Polio cegah dengan imunisasi
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
sumber : utusan online
Pengenalan dan sejarah
INDIA, 12 tengah hari waktu tempatan; seorang
kanak-kanak perempuan sedang mengheret badannya di atas lantai
beralaskan simen, di sebuah rumah anak-anak yatim. Lututnya melecet
dengan kesan luka.
Republik Demokratik Congo, 4.30 petang; seorang
warga tua menjual barang-barang lama dari atas kerusi rodanya bagi
menyara kehidupannya - satu-satunya pekerjaan yang dilakukannya sejak
belia lagi.
Nigeria, 7 malam; seorang pemuda sedang `menyepak'
bola dengan tangannya. Pergerakannya dibantu oleh papan luncur yang agak
usang.
Tiga situasi ini menggambarkan bagaimana polio telah merampas keupayaan mereka untuk berjalan, buat selama-lamanya.
Bayangkan pula impak, pertama; keazaban, kelumpuhan
dan otot-otot yang menjadi lembik dan lemah longlai, tidak mungkin
disembuhkan kembali.
Kemudian; kesakitan kaki, tangan dan lain-lain
anggota badan atau tulang belakang yang menjadi rosak dan tidak boleh
digunakan lagi buat selama-lamanya.
Seterusnya; kekecewaan dan kesakitan mengiringi rutin harian yang mudah seperti turun dari katil, memakai baju dan berjalan.
Lagi; renungan. Komen sinikal. Diskriminasi.
Kecenderungan kekal menganggur, kekal bujang. Dan sering kalinya,
kanak-kanak cuba dijauhi, disembunyikan di rumah atau disimpan di
mana-mana dan dibiarkan terpinggir serta merempat meminta sedekah di
jalanan.
Begitulah rupa hodoh penyakit virus tertua umurnya
itu yang pernah muncul sebagai penyakit yang begitu menakutkan di dunia,
satu ketika dulu. Tidak hairanlah kebanyakan gambar yang mengiringi
artikel berkaitan polio terdapat dalam hitam putih.
Sebagaimana kejayaan resolusi penghapusan penyakit
cacar, polio ditetapkan sebagai jangkitan kedua untuk dinyahkan terus
dari planet ini menerusi kempen Inisiatif Menghapuskan Polio Peringkat
Global. Terima kasih kepada penciptaan vaksin polio yang telah
menurunkan dengan ketara, kadar penularannya.
Namun begitu, di saat-saat Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO) beranggapan polio hampir sahaja dihapuskan pada awal 2003,
dengan hanya setengah dozen negara sahaja terus melaporkan jangkitan,
sesuatu telah berlaku.
Pada masa itu, beberapa wilayah yang didiami oleh
majoriti umat Islam di Nigeria telah menolak langkah pelalian bagi
mencegah penyakit itu selama setahun. Khabar angin tersebar luas
mengatakan, kerajaan barat telah menambah vaksin itu dengan dadah
sebagai sebahagian konspirasi memandulkan gadis-gadis muslim.
Memandangkan sifat semula jadi kuman polio yang
sangat berjangkit, virus itu cepat menular dan buat pertama kalinya
dalam tempoh sedekad, Indonesia, pada Mac lalu, menjadi negara baru
ke-16 yang dijangkiti wabak itu.
WHO, pada minggu lalu berkata, wabak itu yang telah
menyerang 225 kanak-kanak dan seorang dewasa di Indonesia berpotensi
merebak ke negara-negara jiran Asia Tenggara dalam tempoh beberapa bulan
akan datang.
Musim hujan yang bakal menjelang pada Oktober ini
dijangka memudahkan lagi pemindahan penyakit bawaan air itu daripada
seorang pesakit kepada pesakit lain.
Di Kuala Lumpur, Ketua Pengarah Kementerian
Kesihatan, Datuk Dr. Ismail Merican dalam kenyataannya Rabu lalu
mengarahkan semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) agar mempertingkatkan
liputan imunisasi vaksin polio, khususnya untuk kanak-kanak yang
tercicir dalam penerimaan dos vaksin yang lengkap.
``Pada masa ini, liputan imunisasi lengkap dengan
tiga dos vaksin polio di kalangan kanak-kanak di Malaysia adalah lebih
daripada 95 peratus, manakala lima peratus lagi adalah mereka yang
tinggal jauh di pedalaman.
``Sebagai satu langkah awal, kementerian juga
mengarahkan JKN untuk mengesan dan melaporkan semua kes kelumpuhan
flasid (lembik) akut,'' Dr. Ismail dipetik sebagai berkata.
Rantau Pasifik Barat termasuk Malaysia
diisytiharkan bebas polio liar pada tahun 2000. Hanya lima kes tempatan
dilaporkan berlaku pada tahun 1986 dan tiga kes pada tahun 1992.
Berasal dari perkataan Yunani Poliomyelitis atau
popular dengan nama singkatannya polio - merupakan sejenis penyakit yang
disebabkan oleh virus polio.
``Virus polio biasanya menyerang sistem saraf ke
otot manusia dan ini boleh menyebabkan otot-otot menjadi lumpuh dalam
masa beberapa jam sahaja.
``Kadangkala polio menyerang otot pernafasan yang
menyebabkan kesukaran bernafas dan membawa kematian,'' kata Pakar
Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains
Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Zaliha Ismail.
Sejarah
Mengikut sejarahnya, polio sudah
dikenal sejak zaman prasejarah lagi di mana lukisan dinding di kuil-kuil
Mesir kuno menggambarkan orang-orang sihat dengan kaki layuh yang
berjalan menggunakan tongkat.
Mula dikenal pasti sebagai poliomyelitis oleh
Michael Underwood dari England pada tahun 1789. Di Eropah, wabak
poliomyelitis mula dilaporkan pada awal abad ke-19.
Mengulas lanjut, polio berpunca daripada jangkitan
poliovirus iaitu sejenis virus (enterovirus) RNA kecil yang terdiri
daripada tiga strain yang berbeza iaitu poliovirus jenis 1, 2 dan 3.
Menurut Dr. Zaliha, pada lebih dari 90 peratus
orang yang dijangkiti, penyakit polio tidak menunjukkan sebarang gejala,
menyebabkan seseorang itu tidak tahu dirinya telah dijangkiti.
Sebahagian lagi hanya mengalami gejala-gejala yang
mirip kepada jangkitan saluran pernafasan seperti demam selesema yang
disebabkan oleh virus yang lain.
Masa inkubasi, dari mula virus memasuki badan sehingga timbul gejala sakit polio adalah antara tiga hingga 35 hari.
``Dalam tempoh ini pembawa berkenaan paling mudah menyebarkan virus kepada orang lain tanpa disedari.
``Gejala awal dari penyakit polio
meliputi demam, rasa lemah, sakit kepala, muntah, sembelit dan
kadang-kadang disertai cirit-birit,'' katanya.
Sementara itu, satu hingga dua peratus lagi
mengalami demam panas, meningitis (radang pada membran otak dan saraf
tunjang) serta sakit leher dan belakang yang teruk.
Gejala-gejala seperti kekejangan pada leher, belakang atau pada bahagian kaki boleh juga terjadi dan akan hilang selepas dua hingga 10 hari.
``Pada tahap selanjutnya di mana virus sudah
menyebar ke sistem saraf, penyakit ini boleh menyebabkan kelumpuhan yang
kekal akibat daripada kerosakan pada sel-sel saraf yang diserang.
``Kelumpuhan yang kekal ini hanya terjadi pada kurang dari satu peratus orang yang dijangkiti virus polio,'' ujar beliau.
Jenis-jenis polio
Jangkitan virus polio boleh dibahagikan kepada dua
iaitu tidak paralitik (tidak menyebabkan kelumpuhan) dan paralitik
(menyebabkan lumpuh, biasanya pada anggota kaki).
Golongan berisiko tinggi
Polio menyerang sesiapa sahaja tanpa mengenal usia,
tetapi kadar kejadian yang tinggi terjadi pada kanak-kanak yang berusia
di bawah lima tahun.
Diagnos
Penyakit ini boleh didiagnos secara klinikal
(sejarah dan tanda-tanda penyakit), pengesanan kehadiran virus dalam
najis, farinks dan cecair sekeliling saraf tunjang serta melalui
pengesanan antibodi di dalam darah pesakit.
Dr. Zaliha berkata, penyakit ini menular melalui
sentuhan, makanan dan minuman yang tercemar dengan virus di dalam najis
orang yang dijangkiti oleh virus polio.
Perebakan melalui cecair mulut dan tekak boleh juga berlaku tetapi amat jarang.
``Virusnya memasuki usus melalui mulut, farinks dan
berkembang biak di dalam usus. Virus boleh dikesan di bahagian farinks
dan najis sebelum seseorang itu menunjukkan sebarang gejala penyakit.
``Lebih kurang seminggu selepas jangkitan, virus di
farinks mula berkurangan tetapi ia masih dikeluarkan melalui najis
selama beberapa minggu selepas jangkitan dan kadangkala sehingga
sebulan,'' katanya.
Virus kemudian memasuki sel limfoid seterusnya ke dalam aliran darah dan disalurkan ke sel-sel saraf termasuk saraf otak.
Penularan, katanya, boleh berlaku dalam masa tujuh hari sebelum dan 10 hari selepas seseorang itu menunjukkan gejala penyakit.
Walau bagaimanapun, jangkitan boleh juga berlaku selagi terdapat virus di dalam farinks dan najis pesakit.
Virus boleh berada di dalam farinks lebih kurang
seminggu selepas dijangkiti dan di dalam najis, untuk beberapa minggu,
kadangkala sehingga sebulan.
Adakah polio boleh dirawat?
Polio tidak boleh dirawat, kita hanya boleh
mencegahnya. Rawatan hanyalah merupakan rawatan pemulihan akibat dari
komplikasi yang terjadi.
Imunisasi
Polio boleh dicegah melalui imunisasi vaksin
pencegah polio. Terdapat dua jenis vaksinasi polio iaitu melalui
suntikan - IPV (Injection Polio Vaccine), dan OPV (Oral Polio Vaccine),
vaksin yang diberikan melalui titisan mulut.
``Vaksin polio yang diberikan kepada setiap
kanak-kanak mengikut aturan dan jadual yang betul akan dapat memberi
perlindungan sepanjang hayat.
``Di Malaysia, semua kanak-kanak di bawah umur
setahun harus dilengkapi dengan tiga dos OPV yang diberikan ketika
berumur dua, tiga dan empat bulan,'' kata Dr. Zaliha.
Dos tambahan diberikan pada umur satu setengah
tahun dan lima hingga tujuh tahun. Vaksin ini diberikan bersama
imunisasi tiga serangkai.
Hanya selepas suntikan ketiga, barulah tubuh
kanak-kanak dapat menghasilkan antibodi melawan virus polio. Orang
dewasa yang ingin ke negara yang endemik juga disaran mendapatkan
imunisasi ini.
``Vaksin adalah selamat. Kesan sampingan yang serius amat jarang ditemui di kalangan kanak-kanak yang normal.
``Jika kita tidak melindungi anak-anak kita dengan
imunisasi vaksin pencegah polio secara teratur serta tidak mengamalkan
amalan kebersihan yang sepatutnya, tidak mustahil kita akan dijangkiti
oleh penyakit ini,'' tegasnya.
Dalam dunia moden, jelas Dr. Zaliha, pergerakan
orang yang dijangkiti dari satu negara ke negara yang lain tidak dapat
kita hindari.
Penyakit polio hanya dapat dicegah sepenuhnya jika
semua negara di dunia ini dapat menghapuskan penularan penyakit melalui
imunisasi pencegahan sepenuhnya.
--- SUMBER: http://paramedik.bbfr.net/Polio-h8.htm
No comments:
Post a Comment