|
|
ANAK anda mengalami demam panas. Dia juga menjadi seorang yang cukup cerewet dan sering menangis. Air liurnya meleleh dan dia tidak berselera untuk makan serta minum.
Keadaan tersebut merupakan gejala-gejala biasa bagi masalah sakit kerongkong, mahu tumbuh gigi dan juga jangkitan telinga. Bagaimanapun, salah satu daripada kumpulan simptom ini yang biasanya terlepas pandang iaitu, ulser mulut, merupakan antara tanda utama penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Dalam keadaan cuaca semasa yang panas dan kering, bibir melepuh mungkin disilap tafsir sebagai kesan kekurangan air, sekali gus menyebabkan segelintir ibu bapa memandang ringan tanda-tanda berkenaan.
Wabak HFMD yang menyebabkan semua 488 taman asuhan kanak-kanak di
Sarawak ditutup serta-merta selama dua minggu sejak 3 Mac lalu sedikit
sebanyak mencetuskan kebimbangan di kalangan ibu bapa, termasuklah yang
berada di semenanjung tanah air.
Sehingga kini, HFMD telah meragut empat nyawa manakala Brunei
Darussalam mencatatkan satu kematian pada 5 Mac lalu dan turut menutup
semua sekolah rendah dan sekolah agama di negara berkenaan bermula Rabu
lalu sehingga diberitahu kelak.
Untuk rekod, wabak yang sama pernah melanda Sarawak pada tahun 1997,
menyebabkan 31 kanak-kanak meninggal dunia manakala 78 orang warga
Taiwan terkorban akibat HFMD, setahun kemudian.
Pada September 2000, lebih daripada 1,000 kanak-kanak di Singapura telah didiagnos menghidap penyakit yang sama.
Maklumat berikut diharap dapat menyingkirkan sesetengah salah
tanggapan, rasa panik serta kekeliruan yang berkaitan dengan ciri-ciri
penyakit HFMD seperti mengaitkannya dengan penyakit kuku dan mulut (HMD)
yang menyerang binatang ternakan seperti lembu dan biri-biri.
Pakar Runding Pediatrik (kanak-kanak), Hospital Pakar Perdana, Kota
Bharu, Kelantan, Dr. Mazidah Abd. Rasid berkata, HFMD adalah sejenis
jangkitan virus yang disebabkan oleh beberapa kumpulan virus termasuklah
enterovirus.
Jangkitan ini menyebabkan timbulnya ruam berserta lepuh di tekak,
tonsil, tangan (tapak tangan), kaki (pada tapak kaki) dan di sekitar
kawasan lampin.
Biasanya penyakit ini hanya sekadar sakit ringan dan ruam yang
timbul itu akan hilang dalam tempoh lima hingga tujuh hari, katanya
kepada Mingguan Malaysia.
Menurutnya, terdapat beberapa jenis virus yang menyebabkan HFMD
dengan virus yang biasa adalah Coxsackie A16, yang mencetuskan endemik
di Malaysia dan biasanya berlaku pada tahap yang sederhana.
Kadangkala, terdapat jenis kuman virus lain seperti virus coxsackie A
atau enterovirus 71 yang boleh mencetuskan penyakit ini. Virus
Coxsackie merupakan salah satu jenis virus yang terdapat di dalam
kelompok virus yang dikenali sebagai enterovirus seperti virus polio,
virus coxsackie dan echovirus.
HFMD merupakan penyakit berjangkit sederhana. Ia merebak melalui
sentuhan langsung dengan lelehan yang keluar daripada hidung dan tekak
atau najis mereka yang telah dijangkiti kuman ini.
Penyakit ini amat mudah berjangkit pada minggu pertama pesakit
menghidapinya. Ia tidak boleh merebak kepada atau daripada binatang,
kata Dr. Mazidah.
Tempoh pengeraman
Selepas seseorang itu dijangkiti kuman virus ini tempoh pengeramannya adalah di antara dua hingga enam hari.
Gejala seperti demam dan ketidakselesaan pada mulut biasanya akan
hilang pada hari ketiga atau keempat. Ulser mulut akan hilang pada hari
kelima hingga ketujuh tetapi lepuh dan bintik-bintik merah di tangan,
kaki akan hanya hilang dalam tempoh 10 hari.
Faktor-faktor risiko
Penyakit HFM boleh menjangkiti mana-mana kanak-kanak dan di mana saja tanpa mengira kawasan geografi.
Kanak-kanak yang berumur di bawah lima tahun amat rentan penyakit
ini sambil tidak menolak kemungkinan, ia boleh menjangkiti sesiapa
sahaja tanpa mengira peringkat usia.
Penyakit ini juga biasanya menjangkiti kanak-kanak yang berumur di
antara dua minggu hingga tiga tahun. Ini kerana kanak-kanak mempunyai
daya tahan badan yang lemah dan mudah dijangkiti berbanding orang
dewasa, katanya.
Bagaimanapun, Dr. Mazidah menambah, ini tidak bermakna, orang dewasa
kalis HFMD apatah lagi jika mereka mempunyai sistem imun yang tidak
kuat.
Gejala-gejala
- Demam berkemungkinan mencapai panas sehingga 390C
- Sakit tekak
- Ulser pada tekak dan mulut
- Sakit kepala
- Ruam bersama lepuh terdapat di tangan, kaki dan di kawasan lampin.
Komplikasi
Dr. Mazidah menjelaskan, komplikasi biasanya disebabkan oleh
kekeringan air dalam badan atau dehidrasi apabila kanak-kanak yang
mendapat ulser mulut tidak boleh makan dan minum.
Virus enterovirus juga menyasarkan sistem saraf, otak dan jantung
mangsa menyebabkan radang otak meningitis dan inflamasi serta keradangan
otot jantung (miokarditis).
Kemungkinan juga berlakunya sawan berikutan demam panas. Kesemua
komplikasi ini sangat berbahaya dan boleh membawa maut, katanya.
Diagnosis
Doktor lazimnya akan melakukan pemeriksaan fizikal, melihat
gejala-gejala HFMD dan sejarah penyakit dan pemeriksaan fizikal. Ujian
darah akan dilakukan di makmal khas bagi mengesahkan jenis virus yang
terlibat.
Prognosis
Kebanyakan kes HFMD adalah ringan dan sembuh sepenuhnya dalam masa
lima ke tujuh hari. Malangnya, sehingga hari ini kita tidak boleh
menjangka siapa yang boleh sembuh dan siapa yang akan mengalami
komplikasi yang menjurus kepada kematian.
Hubungi doktor sekiranya:
- Anak anda tidak membuang air kecil lebih lapan jam
- Anak anda kelihatan kusut, mengantuk, pucat atau berbelak-belak,
resah atau meragam dan tidak dapat tidur atau berpeluh dingin
- Demam lebih tiga hari
- Sakit mulut semakin teruk
- Anak anda mengalami lemah otot kaki dan tangan atau diserang sawan.
Jika anak anda ada menunjukkan simptom seperti di atas, dapatkan
rawatan doktor segera. Jangan bersikap sambil lewa. Sebarang kelewatan
untuk mendapatkan rawatan mungkin boleh menyebabkan kematian, tegas Dr.
Mazidah.
Langkah-langkah pencegahan
- Berhati-hati dan tumpukan perhatian kepada nasihat yang diberikan
- Kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda dan gejala HFMD mestilah dibawa berjumpa doktor secepat mungkin
- Jangan bawa anak anda ke tempat awam seperti pasar raya, pusat
membeli-belah, kolam renang awam, sekolah, pusat penjagaan kanak-kanak
dan lain-lain
- Anda mestilah lebih berhati-hati dari segi kebersihan semasa
menyediakan makanan dan selepas keluar dari tandas. Basuhlah tangan
sebelum dan selepas menyediakan makanan dan sebelum dan selepas ke
tandas
- Basuhlah tangan anda selalu terutamanya selepas menyalin lampin
- Permukaan yang telah tercemar hendaklah dibasmi kuman dengan menggunakan pencuci
- Basuh pakaian yang terkena kotoran secepat mungkin
- Jangan berkongsi barang kegunaan seperti tuala mandi, berus gigi, pakaian dan sebagainya
- Elakkan diri daripada mengikuti aktiviti luar rumah sehingga pihak
berkuasa telah mengesahkan selamat untuk menjalani kegiatan harian
- Elakkan diri daripada mendekati pesakit HFMD
- Pihak berkuasa kesihatan hendaklah memeriksa tahap kebersihan di
tempat di mana terdapat ramai kanak-kanak tinggal (contohnya tadika dan
pusat penjagaan kanak-kanak) dan arahkan supaya tempat itu ditutup jika
tahap kesihatannya tidak mencapai tahap kebersihan yang sepatutnya
- Kanak-kanak yang dijangkiti HFMD tidak dibenarkan mengikuti program
di pusat penjagaan kanak-kanak, sekolah atau aktiviti berkumpulan yang
lain
- Berikan rawatan di rumah untuk kes yang tidak disyaki penyakit HFMD
tetapi jika anda nampak tanda-tanda komplikasi seperti sakit pada leher
atau pada tangan dan kaki, segera dapatkan rawatan doktor
- Jika demam anak anda masih tidak berubah selepas diberi ubat, segera berjumpa doktor semula
- Jika terdapat tanda-tanda dehidrasi (kulit dan membran mukus
kering, turun berat badan, meragam, keletihan, kurang air kencing atau
air kencing berwarna gelap), segera berjumpa doktor
- Kawasan di Malaysia yang mempunyai populasi terbesar terutamanya
kawasan luar bandar, tidak digalakkan menggunakan ubat-ubatan
tradisional dan merawat sendiri HFMD jika telah disyaki. Pengawalan
penyakit daripada merebak mestilah diberikan keutamaan. (Sumber
Kementerian Kesihatan Malaysia)
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0312&pub=utusan_malaysia&sec=kesihatan&pg=kn_01.htm#ixzz2KkPf5LuO
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment