PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.
Showing posts with label Hepatitis D. Show all posts
Showing posts with label Hepatitis D. Show all posts

Sunday, August 14, 2011

Virus pemakan hati

DI Malaysia, semua bayi yang baru lahir diberi suntikan pencegahan hepatitis.


MESKIPUN kurang digeruni berbanding penyakit utama lain, penghidap hepatitis turut berdepan risiko yang sama iaitu maut.
Bukan sahaja disebabkan virus ‘jahat’, bahkan pesakit boleh dijangkiti jika mengambil ubat secara salah.
Terdapat lima jenis virus hepatitis iaitu hepatitis A, B, C, D dan E. Namun, hanya hepatitis B dan C yang boleh bertukar kronik yang memungkinkan kerosakan teruk pada hati.
Dianggarkan seorang daripada 12 penduduk dunia dijangkiti hepatitis B dan C dengan kematian sejuta orang setiap tahun.
Menurut Perunding Hepatologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Rosmawati Mohamed, virus hepatitis terutamanya hepatitis B dan C kronik telah menyerang sebanyak 2.5 juta penduduk negara ini dengan suku daripada mereka berdepan risiko kerosakan hati yang serius.
Virus
Jelasnya, biarpun kematian akibat penyakit itu menyamai jumlah korban penyakit kanser, malaria serta HIV dan AIDS, kesedaran mengenainya masih kurang dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Virus hepatitis boleh mengancam nyawa. Ia bertambah serius apabila sebahagian besar masyarakat memandang remeh perkara itu.
“Kadangkala ada yang tidak sedar yang mereka sudah dijangkiti ataupun membawa virus tersebut. Ia memang berbahaya kerana boleh mengakibatkan kanser hati,” katanya.
Disebabkan kurang kesedaran itu, Rosmawati bersama pakar perubatan lain di Asia membentuk sebuah badan yang dikenali sebagai Gabungan Membasmi Virus Hepatitis Asia Pasifik (CEVHAP).
Beliau berkata, penyakit itu tidak menunjukkan simptom yang jelas sehingga ramai yang tidak menyedari mereka telah mendapat jangkitan.
“Tiada cara lain melainkan orang ramai sendiri berjumpa doktor untuk mengesan penyakit itu.
“Kepada orang dewasa, pergilah menjalani ujian dan mengambil vaksin hepatitis,” katanya lagi.
Ujarnya, hepatitis B boleh dikesan melalui ujian darah walaupun mereka tidak menunjukkan simptom penyakit itu.
“Namun begitu, setelah simptom itu muncul, pesakit sudah mencapai tahap kronik. Simptom itu merangkumi demam, kelesuan, kesakitan pada abdomen dan penyakit kuning,” katanya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada sambutan Hari Hepatitis Sedunia baru-baru ini menjelaskan bahawa virus hepatitis B dan radang hati adalah antara penyebab utama kanser hati di negara ini.
Lelaki
“Kanser ini banyak menyerang golongan lelaki berbanding wanita,” jelas Tiong Lai dalam blog peribadinya.
Tambah Tiong Lai, hepatitis B lebih mudah merebak berbanding HIV kerana ia adalah 50 hingga 100 kali lebih mudah berjangkit berbanding virus itu. Beliau menyarankan orang ramai agar sentiasa menjaga kebersihan.
Ini kerana virus hepatitis mudah merebak melalui air liur, air mani dan bendalir vagina.
Virus hepatitis boleh merebak melalui hubungan seks yang tidak selamat dengan seseorang yang dijangkiti virus itu.
“Virus itu mungkin datang daripada pasangan anda sendiri, berkongsi pisau cukur dan berus gigi ataupun ketika kelahiran bayi,” jelas Tiong Lai.
Menteri itu turut berkongsi pengalamannya iaitu bagaimana seorang sahabat isterinya maut akibat penyakit itu.
“Suami kawan isteri saya mengalami rasa sakit dan mendapati satu benjol di bahagian atas abdomennya.
“Malangnya, apabila mereka menemui doktor, kanser itu telah berada pada tahap teruk dan tidak boleh dirawat melalui pembedahan.
“Si isteri tidak menyangka bahawa selama ini suaminya itu menghidap hepatitis. Jika tidak, mungkin suaminya boleh dirawat sebelum merebak menjadi kanser.
“Kita semua harus belajar daripada kisah tragis ini,” ujar Tiong Lai.

Wednesday, December 15, 2010

Bahaya virus hepatitis (Kosmo Online)

Ia boleh menyebabkan radang hati sehingga membawa maut.


VIRUS hepatitis A.


GAYA hidup tidak sihat membuka laluan luas kepada penyakit untuk bersarang dalam badan. Badan manusia adalah perumah paling disukai virus dan bakteria kerana menerima bekalan makanan yang berterusan.

Virus hepatitis merupakan antara virus yang perlu diberi perhatian serius. Hepatitis bermakna radang hati dan virus hepatitis boleh menyebabkan kita mengalami masalah ini yang mungkin berakhir dengan kematian jika tidak diberi rawatan yang sewajarnya.

Sehingga kini tujuh jenis virus hepatitis yang dikesan di seluruh dunia yang diberi mengikut nama huruf iaitu virus hepatitis A, B, C, D, E, F dan G.

Bagaimanapun, virus yang lazim ditemui adalah hepatitis A hingga E. Manakala jangkitan untuk hepatitis F hanya dijumpai sekali di India pada tahun 1994. Sementara hepatitis G pula hanya dikesan pada tahun 1995. Perunding Kesihatan dan Gastroenterologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari berkata, jangkitan penyakit ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu akut gejala teruk dalam masa yang singkat dan kronik kerosakan teruk yang berlaku secara perlahan dalam tempoh yang panjang bergantung kepada jenis virus yang menyerang. Punca utama hepatitis ialah jangkitan virus.


ABDUL MALIK JAMAL BUHARI


Virus hepatitis A & E (HVA & HVE)

Dua virus ini mempunyai ciri yang hampir sama. Ia disebarkan melalui makanan tercemar dan menyebabkan hepatitis akut. Biasanya, pesakit akan mengalami masalah kesihatan dalam masa sebulan. Antara gejala jangkitannya ialah demam kuning, demam, sakit perut, muntah, cirit-birit, sakit kepala, mata menjadi kuning dan lesu. "Apabila virus memasuki badan, ia mengambil masa kira-kira dua minggu dipanggil tempoh inkubasi sebelum menyebabkan masalah kesihatan. Biasanya individu dijangkiti mengambil masa kira- kira dua minggu untuk pulih," kata beliau.

Sehingga kini Malaysia hanya mempunyai kes hepatitis A kerana jangkitan HVE dilaporkan berlaku di India dan Afrika. "Walaupun gejala hepatitis A dan E dianggap lebih ringan berbanding virus hepatitis B dan hepatitis C, wanita hamil yang mendapat jangkitan HVE paling berisiko tinggi iaitu antara 15 peratus hingga 25 peratus menemui maut," katanya.

Hepatitis A boleh merebak melalui makanan dan minuman yang tercemar daripada penyedia makanan yang dijangkiti atau makanan mentah dan sentuhan sama ada membabitkan alat keperluan harian atau dipusat jagaan kanak-kanak. Malah, ada individu yang terdedah kepada darah yang tercemar pemindahan darah atau perkongsian jarum suntikan. Bagaimanapun, jangkitan melalui cara ini jarang berlaku.

Kanak-kanak yang dijangkiti HVA biasanya mengalami penyakit demam kuning pada kadar yang berbeza. Kurang daripada 10 peratus kanak-kanak berusia kurang enam tahun mengalami demam kuning, 40 peratus hingga 50 peratus demam kuning bagi kanak-kanak dalam lingkungan umur antara 6 tahun hingga 14 tahun. Kebarangkalian untuk mendapat demam kuning meningkat antara 70 peratus hingga 80 peratus jika jangkitan berlaku pada kanak-kanak lebih dewasa atau remaja yang berumur 14 tahun dan ke atas. Sehingga kini tiada rawatan khusus untuk penyakit ini, tetapi ia boleh dielakkan melalui pengambilan dua dos vaksin pada jarak 6 bulan hingga 12 bulan.

Vaksin disarankan bagi individu yang berisiko tinggi seperti pengembara, lelaki homoseksual dan penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan.

Hepatitis B

Dr. Abdul Malik berkata, virus hepatitis B (HVB) mempunyai tempoh inkubasi yang lama iaitu antara dua bulan hingga tiga bulan. Virus ini juga boleh menyebabkan dua jenis masalah sama ada akut atau kronik. Ini adalah jangkitan yang paling lazim berlaku di dunia. Dianggarkan lebih dua bilion penduduk dunia dijangkiti penyakit hepatitis B dan kira- kira 350 juta pembawa HVB kronik. Lebih menyedihkan, kebanyakan pembawa HVB kronik ini adalah India dan Afrika. Di Malaysia, kebanyakan kes ini berlaku di kalangan orang Cina; 60 peratus hingga 70 peratus, Melayu; 30 peratus dan India; 10 peratus. Virus ini disebarkan melalui hubungan seks, berkongsi jarum suntikan atau pemindahan darah. Wanita hamil yang dijangkiti hepatitis B boleh memindahkan virus ini kepada anak ketika bersalin. HVB dikatakan 100 kali lebih cepat merebak berbanding virus HIV. Gejala hepatitis B ialah deman kuning, kematian akut, jangkitan kronik, kematian akibat penyakit hati yang kronik.

Bagaimanapun, bukan semua orang mendapat penyakit ini. Ada yang tidak mengalami masalah kesihatan dan boleh bekerja seperti biasa.

Di kalangan individu yang dijangkiti, hampir 90 peratus kes virus HVB dapat disingkirkan melalui tindakan antibodi badan manakala 10 peratus menjadi pembawa. Oleh kerana itu, HVB bersifat kronik gejala kesihatan biasanya muncul apabila usia menjangkau umur 40 tahun.

Di kalangan pesakit, dianggarkan 20 peratus hingga 25 peratus mengalami masalah sirosis hati iaitu sel hati mati mengeras

dan menyebabkan parut. Daripada jumlah ini kira-kira lima hingga 10 peratus mendapat kanser hati.

Jangkitan HVB boleh dikesan melalui pemeriksaan fungsi hati terutama ujian paras enzim hati (ALT). Biasanya bagi individu yang dijangkiti, paras A adalah tinggi walaupun hatinya boleh berfungsi secara normal. Selain itu, ujian yang boleh dilakukan bagi mengesan jangkitan virus ini adalah melalui proses serologi, imbasan bunyi, DNA bagi HVB dan biopsi hati untuk mengesan darjah keradangan atau kehadiran fibrosis (tisu hati bengkak dan bertukar menjadi parut). Rawatan yang ada sekarang adalah untuk memperlahankan dan memberhentikan tindakan HVB daripada terus merosakkan hati. Ia diberikan dalam bentuk suntikan yang perlu diambil tiga kali setiap minggu dalam tempoh empat hingga enam bulan. Pesakit perlu mendapatkan pemeriksaan susulan setiap enam bulan. Pesakit perlu mendapatkan pemeriksaan susulan setiap enam bulan atau setahun sekali bagi memastikan tiada keradangan baru pada hati mereka. Sebagai perlindungan anda boleh mengambil vaksin hepatitis B yang diberikan dalam tiga dos dengan jarak tiga bulan setiap suntikan.


MESKIPUN belum ada penawar, suntikan vaksin dapat melindungi seseorang daripada dijangkiti hepatitis.


Hepatitis C (HVC)

Hepatitis C dikategorikan sebagai penyakit kronik. Virus yang dikenali sebagai HVC ini boleh berjangkit melalui perkongsian jarum suntikan dengan individu yang dijangkiti, pemindahan darah atau menjalani pembedahan pemindahan organ sebelum tahun 1995, menjalani dialisis darah dalam tempoh berpanjangan, hubungan seks (terutama yang kerap bertukar pasangan), akupuntur, jangkitan daripada ibu kepada bayi ketika bersalin.

HVC mempunyai tempoh inkubasi antara 6 minggu hingga 7 minggu. Ramai yang tidak mengalami gejala hepatitis B boleh muncul walaupun setelah lima tahun mendapat jangkitan. Antara gejala yang biasa ialah demam kuning (30 hingga 40 peratus), demam yang tidak teruk, sakit perut, keletihan dan kerap mendapat jangkitan virus lain seperti selesema. HVC boleh menyebabkan sirosis hati, pengambilan alkohol yang berlebihan boleh mempercepatkan proses sirosis hati di kalangan penghidap hepatitis B dan C. Jika seseorang individu itu mendapat kedua-dua jangkitan (hepatitis B dan C), masalah sirosis dan kanser hati akan menjadi bertambah teruk. Bagaimanapun kes ini jarang berlaku. Ubat yang diberikan kepada pesakit bertujuan menghentikan tindakan virus yang diambil melalui suntikan dan makan selama enam hingga 12 bulan.

Hepatitis D (HVD)

Virus hepatitis D dikategorikan sebagai virus yang tidak lengkap kerana ia memerlukan HVB untuk bertindak. Maknanya jika seseorang itu hanya dijangkiti HVD, dia tidak mengalami sebarang masalah. Gejala kesihatan hanya muncul jika individu berkenaan juga menghidap penyakit hepatitis B; namun kes seperti ini jarang berlaku.

Jika mengalami mana-mana gejala seperti di atas segera jalani ujian untuk hepatitis, terutama bagi individu yang lahir sebelum tahun 1989. Berbincang dengan doktor mengenai kaedah rawatan yang sesuai dengan anda. Individu yang disahkan bebas daripada jangkitan mana-mana virus hepatitis disaran mengambil suntikan vaksin sebagai perlindungan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...