PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Monday, May 4, 1998

Kesihatan -- Kesan demam pada saraf

ARKIB : 03/05/1998

PASTI ramai yang bersetuju jika dikatakan setiap individu tidak terkecuali daripada menghidap demam panas meskipun sekali sepanjang hayat mereka.

Pada masa yang sama, tanggapan yang menjadi pegangan dan sukar diubah bagi kebanyakan individu ialah demam boleh menyebabkan kerosakan pada urat saraf, buta, pekak dan lain-lain penyakit.

Sesetengahnya beranggapan bahawa demam panas ini juga boleh mengakibatkan seseorang itu mendapat kecacatan kekal seumur hidup seperti terencat akal, sawan dan sebagainya.

Namun, sejauh manakah benarnya tanggapan ini?

Pakar Perunding Neurologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Raymond Azman Ali menjelaskan, demam bukanlah dikategorikan sebagai sejenis penyakit, sebaliknya ia adalah manifestasi sesuatu penyakit yang dihidapi.

Sehubungan itu anggapan tersebut tidak tepat kerana punca sesuatu penyakit perlu dikenal pasti.

Menurut beliau, sekiranya suhu badan terlalu tinggi melebihi 41.1 darjah Celsius, dia boleh menyebabkan kerosakan saraf tertentu yang penting dalam tubuh.

Justeru, bagi mengelakkan kesan bahaya ini, suhu badan yang meningkat ini perlu diturunkan secepat mungkin.

PUNCA SUHU BADAN MENINGKAT

* Ovulasi

Suhu badan akan meningkat semasa proses pengeluaran telur (ovulasi) di mana tahap kesuburan adalah tinggi.

* Tengah hari

Suhu badan biasanya rendah pada awal waktu pagi, sebaliknya akan meningkat pada waktu petang.

* Persekitaran atau cuaca yang terlalu panas Apabila suhu persekitaran melebihi kadar yang se-patutnya, secara tidak langsung suhu badan manusia akan meningkat. Tubuh manusia mengeluarkan kepanasan melalui air kencing, air liur dan berpeluh.

* Jangkitan kuman

Jangkitan kuman, virus, bakteria, parasit dan kulat boleh menyebabkan suhu badan meningkat.

Antaranya virus selesema, rhino, coxsackie, beguk, demam campak, denggi, manakala bakteria pula ialah tifoid, parasit malaria dan kulat seperti cryptococcus.

* Ubat-ubatan

Ubat untuk pesakit psikiatri (sakit jiwa) terutamanya ubat haloperidol boleh menyebabkan suhu badan meningkat hingga melebihi 41 darjah Celsius.

Kesannya, ia akan menyebabkan pesakit mengalami satu sindrom yang dinamakan neulroleptic malignant yang boleh mengakibatkan kematian.

* Kanser

Kanser seperti leukemia dan limfoma (nodul-nodul limfoma), hepatoma (kanser hepar), kanser ginjal, dan myxmoma kanser jantung juga boleh menyebabkan suhu badan seseorang itu meningkat.

* Penyakit auto-imun seperti sistemik lupus erythematosus (SLE).

Sekiranya suhu badan meningkat melebihi 41 darjah Celsius, ia boleh meningkatkan risiko kerosakan otak.

Antara semua punca ini, jangkitan seperti malaria, yang mengakibatkan seseorang demam dan mengalami kekeliruan merupakan punca yang paling kerap mengakibatkan seseorang itu demam dan koma.

Apabila jangkitan-jangkitan seperti malaria, kuman tifoid dan denggi ini melarat hingga ke otak ia lebih dikenali sebagai enkefalitis.

GEJALA

Individu yang mengalami suhu badan terlalu tinggi mungkin mengalami gejala seperti:

* Sawan

* Sakit kepala

* Kekeliruan atau confusion

* Keras (rigid) pada tangan dan kaki

* Lumpuh

* Buta

* Pekak

* Ketidakseimbangan yang menyebabkan individu terbabit terhoyong-hayang (ataxia).

* Gangguan pertuturan

Kajian mendapati dua hingga lima peratus kanak-kanak yang menghidap demam panas (childhood febrile convulsion) berumur kurang lima tahun akan mendapat serangan sawan.

Daripada jumlah ini, lima peratus daripadanya akan mendapat epilepsi sehingga dewasa.

Sehubungan itu, demam panas merupakan satu faktor risiko yang mendedahkan seseorang pesakit yang demam mendapat sawan.

Bagaimanapun, terdapat tiga lagi faktor lain yang menyebabkan seseorang itu mendapat epilepsi kekal antaranya:

* Jika sawan semasa demam berlaku dalam tempoh lebih 20 minit.

* Sawan berlaku sebelah badan.

* Suhu badan yang tidak terlalu tinggi antara 37.5 hingga 38.5 darjah Celsius.

Faktor yang ketiga ini menunjukkan bahawa bukan demam yang menyebabkan seseorang itu mendapat sawan tetapi ia mungkin disebabkan oleh faktor genetik.

Heat stroke

Heat stroke atau pitam ini sering dialami oleh jemaah haji, para atlet terutamanya pelumba basikal jika mereka mengambil ubat atau dadah tertentu.

Biasanya, suhu badan mereka meningkat melebihi 41.1 darjah Celsius, tetapi tidak berpeluh.

Tekanan darah menjadi rendah pada tahap yang terlalu kritikal, mengakibatkan mereka pitam.

Selain itu, kurangnya oksigen yang sampai ke otak mereka juga boleh menyebabkan mereka mendapat sawan.

Ada kalanya, kesan heat strok ini mengakibatkan mangsa mengalami kero-sakan otak yang kekal seperti dimentia (pelupa) dan gangguan pertuturan (aphasia). Di samping itu, mangsa mungkin mengalami kegagalan ginjal (renal failure) dan kerosakan pada otot-otot.

PANDUAN

Ibu bapa dinasihatkan supaya memberi perhatian yang lebih sekiranya anak-anak mereka mendapat demam panas.

Suhu badan yang tinggi ini perlu diturunkan segera dengan pelbagai cara antaranya:

* Menanggalkan semua pakaian pesakit

* Ambil air dan lapkan ke badan pesakit

* Pasang alat pendingin udara atau pasangkan kipas supaya wap panas keluar.

* Galakkan pesakit mandi dengan menggunakan air suam.

Amalan-amalan salah yang harus diubah ialah:

* Jangan selimutkan pesakit dengan selimut.

* Jangan guna air sejuk untuk mengelap pesakit Ini adalah kerana air sejuk akan menyebabkan saluran darah mengecut, apabila mengecut kepanasan dalam badan tidak akan keluar sebaliknya pesakit akan kelihatan pucat.

Bagaimanapun, sekiranya suhu badan pesakit terlalu tinggi, rendamkan pesakit dengan ais dalam tub mandi.

Pesakit yang memerlukan air boleh diberi melalui intravena.

* Jika suhu badan terlalu panas, paracetamol atau aspirin merupakan alternatif untuk merawat demam.

* Sesetengah pesakit yang terkena jangkitan bakteria akan diberi ubat antibiotik.

Sebaliknya, sekiranya jangkitan tersebut tidak dapat dikenal pasti, doktor haruslah merawat punca demam yang dihidapi.

KOMPLIKASI DEMAM

Berbanding orang dewasa, otak kanak-kanak yang belum matang boleh menyebabkan ia mudah terce-dera.

Tempoh demam yang dihidapi oleh seseorang banyak bergantung kepada punca.

Bagi demam selesema atau lebih dikenali sebagai 'demam biasa' bagi kebanyakan individu, tempoh demam tidak lebih antara tiga hingga empat hari.

Sekiranya demam yang dihidapi melebihi tempoh tersebut, pesakit dinasihatkan supaya berjumpa doktor bagi memastikan bahawa sama ada mereka dijangkiti kuman, virus atau bakteria tertentu. Bagaimanapun, bagi mereka yang demam dalam jangka waktu yang terlalu panjang seperti berbulan-bulan, terdapat kemungkinan mereka menghidap penyakit auto imun, kanser atau batuk kering. - Oleh Najibah Hassan

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_02.htm#ixzz2FHUIMl00
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...