PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.
Showing posts with label Kegagalan Buah Pinggang. Show all posts
Showing posts with label Kegagalan Buah Pinggang. Show all posts

Monday, March 31, 2014

Awas, simpton penyakit buah pinggang

TAHAP kesihatan seseorang amat bergantung kepada buah pinggang yang berfungsi secara sempurna. Oleh itu, kerosakan buah pinggang merupakan masalah kesihatan yang menakutkan penghidapnya.
Pelbagai faktor menyumbang kepada kerosakan. Jika tidak dirawat dengan sempurna, ia menyebabkan kegagalan buah pinggang (renal failure). Kedua-dua jenis kegagalan buah pinggang -  kegagalan akut dan kronik - akan mengganggu kecekapan fungsi buah pinggang.

Fungsi utama buah pinggang adalah menapis darah bagi membuang air berlebihan, garam berlebihan dan bahan kumuh/bertoksin dari tubuh. Fungsi utama lain, membina beberapa jenis hormon yang mengawal beberapa fungsi tubuh seperti pengawalan tekanan darah dan pembinaan sel darah merah.

Buah pinggang juga berfungsi mengawal pH darah serta bertanggung jawab dalam mengaktifkan sejenis vitamin D yang membantu tubuh menyerap Kalsium yang digunakan untuk membina tulang dan menyelaras fungsi otot.

Tanda utama kerosakan buah pinggang sakit pinggang (low back pain). Kadang-kadang sakit pinggang berlaku hanya di sebelah pinggang iaitu sama ada bahagian kanan atau kiri pinggang.

Apabila seseorang misalnya sering mengalami sakit pinggang setiap kali tidur mengiring sebelah kiri, maka besar kemungkinan buah pinggang kirinya sedang mengalami kerosakan atau telah mengalami kerosakan pada tahap tertentu.
Kesakitan sebelah buah pinggang atau kedua-dua belah buah pinggang menyebabkan anda agak sukar untuk membuang air kecil pada waktu pagi atau ketika terjaga pada waktu tidur.

Kulit gatal berpanjangan

Selepas membuang air kecil, penghidap akan berasa lega sedikit kerana kesakitan di bahagian pinggang beransur-ansur kurang. Ini adalah tanda amaran awal seseorang mengalami kerosakan buah pinggang.

Bersegeralah mendapatkan perhatian doktor dengan menjalani pemeriksaan dan diagnosis. Kerosakan buah pinggang peringkat awal dikatakan lebih mudah untuk dirawat dan prognosisnya biasanya adalah baik.

Fungsi utama buah pinggang ialah membuang bahan kumuh/bertoksin yang terdapat dalam darah. Jadi, apabila ia rosak dan gagal berfungsi bahan buangan berkumpul dalam darah lalu menyebabkan seseorang mengalami ruam, rasa gatal yang keterlaluan dan kulit
kering. Ini juga merupakan tanda-tanda awal kerosakan buah pinggang.

Bagaimanapun ruam, kulit gatal keterlaluan dan kulit kering juga adalah simptom berpunca daripada masalah kesihatan lain seperti ketidakharmonian fungsi hati, ketidakseimbangan nutrien berpunca daripada pelbagai faktor dan infeksi kulat.

Sesungguhnya ubat-ubatan tertentu contohnya ubat pengawal paras kolesterol jenis statin dikatakan menyebabkan kerosakan hati dan kegagalan buah pinggang.

Sila semak British Medical Journal (2010) di bawah laporan berjudul Unintended effects of statins in men and women in England and Wales: population based cohort study using the QResearch database.

Semaklah butiran yang tercatat pada label ubat pengawal kolesterol anda atau ahli keluarga anda. Ramai tidak tahu sebahagian besar preskripsi ubatan pengawal kolesterol adalah daripada keluarga statin!

Jika anda benar-benar mengalami kerosakan buah pinggang, maka krim sapuan yang dipreskripsi doktor hanya berfungsi meredakan keradangan. Jika simptom ruam, kulit gatal dan kering dialami secara berpanjangan janganlah dipandang ringan terutama jika anda
mengalami tanda atau simptom yang lain seperti didedahkan dalam artikel ini.

Buah pinggang menentukan sifat air kencing dan kekerapan buang air kecil. Apabila ia mengalami kerosakan sifat air kencing dan kekerapan buang air kecil akan berubah.

Beberapa perubahan yang berlaku akibat kerosakan buah pinggang termasuk air kencing berbuih, kerap kencing pada waktu malam, semakin kerap buang air kecil sepanjang waktu dengan sifat air kencing yang kurang berwarna.

Kekerapan buang air kecil juga adalah tanda kerosakan buah pinggang atau buang air kecil pada kuantiti kecil dengan sifat air kencing berwarna gelap.

 Air kencing mengandungi darah apabila didapati air kencing campur darah lalu menghasilkan warna air kencing berwarna merah.

Bagaimanapun perubahan kekerapan buang air kecil dan sifat air kencing yang sama juga mungkin berpunca daripada sebab-sebab lain. Pengambilan ubatan mengawal kolesterol jenis statin, minum teh/kopi, makan buah-buahan keluarga langsat dan tembikai
menyebabkan seseorang kerap buang air kecil.

Kerap buang air kecil juga boleh berpunca daripada stres kronik, lemah syahwat, masalah ereksi, terlalu kerap melakukan hubungan biologi serta sering melancap (beronani).

Perubahan kekerapan buang air kecil dikatakan sebagai tanda buah pinggang mengalami kerosakan tahap sederhana manakala perubahan warna air kencing pula merupakan tanda buah pinggang mengalami kerosakan lebih akut.

Jadi, pastikan kekerapan buang air kecil dan sifat air kencing anda benar-benar dapat dikaitkan dengan kerosakan buah pinggang sebelum berbincang dengan doktor.

Bengkak air

Seperti dinyatakan di atas, fungsi utama buah pinggang ialah membuang air berlebihan dan garam dari tubuh. Jadi, apabila mekanisme yang membantu proses tersebut terganggu atau gagal maka air akan berkumpul dalam tubuh.

 Bahagian tertentu tubuh seperti muka, tangan, kaki atau pergelangan kaki akan membengkak.

Pada tahap ini kerosakan buah pinggang dikatakan berada pada tahap semakin akut dan penghidap seharusnya berjumpa doktor dengan segera.

Bengkak yang dialami bahagian tubuh tersebut bukan bengkak berpunca daripada keradangan namun ia bengkak kerana kehadiran air berlebihan (edema).

Untuk mengetahui ia bengkak air atau bengkak berpunca daripada keradangan tekan dengan jari pada bahagian tubuh yang bengkak. Jika kawasan yang ditekan lambat naik maka ia tanda bengkak air.
Buah pinggang membina hormon dikenali sebagai erythropoietin. Ia membantu tubuh membina sel darah merah. Masalah dan kerosakan buah pinggang akan mengurangkan paras hormon tersebut.

Akibatnya ialah penurunan bilangan sel darah merah lalu menyebabkan seseorang mengalami anemia. Anemia berpanjangan akan menyebabkan paras oksigen yang dihantar ke sel berkurangan. Keadaan ini menyebabkan penghidap menjadi lemah atau lesu.
Apabila fungsi buah pinggang semakin lemah ia akan menimbulkan simptom seperti hilang selera makan, loya, muntah, melayang-layang, lesu kronik, sukar fokus, insomnia, sakit kepala, berat badan berkurangan, kulit gelap, kejang otot, sukar bernafas dan sakit
dada. Kulit semakin kering dan gatal. Semakin kerap atau sukar untuk buang air kecil.
Terdapat pelbagai punca kerosakan buah pinggang termasuk yang utama ialah paras gula yang sentiasa tinggi seperti dialami oleh penghidap diabetes.

Penghidap diabetes lebih mudah mengalami penyakit buah pinggang jika mereka mengambil ubat-ubatan kombo (beberapa jenis ubatan) termasuk ubat mengawal kencing manis, paras kolesterol dan tekanan darah tinggi.



Dr. Bahrain Samah, MD (AM ), RH (AH G)
Herbalis profesional bertaraf dunia. Juru runding dan pendidik nutrisi holistik. Buku: Kawal Berat Badan, V. Aromaterapi, Serangan Jantung, Diabetes Jenis 2. Rawat Dengan Herba – Cegah Demam & Flu.
 
--- SINAR HARIAN

Thursday, March 8, 2012

Protein Dalam Air Kencing - Tanda Buah Pinggang Rosak



Oleh Zulkiple Ibrahim

Menurut statistik, bilangan rakyat Malaysia menderita kegagalan buah pinggang peringkat akhir bertambah dari hanya kira-kira 40 orang pada 1980 hingga lebih 12,000 kini.

Ini adalah yang pertama daripada tiga artikel tentang kegagalan buah pinggang (ginjal) sempena Hari Ginjal Sedunia pada 8 Mac.

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Fisiologi badan manusia menetapkan buah pinggang atau ginjal berfungsi mengasingkan toksin dan air berlebihan dari sistem darah selain membantu mengekalkan tekanan darah, membentuk sel darah merah serta memastikan kesihatan tulang.

Tetapi ginjal juga boleh rosak disebabkan antara lain, diabetis, tekanan darah tinggi (hipertensi), jangkitan serta keradangan selain daripada terbentuknya 'batu' dan 'sista' dalam organ berkenaan.

Faktor lain yang menyebabkan kerosakan buah pinggang adalah penggunaan ubat tahan sakit berpanjangan serta minum alkohol.

Jika ginjal rosak dengan teruk, organ itu akan mengalami kehilangan fungsi normal dan situasi ini dikenali sebagai 'Kegagalan Ginjal Peringkat Akhir' (ESRF) atau dengan lebih ringkas, kegagalan buah pinggang.

Menurut pakar-pakar buah pinggang yang dikenali juga sebagai pakar nefrologi, diabetis dan hipertensi adalah penyebab utama ESRF (juga dikenali sebagai ESRD) dan melibatkan 60 perstaus daripada kes baru pesakit yang memerlukan rawayan dialisis di Malaysia.

GAGAL BUAH PINGGANG

Menurut Yayasan Buah Pinggang Negara (NKF), terdapat tiga jenis kegagalan ginjal iaitu akut, kronik dan peringkat akhir.

Kegagalan akut biasanya bersifat sementara dan boleh pulih.

"Tetapi ada juga kes akut yang tidak respon pada rawatan dan bertukar menjadi kronik atau peringkat akhir kegagalan," terang seorang pakar nefrologi.

Kata beliau, bila wujud kegagalan bersifat beransur-ansur dan progresif, ini dikenali sebagai kegagalan ginjal kronik.

"Akhirnya, ginjal akan gagal membuang bahan buangan atau menjaga keseimbangan air dan garam dalam badan menyebabkan perlunya rawatan dialisis."

Katanya kandungan kreatinin yang meningkat (kreatinin biasanya dibuang dari darah oleh ginjal) akan menunjukkan tahap kerosakan serta fungsi buah pinggang.

Tambah beliau lagi, dengan peningkatan umur, insidens berlakunya kegagalan ginjal kronik turut meningkat.

GINJAL GAGAL PERINGKAT AKHIR

Menurut statistik, bilangan rakyat Malaysia yang menderita sakit buah pinggang peringkat akhir (ESRF) meningkat dari sekitar 40 pada tahun 1980 menjadi lebih dari 12,000 kini.

Pakar-pakar nefrologi percaya jumlah pesakit yang berdaftar tidak mencerminkan bilangan sebenar pesakit buah pinggang di negara ini kerana kemungkinan terdapat mereka yang menderita secara senyap disebabkan kekurangan kemudahan.

Ada juga yang mungkin menggunakan khidmat perubatan tradisional atau alternatif bagi merawat masalah ini.

Pegawai perubatan bahagian nefrologi Dr B.H.Lim memberitahu pihak berkuasa perubatan percaya sekurang-kurangnya sembilan dari setiap 100 rakyat Malaysia menghidap diabetis dan paling kurang 40 peratus dari setiap 100 pesakit diabetis mengalami kegagalan buah pinggang.

"Insidens kegagalan ginjal sedang meningkat," terang beliau sambil menambah terdapat lebih kurang 90 kes baru bagi gagal ginjal peringkat akhir setiap satu juta penduduk atau antara 2,000 hingga 3,000 kes setiap tahun."

Kata beliau, langkah pemeriksaan awal boleh membantu menghalang terjadinya penyakit ginjal terutama mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi.

"Sesiapa yang mempunyai riwayat perubatan ahli keluarga yang menghidap kencing manis dan gagal buah pinggang dinasihati menjalani pemeriksaan perubatan," Dr Lim menyarankan.

UJIAN FUNGSI GINJAL

"Semua orang dinasihati menjalankan pemeriksaan untuk mengetahui sama ada mereka mempunyai risiko gagal buah pinggang atau tidak. Ujian saringan adalah penting bagi mereka yang punya risiko terhadap masalah ini," kata beliau.

"Ramai yang tidak tahu mereka menghadapi masalah gagal buah pinggang kronik sehingga keadaan menjadi teruk kerana mereka tidak menjalani ujian bagi diagnosa awal. Jadi dengan mengetahui lebih awal, sebelum kegagalan ginjal dikesan melalui komplikasi, akan membolehkan rawatan sesuai dijalankan," jelas beliau.

Katanya penyakit buah pinggang akan menular secara perlahan dan simptom mengenainya akan timbul pada peringkat agak lewat iaitu ketika buah pinggang sudah gagal secara teruk dan memerlukan rawatan dialisis.

"Memang terdapat Terapi Gantian Ginjal (RRT) tetapi rawatan ini memerlukan perubahan dalam rutin hidup yang agak membebankan bagi pesakit dan juga kosnya mahal.

"Ujian rutin air kencing, darah dan tekanan darah sekurang-kurangnya boleh menyenangkan perasaan atau juga boleh mengenal pasti sama ada wujud tanda-tanda awal kegagalan buah pinggang. Ujian makmal yang diperlukan dijalankan menggunakan sampel daripada darah dan air kencing.

"Jadi jika ada protein dalam air kencing, ini adalah tanda awal mengatakan ginjal sudah mula gagal," terang beliau sambil menambah satu ujian yang ringkas boleh mengesan sama ada wujudnya protein dalam sampel air kecing individu.

KREATININ

"Wujudnya protein secara berterusan dalam air kencing adalah tanda awal penyakit ginjal kronik. Doktor akan menggunakan keputusan ujian Serum Kreatinin bagi mengira tahap fungsi ginjal yang dikenali juga sebagai Kadar Filtrasi Glomerular (GFR).

"Doktor juga akan memastikan sama ada anda menghidapi diabetis atau tidak," kata Dr Lim.

Kreatinin merupakan bahan buangan dalam darah yang muncul daripada aktiviti otot. Biasanya kreatini akan dibuang oleh buah pinggang tetapi bila fungsi buah pinggang menjadi tidak normal, tahap kreatinin dalam darah akan meningkat.

Menurut Dr Lim, doktor akan menggunakan keputusan ujian bagi mengira fungsi ginjal atau GFR.

Kadar Filtrasi Glomerular (GFR) akan menggambarkan tahap sebenar sejauh mana buah pinggang berfungsi, kata beliau.

Tahap normal GFR adalah 100 ml/min.

Menurut Dr Lim, jika GFR adalah bawah 60 ml/min, individu itu perlu berjumpa pakar nefrologi bagi mendapatkan nasihat.

Jika ini tidak berkesan, pesakit perlulah bersedia untuk rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang.

Hari Buah Pinggang Sedunia ke-7 ialah pada 8 Mac 2012. Temanya adalah 'Kidney for Life' bertujuan untuk mewujudkan tahap kesedaran yang lebih baik mengenai kepentingan pendermaan organ dan transplantasi.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...