ini akan keras dan menjadi karang gigi.

“Karang gigi dapat menyebabkan gigi goyang dan mudah tanggal kerana penurunan atau penyusutan gusi, gusi bengkak, gusi berdarah ketika memberus, dan mulut berbau.

“Apabila penurunan gusi berlaku, tulang rahang juga akan turun dan menyebabkan gigi mudah goyang kerana asasnya sudah tidak kuat. Akibatnya jika kesihatan gigi tidak dijaga dari peringkat awal, kita berkemungkinan kehilangan gigi pada usia baru mencecah 40 atau 50 tahun padahal ia sepatutnya berlaku pada usia 80 hingga 90 tahun,” katanya.

Tabiat merokok tidak ketinggalan menjadi penyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan gigi bagi orang dewasa. Merokok meninggalkan kesan karat pada gigi, deria rasa terjejas mengurangkan selera makan dipercayai antara punca meningkatnya jumlah perokok wanita masa kini, meningkatkan suhu dan kadar toksin dalam mulut hingga merosakkan aliran darah pada gusi menyebabkan penyusutan gusi dan bertukar warna coklat, bibir dan gusi juga menjadi lebih gelap.

Selain itu sikap individu yang lambat menggantikan gigi patah juga menjejaskan kesihatan gigi dan fungsinya.

“Gigi yang hilang perlu cepat diganti sama ada menerusi kaedah tanam gigi, gigi palsu kekal (bridge) atau memakai gigi palsu (dentur).

“Ini disebabkan, gigi akan mula bergerak bila wujud ruang di antaranya menyebabkan susunan gigi yang tidak teratur atau jarang yang mengundang masalah kaviti tidak berkesudahan,” katanya.

Info

Tips penjagaan gigi:

  • Pastikan tabiat memberus, berkumur dan flos dilakukan dengan betul.

  • Lakukan pemeriksaan berkala setiap enam bulan atau setahun sekali.

  • Pemilihan jenis berus gigi, ubat gigi, dan cecair pencuci mulut dan flos yang digunakan juga penting.

  • Makan buah-buahan dan sayuran, kerana ia banyak serat, ia juga mencuci kekotoran pada permukaan gigi.

  • Hadkan pengambilan makanan ringan dan manis.

  • Berhenti merokok.

    Fakta

  • Orang dewasa mempunyai 32 gigi kekal (4 gigi kacip, 2 gigi taring, 4 geraham kecil dan 6 geraham besar pada kedua rahang (rahang atas dan rahang bawah).

  • Kanak-kanak mempunyai 20 gigi susu (4 gigi kacip, 2 gigi taring dan 4 gigi geraham pada kedua rahang (rahang atas dan rahang bawah).

  • Gigi dewasa dan gigi kanak-kanak berbeza dari segi bentuk, warna, ukuran, jumlah, dan struktur gigi.
  • --- BERITA HARIAN

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...