PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Monday, April 30, 2007

Campak sembilan hari mengancam nyawa

ARKIB : 29/04/2007


Banyak jenis ruam yang mirip gejala campak. Segeralah berjumpa doktor jika timbul bintik koplik yang unik di dalam mulut. Patuhi jadual pelalian anak-anak anda. Jangan ambil mudah campak.


SEBUT sahaja campak, yang biasanya muncul di fikiran kita tidak lebih sekadar ruam bertompok kemerah-merahan. Tetapi, perubahan yang berlaku di dalam tubuh pesakit sebenarnya jauh lebih membimbangkan berbanding tanda-tanda luarannya.

‘‘Penyakit demam campak merupakan sejenis jangkitan pernafasan yang disebabkan oleh virus RNA dari keluarga paramyxovirus yang sangat berjangkit 

‘‘Komplikasi campak boleh mengancam nyawa terutamanya kepada bayi dan kanak-kanak yang lebih kecil,’’ kata Pakar Runding Kanak-kanak (Pediatrik), Pusat Perubatan Kelana Jaya, Selangor, Dr. Meghana Poovaneswaran.

Menurutnya, virus hidup di dalam mukus yang terdapat di dalam hidung dan tekak kanak-kanak atau orang dewasa yang telah dijangkiti iaitu dari empat hari sebelum timbulnya ruam sehingga empat hari selepasnya.

‘‘Apabila pesakit campak batuk, bersin atau bercakap, titisan kecil/air liur dan titisan hidung yang telah berjangkit akan terpercik dan virus mampu bertahan selama dua jam di udara sebelum dihirup oleh orang lain yang berada di sekelilingnya.

‘‘Titisan kecil yang terjangkit itu juga mungkin akan ‘mendarat’ di atas permukaan tubuh mangsa lain di mana ia kekal aktif dan akan berjangkit dalam masa beberapa jam,’’ jelas beliau.

Seseorang itu juga boleh dijangkiti oleh virus berkenaan dengan meletakkan jari anda di dalam mulut atau hidung, selepas menyentuh permukaan yang telah dijangkiti. Begitu juga dengan berkongsi gelas yang sama.
Sebaik sahaja virus masuk ke dalam tubuh, ia akan hidup di dalam sel-sel yang melapisi bahagian belakang tekak dan paru-paru. Jangkitan seterusnya akan merebak ke seluruh badan termasuklah sistem pernafasan dan kulit.

Lazimnya, tanda-tanda awal campak hanya akan muncul kira-kira 10 hingga 12 hari (tempoh inkubasi atau pengeraman) selepas terdedah kepada virus. 

Ia termasuklah demam, batuk kering, selesema dan hidung berair, mata merah/konjunktiviti, sensitif/mudah silau terhadap cahaya, tompok-tompok merah kecil dengan lapisan dalam pipi/bahagian dalam mulut berwarna putih kebiru-biruan dikenali sebagai bintik koplik dan ruam pada kulit yang bertompok-tompok rata dan besar, seakan bersambung di antara satu sama lain.

Dr. Meghana berkata, campak selalunya bermula dengan demam ringan ke sederhana yang diiringi dengan lain-lain gejala seperti batuk berterusan, hidung berair, mata merah dan sakit tekak. 

‘‘Dua hingga tiga hari kemudian keluar bintik koplik yang menjadi ciri utama campak, disusuli dengan demam tinggi. Tiga hingga lima hari berikutnya, ruam bertompok berwarna merah timbul di permukaan kulit, selalunya di bahagian muka, garis rambut, belakang/bawah telinga dan leher. 

‘‘Ruam ini sama ada berbentuk makula/ruam kemerahan yang mendatar ataupun papula/ruam kemerahan yang menonjol.

‘‘Dalam tempoh satu, dua hari ia akan segera merebak ke bawah iaitu ke dada dan belakang dan akhirnya, paha dan kaki. Selepas lebih kurang seminggu, ruam akan makin pudar dan menghilang dalam turutan yang sama seperti ia muncul,’’ ujarnya.

Pada puncak penyakit yang turut dikenali sebagai rubeola dan mendapat julukan campak sembilan hari ini, penghidapnya akan menderita kesakitan, mengalami ruam meluas dan suhu badan mencapai setinggi 400 darjah celsius. 

Tiga hingga lima hari kemudian, suhu mulai menurun, pesakit beransur-ansur pulih dan saki-baki ruam terus lenyap.

Faktor-faktor risiko

Sekiranya seseorang itu dijangkiti campak sewaktu kecil, tubuh badannya telah membina sistem kekebalan untuk menentang jangkitan dan tidak akan menghidapinya lagi setelah dewasa.

Bayi berumur kurang setahun, bayi yang tidak mendapatkan imunisasi serta remaja dan orang dewasa yang belum mendapatkan imunisasi kedua ataupun sesiapa sahaja yang belum pernah mendapat campak dan menerima vaksin itu, merupakan antara golongan yang rentan/lebih mudah diserang campak.

Campak khususnya lebih teruk di kalangan individu yang mengalami kekurangan vitamin A, sebahagian daripada masalah malnutrisi/kekurangan zat makanan yang sering dihadapi negara-negara dunia ketiga.
Diagnosis, komplikasi dan rawatan

Dr. Meghana memberitahu: ‘‘Doktor selalunya mendiagnosis campak berasaskan ciri-ciri unik penyakit iaitu ruam dan bintik koplik. Pemeriksaan lain yang mungkin diperlukan termasuklah pemeriksaan darah.

‘‘Campak biasanya sembuh dalam masa 10 hingga 14 hari. Bagi sesetengah pesakit, keadaannya boleh menjadi serius tetapi kebanyakan orang akan pulih sepenuhnya.’’

Antara komplikasi yang boleh timbul adalah: 

* Jangkitan telinga. Antara tujuh hingga sembilan peratus pesakit campak mengalami komplikasi jangkitan telinga yang boleh menyebabkan pekak 

* Konjunktiviti di mana mata menjadi merah jambu dan bengkak serta menghasilkan lelehan berair atau mengandungi nanah, jika tidak dirawat, boleh menyebabkan buta

* Ensefalitis. Kira-kira satu hingga dua orang daripada 1,000 pesakit campak menghadapi komplikasi ensefalitis, iaitu radang pada otak yang disebabkan oleh jangkitan virus yang boleh mengakibatkan muntah, konvulsi (pengecutan tidak sengaja otot-otot yang menghasilkan peliukan tubuh dan anggota) dan koma.
Enselifitis boleh menyusul sejurus selepas campak atau ia boleh terjadi setelah beberapa tahun kemudian, apabila individu terbabit meningkat dewasa disebabkan oleh jangkitan virus yang perlahan. Pesakit mungkin mengalami masalah seperti sawan dan gangguan percakapan.

* Pneumonia. Satu hingga enam peratus kanak-kanak yang dijangkiti campak akan mendapat pneumonia/radang paru-paru yang boleh menyebabkan kematian

* Cirit-birit dan muntah. Komplikasi ini lebih lazim ditemui di kalangan bayi dan kanak-kanak yang masih kecil

* Bronkitis, laringitis atau krup. Campak juga boleh mendorong kepada radang kepada kotak suara/larinks atau radang pada dinding dalaman yang melapik laluan udara utama paru-paru/tiub bronkial

* Masalah kehamilan. Wanita mengandung perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan campak kerana penyakit tersebut boleh mengakibatkan keguguran, kelahiran pramatang dan bayi dilahirkan kurang berat badan

* Bilangan platelet yang rendah/trombositopenia. Campak boleh menyebabkan platelet iaitu jenis sel darah merah yang penting untuk pembekuan darah, menjadi berkurangan.

Kebanyakan ruam yang dialami pada kanak-kanak tidak semestinya campak kerana gejalanya mirip kepada beberapa jangkitan virus lain seperti rubela.

Selalunya, kata Dr. Meghana, pesakit tidak perlu ditahan di wad, cuma dibekalkan dengan ubat-ubatan seperti asetaminofen atau ibuprofen bagi melegakan demam.

‘‘Untuk infeksi bakteria seperti pneumonia atau jangkitan telinga, doktor akan mempreskripsi antibiotik. Kuarantin/pengasingan merupakan salah satu elemen rawatan.

‘‘Oleh kerana sifat campak yang sungguh menular terutamanya dari kira-kira empat hari sebelum ke empat hari selepas ruam keluar, pesakit tidak digalakkan terbabit di dalam kegiatan yang memerlukan mereka berinteraksi dengan orang lain dalam tempoh ini,’’ katanya.

Pencegahan

Semasa era pravaksin iaitu sekitar tahun 1960-an, boleh dikatakan hampir semua kanak-kanak dijangkiti oleh virus campak di seluruh dunia. Ketika itu, kira-kira 130 juta kanak-kanak di bawah umur enam tahun mati akibat campak pada setiap tahun, termasuklah di Malaysia.

Setelah Program Imunisasi Campak Kebangsaan (PICK) dimulakan pada tahun 1982, insiden jangkitan campak menurun dari 65.6 per 100,000 populasi kepada 2.7 per 100,000 pada tahun 2002.

Bagaimanapun, data-data tempatan mahupun luar negara menunjukkan bahawa satu dos vaksin campak yang diberikan semasa bayi berusia sembilan bulan itu tidak mencukupi.

Justeru, menerusi Kempen Imunisasi Campak Kebangsaan (KICK) 2004, dua dos vaksin diberikan dalam bentuk kombinasi campak, beguk dan rubela (MMR) kepada kanak-kanak ketika berumur 12 bulan dan tujuh tahun mulai tahun berkenaan. 

‘‘Bagi melawan penyakit campak, sejenis virus campak yang masih hidup tetapi dilemahkan akan dimasukkan ke dalam badan seseorang. Vaksin campak dihasilkan dengan cara mengambil virus daripada tekak pesakit yang telah dijangkiti dan dihidupkan di dalam sel embrio ayam di makmal. 

‘‘Apabila virus campak yang telah diubahsuai/dilemahkan ini diberikan kepada kanak-kanak sebagai sebahagian daripada vaksin MMR, ia mencetuskan jangkitan yang tidak berbahaya sebelum sistem imun dapat mengatasinya,’’ kata Dr. Meghana.

Tambah beliau, jangkitan yang tidak membahayakan ini membina kekebalan terhadap jangkitan virus di kalangan 95 peratus kanak-kanak, seumur hayat mereka.

Pengambilan dos kedua vaksin adalah digalakkan bagi melindungi lima peratus lagi kanak-kanak yang gagal membina ketahanan tubuh selepas menerima dos pertama, dalam masa yang sama meningkatkan imuniti 95 peratus kanak-kanak yang telah pun berjaya.

Ditanya mengenai kesan sampingannya, kebanyakan individu tidak mengalami sebarang kesan sampingan vaksin yang teruk kecuali demam dan ruam ringan manakala kurang satu daripada sejuta dos menyebabkan tindak balas alahan yang serius.

Panduan kepada pesakit campak

* Bawa bertenang. Dapatkan rehat secukupnya dan elakkan daripada aktiviti yang sibuk

* Hirup sesuatu. Banyakkan minum air, jus buah-buahan dan teh herba bagi menggantikan cecair yang hilang dari badan disebabkan demam dan berpeluh

* Dapatkan bantuan bagi melegakan pernafasan. Gunakan pelembap bagi melegakan batuk dan sakit tekak

* Rehatkan mata anda. Jika anda atau anak anda terganggu oleh lampu yang terang seperti pesakit campak lain, kurangkan keterangan cahayanya atau pakai cermin mata, sekalipun pada waktu tidur. Elakkan membaca atau menonton televisyen kerana cahaya daripada lampu bacaan atau televisyen boleh mengganggu.

Sekalipun kes-kes penularannya mencatatkan pengurangan ketara, namun ini mesej yang ingin disampaikan oleh Dr. Meghana: 

‘‘Campak bukan sejenis penyakit yang boleh dipandang ringan. Kesedaran mengenainya terutama sekali di kalangan ibu bapa adalah penting. 

‘‘Pastikan anak-anak mendapat imunisasi campak seperti yang telah ditetapkan bagi mengelakkan komplikasi yang boleh mengancam nyawa anak-anak,’’ saran beliau.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...